20 October 2010

Tulisan di Harakah: 18-21 Oktober 2010


Editor Dewan Sastera, Tunas Cipta, PTS dan wartawan sastera Berita Harian duduk semeja.

Ijtimak Para Editor Sastera dalam Program Diskusi Sastera dan Media: UPSI

Oleh Zahiruddin Zabidi
zahiruddin_zabidi@yahoo.com.my

Pada 6 Oktober 2010 yang lalu, Persatuan Penulis Budiman yang diketuai oleh Dr. Abdul Halim Ali sudah mengadakan satu program yang bertajuk 'Diskusi Sastera dan Media'. Antara panel yang dijemput adalah Puan Salbiah Ani selaku ketua pengarang bahagian sastera Berita Harian, Ku Seman Ku Hussai selaku penolong pengarang Utusan Malaysia, Puan Asma Fadila Habib dan pegurus penerbitan PTS Litera Sdn. Bhd dan Saudara S. M. Zakir selaku wakil Persatuan Penulis Nasional (PENA), beliau juga merupakan setiausaha agung PENA.

Ku Seman Ku Hussein tidak dapat menghadirkan diri dan diganti oleh Puan Rozninah Abd. Azib  selaku editor kanan bagi majalah Sastera dan Tunas Cipta terbitan Dewan Pustaka dan Bahasa (DBP).

Majlis bermula tepat jam 3.30 petang.

Kehadiran para peserta yang berperingkat akhirnya memenuhi segenap ruang Dewan Banquet, Bangunan E-Learning di Universiti Pendididkan Sultan Idris yang masih baharu dan masih dalam proses penambahbaikan. Ruangan tersebut akhirnya penuh dengan wakil-wakil media, samada para editor, wartawan, jurugambar, penulis, pensyarah dan pelajar selaku prospek utama pada hari itu.

Perbincangan lebih terarah kepada persoalan-persoalan mengenai peluang bagi karya seseorang itu mendapat tempat di media massa yang dikendalikan oleh editor-editor yang terlibat. Menjadi resam dunia penerbitan amnya, sebarang bahan yang mahu diterbitkan pada media cetak wajib melalui penapisan dan penilaian editor yang bertanggungjawab terlebih dahulu. Dalam erti kata lain, hanya karya yang berjaya memenangi hati editornya akan diterbitkan.

Justeru peluang ini memberikan peluang kepada para penulis muda khusus para pelajar bagi mendalami dan memahami kehendak para editor secara anatomi struktural dan pengisiannya. Dengan memahami apa yang dikehendaki oleh para editor, penulis muda akan berpeluang cerah mendapat perhatian lantas diberi peluang karya mereka diterbitkan jika benar-benar bermutu dan bagus.

Panel yang pertama disoal oleh pengerusi adalah S. M. Zakir yang ditanya mengenai peranan persatuan khususnya PENA dalam pembangunan penulis-penulis muda. Beliau berkata persatuan merupakan antara elemen penting dalam pembangunan penulis-penulis muda dengan adanya program-program yang dianjurkan. Namun persatuan tanpa dibantu oleh para penerbit juga akan memutarkan permasalahan yang tiada hujung pangkalnya. Maka kerjasama semua pihak adalah keutamaan. Selain daripada itu, persatuan juga adalah wadah bagi para penulis berpesatuan dan mengangkat isu-isu yang berkaitan dengan lebih berkesan.

Panel kedua, Puan Asma Fadila Habib selaku pengurus penerbitan PTS Litera Sdn. Bhd. Salah sebuah anak syarikat PTS Publication & Distributors Sdn. Bhd. pula menerangkan bahawa pihaknya sentiasa membuka ruang seluas-luasnya kepada para sasterawan mapan malah penulis-penulis baharu bagi menghantar karya kepada mereka. Namun seperti badan penerbitan lain, beliau menegaskan mereka juga punya stail yang tersendiri yang menjadi tonggak kepada buku-buku penerbitan mereka iaitu pertama, menggunakan Bahasa Melayu Tinggi (BMT) dan yang kedua mesti Syariah Compliant. Beliau juga berkongsi dengan para hadirin, antara rahsia penerima royalti tertinggi syarikatnya adalah faktor kerjasama yang amat baik antara penulis dan penerbit. Sehingga itu, sudah ada beberapa nama besar dalam arena sastera yang bernaung di bawah label PTS. Yang terbaharu adalah SN Dato’ (Dr) A. Samad Said sendiri.

Panel ketiga iaitu Puan Salbiah Ani pula banyak menyentuh berkenaan tahap pemilihan karya dan situasi kesuntukan ruang bahagian sastera dalam akhbar antara isu yang sentiasa diperjuangkannya di Berita Harian. Bayangkan beliau terpaksa berjuang dengan berusaha mencari pembeli iklan bagi menyelamatkan ruangan sastera daripada dua halaman menjadi satu halaman. Beliau juga mnejelaskan bahawa pemilihan karya yang disiarkan ada dua peringkat iaitu pada ruangan Sastera Berita Harian hari sabtu  biasanya dikhususkan untuk para penulis mapan dan Sanggar Kreatif pada hari ahad dikhususkan untuk pengkarya muda dan baharu menonjolkan bakat mereka. Ketika menjawab soalan daripada salah seorang pelajar yang bertanya mengapakah karya yang dihantar berkali-kali tidak diterbitkan, beliau menjawab, ada seorang penulis sudah menghantar lebih 200 buah karya juga tidak pernah diterbitkan walau sekalipun. Sehingga itu, beliau meminta para penulis terus berusaha.

Panel terakhir, Puan Rozninah Abd. Azib pula membuat kenyataan yang berlawanan dengan Puan Salbiah Ani. Beliau menyatakan bahawa Dewan Sastera dan Tunas Cipta khususnya yang dibangunkan khas bagi memberikan peluang kepada pembangunan penulis muda tidak mendapat sambutan bagi pengkarya menghantar karya mereka. Tuan Ruslan Rafar selaku editor Tuna Cipta kemudian diminta memberikan perkongsian. Beliau bangkit dan memberitahu kepada hadirin bahawa sebelum beliau menjadi editor di meja Tunas Cipta, lebih 30 sajak mahupun cerpen yang diterima setiap hari namun kini beliau hanya menerima 30 sajak mahupun cerpen dalam masa sebulan. Dengan itu beliau mempelawa para penulis muda agar rajin menghantar karya kepada mereka.

Kesimpulannya, masih ramai pengkarya muda di luar sana yang tidak memahami bentuk dan isian karya yang dikehendaki oleh editor bagi memungkin karya mereka disiarkan. Sehubungan itu membina hubungan yang baik dan sudi ditegur, sentiasa mencari dan bertanya kepada penulis yang sudah mapan, menyertai bengkel dan seminar adalah amat penting bagi seseorang pengarang khususnya yang masih baharu agar benar-benar memahami dunia sastera nasional. Selain itu sekelumit pernghargaan juga wajar dikreditkan kepada para editor yang menjadi orang yang bertanggungjawab di sebalik tabir bagi memastikan kerja-kerja sastera ini berjalan dengan lancar. Paling kurang dengan ucapan terima kasih.

Majlis diakhiri dengan acara jamuan dan ramah mesra para wakil media dengan pelajar-pelajar yang terlibat. Lewat jam 6 petang, majlis bersurai.

Mereka yang ingin menghantar karya kepada mereka boleh rujuk di sini:

PTS Litera Sdn Bhd    : litera@pts.com.my / novel, antalogi cerpen
Berita Harian               : sastera@nstp.com.my / Sajak, puisi, cerpen
Dewan Sastera            : rozninah@dbp.gov.my / Sajak, puisi, cerpen
Tunas Cipta                 : arruslan@dbp.gov.my / Sajak, puisi, cerpen
_____________________________________________________________________


Tulisan ini sudah disiarkan dalam ruangan Sastera Budaya, Harakah, pada 18-21 Oktober 2010 yang lalu. Sebarang cuplikan perlu dikreditkan juga kepada Harakah.

2 comments:

mohamad kholid said...

pasti ada gagasan baru bila orang-orang kuat bertemu bahu!

Zahiruddin Zabidi said...

Tuan Khalid, perjuangan kini lebih kepada mengembalikan persuratan dan sastera kepada falsafah dosa dan pahala... ;) Insya Allah, selepas kita faham dan menerimanya dengan dada yang terbuka.

Hidup dan penulisan kita akan menjadi lebih indah.