Oleh: Zahiruddin Zabidi
zahiruddin_zabidi@yahoo.com.my
Sehingga saat saya habis menulis novel kedua, saya masih tidak tahu secara tuntas apakah hukum-hukum dan sejarah serta falsafah sebuah karya sastera atau lebih tepat proses pembikinannya.
Sehingga pada 30 September 2010 yang lalu, saya dan lima orang rakan editor mendapat peluang mendalami ilmu penulisan yang dianjurkan oleh ASWARA. Kelas yang berlangsung selama 13 minggu pada setiap hari Sabtu, jam 10.00 - 1.00 tengahari itu dikendalikan sepenuhnya oleh Dr. Haji Faisal Tehrani.
Sebagai mukadimahnya, kami diperingatkan kembali dengan hukum-hukum dan ciri-ciri asas sesebuah karya sastera dan sejarah asal usulnya. Sehingga itulah baharulah kami difahamkan apakah itu plot, latar, watak, perwatakan, logik dan beberapa hukum penting dalam perkaryaan.
Dan ternyata selepas memahami hukum-hukum ini, proses penulisan saya sekarang menjadi lebih teratur, maksudnya saya menulis dengan mengetahui hukum yang menjadi asas sesebuah karya sastera.
Meskipun ada beberapa perkara yang saya tidak setuju dengan sengaja namun ilmu berkenaan amatlah penting bagi seseorang yang ingin pergi jauh dalam dunia sastera.
Saya sempat bertanya kepada beliau, "Bagaimana jika saya tidak mahu mematuhi hukum-hukum ini?"
Jawabnya, "Boleh, akan tetapi syaratnya adalah kita mesti tahu hukumnya terlebih dahulu."
Secara jujurnya saya masih berpegang kepada mazhab rasmi PTS yakni Teori Teknik Surah Yusuf yang saya lihat banyak kelebihannya kepada penulis baru yang tidak mempunyai asas pengetahuan sastera.
Namun kepelbagaian ini tanpa saya nafikan, mampu memberikan ritma penulisan yang pelbagai kepada saya dalam proses penulisan di hari mendatang.
Saya yakin jika seseorang penulis itu mampu faham akan aplikasi teori-teori sastera yang sedang bertebaran dalam jagat sastera saat ini, dia mampu menerbitkan laras faham penulisannya yang tersendiri kelak. Bayangkan gabungan Teori Takmilah, Gagasan Persuaratan Baru, Teori Teknik Surah Yusuf dan beberapa teori yang dilabel Islam ini disatukan dalam sebuah karya.
Kita lihat sahaja hasilnya kepada dakwah dan umat mendatang.
Nota: Hukum di sini bermaksud syarat-syarat yang perlu ada dala sebuah karya berdasarkan ciri yang disebut oleh Aristotle dalam karyanya dikenali sebagai Puitika Aristotle.
No comments:
Post a Comment