10 January 2010

Kempen kurangkan perceraian di usia muda

Terasa begitu sendat kepala dan badan tatkala hampir sahaja sampai ke puncak klimaks itu, namun ianya juga adalah merupakan satu garisan mula yang baharu kepada individu-individu yang terlibat. Hampir semua lelaki dan perempuan yang akan berkahwin merasai situasi ini. Bahkan ada yang terlampau gugup sehingga tertukar sebutan syahadah dengan surah al-Ikhlas bila ditanya oleh jurunikah.

Itulah ragam anak-anak muda yang bakal mendirikan rumah tangga dengan termeterainya satu ikatan janji (akad) yang sah mengikut syarak Islam untuk hidup bersama dengan memahami tanggungjawab dan hak masing-masing. Ikatan suci ini akan selesai setelah mereka diijab dan dikabulkan mengikut syarat-syarat yang dikehendaki oleh syarak. Majlis akad nikah menjadi kemuncak sebuah penantian dan pemula sebuah kebertanggungjawaban.

Pengalaman sebagai salah seorang pegawai yang bertugas di Bahagian Pengurusan Kariah dan ditempatkan di sebuah masjid memberi peluang kepada saya untuk berjumpa dan berhadapan dengan perkara-perkara sebenar yang berkaitan nikah kahwin, cerai-berai dan sebagainya.

Antara keperluan bagi sepasang bakal pengantin ialah mendapatkan khidmat Penolong Pendaftar Perkahwinan yang dilantik dengan tauliah yang sah dari jabatan agama negeri masing-masing. Jadi berbondong-bondonglah pasangan yang sudah merancang untuk berkahwin dalam masa yang terdekat berjumpa dengan ketua Imam yang juga Penolong Pendaftar Perkahwinan tadi untuk mendapatkan cop pengesan kebenaran berkahwin.

Kebiasaannya lelaki dan perempuan dalam lingkungan 20an ke atas adalah pengunjung teramai yang datang mengambil cop kebenaran berkahwin. Tidak pula menjadi kejutan jika datang pasangan emas yang sangka kami dia mahu dapatkan cop kebenaran kahwin untuk anaknya, sebaliknya bila ditanya ternyata untuk dirinya sendiri.

Sesekali diminta untuk menjadi saksi kepada pasangan juga menyebabkan saya berada di dalam dan terasa bahang majlis akad nikah itu. Walaupun diri saya sendiri sudah terlepas dari azab yang penuh nikmat itu, namun apabila tibanya saat khutbah nikah dibacakan hati ini tetap juga berdengup kencang. Apatah lagi kepada pengantin lelaki yang memang gelisahnya dari semalam lagi mungkin.

Saat itu sungguh indah. Hadirnya emak dan ayah, sanak saudara yang berpakaian serba indah malah ada yang ditempah khas semata-mata untuk majlis tersebut tentu sahaja menyerikan lagi majlis. Si pengantin perempuan yang tertunduk malu juga sedang menghitung di dalam hati yang menguntum, bilakah acara ini akan berakhir.


Kecewa
Lewat hari-hari yang dilalui di pejabat masjid juga, kami pernah didatangi dengan perempuan-perempuan lingkungan 20-30an yang datang untuk mendapatkan cop dan surat pemngesahan mastautin. Namun bila ditanya adakah tujuannya untuk berkahwin, ternyata jawapan yang diterima adalah sebaliknya. Kami tidak akan bertanya lagi.


Maksudnya mereka datang untuk mendapatkan cop bagi kelulusan prosiding cerai mereka samada cerai secara baik atau fasakh dan sebagainya. Dan apa yang menyedihkan saya ialah mereka ini amat muda untuk menghadapi ujian putus ikatan perkahwinan yang baru sahaja setahun jagung.

Perceraian di kala usia antara 20 dan 30 adalah satu tamparan dan kegagalan sosial kepada individu terbabit. Namun di negara kita ia seakan menjadi fesyen, perkahwinan dan perceraian dikaitkan juga dengan keperluan peredaran masa. Perceraian seakan tidak dilihat sebagai perkara yang berat malah sudah dienteng-entengkan sahaja. Mungkin kerana terbiasa dengan suapan racun-racun budaya dan minda dari barat yang menyaksikan perkahwinan dan perceraian tidak lebih dari menukar kereta atau baju sahaja mungkin.

Akibatnya yang terbesar adalah kepada anak-anak, mereka akan membesar tanpa kasih sayang yang menjadi ruji asas dalam tumbesaran sosial mereka. Akhirnya memutiklah benih-benih kerosakan dan kebobrokan sosial satu persatu dan terus berangkai. Benarlah sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Setiap anak itu lahir dalam keadaan fitrah, kedua ibu bapalah yang mencorakkan mereka untuk menjadi Yahudi, Nasrani atau Majusi.”(Riwayat Muslim)

Muhasabah
Firman Allah SWT di dalam surah al-Baqarah ayat 229 yang bermaksud: “Talaq (cerai yang boleh dirujuk kembali itu) dua kali. Sesudah itu boleh ia (rujuk dan) memegang terus (isterinya itu) dengan cara yang sepatutnya atau melepaskannya (menceraikannya) dengan cara yang baik…”

Rasulullah SAW direkodkan pernah bersabda yang bermaksud: “Sesuatu perkara yang halal namun amat dibenci oleh Allah SWT ialah talaq”(Riwayat Abu Daud)

Berdasarkan kepada ayat al-Quran dan hadith di atas maka tahulah kita bahawa cerai sesuatu yang tidak dilarang di dalam agama Islam, namun ianya sesuatu perkara yang amat tidak digalakkan kerana ianya melibatkan implikasi yang besar dabn berpenjangan kepada individu-individu yang terlibat.

Dengan pemisahan yang berlaku atas nama talaq ianya bermaksud mengharamkan apa yang halal sebelumnya. Ianya juga jalan untuk memisahkan hubungan dan kasih sayang. Ianya bukan sahaja terus merenggangkan interaksi dan komunikasi antara ibu bapa yang bercerai, namun anak merekalah yang bakal menjadi mangsa utama jenayah kasih sayang itu.

Tanpa menafikan bahawa talaq juga adalah jalan yang terbaik jika tidak lagi ada persefahaman dan keharmonian rumahtangga yang menyebabkan masing-masing bertambah derita. Akhirnya apa yang kita boleh lihat hari ini ialah, menjadi agak biasa anak-anak generasi baru membesar tanpa kasih sayang salah seorang orang tua mereka.

Hukum
Talaq antara masalah feqah yang boleh menggunakan semua kaedah hukum yang diperuntukkan di dalam Islam. Bermula dengan wajib, sunat, harus, makruh dan haram. Ianya akan berubah mengikut suasana atau situasi semasa mereka yang terlibat.

Sebagai contoh yang pertama, talaq akan menjadi wajib jika diarahkan oleh Kadi atau Hakim apabila masalah rumahtangga mereka yang terlibat dirujuk dan jalan penyelesaian mengikut kadar pemerhatian Kadi atau Hakim yang terlibat sudah tertutup. Mereka akan digalakkan bercerai atau akan diwajibkan bercerai.

Yang keduanya talaq akan menjadi sunat apabila si suami tidak lagi mampu untuk melaksanakan tugas atau tanggungjawab sebagai seorang suami sebagai pembimbing kepada isteri kerana sikap isteri yang tidak menjaga kehormatan diri, lalai dalam menunaikan tanggungjawab kepada Allah, suami dan diri sendiri. Dalam keadaan ini si suami adalah disunatkan untuk menceraikan isterinya itu.

Yang ketiga, talaq menjadi harus apabila suami tidak lagi mampu untuk menyukai isterinya kerana sebab-sebab yang tertentu malah tidak mampu lagi memberi nafkah serta tidak memperolehi kenikmatan (istimta’) berumah tangga daripada isterinya.

Yang keempat ialah makruh hukumnya apabila seorang suami itu menceraikan isterinya yang baik tingkah laku akhlaknya, serta tiada cacat celanya dari sudut agama. Atau diceraikan tanpa sebab musabab yang membolehkan suami menceraikan isterinya itu.

Yang terakhir adalah haram bagi seorang suami itu menceraikan isterinya apabila isteri berada di dalam keadaan haid atau nifas kerana implikasinya ialah ia akan memanjangkan tempoh iddah (tempoh menunggu) isteri yang dicerai dan sekaligus seakan menganiayainya. Begitu juga adalah haram menceraikan isteri ketika dirinya di dalam keadaan suci malah si suami teah pun menyetubuhinya.

Kesimpulan
Perceraian di usia muda mahupun tua adalah diantara gejala yang perlu dibendung dengan segera. Semua peringkat masyarakat samada di kalangan tertinggi hieraki ataupun yang paling rendah adalah bertanggungjawab untuk memastikan gejala ini dapat dikurangkan.

Pendedahan tentang akibat perceraian di usia muda perlu diperjelaskan kepada masyarakat terutama anak muda yang bakal berkahwin agar mereka tahu bahawa perkahwinan bukan hanya untuk berseronok semata namun penuh dengan tuntutan tanggungjawab.

Kursus perkahwinan yang diwajibkan kepada bakal pasangan yang ingin berkahwin adalah satu langkah bijak yang perlu dipuji. Ianya dilihat sebagai satu medium untuk menyalurkan maklumat dan membekalkan mereka sedikit ilmu kepada bakal pengantin.

Namun modul dan pengisian adalah perlu dipertingkatkan dari masa ke semasa dan para penganjur diingatkan tidak hanya mementingkan keuntungan semata-mata kerana mungkin dari situlah para pasangan ini akan terbuka hati untuk lebih memahami Islam yang sebenar, kerana kita yakin hanya pemahaman Islam yang soheh dan jitu antara suami dan isteri akan menjamin kebahagiaan kehidupan di dunia dan akhirat.

Pihak kerajaan diharap dapat mengambil berat masalah ini dengan melancarkan kempen rasmi dengan kerjasama JAKIM dan organisasi di bawahnya, Kementerian Penerangan, Kementerian Kesihatan dan kementerian-kementerian yang berkepentingan lainnya untuk menganjurkan kempen kesedaran besar-besaran untuk mengurangkan statistik perceraian usia muda di kalangan pasangan di Malaysia.

Ahmad Zahiruddin bin Mohd Zabidi

4 comments:

kumbang malam said...

salam... Ustaz....
boleh x saya copy article ini buat tatapan rakan.?

Zahiruddin Zabidi said...

Wassalam, silakan saudara.

Semoga bermanfaat kepada ummah, insya-Allah.

ANDY GAWAN said...

maafkan saya ...saya seorang pelajar tingkatan 6 dan saya nak ambil sedikit daripada isi-isi article ini untuk karangan saya ..boleh ?

Zahiruddin Zabidi said...

Silakan saudara, ilmu-ilmu ini adalah untuk disebarkan.... ;)