29 November 2010

Sajak Hari Lahir

Hari ini genaplah 25 tahun
sahaya ini berkelana 
dalam fana dunia
fatamorgana
palsu.

Masih jauh
namun jua terlalu dekat
pelayaran ini masih rahsia
akan natijahnya
syurga
atau neraka.

Hanya Allah punya rahsia
dan kita ada kerja
taklif khalifah
dakwah
amal
bertaubat!
bertaubatlah!
bertaubatlah senantiasa!

Zahiruddin Zabidi
29 November 2010

25 November 2010

Jadikan Perpustakaan Sebagai Pusat Lepak Cuti Sekolah Anak-Anak

Oleh Zahiruddin Zabidi

CUTI akhir tahun persekolahan sudah bermula, namun ibu bapa masih tetap bekerja. Dalam situasi ini kebanyakan ibu bapa berhadapan dengan konflik bagaimana mahu mengisi masa luang anak-anak dengan aktiviti yang paling berfaedah dan bermanfaat.

Kebanyakan ibu bapa mengambil peluang ini bagi menghantar anak mereka ke bengkel-bengkel, kem atau seminar motivasi dan berkaitan dengan kesedaran Islam, alhamdulillah ianya adalah tindakan yang bagus. Namun ramai juga yang membiarkan anak-anak mereka menghabiskan masa yang luang tersebut mengikut kehendak mereka sahaja.

Justeru, tidak pelik jika pasaraya dan pusat-pusat hiburan di masa cuti sekolah dipenuhi dengan anak-anak muda yang masih merupakan palajar sekolah sebenarnya, jika tidak dibenarkan keluar rumah maka masa yang terluang akan dihabiskan oleh anak-anak dengan bermain permainan video, internet, menonton DVD dan sebagainya.

Sedang anak-anak, khususnya yang berumur 13 tahun ke bawah sepatutnya dibantu dan dipantau oleh kedua ibu bapa mereka agar masa cuti mereka terisi dengan perkara-perkara yang berfaedah. Antara cadangan saya, membawa anak-anak bertumas di perpustakaan adalah satu tindakan yang bijak. Ibu bapa yang masuk bekerja pada pukul lapan pagi membawa anak mereka bagi dihantarkan ke perpustakaan setiap hari dan boleh mengambil mereka pada waktu petang.

Di sini juga pihak perpustakaan perlu peka dan kreatif dalam menarik minat golongan muda ini kepada perpustakaan. Apa salahnya dalam setiap waktu cuti sekolah diadakan program-program khusus yang melibatkan buku dan ilmu dalam perpustakaan dan sebagainya. Sediakan hadiah yang menarik dan mungkin juga boleh dianjurkan bengkel-bengkel penulisan, syarahan, berpantun, bersajak, berpuisi, pertandingan mewarna, melukis dan lain-lain lagi.

Kerapkan juga sesi berjumpa dengan penulis-penulis kegemaran mereka. Adakah juga syarahan umum atau kelas umum dengan sasterawan negara mahupun para penulis tersohor tanah air. Bekerjasama dengan pihak masjid tempatan bagi mewara-warakan aktiviti di perpustakaan adalah satu kaedah promosi yang yang berkesan dan murah kosnya. Mungkin usaha ini akan menarik minta golongan muda remaja agar menjadikan perpustakaan sebagai tempat 'lepak' mereka.

Usaha ke arah menjadikan perpustakaan 'cool' kepada anak-anak adalah satu usaha yang perlu digembleng bersama. Insya-Allah dengan adanya pelbagai aktiviti di perpustakaan maka ianya mampu menarik minat golongan remaja agar rajin ke perpustakaan dan menjadikan perpustakaan tempat lepak dan santai mereka bersama kawan-kawan.

24 November 2010

Temuduga Pengesahan Jawatan

Oleh Zahiruddin Zabidi
zahiruddin_zabidi@yahoo.com.my


1.
Alhamdulillah, tanpa sedar saya sudah bersama keluarga besar PTS selama lebih enam bulan. Dan menjadi tradisi PTS karyawan yang sudah bekerja lebih enam bulan akan ditemuduga bagi disahkan jawatan. Selain daripada melibatkan perubahan status jawatan, ianya juga melibatkan anjakan gaji, komisen dan bonus karyawan terbabit.

Temuduga ini amat ditunggu-tunggu oleh para karyawan baru dan semestinya saya sendiri agak teruja dengan acara ini. Setiap karyawan yang ditemuduga, biasanya oleh eksekutif-eksekutif kanan seperti pengurus jabatan jualan, pengurus jabatan pemasaran, pengurus besar jabatan editorial dan karyawan terbabit akan diminta menulis sebuah esei berkenaan dengan apa yang mereka kerjakan sepanjang enam bulan perkhimata di unit masing-masing.

Semoga temuduga tersebut saya harungi dengan jayanya dan semoga pihak pentadbiran sudi mempertimbangkan perancangan masa depan yang saya rangcangkan bagi bersama PTS. Mungkin ianya akan mengundang rasa terkejut beberapa pihak. Ada 'turning point' yang akan saya lakukan, insya-Allah.

2.
Alhamdulillah, sasaran penerbitan empat buah karya tahun ini dicapai malah terlebih pula tanpa sedar. Insya-Allah sebuah novel akan mula ditukang bagi memenuhi tuntutan kursus penulisan novel remaja di ASWARA dan saya jangkakan ianya siap awal tahun hadapan yakni paling lewat pada bulan januari.

Antara karya yang sudah dan bakal diterbitkan pada tahun ini adalah:

1. Rabiatul Adawiyah: Perindu Cinta Abadi, PTS Litera Sdn. Bhd.
2. Aminah: Cinta Puteri Quraisy, PTS Litera Sdn. Bhd.
3. Naurah Salsabila (tajuk belum final), PTS Litera Sdn. Bhd. - dalam proses editing, insya-Allah akan berada dalam pasaran akhir bulan disember.
4. Kembara Lima Putera, PTS One Sdn. Bhd. - dalam proses akhir, tulisan bersama empat orang pengarang mapan.
5. Kisah-Kisah Hikmah dari Kuliah Maghrib - dalam proses semakan dengan pihak Galeri Ilmu Sdn. Bhd.
6. Surat Untuk Carolynn Josephine - dalam proses semakan pihak Rijal Media Sdn. Bhd.

16 November 2010

Catatan Kegembiraan

Oleh Zahiruddin Zabidi
zahiruddin_zabidi@yahoo.com.my

Kegembiraan 1

SAAT menulis entri ini saya berada di kampung halaman nan damai jauh daripada hiruk-pikuk kota raya. Kelantan Darul Naim merangkap juara Piala Malaysia yang baru dinobatkan. Cuti seminggu genap diambil, namun kelengkapan menulis dan membaca tetap dipunggah ke mana-mana sahaja. Kalau seorang pendekar itu teman karib dan juga senjatanya adalah keris Tamingsari maka sebagai seorang penulis, komputer riba, buku dan buku catatan adalah juga senjata mereka.
.
Akhirnya selepas beberapa kali berusaha bagi pulang ke kampung saya sampai jua. Kali terakhir saya balik adalah sewaktu menghantar anakda puteri dan ibunya mengurut dan berpantang di kampung. Bermaksud ianya adalah tujuh bulan yang lepas kerana pada hari raya puasa yang sudah juga saya tidak berpeluang pulang ke kampung Pasir Pekan, Kota Bharu. 

Kampung yang sama dengan Dr. Fatimah Busu, seorang sasterawan, cendekiawan yang sekarang menetap di Pulau Pinang selepas menyumbangkan bakti kepada Universiti Sains Malaysia (USM) sebagai pensyarah sastera.

Rindu. Semestinya... Kepulangan kali ini agak beda kerana saya tidak melalui jalan biasa yakni Lebuhraya Karak - Gua Musang kerana singgah terlebih dahulu bermalam di rumah makcik saya di Dungun, Terengganu.   Saya menggunakan Lebuhraya Pantai Timur, namun sedikit terkilan kerana tidak berkesempatan singgah di Kemaman rumah seorang lagi makcik saya yang menetap di sana kerana hari sudah larut malam dan jalan masuk ke rumahnya tidak dapat saya cerap dengan baik. Dikhuatiri sesat, saya mengambil keputusan menangguhkan ziarah ke rumahnya.

Semoga kepulangan kali ini membawakan seribu kebaikan daripada Allah dan daripada orang-orang yang saya kasihi.

Kegembiraan 2

Minggu sudah, tanpa disangka dua editor dari dua buah syarikat yang berbeza menghubungi saya dan menyatakan persetujuan bagi menerbitkan naskhah-naskhah yang pernah saya panjangkan kepada mereka dahulu sebelum saya bekerja sebagai editor di PTS. Ini bermaksud naskhah-naskhah tersebut sudah saya hantar sebelum bulan lima dahulu.

Mereka meminta dibuat sedikit penambahan dan saya bersetuju. Ini adalah kerana mereka mengejar judul yang banyak bagi disasarkan dalam Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL2011) pada bulan april tahun hadapan. Saya titipkan komitmen kepada mereka, insya-Allah.

Kegembiraan 3

Kelas teori sastera bersama dengan Dr. Haji Faisal Tehrani di ASWARA sudah sampai ke kemuncaknya. Secara kasarnya kami semua sudah didedahkan dengan jenis-jenis dan cara menulis menggunakan teknik dan teori barat serta Islam.

Pada hari Sabtu yang lalu, sesi perbentangan pemetaan karya diadakan. Masing-masing daripada kami mesti membentangkan rancangan penulisan dari mula hingga akhir bagi tujuan penilaian dari sudut jalan cerita, tema, logik dan sebagainya. Penelitian dibuat oleh pensyarah hanyalah dari sudut makro.

Alhamdulillah, dalam capahan idea yang banyak dan tidak tersusun saya mendapat satu ilham hasil daripada bacaan-bacaan mutakhir ini. Idea yang dicambah sudah disusun atur dengan baik dan hanya menunggu masa bagi ditukang sahaja. 

Selepas membentangkannya kepada sidang kelas. Beliau memberikan persetujuan bagi diteruskan dengan beberapa pengubahsuaian, alhamdulillah, saya gembira sangat kerana berpeluang mendapat didikan langsung daripada beliau yang semestinya tidak asing lagi dalam jagat kesusasteraan tanah air.

Dengan apa yang saya dapatkan daripada beliau dan puan guru saya, Puan Ainon Mohd, insya-Allah akan ada beberapa perkara yang saya sendiri dapat cernakan sebagai buah fikir dan buah tangan yang baru serta bernas sesuai dengan keperluan sastera Melayu Islam kepada masyarakat pada hari ini.

Jangkaan muka surat adalah 250-300 dan siap pada awal tahun hadapan. Tajuknya mungkin Riwayat Seorang Sasterawan

-Allahumma yassir wa la tuassir ya karim.

13 November 2010

Puisi di Ruangan Sanggar Kreatif Berita Minggu

SUSURLAH HARI

Saat dibuai rasa kelam
Datang dengan bayangan silam
Kini ku rasa banyaknya ragam
Manusia alpa petunjuk kalam

Ya Allah ya Rabbi engkaulah tuhan
Hanya padamu layak layanan
BagiNya segala daya kekuatan
Padamu tuan ku panjat harapan

Kitaran alam penuhi noda
Terpalit penuh nista dosa
Iman sejati penyelamat jiwa
Bahagia dunia akhirat jua

Kalam penyuluh jalan kehidupan
Taqwa pelindung segala godaan
Tauhid saksi Allahlah tuhan
Redha sumber kekuatan iman

Rasulullah, engkaulah pujaan
Menjadi dorongan sepanjang zaman
Kecintaan padamu adalah ketentuan
Syafaatmu kelak jadi harapan

Ku cuba selami sunnah kehidupan
Ku hurai satu dalam ribuan
Padamu Allah hambamu simpan
Segala permintaan malah pertolongan

ZAHIRUDDIN ZABIDI
Wangsa Maju, KL.

Berita Minggu, 7 November 2010.
_______________________________________________________________________

Ralat: Ada kesilapan ejaan pada tajuk yang tersiar. Tajuk asal puisi ini adalah 'Kalam Insani', kemudian ditukar kepada 'Susurlah Hari'. Harap maklum.

12 November 2010

Subjek TITAS Tidak Diajar di Semua IPT?

Oleh Zahiruddin Zabidi
zahiruddin_zabidi@yahoo.com.my

SUBJEK Tamadun Islam dan Tamadun Asia (TITAS) adalah subjek teras yang wajib diambil oleh semua pelajar IPTA dalam negara. Malah ianya juga diwajibkan kepada pelajar bukan Islam. Tidak dapat dinafikan subjek ini memainkan peranan yang amat penting dalam memahamkan kepada seluruh rakyat Malaysia khususnya para graduan IPT mengenai hakikat Islam yang sebenar.

Amat mengejutkan apabila didapati ada beberapa institusi yang bersifat 'akademi' sebenarnya tidak menjadikan mata pelajaran tersebut sebagai subjek teras sebaliknya pelajar hanya diwajibkan mengambil subjek teras yang tidak ada kaitan langsung dengan kursus yang mereka ambil. Sebagai contoh pelajar fakulti penulisan terpaksa mengambil subjek teras berkaitan dengan Tarian Makyong atau Randai.

Memang diakui akademi tersebut tidak tertakluk di bawah jagaan dan kelolaan Kementerian Pengajian Tinggi dan punyai silibus pengajiannya tersendiri. Namun perlu diingatkan betapa besar kesannya kepada pelajar-pelajar jika mereka langsung tidak dihidangkan dengan pengajian dan pemahaman mengenai agama Islam, sementelahan pula akademi tersebut hanya menganjurkan kursus-kursus bersifat kesenian budaya yang karib dengan hiburan dan hedonisme semata-mata.

Kekeliruan ini harus diatasi dan diselaraskan dengan seberapa segera. Janganlah menafikan hak agama Islam bagi disebarkan dan difahamkan kepada anak bangsa yang sudah semakin tenat gejala sosialnya. Siapa sangka, di sana ada sinar buat mereka yang menginginkan perubahan dan kembali kepada Islam yang sebenar.

Justeru pihak berwajib, bermula daripada kementerian dan pengurusan tertinggi akademi yang bertanggungjawab perlu memikirkan hal ini kerana ianya juga melibatkan ilmu yang wajib dipelajari yakni fardu ain dan ianya akan dihitung di akhirat kelak oleh Allah taala.

Selain daripada subjek TITAS, subjek seperti Sejarah Malaysia dan Kesusasteraan Melayu juga wajar dipertimbangkan sebagai subjek wajib kepada semua IPTA dan IPTS di Malaysia. Sudah sampai masanya kita bertegas dalam hal ini. Jangan sampai anak bangsa kita terbogel daripada pakaian agama dan budaya mereka sendiri.
_______________________________________________________________________

Nota: Tulisan ini sudah dihantarkan ke bahagian surat pembaca beberapa media cetak dan eletronik bagi disiarkan.

10 November 2010

Seputar Majlis Perpisahan

Oleh Zahiruddin Zabidi
zahiruddin_zabidi@yahoo.com.my

PADA 6 November 2010 lalu, pihak pengurusan Masjid Usamah bin Zaid berbesar hati mengadakan sebuah majlis perpisahan saya di samping meraikan pengganti saya di masjid tersebut. Majlis tersebut turut dihadiri Timbalan Pengerusi Masjid Usamah Bin Zaid, Ustaz Ahmad Fishal bin Mohamed. 

Terima kasih kepada semua rakan seperjuangan, khususnya kekanda saya Ustaz Murshidi, Ustaz Khuzairi, Ustaz Mohamad, Ustaz Nashol, Ustaz Reimi, Ustaz Termizi, Abang Nor, Abang Yusuf dan isteri-isteri kalian semua yang terlibat dengan saya dan tidak lekang daripada fiil saya sepanjang dua tahun berkhidmat di sana.

Sungguh, banyak kenangan manis yang tercatat di sini sana sepanjang tempoh tersebut. Pada setiap ruang masjid itu bagaikan tertulis segala suka duka saya bersama mereka semua. Saya menamatkan zaman bujang juga sewaktu bertugas di sana. 

Karya saya sama ada novel, cerpen mahupun sajak juga kebanyakannya ditulis di sana. Ruang tatkala menunggu waktu sembahyang masuk. Ruang di antara Maghrib dan Isyak itulah yang digunakan bagi menukang karya-karya yang saya ada pada hari ini. Malah kebanyakan masa tersebut juga digunakan bagi membaca.

Masakan saya tidak hiba mengenangkan saya bukan lagi salah seorang penkhidmat di sana, doakanlah sahabat semoga saya tetap menjadi ar-rijal qalbuhu muallakun fil masajid dan bukan sebaliknya.

Di masjid saya mula bertatih berceramah dan dalam masa yang sama menyambung pengajian Usuluddin di Universiti Malaya. Peluang yang diberikan oleh merekalah yang membina keyakinan diri samada sebagai penceramah mahupun penulis pada hari ini.

Akhir kata, sekali terjalin ukhwah selamanya kita adalah ikhwan.




Nota: Bagi melihat gambar-gambar serta laporan majlis tersebut bolehlah layari blog rasmi masjid di sini http://masjidusamahbinzaid.blogspot.com/

08 November 2010

Puisi Untuk Isteri

Oleh Zahiruddin Zabidi
zahiruddin_zabidi@yahoo.com.my


BERSEMPENA dengan hari ulang tahun kelahiran isteri saya Umi Mawar Abdul Razak, beliau saya hadiahkan sebuah puisi, tapi saya malu bagi mendeklamasikan puisi tersebut di hadapannya....

Hanya untuk Mawarku

Pada setiap helaan bayu
Tersisip indah aroma namamu
Pada setiap keindahan duka
Tehampar bisikan syahdu mendayu

Takdir Tuhan daku milikimu
Kerana Dia esa yang kuasa
Reda harap ku junjung
Doa sebagai garapan pacal mengharap
Agar nanti…
Bukan hanya fana dunia bahkan
Baqa kekal juga 
Tersimpan kita bahagia.

Daku bukan yang termolek
Terjurus, terromantis dan terpuitis
Cuma mampu melakar nikmat adat
Dengan tinta ini
Supaya tersisip kemas di pelusuk terdalam sanubarimu
Akan semburan kasih sayang
Yang ku simpan dan tatangi sentiasa
Sampai berkekalan, selama… adanya,
Harum kasihmu padaku,
Suci cintaku kepadamu.

Selamat ulang tahun, Mawarku….

ZAHIRUDDIN ZABIDI
12:59pm - 7 Ogos 2010
Wangsa Maju, KL.

Nota: Bukan niat saya menyaingi kehebatan Datin Seri Rosmah Mansor yang menyanyikan lagu Tomorrow Never Come's untuk suami beliau.

05 November 2010

Saya dan Siasah Kepartian: Satu Pandangan

Oleh Zahiruddin Zabidi

PERNAH beberapa kali persoalan ini saya bincangkan dengan sahabat-sahabat. Ya, selain daripada isu kawan-kawan yang masih belum berkahwin, isu bisnes buku, penerbitan, sastera, pengajian, isu agama, semestinya isu yang juga sentiasa meniti di belahan bibir saya adalah politik/ siasah kepartian dalam negara kita.

Sehingga saat tulisan ini dibukilkan saya masih lagi bukan ahli kepada mana-mana parti berdaftar baik UMNO mahupun PAS. Jika ada yang bertanya, saya hanya akan menjawab, “Belum tiba masanya.” Ah, saya punya agenda tersendiri.

Namun salah jika labelkan saya sebagai seorang yang anti-siasah kerana genap sahaja umur layak mengundi saya dengan girangnya terus mendaftarkan nama di pejabat Pos bagi menjadi salah seorang rakyat Malaysia yang layak mengundi.

Ada satu persoalan yang menarik dan mungkin ianya sudah dibincangkan oleh siasawan mahupun cendekiawan dari dalam dan luar negara. Malah mungkin sahaja ianya sudah dibincangkan oleh para pemikir Islam dan bukan Islam sekalipun.

Apakah yang perlu dilakukan bagi melakukan tajdid ataupun transformasi dalam siasah? 

Apa yang perlu diperhatikan di sini adalah, apakah faktor yang menyebabkan Islam naik dan apakah pula yang menyebabkan Islam tersungkur akhirnya. Dalam tidak sedar kebanyakan sarjana Islam sekalipun masih kecanduan dengan kegemilangan Islam yang sudah tinggal sejarah dan hanya boleh dibaca dalam lembaran naskhah-naskhah kertas sahaja. Sedangkan pada hari ini, Islam hanya tinggal sebagai agama bagi ibadah ritual dan bukannya sebagai cara hidup yang menyeluruh.

Dari sinilah bermulanya perbincangan saya dengan seorang sahabat. Antara persoalannya adalah - antara pemimpin dan rakyat, yang manakah sebenarnya merupakan faktor utama yang membawa kepada perubahan?


Pemimpin yang sudah berubah tidak disokong oleh rakyatnya manakala rakyat yang sudah bersedia menerima perubahan masih di bawah kepompong kekuasaan pemimpin yang tidak mahu berubah, apakah solusinya?

Teringat kita dengan hadis soheh daripada Rasulullah yang menerangkan kedudukan agama itu adalah terletak pada pemimpin. Nah, kita boleh faham dari sini bahawa kedudukan agama itu akan diutamakan apabila pemimpin mengutamakan Islam sebagai dasar sebagaimana yang Rasulullah lakukan di Madinah. Merekalah yang akan dipertanggungjawabkan sekiranya agama tidak diletakkan di tempat yang sepatutnya dalam pemerintahan mereka.

Namun, apakah di Malaysia pada hari ini, dengan keadaan masyarakat yang berbilang kaum yang kita miliki sudah bersedia menerima Islam sebagai dasar utama dalam pentadbiran negara ini? Maksudnya jika PAS pada suatu masa akan dapat memerintah Malaysia dengan bantuan rakan-rakan mereka, apakah mereka semuanya bersetuju dengan agenda PAS yang mahu mendaulatkan al-Quran dan hadis sebagai perlembagaan tertinggi.

Teringatkah kita kepada sirah Rasulullah tatkala baginda ditawarkan dengan tahta, harta dan wanita melalui bapa saudaranya, Abu Talib di awal dakwahnya di Makkah? Mengapakah Rasulullah tidak sahaja menerima tawaran tersebut dan dengan takhta sebagai raja dan harta yang banyak itu bolehlah baginda memaksa dan menyogok penduduk Makkah masuk Islam.

Semuanya ditolah Rasulullah, bahkan Rasulullah menjawab kepada bapa saudaranya itu dengan satu jawapan yang sangat padu dan indah. Kata baginda, “Jikapun matahari diletakkan di tangan kananku dan bulan diletakkan di tangan kiriku nescaya aku tidak akan menghentikan dakwah risalah ini.” jawapan itu menyebabkan Abu Talib akur malah menyatakan sokongannya kepada Rasulullah.

Maknanya di sini, kekuasaan bukanlah segala-galanya. Kemenangan juga bukan segala-galanya dalam menuju ke arah transformasi. Ianya akan terjadi secara sunnatullah apabila rakyat sudah bersedia ke arah transformasi secara menyeluruh.

Justeru, jika benar kita rakyat Malaysia mengimpikan satu transformasi bagi melenyapkan hagemoni kiasu yang sudah berusia lebih 52 tahun itu. Kita semestinya tidak hanya sibuk dengan perang mulut siasah sahaja. Ada satu tugas juga yang amat penting di sana yakni menyediakan masyarakat yang bersedia berubah menerima transformasi siasah yang akan berlaku.

Pendedahan dan penyebaran maklumat, menerangkan apakah itu Islam yang sebenarnya, bukan daripada kacamata pihak yang berkepentingan. Adakan dialog demi dialog, ceritakan kelebihan dan keindahan Islam dan kurangkan berbahas perkara yang tiada hujung pangkalnya. Yakinlah apabila risalah Islam sudah mereka fahami, sekalipun mereka tidak masuk Islam mereka akan faham bahawa Islam adalah pilihan terbaik bagi dijadikan dasar dalam sesebuah negara.

Ini semua akan berlaku andai rakyat Malaysia sudah mempunyai fikrah yang bebas dan ilmu yang mapan. Dengan itu mereka akan dapat membuat pilihan sewaras akal yang mungkin, kerana mereka sudah dapat membezakan yang haq dan yang batil.

04 November 2010

Ingin Menjadi Sasterawan?

Berkata Abdullah bin Muslim bin Qutaibah, "Sesiapa yang ingin menjadi orang alim maka kejarlah satu bidang ilmu, namun sesiapa yang ingin menjadi SASTERAWAN, maka perlu mempelajari setiap bidang ilmu.
-Dr. Aidh bin Abdullah al-Qarni. 2009. Aku, Buku dan Cinta (terjemahan judul asal, Asyik), hlm 192.

03 November 2010

Ateis dan Hukum Hudud

Oleh Zahiruddin Zabidi
zahiruddin_zabidi@yahoo.com.my

DALAM satu kelas seputar perbincangan undang-undang. Selepas pensyarah membicarakan mengenai undang-undang tertinggi dalam negara ini dengan menyatakan ianya adalah Perlembagaan Malaysia. Seterusnya isu keberkesanan undang-undang yang sedia ada itu dibahaskan.

Pensyarah membuka soalan, "Menurut pandangan kamu, apakah undang-undang kita berjaya menyekat dan mengurangkan jenayah dalam negara kita?"

Jawapan yang pelbagai diterima daripada para siswa jurusan Pentadbiran Awam secara pengajian luar kampus itu.

"Undang-undang kita adalah peninggalan penjajah, ianya adalah hasil daripada perbincangan Suruhanjaya Reid. Ternyata ianya gagal." Kata salah seorang pelajar.

"Kadar jenayah dalam negara kita semakin teruk. Negara kita sudah tidak aman. Undang-undang kita sudah tidak praktikal," tambah seorang lagi.

"Undang-undang kita hanya membela pihak-pihak yang tertentu sahaja dan sentiasa berubah mengikut rentak pemerintah semasa." Sedikit keras lontaran pandangan itu.

Si pensyarah hanya mampu mengangguk-angguk.

Tidak semena-mena, salah seorang pelajar berbangsa Cina dalam kelas tersebut mengangkat tangan mahu bersuara.

Pensyarah memberikan laluan, "Silakan saudara."

Dia berdiri dan berpusing menghadap kepada audiens kerana beliau duduk di kerusi paling hadapan. Dia lantas berkata dengan lantang, "Saya kira undang-undang yang sedia ada tidak mampu menakutkan dan mencegah para penjenayah bagi melakukan jenayah. Kalau kita maklum, sebenarnya banyak kes yang berlaku adalah kes ulangan oleh penjenayah yang sama."

Keseluruhan kelas terdiam memberikan tumpuan kepada beliau, walau telor Cinanya sangat kuat namun dia cuba berbahasa Melayu sebaik mungkin.

Dia kemudian menambah, "Penjenayah juga tidak takut terhadap segala hukuman yang diperuntukkan oleh undang-undang kita. Setakat sebat 10 rotan denda RM5,000. Bukanlah sesuatu yang besar bagi penjenayah yang punya duit yang banyak. Justeru mereka tidak akan takut dan akan mengulangi jenayah tersebut."

Habis beliau berhujah segera di pensyarah berrtanya, "Jadi, kamu ada cadangan undang-undang apa yang lebih praktikal dan sesuai kepada rakyat Malaysia."

Jawabnya dengan tegas dan yakin, "Undang-undang Islam."

"Maksud kamu?"

"Undang-undang Islam ataupun hudud adalah bersifat mengcegah dan bukannya menghukum semata-mata. Bayangkan jika mencuri dengan sengaja dan cukup kriterianya maka seseorang itu akan dipotong tangan. Saya tidak dapat bayangkan jika seseorang itu dipotong khalayak ramai lantas disiarkan pula secara langsung di semua stesyen telivisyen. Apakah kesannya kepada penjenayah lain di luar sana? Perkara yang sama juga akan berlaku kepada para perasuh dan pemakan rasuah, perogol, penzina, perompak, pencuri dan lain-lain di luar sana. Mereka akan gerun bagi melakukan jenayah-jenayah tersebut kelak."

Reaksinya.

Secara automatis terdapat dua suara dalam kelas yang menyokong dan menentang dengan alasan undang-undang Islam tidak sesuai bagi dilaksanakan di Malaysia yang penduduknya berbilang kaum dan pelbagai alasan lagi.

Ironinya mereka adalah siswa dan siswi Melayu Islam, sedang yang mengusulkan penggunaan hukum Islam tadi adalah seorang berbangsa Cina yang berpendirian ateis.

Kerana itulah, ada golongan yang sangat takut andai orang bukan Islam di Malaysia memahami Islam yang sebenarnya, kerana ternyata ianya akan merugikan mereka sahaja.