27 October 2010

Fihi Ma Fihi, Jalaluddin Ar-Rumi dan Saya

Oleh Zahiruddin Zabidi
zahiruddin_zabidi@yahoo.com.my



Saya berkenalan dengan naskah ini apabila menghadiri Seminar Pencinta Buku 2010 yang dianjurkan oleh pihak Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) pada beberapa bulan sudah.

Antara yang menarik perhatian saya adalah perbentangan daripada seorang pengarang mapan, sasterawan dan ahli akademik yang baharu sahaja meraih ijazah doktoratnya dari UKM dalam jurursan sastera bandingan, khabarnya kajian beliau mengenai Fenomena Sastera Islam di Tanah Air. Beliau adalah Dr. Haji Faisal Tehrani.

Dalam kertas kerja yang bertajuk Rumi, Syariati dan Saya, beliau membincangkan bagaimana karya-karya terjemahan mempengaruhi daya bacanya pada peringkat awal umur sehingga beliau menjadi seorang pembaca tegar lantas menghasilkan diri sebagai seorang pengarang kreatif yang mapan pada hari ini. 

Apa yang menarik di sini adalah, beliau secara terang menyebut antara karya terjemahan awal yang dibaca adalah buah tangan penyair agung kesufian dari Turki iaitu Jalaluddin Ar-Rumi yang bertajuk Fihi Ma Fihi

Saya kemudian cuba mendapatkan naskah yang dikatakan penuh dengan penyampaian secara halus dan berhikmah daripada Rumi. Buku tersebut saya dapatkan di Fajar Ilmu Baru di Wisma Yakin, Jalan Masjid India. Naskah tersebut adalah bahasa Indonesia yang diterjemahkan daripada bahasa Inggeris oleh A. J. Arberry.

Selepas membaca beberapa helai daripada naskah tersebut saya dapati ianya adalah rakaman kembali kisah-kisah menarik yang penuh hikmah dalam Rumi menceritakan Islam kepada masyarakat di sekeliling pada waktu itu. Ianya semacam antalogi cerpen atau travelog pada hari ini.

Saya segera ingat bahawa saya ada menulis beberapa cerita berunsur agama samada nasihat ataupun kritik sosial dalam bentuk cerita pendek. Mungkin ianya tidak sesuai dipanggil cerpen kerana saya menulisnya bukan dengan lenggok sastera namun cerita yang mementingnya isi lebih daripada gaya bahasa dan bentuk.

Saya sasarkan cerita itu mempunyai sebanyak 31 kisah, kesemua tajuk sudah ada. Cuma separuh daripada ceritanya sahaja yang belum lagi dikarang dan sekarang terhenti di kisah yang ke-18. Maknanya masih ada separuh lagi bagi sampai ke garisan penamat.

Besar juga harapan saya melihat naskah tersebut diterbitkan memandangkan konsep idea asalnya adalah daripada cerita-cerita ataupun analogi yang dipergunakan oleh ustaz-ustaz dan para pencermah dalam kuliah mereka. Dengan berasaskan cerita mereka itu saya kembangkan ceritanya sehingga lengkap menjadi satu kisah pendek yang memuatkan pengisian agama yang ringkas dan padat.

Naskah ini akan lunak kepada dua golongan samada golongan yang lebih selesa membaca tulisan non-kreatif mahupun tulisan kreatif. Dan apabila saya melihat bentuk penulisan Fihi Ma Fihi saya segera teringatkan naskah yang saya tulis. Bukan mahu menyamakan tulisan saya dengan tulisan Rumi namun saya berpendapat bahawa, apa yang pendakwah dahulu fikirkan juga difikirkan oleh pendakwah pada hari ini khususnya dalam lapangan kreatif. Ada keselarian di situ selagi niatnya bagi berdakwah dan berkongsi dengan ummah kerana Allah.

Insya Allah saya akan cuba sudahkan naskah itu dalam masa tersekat dan majukan kepada penerbit-penerbit yang sudi menerbitkannya. Setakat ini PTS Millenia Sdn. Bhd. melalui editor perolehannya yang baharu sudah menyatakan persetujuannya bagi tujuan itu.

Apapun semoga tulisan keempat saya ini dipermudahkan Allah ke arah mencapai sebanyak mungkin al-ilmun yuntafiubih.

No comments: