Oleh Zahiruddin Zabidi
zahiruddin_zabidi@yahoo.com.my
SUBJEK Tamadun Islam dan Tamadun Asia (TITAS) adalah subjek teras yang wajib diambil oleh semua pelajar IPTA dalam negara. Malah ianya juga diwajibkan kepada pelajar bukan Islam. Tidak dapat dinafikan subjek ini memainkan peranan yang amat penting dalam memahamkan kepada seluruh rakyat Malaysia khususnya para graduan IPT mengenai hakikat Islam yang sebenar.
Amat mengejutkan apabila didapati ada beberapa institusi yang bersifat 'akademi' sebenarnya tidak menjadikan mata pelajaran tersebut sebagai subjek teras sebaliknya pelajar hanya diwajibkan mengambil subjek teras yang tidak ada kaitan langsung dengan kursus yang mereka ambil. Sebagai contoh pelajar fakulti penulisan terpaksa mengambil subjek teras berkaitan dengan Tarian Makyong atau Randai.
Memang diakui akademi tersebut tidak tertakluk di bawah jagaan dan kelolaan Kementerian Pengajian Tinggi dan punyai silibus pengajiannya tersendiri. Namun perlu diingatkan betapa besar kesannya kepada pelajar-pelajar jika mereka langsung tidak dihidangkan dengan pengajian dan pemahaman mengenai agama Islam, sementelahan pula akademi tersebut hanya menganjurkan kursus-kursus bersifat kesenian budaya yang karib dengan hiburan dan hedonisme semata-mata.
Kekeliruan ini harus diatasi dan diselaraskan dengan seberapa segera. Janganlah menafikan hak agama Islam bagi disebarkan dan difahamkan kepada anak bangsa yang sudah semakin tenat gejala sosialnya. Siapa sangka, di sana ada sinar buat mereka yang menginginkan perubahan dan kembali kepada Islam yang sebenar.
Justeru pihak berwajib, bermula daripada kementerian dan pengurusan tertinggi akademi yang bertanggungjawab perlu memikirkan hal ini kerana ianya juga melibatkan ilmu yang wajib dipelajari yakni fardu ain dan ianya akan dihitung di akhirat kelak oleh Allah taala.
Selain daripada subjek TITAS, subjek seperti Sejarah Malaysia dan Kesusasteraan Melayu juga wajar dipertimbangkan sebagai subjek wajib kepada semua IPTA dan IPTS di Malaysia. Sudah sampai masanya kita bertegas dalam hal ini. Jangan sampai anak bangsa kita terbogel daripada pakaian agama dan budaya mereka sendiri.
_______________________________________________________________________
Nota: Tulisan ini sudah dihantarkan ke bahagian surat pembaca beberapa media cetak dan eletronik bagi disiarkan.
No comments:
Post a Comment