30 October 2010

Sastera Islam Lawan Barat

Oleh Zahiruddin Zabidi
zahiruddin_zabidi@yahoo.com.my


SUDAH hampir 52 tahun negara kita mengisytiharkan kemerdekaannya, dan sudah semakin banyak kemajuan material yang rakyat kecapi. Mahu tidak mahu, rakyat tidak boleh menafikan bahawa Malaysia sudah mengalami proses pembangunan yang agak progresif dewasa ini.

Namun begitu, dalam sesetengah hal Malaysia masih gagal dalam menerbitkan identiti negara bangsanya sendiri. Malah banyak lagi unsur-unsur yang dipengaruhi mantan penjajah negara pertiwi ini.

Mulakan sahaja daripada perlembagaan dan undang-undang yang dirangka dan dipersetujui bersama  oleh Suruhanjaya Reid hinggalah kepada beberapa polisi yang kecil-kecil. Malahan pula, daripada cetakan akta-akta dalam perlembagaan Malaysia sehinggalah kepada rang undang-undang makhamah semuanya masih dicetak menggunakan bahasa penjajah itu. Sastera tanah air juga tidak terlepas daripada menerima lampias penjajahan yang memakan masa hampir 446 tahun (1511-1957).

Kalau kita perhatikan corak penulisan sastera tanah air seawal era kesultanan Melayu Melaka. Penulisan karya sastera seperti Hikayat Hang Tuah, Merong Mahawangsa, Malim Daun Lebar, Hikayat Sri Rama dan banyak lagi. Tidak dinafikan bahawa ianya amat terpengaruh dengan laras bahasa dan ceritera Sanskrit yang berasal daripada agama Hindu. Setelah Islam mula menapak dan kukuh di Tanah Melayu, aliran penulisan sastera turut terpengaruh dengan segala ajaran dan doktrin Islam yang suci itu namun masih tersisa dengan pengaruh bahasa Sanskrit dan mitos Hindu.

Sementelahan pula al-Quran sendiri adalah rujukan orang Islam dalam segenap hal muncul sebagai wadah sastera yang menenggelamkan kehebatan dan keagungan kesusasteraan bangsa Arab pada zaman nabi Muhammad SAW. Al-Quran yang cukup sempurna dengan ciri-ciri perumpaan, puitis, estetika dan metaforanya yang indah dan berseni mula mempengaruhi para pujangga dan penyair Tanah Melayu. Maka lahirlah seorang demi seorang penyair Islam yang hebat dan juga ulama sufi, antaranya yang sangat terkenal di Nusantara ialah Syeikh Nuruddin Ar-Raniri yang merupakan lanjutan daripada kemunculan Jalaluddin Ar-Rumi di Turki.

Hal ini berlanjutan sehinggakan melahirkan penulis dan sasterawan di kalangan ulama yang benar-benar menjadikan al-Quran dan hadis sebagai bahan utama dalam penulisan di awal era 1900. Bukan sahaja dari segi isinya bahkan teknik penulisan mereka juga amat mendekati metodologi al-Quran itu sendiri. Siapa tidak kenal Syed Syeikh Al-Hadi, Syeikh Tahir Jaluddin, Haji Abdul Malik bin Haji Abdul Karim Amrullah (Hamka), Tuan Guru Haji Muhammad Yusuf (Tok Kenali) dan ramai lagi.

Tidak dapat dinafikan juga hasil daripada nukilan-nukilan pena para ulama ini samaada berbentuk cerpen, sajak, puisi, syair, pantun nasihat, seloka dan sebagainya adalah antara mekanisma awal dalam menyedarkan orang Melayu untuk bangkit menentang penjajah pada era itu. Ruh jihad dan kesedaran menentang penjajah dibakar lewat penulisan-penulisan oleh para ulama ini dengan terbitnya makalah, majalah dan akhbar cetak bertulisan jawi. Akidah dan ruh Islam juga kuat bertapak di kalangan orang Melayu pada ketika itu kerana mereka ini sentiasa menghidangkan masyarakat dengan karya-karya yang sarat dengan nasihat, perihal dosa dan pahala, syurga, neraka dan sebagainya.

Kesan yang amat ketara boleh dinilai pada jarangnya berlaku kes murtad di Tanah Melayu sebelum kemerdekaannya, walhal pada masa itu Filiphina yang dikuasai Sepanyol dan Indonesia yang dikuasai Belanda sedang hebat dilanda krisis murtad di kalangan umat Islam sendiri.

Sehingga di saat-saat akhir Tanah Melayu ingin mencapai kemerdekaan, sudah ramai anak-anak orang Melayu terutamanya anak para bangsawan aristokrat disekolahkan di sekolah-sekolah Inggeris dan seterusnya dihantar ke universiti-universiti Inggeris dalam dan luar negara. Jangan kita lupa bahawa Perdana Menteri Malaysia yang pertama hingga yang ketiga adalah lulusan undang-undang dari London, England. Tidak salah jika kita mengatakan ini adalah antara perancangan jangka masa panjang pihak penjajah, untuk melihat kita terus terjajah dan dijarah. Walaupun bukan dari sudut zahirnya, namun kita sudah buktikan bahawa minda dan cara berfikir kita masih banyak yang dijajah.

Begitu juga secara perlahan-lahan arena sastera tanah air mulai diracuni doktrin-doktrin dan falsafah barat. Rujukan-rujukan pembelajaran di universiti-universiti yang dikelola olah penjajah telah mendatangkan lambakan teks-teks sastera yang sangat banyak dari negara mereka. Anak-anak orang Melayu mulai mengenali Shakespeare dan lain-lain malah mengagungkan para sasterawan barat berbanding sasterawan Islam dan tempatan. Tengok sahaja karya-karya para karyawan era pra-kemerdekaan. Penuh dengan susunan dan aplikasi teorikal barat.

Dengan kata lain, jika seseorang pengkarya ingin berkarya. Dia akan memastikan karya mempunyai itu, itu dan itu sebagaimana yang dikehendaki oleh penyusun teori daripada barat itu. Salah satu cirinya ialah memperincikan setiap latar dan pergerakan dalam cerita yang diciptakan, dengan kaedah yang dipanggil realisme. Sehinggakan babak seksual dan gerakan erotis berbaur lucah yang melampau juga digambarkan dengan sedemikian detil sekali, ini adalah amat bertentangan dengan kaedah-kaedah dari al-Quran itu sendiri.

Sehingga hari ini, karya-karya sastera di Malaysia khususnya masih terikat dengan klausa teori dan doktrin teknik-teknik yang dicipta oleh profesor-profesor di barat sana dalam berkarya. Malahan karya-karya akan hanya dinilai hebat dan indah jika menepati apa yang telah ditentukan oleh teori-teori dan teknik yang dicipta di barat itu.
Soalnya, mengapa kita tidak balik dan merujuk kepada al-Quran? Kita mengakui diri kita sebagai seorang Islam namun dua wasiat yang ditinggalkan oleh Nabi Muhammad SAW semata-mata sebagai panduan kita telah diabaikan sama sekali. Sedar atau tidak al-Quran sendiri merupakan panduan penulisan sastera yang paling indah dan tepat.

Satu kertas kerja yang boleh dikira sebagai yang terbaik pernah dibentangkan pada Perhimpunan Penulis Muda Nasional (PPMN) 2009 di Puteri Resort, Ayer Keroh, Melaka pada 22 - 24 Mei 2009 yang lalu. Kertas kerja yang bertajuk ‘Kalamullah Sebagai Asas Penulisan Dakwah: Saranan Mencontohi Kebijaksaan Al-Quran ini telah disediakan oleh seorang penulis bebas yang mapan, penyair dan sekarang sebagai peneraju bengkel-bengkel sastera di sekitar Pantai Timur. Beliau ialah saudara Salman Sulaiman yang sangat sinonim dengan karya-karya berunsur Islam seawal beliau membabitkan diri dalam dunia penulisan lagi.

Secara terang Salman Sulaiman mendatangkan hujah dari al-Quran sendiri, mengapakah ianya patut menjadi rujukan utama dalam teori dan teknik penulisan. Apa yang ditekankan dalam teks al-Quran, apa yang perlu ada dan apa yang tidak patut diceritakan. Indikator al-Quran adalah lebih tepat bagi kita menyukat samada karya tersebut boleh dikategorikan sebagai karya Islami atau tidak.

Atau yang lebih tepat menurut seorang pakar linguistik yang berkongsi dengan saya melalui emelnya, sepatutnya hanya ada dua jenis sahaja kumpulan karya dalam Islam. Pertama karya hasanah, kedua karya non-hasanah. Berapa banyak karya-karya yang hebat dan agung apabila disukat menggunakan indikator al-Quran, samada ianya menyuruh yang makruf, melarang yang mungkar, mendorong kearah kebaikan dan sebagainya tidak dapat diklasifikasikan sebagai karya yang hasanah.

Kini PTS melalui pengerusi eksekutifnya, Puan Ainon Mohd telah mewarnakan dunia kesusasteraan tanah air dengan Teori Teknik Penulisan Surah Yusuf. Dengan menjadikan model surah Yusuf sebagai panduan untuk berkarya, kini para penulis PTS bukan sahaja mampu berkarya dengan lebih mudah, malah unsur-unsur dakwah dan Islam itu sendiri mampu diterapkan dengan begitu rencam sekali. Lihat sahaja nilai jualan dan sambutan terhadap novel-novel Islami keluaran PTS, ini menunjukkan pendekatan al-Quran dalam berkarya sememangnya amat berkesan untuk menghasilkan cerita yang sedap dan indah malah meninggalkan kelazatan yang berbekas di dalam sanubari mereka.

Dalam Surah Yusuf, ayat 3. Allah berfirman yang bermaksud:

“Kami ceritakan kepadamu (Wahai Muhammad) seindah-indah kisah dengan jalan Kami wahyukan kepadamu Al-Quran ini, padahal sebenarnya engkau sebelum datangnya wahyu itu, adalah dari orang-orang yang tidak pernah menyedari akan halnya.”

Ibnu Kathir mensyarahkan ayat ini dalam Tafsir al-Quran al-‘Azim atau lebih dikenali sebagai Tafsir Ibnu Kathir dengan mengatakan, “Ketika mereka (para sahabat Rasulullah) menginginkan hadis, maka Allah memberikan mereka sebaik-baik hadis. Dan ketika mereka menginginkan cerita, maka Allah menunjukkan kepada mereka tentang sebaik-baik cerita.

Arena sastera tanah air juga terus diwarnai dengan kemunculan penulis-penulis lulusan timur tengah mahupun dalam negara yang memegang status ustaz mahupun ustazah. Walaupun kita agak lewat bangkit berbanding Indonesia, namun perlu diakui kelompok ini lebih menyerlah selepas fenomena Ayat-Ayat Cinta karangan Habiburrahman El-Shirazy. Apapun, lihat sahaja kesan yang amat positif kepada pembaca dan pasaran novel berunsur dakwah ini kepada para penulis dan penerbitnya.

Karya-karya bernafas Islam ini menerapkan unsur-unsur nasihat daripada al-Quran dan hadis serta menceritakan tentang hukum-hakam dalam Islam. Malah menjadikan mereka mesra dengan istilah-istilah agama yang kebanyakannya dalam bahasa arab. Apakah tidak dianggap baik sesebuah karya, selepas pembacanya habis menggulitinya, dari seorang gadis yang tidak mengenakan hijab lantas mewajibkan tudung ke atas dirinya sendiri. Dari yang tidak sembahyang, kini sudah mulai tidak tinggalkan sembahyang malah sentiasa berjemaah pula di surau atau masjid. Bukankah ini yang kita, para penulis dan karyawan mahukan? Karya kita dibaca lantas diamalkan, bukankah indah sekali perkara itu.

Mungkin kelompok sastera lama ataupun orang lama kurang senang malah meremehkan karya-karya para ustaz ini dengan mengatakan bahawa karya mereka hanya bersifat pop cinta yang diislamkan. Ini adalah satu sikap yang tidak wajar ada pada kalangan orang lama, pada kita sepatutnya mereka lebih berasa bersyukur dengan kemunculan para pengkarya-pengkarya yang lebih hidup suasana Islamnya, lebih halus naratif dakwahnya, lebih kuat latar dan perwatakan Islamnya dan lebih faqih dan alim dalam menjadikan disiplin ilmu-ilmu agama seperti hadis, al-Quran, feqah, sirah dan sebagainya. Ini sekaligus menampung kelompongan unsur agama dengan lebih syumul dan relevan berbanding karya-karya terdahulu.

Sewajarnya, karya-karya para ustaz dan ustazah ini harus dihargai dan diberi peluang untuk terus agam sebagai salah satu mekanisme dakwah yang sudah terbukti keberkesanannya. Gejala memperlekeh dan bersikap sinis mungkin sahaja boleh terjadi kerana ada rasa kurang senang dengan kejayaan serta sambutan karya-karya bernafas Islam ini. Ayuh kita bahu-membahu dan pastikan industri penulisan bahasa Melayu menjadi salah satu medan yang lebih tuntas dalam membawakan dakwah, ideologi, kritikan dan lain-lain dengan indah kepada rakyat. Seperti kata-kata yang dipetik dari blog Tuan Haji Faisal Tehrani, “Saya menulis bukan untuk hari ini, saya menulis untuk khalayak masa depan.” 
_______________________________________________________________________


Nota: Edisi yang disunting tulisan ini sudah diterbitkan dalam Mingguan Malaysia pada hari Ahad bertarikh 5 Disember 2010. Sebarang cuplikan mesti dikreditkan kepada akhbar terbabit.

5 comments:

Anonymous said...

Salam.

Tiada apa yang 'salah' apabila menulis kisah cinta islami. Tidak salah sama sekali.

Yang menjadi salah, jika semua penulis mengambil jalan mudah dengan menulis kisah cinta dengan tempelan islaminya itu. Cintanya datang dulu, baru islamnya diselit di sana sini. Itu yang tidak betul.

Seharusnya, definisi islamnya ditentukan terlebih dahulu, barulah ceritanya digarap. Berbeza bukan? Sebab penulis perlu tahu apa-apakah inti islam yang hendak diberikan kepada khalayak, jauh lebih penting daripada ceritanya.

Andainya cerita mendahului matlamat inti islamnya, maka khalayak akan mengingati ceritanya, bukan islaminya itu.

Satu lagi, jika hanya kisah cinta islami yang ingin disampaikan, bagaimana dengan pelbagai isu lain yang bersangkutan dengan islam? Apakah tidak terasa oleh penulis, terutama yang mempunyai latar pendidikan Islam yang tinggi, untuk menulis isu-isu selain daripada kisah cinta islami?

Isu murtad, gejala rasuah, gejala zina dan buang bayi, soal Islam aktual dan Islam praktikal, yang masih di tahap rendah di kalangan masyarakat kita - apakah tidak difikirkan untuk dituliskan dan dicari penyelesaiannya oleh penulis?

Akhirnya, bukankah penulis harus bergerak untuk meningkatkan corak penulisannya, agar dapat pula khalayak sama bergerak kepada perkara yang lebih serius dan berat?

Bagaimana, ke arah mana matlamat sdr dalam dunia penulisan ini, khususnya dalam sastera islami ini?

Wassalam.

Zahiruddin Zabidi said...

Wassalam warahmatullah, didoakan kepada Tuan Pembaca Buku (serasa saya dapat mengagak siapakah tuan....) sentiasa dilembanyungi kasih dan sayang Allah taala.

Alhamdulillah, pertamanya saya amat bersetuju dengan hujah tuan. Islam yang harus didahulukan melebihi segala-galanya khususnya dalam berkarya apatah lagi isu Akidah dan Tauhid itu sendiri selain ilmu dan hikmah serta makna bersamanya.

Cumanya apabila saya berada di kerusi editor yang juga akan bertindak sebagai pelatih secara tidak langsung kepada pengkarya-pengkarya muda dan baharu bagi karya mereka diterbitkan selain memastikan polisi syarikat dipatuhi, sememangnya menjadi masalah kepada mereka ini membincangkan isu-isu agama yang khusus melainkan mereka sendiri adalah lulusan agama seperti segelintir penulis pada hari ini.

Mereka ini betah menulis, dan jika begitu sekali sastera Islam itu dieksklusifkan maka saya kira mereka tidak akan punya peluang menulis sebuah karya yang beraroma Islam sekalipun. Makanya, anatara isu Islam yang rapat dan mesra dengan mereka ini dan masyarakat kebanyakan khususnya adalah juga masalah cinta, perkahwinan, hubungan kasih sayang dan lain-lain.

Dan lebih teruk dan tragis jika mereka ini mengambil jalan mudah menulis novel picisan yang langsung tidak menghiraukan konsep akidah, tauhid malah mempromosikan cinta nafsu dan syahwat semata-mata.

Dalam keadaan ini, pada pendapat saya adalah lebih baik mereka menulis naskhah cinta (sebagai tema utama) namun masih dalam batasan Islam itu sendiri. Tiada babak mungkar, penuh dengan usaha mempromosi sebuah kisah yang bertunjangkan al-Quran dan hadis. Sedaya mereka mampu tanpa perlu menelanjangkan agama Islam dan ajarannya dalam karya mereka itu.

Bagi penulis baharu termasuk diri saya, saya yakin kami tidak mampu bagi terus menukang sebuah karya yang sehebat buah tangan Dr. Haji Faisal Tehrani, Ustaz Zaid Akhtar, Ustaz Azman al-Kurauwi dan ramai lagi sasterawan-agamawan di luar sana. Namun setiap yang berlalu itu ada galang gantinya insya Allah.

Saya sendiri tidak mampu menulis sebuah kisah yang benar-benar 'cinta' semata-mata, sehingga kini walaupun sudah dicuba ke dalam cerpen juga tidak menjadi. Alhamdulillah, mungkin ini kerana pengaruh pembacaan selama ini dan kurangnya saya membaca naskhah cinta picisan semata-mata.

Matlamat kita sama, insya Allah, cuma sudut pandang yang beza. Tuan mungkin melihat daripada sudut seorang pembaca, pengarang, pemikir dan ahli sarjana namun saya melihat ruang itu sebagai seorang pembaca, penulis dan editor yang ingin membangunkan sebanyak mungkin naskhah-naskhah pahala dan bukannya naskhah dosa.

Dengan harapan, selepas pembaca membaca novel-novel pop Islami ini seterusnya mereka akan mendaki ke takah yang dahagakan karya-karya yang sarat dengan ilmu, falsafah, hikmah dan makna dan saya kira, mereka yang tidak akrab dengan bahan bacaan yang ringan tadi tidak akan mampu menghadam bahan bacaan yang tentu berat pengisiannya itu.

Saya cadangkan juga tuan membaca naskhah terbaharu Habiburrahman El-Shirazy yakni Bumi Cinta dan saya yakin tuan akan tercari-cari di mana 'cinta' dalam naskhah tersebut kerana ianya sudah dikaburkan dengan tema-tema yang lebih berat seperti yang tuan sarankan di atas. Saya boleh bersetuju jika ada pihak menyatakan naskhah Ayat-Ayat Cinta adalah novel pop Islami kerana nyata kriterianya begitu.

Apapun, saya amat berterima kasih atas respon, saranan dan nasihat yang diberikan oleh tuan. Saya anggap ianya adalah pengajaran daripada seorang guru kepada anak muridnya. Insya Allah saya akan terus meningkat mutu penulisan dan meluaskan ruang lingkup pembacaan agar tulisan-tulisan yang akan dihasilkan kelak punyai bentuk, makna dan hikmahnya yang tersendiri, insya Allah.

Dan bagi menjawab soalan yang terakhir itu, biarlah naskhah-naskhah tulisan saya yang insya Allah akan saya tukang dan terbitkan menjawabnya.

Al-faqir ila Allah.

Zahiruddin Zabidi

Abu Huzaifah said...

Assalamualaikum.Didoakan saudara berada dalam limpahan rahmatNya.Alhamdulillah setelah melihat buku novel sejarah'Rabiatul Adawiyah' perindu cinta abadi' di blog saudara,saya terus ke kedai buku pada esoknya dan membeli kitab tersebut.Selama 3 hari saya cuba menghabiskan bacaan dan menghayati isi cerita.Tahniah kepada saudara!; selama ini saya hanya 'berminat'dengan kisah RA ttp tidak pernah membaca kisahnya secara detil.Hari melalui buah tangan @novel anda..kisah RA membekas di hati hamba.(http://bicara-hamba.blogspot.com)

Abu Huzaifah said...

Saya telah membeli novel RA; perindu Cinta Abadi.Tahniah kisah RA telah membekas dihati saya setelah menghadamnya selama tiga hari.Barakallah fik.(http://bicara-hamba.blogspot.com)

Zahiruddin Zabidi said...

Jazakumullahu khairan jaza', Ustaz Abu Huzaifah. Semoga ianya bermanfaat kepada ummah.

Syukran.