29 January 2009

Ikatan Pra-perjanjian Kehidupan

Alhamdulillah, hari ini ialah 29 Jan 2009 bersamaan 2 Safar 1430 hijriah. Kalau ikut bulan islam maka semalam genaplah sebulan ikatan pra-perjanjian hidup saya dengan insan pilihan kurniaan Allah, keredhaan Abi dan Umi serta kemahammabatan diri ini sendiri.

Ikatan pra-perjanjian yang termeterai pada 29 Disember 2008 bersamaan 1 Muharram 1430 hijriah bersamaan dengan Maal Hijrah begitu besar ertinya pada proses pematangan hidup saya. Insya-Allah, tiada lain yang didampa melain redha Allah semata hasil dari dari ikatan ini.

Terus doakan bulan yang berbaki agar diredhai, diberkati dengan rahman dan rahim Allah azzawajalla dan menjejakkan kaki ke alam pertanggungjawaban dengan sakinah, mahabbah wa rahmah hingga ke syurga Allah (amin) insya-Allah.




Az-Zahir

u/p : nama pada kek ditulis Ahmad kerana saya dipanggil Ahmad di kalangan ahli keluarga.

27 January 2009

Ideologi : Hamas VS Fatah

Lontaran Kalam

Saya tidak mahu membangkitkan perihal yang terperinci tentang masaalah yang telah dan akan menimpa Palestin. Alhamdulillah seluruh umat Islam dan bukan Islam mengecam serangan yang sudah hampir sebulan dan merangut ribuan nyawa serta menyebabkan kerosakan harta benda yang besar. Sedarkah kita ini bukan yang pertama?

Untuk ke sekian kalinya kita membicarakan secara rigid tentang masaalah. Hakikatnya masaalah itu akan sentiasa wujud di mana dan bila pun. Itu adalah sunnatullahu akbar.

Yang perlu difikirkan sekarang adalah cara untuk menyelesaikan masaalah tersebut bukan sekadar bercerita dan mengecam masaalah tersebut. Membahaskan ideologi untuk solusi adalah keutamaan sekarang, dan telah banyak sebenarnya seminar-seminar perbentangan kertas kerja, kajian individu mahupun kumpulan profesional dalam membicarakan hal palestin yang hampir satu dekad itu.

Saya bukan menidakkan usaha yang dilakukan oleh kumpulan ini. Tetapi tertanya kita apakah Israel berfahaman neo-Zionisme itu akan terkesan dengan tindakan itu. Adakah mereka akan gentar dengan mehnahan sebegitu, jawapannya jelas bahawa mereka tidak kisah selagi mana umat Islam terus berkelahi sesama sendiri dan sebenarnya juga merekalah 'Master Mind' kepada kacau bilau tersebut. Maka perancangan drastik yang berperingkat perlu dilaksanakan dan dimulakan sekarang.

Ya benar sekali Rasulullah berjanji Islam akan gemilang di bumi Palestin kelak. Tetapi asbabnya masih belum di temui, setiap Qada dan Qadar Allah itu pasti ada asbabnya. Atau terus menunggu kita Sultan Salahuddin Al-Ayubi kembali ke abad ini, Saidina Umar Al-Khattab dihidupkan kembali barulah para Yahudi laknatullah itu terkulai hancur.

Saya melihat dalam konteks ini masyarakat Palestin sendiri perlu lebih bersatu. Tidak perlu timbul soal Hamas atau Fatah dalam soal pembebasan Palestin. Tetapi tidak, mereka tetap bercengkarama sadis antara sesama dan Yahudi Israel dan Nasrani Amerika terus menerus menhirup darah mereka.

Sedarlah yang kita perlukan jemaah yang benar mendukung perjuangan Islam dalam memperjuangkan hak yang bukan sahaja hak penduduk Gaza tetapi hak Allah yang menjadikan muka bumi ini untuk dimakmurkan bukan untuk dilaknatkan.

Saluran bantuan dan sokongan pada kumpulan pejuang yang tepat merupakan asas paling utama. Segala bantuan akan dimanafaatkan kepada pembebasan total melalui perjuangan. Ya, itu solusinya, Jihad terhadap Yahudi dan Nasrani adalah ubat bagi kudis barah yang semakin merebak. Ihdinasshirathal mustaqim: tunjukkan kami jalan yang lurus.

Kita perlukan kami = kumpulan/jemaah/parti yang benar dasarnya dalam perjuangan yakni meletakkan Islam sebagai asas penentangan, maka perbandingan antara Hamas dan Fatah perlu dibuat. Mengapa walau keduanya adalah rakyat Palestin tetapi yang seorang ini boleh tersenyum sedangkan yang seorang lagi berdukacita dan selalu bertafakkur untuk menyelesaikan masaalah itu. Denagn itu saya bawakan artikel dari Harakah berarikh 7 Jun untuk tatapan penilaian kita dalam memberikan sokongan dan terkeliru, wallahua'lam.

Az-Zahir

__________________________________________________
Rabu 7 Januari 2009 10 Muharam 1430 Hijrah

Membahaskan ideologi Hamas, Fatah

Abu Firdaus Fri Jan 23, 09 4:29:20 pm MYT


KALAU hendak dibuat perbandingan ideologi parti, maka boleh disamakan Hamas dengan PAS, Fatah dengan Umno dan Barisan Rakyat bagi Pembebasan Palestin (PFLP) dengan KeADILan. Hamas asalnya Ikhawanul Muslimin cawangan Palestin dengan pemahaman bahawa gerakan Islam itu, diasaskan di Mesir oleh Hassan Al-Banna ditubuhkan di seluruh negara-negara Arab, maka termasuklah di Palestin.


Pada tahun 1948, entiti yang dikenali sebagai Palestin hilang daripada peta dunia apabila Israel diisytiharkan sementara wilayahnya di sekitar Sungai Jordan dijadikan Transjordan dan kemudian dikenali sebagai Jordan. Bagi Israel, Britain dan Amerika Syarikat, Jordan itulah yang menggantikan Palestin. Maknanya Palestin terbahagi kepada dunia, negara Yahudi dan Arab. Maka yang Yahudi menjadi Israel sementara yang Arab menjadi Jordan.
Jordan sebagai menggantikan Palestin jelas apabila kedua-dua tebing Sungai Jordan menjadi wilayahnya iaitu Tebing Timur dan Tebing Barat. Namun begitu ibu negara Jordan ditempatkan di Amman di Tebing Timur sementara Baitulmaqdis masih dimiliki Jordan terletak di Tebing Barat. Israel pula diberikan ibu negaranya di Tel Aviv. Sementara Gaza yang juga merupakan sebahagian daripada Palestin diberikan kepada Mesir.

Bagaimanapun, kedudukan begini tidak mendatangkan kepuasan kepada dua-dua pihak. Baik pihak Arab mahupun Yahudi. Bagi pihak Yahudi yang ideologinya sudah menjadi Zionis baru atau boleh dipanggil neo-Zionis, mereka mula mencita-citakan sebuah Israel Raya, atau Greater Israel yang meliputi bukan saja wilayah Israel yang mereka peroleh pada tahun 1948 tetapi merangkumi wilayah dari Sungai Nil di Mesir hingga Sungai Furat di Iraq. Ataupun sekurang-kurangnya ia meliputi Semenanjung Sinai, Gaza, Tebing Barat dan Bukit Golan. Tetapi paling penting ialah Baitulmaqdis yang ingin dijadikan sebagai ibu negara Israel Raya.
Sebenarnya aspirasi Israel Raya ini bukan cita-cita asal Zionis. Boleh dikatakan ia menjadi cita-cita neo-Zionis yang dilandaskan oleh nasionalisme Yahudi dan fundamentalisme Judaisme. Perlu dibezakan antara Yahudi sebagai bangsa dan agama, yang digunakan istilah Judaisme. Pada asalnya penganut agama Judaisme dan juga bangsa Yahudi tidak mempunyai cita-cita nasional iaitu untuk mempunyai negara sendiri.

Tetapi fahaman Zionis memberi landasan kepada cita-cita bernegara sendiri. Pada asasnya Zionis hanya bersifat nasionalisme tetapi bukannya keagamaan. Malah ia lebih bersifat kepada sosialisme dengan gagasan kibbutz sebagai gerakan koperasi kebajikan. Maka Zionis yang meruakan gerakan sekular hanya menuntut sebuah negara Yahudi tidak kira di mana. Malah pada awalnya, cadangan supaya negara Israel diwujudkan di Uganda juga diterima. Kesatuan Soviet juga memberi suatu wilayah untuk Yahudi di dalam pentadbirannya. Justeru apabila Israel diwujudkan di bumi Palestin dengan ibu kotanya Tel Aviv, ia sudah merupakan sesuatu yang lebih daripada cukup.

Tetapi kemudian setelah memperolehi wilayah itu, mereka menjadi tamak dan menginginkan sebuah negara Israel raya yang besar. Ketamakan ini merebak yang pada mulanya sektor Yahudi dalam negara Palestin sudah dapat mereka terima. Komuniti Yahudi diwujudkan dalam negara Palestin bersama dengan komuniti Arab merupakan kedudukan yang terbaik sebenarnya. Tetapi apabila memperolehi negara sendiri pada tahun 1948, ia semakin galak untuk meluaskan kawasannya.

Tentu pihak Arab sedar perkara ini dan mereka tidak boleh mengiktiraf kewujduan negara Israel. Lebih-lebih lagi apabila tanah-tanah Arab yang berada dalam penguasaan Israel dirampas dan pemiliknya dihalau secara besar-besaran ke Tebing Barat Jordan dan Gaza di Mesir. Reaksi kewujudan Israel juga menggalakkan kesedaran nasionalisme kiri Arab yang dipelopori Presiden Gamal Nasser dan fahaman Baathisme yang dipegang Hafez Assad di Syria.

Maka rasa tidak puas hati ini membawa kepada negara-negara Arab berpakat untuk mengambil baik wilayah Palestin yang menjadi Israel. Peperangan tahun 1967 dilancarkan bagi membebaskaan Palestin. Gerakan Ikhwanul Muslimin di Mesir yang bermusuh dengan nasionalis kiri pimpinan Nasser bagaimanapun turut berjihad untuk membebaskan Palestin.
Intifada dimulakan Hamas.

Bagaimanapun, perang itu membawa kepada kekalahan di pihak Arab. Israel menawan bukan saja Gaza tetapi Semenanjung Sinai. Walaupun cita-citanya untuk sampai ke Sungai Nil tidak kesampaian tetapi Terusan Suez dapat ditawan. Selain itu seperti yang dicita-citakan Israel menawan Tebing Barat Jordan dan Baitulmaqdis. Begitu juga, mereka dapat menawan Bukit Golan daripada Syria. Maka ramailah rakyat Palestin yang lari ke Jordan dan Mesir.

Dalam pada itu, Ikhwanul Muslimin menerima tekanan teruk daripada Nasser. Banyak aktivisnya berpindah ke negara-negara Arab lain dan menubuhkan cawangan masing-masing. Ikhwanul Muslimin ditubuhkan di Jordan, Syria, Iraq dan negara-negara Teluk. Ia menjadi gerakan Islam bagi dunia Arab. Bagaimanapun, pada ketika itu Ikhwanul Muslimin belum ditubuhkan di kalangan rakyat Palestin.

Fahaman Ikhwanul Muslimin juga tersebar di kalangan para pelajar negara Islam lain yang menuntut di Kaherah termasuk Malaysia dan Indonesia. Pengaruh terhadap pelajar Indonesia membuahkan Majlis Syuro Muslimin Indonesia (Masyumi), parti pertama yang menang pilihan raya umum di negara itu. Di Malaysia, pengaruhnya yang bercampur baur dengan Masyumi memberi ilham kepada penubuhan Majlis Tertinggi Islam (MATA) sebagai cermin Masyumi di negara ini, kemudian berubah menjadi Hizbul Muslimin dan akhirnya ia muncul sebagai Parti Islam Se-Malaysia (PAS).

Adalah suatu yang mudah untuk difahami bahawa gerakan Islam di mana-mana pun termasuk PAS memberi sokongan penuh kepada perjuangan Palestin yang di dalamnya usaha membebaskan Masjidil Aqsa. Tentunya Yahudi dilihat sebagai musuh Islam dan fahaman ini menjadi asas kepada mana-mana gerakan Islam. Sebaliknya Umno pada asalnya tidak mempunyai pendirian seperti ini. Pada awal kemerdekaan negara juga, ada kesediaan kerajaan pimpinan Tunku Abdul Rahman yang sentiasa menyebelahi Amerika dan Britain untuk mengiktiraf Israel. Hanya selepas Perang 1967 apabila ternyata Israel menakluki wilayah negara jiran Arabnya, barulah Malaysia tegas menyokong Palestin.

Tetapi tindakan Tunku yang mengecewakan dalam hal pengiktirafan Israel ialah apabila dia secara bersendirian mengambil keputusan mengeluarkan Singapura daripada Malaysia. Di Singapura sememangnya terdapat komuniti Yahudi. Namun begitu, ia tidak menjadi masalah walaupun Ketua Menteri dipilih pertama Singapura, David Marshall berketurunan Yahudi. Itu juga tidak menjadi masalah. Masalah hanya timbul apabila Tunku mengeluarkan Singapura daripada Malaysia pada 1965.

Sebaik dikeluarkan, Singapura mengadakan hubungan diplomatik dengan Israel. Ia juga mendapat latihan tentera daripada Israel. Maka tidak semena-mena wujud pangkalan Yahudi di tengah-tengah samudera Melayu. Ketiga-tiga negara Asean ini mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel: Singapura, Thailand dan Filipina.

Ketika dalam buangan di Tebing Timur Jordan, pada akhir 60-an, anak-anak muda Palestin tentu tidak puas hati dengan keadaan mereka. Fahaman nasionalisme Palestin digagaskan oleh Yasser Arafat yang tegas mahu meneruskan entiti Palestin. Jordan bukannya Palestin. Bumi yang diduduki Israel itulah Palestin. Konsep kenegaraan Palestin inilah yang menjadi inti perjuangan Fatah. Kumpulan nasionalis ini mendapat sokongan Mesir, Syria dan Iraq. Tetapi ada golongan lain yang tidak puas hati dengan Fatah. Mereka percaya jalan revolusioner sosialis adalah terbaik.

Mereka menubuhkan PFLP. Kumpuan ini mendapat sokongan golongan kiri seluruh dunia termasuk negara-negara komunis. Jadi kalau hendak dibuat perbandingan, Fatah adalah seperti Umno dan PFLP adalah seperti Parti Rakyat. Kedua-duanya serta lain-lain gerakan bergabung dalam Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO). Mereka kemudian melakukan serangan ke atas Tebing Barat daripada Tebing Timur Jordan. Tindakan ini menimbulkan kemarahan Israel yang memberi tekanan kepada Jordan. Akhirnya Amman menghalau mereka keluar dari Jordan. Mereka kemudian mendapat perlindungan di Beirut, Lubnan.
Dari Lubnan, mereka terus melakukan serangan. Ini menimbulkan kemarahan dan Israel menyerang Lubnan dan menekan Beirut supaya menghalau PLO daripada negara itu. Arafat dan PLO terpaksa pindah dan diberi tempat oleh Tunisia di Tunis. Setelah mereka pergi, tentera Israel membenarkan tentera Kristian Lubnan, Falangis melakukan pembunuhan ramai ke atas pelarian Palestin di Shabra dan Shatilla.

Perkara itu berlaku pada tahun 1980-an setelah Mesir diikat oleh Israel melalui perjanjian. Kedua-dua Jordan dan Mesir mengiktiraf Israel dan mengadakan hubungan diplomatik dengan Israel mengundurkan diri daripada Sinai. Itu berlaku selepas Perang Ramadan pada tahun 1973 yang menyaksikan kejayaan Mesir membebasakan Sinai walaupun Syria gagal mengambil balik Golan.

Dengan berada jauh di Tunis, perjuangan Palestin oleh PLO lumpuh. Dalam keadaan ini, rakyat Palestin yang tertekan menubuhkan satu organisasi baru, yang lebih kuat dari segi ideologinya dengan meletakkan Islam sebagai landasan perjuangan. Bermula dengan penubuhan cawangan Ikhwanul Muslimin di Gaza, maka lahirlah Hamas. Pada mulanya Israel dan Amerika menggalakkan aktiviti Hamas yang bersih daripada rasuah dan menubuhkan hospital serta sekolah. Tetapi sokongan Israel dan Amerika bertujuan ia dapat melemahkan PLO.

Tentunya penduduk Palestin tidak puas hati dan mereka melancarkan intifada pada lewat 80-an. Penggerak intifada ini ialah Hamas. Pertubuhan ini tidak pernah menyertai PLO. Israel berasa terdesak dan memanggil kembali PLO dan timbul gagasan negara Palestin di Tebing Barat dan Gaza. PLO dipaksa mengiktiraf Israel. Sementara Israel memindahkan ibu negaranya dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis Barat. Jordan dan Mesir yang sudah terikat dengan Israel dan Amerika melepaskan Tebing Barat dan Gaza untuk ditubuhkan negara Palestin.
Tetapi Hamas tidak boleh menerima itu. Mereka tetap tidak mahu mengiktiraf Israel kerana bumi Israel itu adalah milik Palestin. Mereka, tidak seperti PLO tidak mahu meletakkan senjata kerana kalau Israel boleh mempunyai angkatan tenteranya sendiri, maka kenapa pula tidak Palestin. Dari segi Islam, Baitulmaqdis adalah kota suci Islam. Maka terpulang pada umat Islam untuk menubuhkan negara Islam dan melaksanakan Syariah. Tidak ada siapa di luar umat yang patut menghalang aspirasi umat Islam. - azm _


25 January 2009

Seharian Berprogram : Semarak Cintakan Masjid

Tahajjud : Taubat : Tasbih

Tepat pukul 3 pagi tadi Ustaz Mursyidi (Ketua Imam) membuat panggilan rindu untuk mengejutkan saya untuk ke masjid, ya..hari ini program di masjid bermula dengan Qiamullail, jemputan imam dari UTM. Tapi macam biasa, peram dulu seketika sambil mula melayan rasukan hasutan iblis laknatullah.

Rasanya tidak wajar menyalahkan iblis kerana itu dah memang kerja dia. Yang kita bagi peluang pada para iblis untuk melalaikan kita tu buat apa. Kena lawanlah, maka dengan semangat motivasi kendiri itupun saya bangkit walau dah terlewat setengah jam. 3:45pagi saya mudik di masjid, ustaz jemputan tersebut tengah bagi penerangan, ramai jemaah yang telah hadir, hampir 50 orang. Alhamdulillah.

Qiamullail dimulakan dengan sembahyang Tahajjud, disusuli dengan sebahyang sunat Taubat dan diakhirkan dengan solat tasbid 4 rakaat 2 salam bagi mengcukupkan 300 kali tasbih. Alhamdulillah, berjaya saya selesaikan semuanya walau dalam keadaan penuh daif. Kebetulan di sebelah saya seorang adik yang berusia kurang lebih 10 tahun berjaya selesaikan semua solat-solat tanpa menunjukkan rasa panat dan mengantuk, hati seakan terdetik malu pada tarbiyyah adik itu, kredit kepada ibu bapanya dan semoga dia tergolong dari kalangan anak yang soleh
hingga akhirnya.

Selepas solat subuh berjemaah aktiviti diteruskan dengan kuliah subuh yang disampaikan oleh ustaz tersebut, pukul 7.30 majlis usai. Saya balik terus terlentang lelah dibuai mimpi duha. Ingat juga Ustaz Mursyidi pesan supaya ke gelanggang futsal bagi mewakili masjid. Berat rasanya, bukan tidak tahu main, cuma dah lama tidak main dan tidak mahir sangat.

Futsal

Kepenatan, maka lewatlah bangun. Pukul 11:00 baru sampai ke gelanggang, team masjid diwakili oleh 4 orang JAWI dan Reimi (ketua bilal Usamah bin Zaid) pun turut serta. Saya memerhati, rasanya gusar untuk bermain. Tetapi kerana permintaan Ustaz Mursyidi terpaksa juga saya berjuang dalam gelanggang tu, alasan kasut yang dipakai tidak sesuai terus dibangkang Reimi dengan memberikan kasutnya pada saya. Bermainlah saya 12 minit lamanya.

Alhamdulillah saya berjaya menamatkan 12 minit perlawanan walaupun tidak banyak membantu, keputusan memang tidak meihak kepada kami walaupun kami yang menyumbat gol pendahuluan 2-0 tetapi ketirisan di bahagian pertahanan (saya la tu..) menyebabkan pihak lawan berjaya membolos terus menerus sehingga 3 kali. Keputusan 3-2.

Asyura

Ketika kumpulan muda bermain futsal, kumpulan orang lama di masjid sedang mengacau bubur Asyura yang dikepalai oleh Ustaz Haji Mat, kata mereka pada saya semasa ke masjid untuk bertugas waktu Zohor, insya-Allah bubur itu akan siap dalam waktu Asar nanti. Mungkin nanti saya ke sana awal sedikit sebab sekarang ini saya berada di rumah, rasanya nak berehat sedikit untuk hilangkan penat main futsal tadi dulu, tidur sekejap mungkin selepas habis menulis untuk blog ni.

Perasmian

Malam ini selepas maghrib akan dilangsungkan kuliah maghrib kemudian acara perasmian. Ustaz Mursyidi siang-siang dah minta saya untuk jadi pengacara, dah memang kepakaran saya katanya untuk bercakap maka kita ketengahkanlah katanya. Mahu tak mahu kenalah juga, insya-Allah tiada masaalah.

Nasyid

Acara kemuncak malam ini ialah persembahan nasyid dari beberapa kumpulan nasyid tanah air yang saya sendiri pun tidak sempat lagi tahu kumpulan mana. Walau apapun ini adalah satu permulaan yang sangat baik untuk komuniti Islam Wangsa Maju apabila ada pergerakan dala program sepeti ini. Dapat dilihat tadi kumpulan Futsal yang mewakili surau bawah kelolaan zon 5 begitu sengit bersaing antara satu sama lain.

Semoga program sebegini akan mengerat dan mengukuhkan lagi tali sillaturrahin umat Islam untuk lebih gagah cemerlang dan tidak dipandang enteng di bumi Allah ini, insya-Allah.

Syukur yang seamat syukur pada Allah kerana nikmat Islam, Iman malah kehidupan yang saya ada hari ini dan insya-Allah masa depan.

Az-Zahir

23 January 2009

Pemikir : Think-Tank : Qaidah Sulbah

Baiah

Saya berlenjun basah mengejar amanah selaku bilal masjid Usmah bin Zaid bagi waktu maghrib semalam selepas menyelesaikan satu babak tuntutan kejiwaan dalam waktu 7 petang sudah, maghrib 7:24pm. Alhamdulillah sempat saya sempurnakan walau dalam keadaan yang agak daif diri saya, tidak sempat membersihkan diri tapi masih juga dalam keadaan basah tertimpa asid hujan kota metropolitan Kuala Lumpur ini. Yang penting hutang amanah dan ibadah saya langsaikan.

Sementelah selepas solat subuh pagi semalam telah berlaku perjumpaan tergempar dan rentetan daripada itu berlaku baiah antara Imam-imam dan bilal-bilal masjid untuk memastikan komitmen di masjid diberi keutamaan dari segenap segi terutama ketepatan waktu bertugas. Itu agendanya sekarang, kesian juga pada Ustaz Mursyidi menanggung amanah yang membukit serasa saya lebih berat dari bukit tapak masjid Usamah bin Zaid walau ditambah jumlah beratnya dengan masjid yang indah sergam itu.


ImKoyube@iLuvislam

Seingat lupa juga sebenarnya ada perjanjian untuk saya bertemu dengan ‘Webmaster’ iLuvislam. Imran nama akh tersebut, pelajar tahun 1 jurusan Kejuruteraan UIAM. Tidak saya sangka dia membuat panggilan telefon setelah beberapa kali berbalas email. Saya pernah menghantar resume ketika portal tersebut menawar sesiapa yang sudi berkhidmat secara sukarela dengan portal yang insya-Allah pada saya akan menjadi jenama dan seterusnya menjadi fenomena fikrah Islamiyyah khususnya kepada para remaja masa kini. Lagi terkejut apabila saya mendapat tahu yang dia hanya berumur 21 tahun baru, satu tamparan juga pada saya. Teringat masa saya seumur dia dan apa yang saya lakukan pada masa itu. Pembaziran yang nyata, tidak mengapa..akan saya tebus sekarang juga.

Saya secara tidak sengaja terjumpa web ini dan terus tertarik dan terus melayari portal ini malah telah menulis beberapa artikel pembangunan diri terutama untuk remaja, fokus untuk para da’ie remaja untuk membentuk generasi fikriyyah Islamiyyah yang meletakkan Islam sebagai Ad-Din (cara hidup).

Perbincangan berlangsung selepas selesai solat Isyak kerana saya bertugas. Agak panjang perbincangan kami, banyak yang dikongsi dan saya terus melontar pemikiran-pemikiran yang seiring dan selari dengan akh Imran. Allah menemukan kami untuk agamanya melalui uslub kami iaitu portal iLuvislam.


Agenda

Diskusi belangsung penuh ukhwah, bagai abang yang baru berjumpa adik yang lama terpisah. Tidak terasa jurang umur antara kami. Inilah nikmat terbiyyah Islam, apabila Allah menjadi dasarnya maka insya-Allah tiada lagi khilaf sesama insan.

Melalui akh Imran saya dapat tahu yang krew mereka aktif di nun jauh di seberang laut walaupun dia adalah presiden kepada organisasi maya ini. Saya bertanya kenapa program di Malaysia sendiri tidak diutamakan, jawah Imran kerana kekurangan sumber manusia dan bukan manusia, kedua-duanya. Saya menyatakan pada akh Imran dia telah jumpa orang yang betul. Saya menyatakan hasrat untuk bersama dia untuk menggerakkan program di Malaysia. Masjid Usamah bin Zaid boleh menjadi pusat untuk segala macam aktiviti. Itu jaminan saya pada akh Imran dan juga iLuvislam lebih cerap lagi ialah Islam itu sendiri.

Gerakan untuk program boleh bermula dari sini (masjid Usamah bin Zaid) kata saya kepada akh Imran, dia tersenyum panjang berfikir. Memang persis orang yang berpemikiran intelek dan mempunyai ruhhiyyah Islamiyyah perlu begitu. Saya pun cuba untuk jadi begitu. Sebab diskusi positif tanpa henti memang kegemaran saya, tidak kira dengan siapa dan di mana, saya akan cuba dapatkan apa yang berbentuk pengalaman sebagai ilmu dan panduan serta renungan terutama mereka yang lebih dahulu merasai rencah asam garam kehidupan dunia.


Konsultan

Akhirnya saya menanyakan apakah kedudukan yang paling sesuai untuk saya berkhidmat dengan iLuvislam. Akh Imran bermenung sejenak dan kemudian berkata :”Ana rasa anta sesuai duduk dalam ‘consultancy group’ yang akan tubuhkan nanti, boleh kita bergandingan untuk pelaksanaan program khususnya di Malaysia yang memang tidak pernah ada lagi. Saya mengkritik sedikit, sepatutnya di sini paling banyak program kerana Presidennya (akh Imran) di sini.

Sedikit kredit untuk akh Imran, saya katakan pada dia insya-Allah saya akan bekerja untuk “dakwah siber” melalui portal iLuvislam semampu zahiriyyah dan fikriyyah yang Allah kurniakan, insya-Allah. Saya cukup bersemangat kerana jelas di hadapan apakah implementasi yang akan dapat kami lakukan nanti.

Setelah jam menunjukkan pukul 11 malam maka akh Imran meminta diri untuk pulang ke UIA kerana tugasnya sebagai seorang pelajar masih perlu dilunaskan. Assignment banyak katanya, maklumlah mahasiswa kejuruteraan.

“Ana insya-Allah selagi boleh dan mampu ana akan tolong anta, ini satu fenomena. Banyak yang akan kita dapat manafaatnya dari apa yang kita lakukan kelak, yakinlah insya-Allah. Tapi ana memang lemah sikitlah dalam penyediaan kertas kerja dan sebagainya. Tapi untuk perhubungan luar dan dalam insya-Allah takde masaalah. Untuk idea-idea yang mahu di aloboratkan dengan pelaksaan maka itu memang kegemaran dan kemahiran ana, meyumbangkan pemikiran berdasarkan pengalaman dan pengamatan serta penilaian pendapat orang lain adalah suatu yang amat saya idamkan.” Hujah saya panjang lebar kepada akh Imran yang lebih banyak mendengar, mungkin kerana hormat pada saya yang lebih abang darinya atau kerana status saya yang dia sendiri tenggelam timbul memanggil dengan panggilan ‘ustaz’.

Sambil tersenyum seraya akh Imran berkata : “Kira anta jadi ‘think-tank’ lah nanti...”

Saya pun turut tersenyum sambil melapangkan dada untuk bersedia menerima bebanan amanah baru ini, insya-Allah.

Az-Zahir

22 January 2009

TENTATIF PROGRAM : SEMARAK CINTA MASJID USAMAH BIN ZAID WANGSA MAJU.


AHAD 25 JANUARI 2009 / 28 MUHARAM 1430H


3.30 pagi
Munanjat Perdana Hijrah ( Tuan/Puan Dijemput Hadir )
Oleh : Ustaz Che Mokhtar Bin Md Isa
Imam Universiti Teknologi Malaysia ( UTM )


6.10 pagi
Solat Subuh
Kuliah Subuh
Oleh : Ustaz Che Mokhtar Bin Md Isa
Imam Universiti Teknologi Malaysia ( UTM )


8.00 pagi
Memasak Bubur As-Syura ( Tuan/Puan Dijemput Hadir )


10.00 pagi
Pertandingan Futsal Antara Surau
Di Sport Seven, Wangsa Maju


7.25 malam
Solat Maghrib
Ucaptama Ma’al Hijrah
Oleh : Ustaz Zamihan Bin Mat Zin
Penolong Pengarah
Pusat Al-Quran Dan Ilmu Teras
Institut Latihan Islam Malaysia ( ILIM )


8.35 malam
Solat Isyak
Jamuan Makan Malam
Majlis Perasmian
Oleh : Tuan Haji Mazlan Bin Abdullah
Ketua Penolong Pengarah
Bahagian Pengurusan Kariah ( JAWI )

10.00 malam
Malam Kesenian Islam
Persembahan Nasyid

12.00 malam
Bersurai


20 January 2009

Ustaz / Imam / Bilal : Satu Panggilan

Ustaz

Kerana saya mengajar al-quran kepada adik-adik yang orang tua mereka mahukan begitu, mereka panggil saya Ustaz. Kerana perwatakan saya, cara berpakaian, cara bertutur dan perkara yang ditutur serta amalan rutin maka sebahagian kenalan pejabat suka panggil saya Ustaz.

Kadang-kadang ada yang panggil syeikh, saya sendiri suka membahasakan diri akhun yang bergelar Ustaz atau sedang melanjutkan pengajian dalam bidang agama sebagai ‘Syeikh’, hampir keseluruhan daripada mereka saya akan lontarkan panggilan tersebut.

Begitu juga akhun yang baru saya kenal atau bakal kenal, menurut saya panggilan tersebut melambangkan penghormatam saya kepada fikrah keilmuan mereka yang berorientasikan ulum al-Islam. Kerana saya belum kesampaian, insya-Allah sedikit masa lagi akan saya susul mereka. Rakan-rakan serumah lama juga tidak putus dengan meletakkan gelaran Ustaz pada saya, tidak tahu mengapa, walaupun kami sedikit berbeza dari sudut fikriyyah.

Semasa menjalani kursus BTN, Induksi Kursus dan Umum saya dilantik menjadi imam rasmi kursus maka secara automatiknya panggilan ‘Imam’ meniti di bibir setiap peserta apabila bertembung dengan saya, malu alang juga. Bahkan sehingga sekarang kalau berjumpa kawan yang sekursus dulu, mereka lebih selesa dengan panggilan itu. Agak menakutkan saya.

Bukan apa, ilmu tidak mencapai tahap yang selayaknya. Memang kita berpengajian agama dahulu, tetapi malu alah kerana mereka yang memandang tinggi pada saya. Beberapa kali saya menegur akhun dan akhawat jangan panggil saya dengan panggilan itu, tinggi martabatnya. Takut tidak mampu menanggung amanah nama tersebut. Kalaupun ilmu agama lebih sedikit daripada mereka tetapi dari segi akhlak belum tentunya.

Kini pula saya adalah bilal rawatib Masjid Usamah bin Zaid, maka makin ramailah yang suka memanggil saya Ustaz, Allahu rabbi. Adakah ini ujianMu atau bolehkah ku anggap sebagai pendorong agarku betul Ustaz nanti, Insya-Allah.

Ketika balik berhari raya Aidilfitri di kampung, di samping mengimami beberapa siri solat tarawikh, ada juga ada program berbuka puasa di surau kampung. Saya juga diamanahkan menjadi pengerusi dengan panggilan ustaz oleh orang kampung, ya Allah..semakin tambah beban panggilan ini. Sementelah pada raya tersebut saya telah diminta membacakan khutbah raya. Hendak ditolak segan pula, seinngat saya pihak surau telah beberapa kali meminta saya berkhutbah tetapi sentiasa sahaja ditolak, kini tidak mampu lagi.

Ada seorang hamba Allah yang suka memanggil saya dengan panggilan yang tersebut, saya tegur dan minta dia panggil nama sahaja. Tetapi hujah dia balik “Tidak mengapa la imam, bukan ke kata-kata itu doa? Kalau semua orang panggil ustaz ke imam ke macam diorang doa la tu,” saya terdiam. Hujahnya betul, semenjak menyandang gelaran tersebut pergerakan aku bataskan, banyak perkara kebaikan yang saya idamkan dahulu semakin menjadi realiti.

Sebenarnya saya suka jika dipanggil Ustaz, itulah idaman saya kini. Tetapi rasanya belum sampai masanya, alimku bukan alim melain tahu sahaja. Tidak layak lagi. Tetapi akan saya usaha untuk menembusi ruangan layak itu. Saya tidak kisah panggilan apa yang suka diletakkan orang, Janji dapat terus saya menyampaikan segala kebaikan yang ada dan sedaya upaya mengurangkan segala kemaksiatan yang telah bersarang dan bakal mendatang.

Ya Allah, engkau sahaja tahu selayaknya apa untuk hamba sahaya hinamu ini. Tetapi ku akan tetap terus berusaha untuk redhaMu walau kadang-kadang salah caranya, ku akan cuba janganlah putuskan pertalian “habbah”Mu itu, ku rayu..ku pinta..ku damba..Insya-Allah, sirapkanlah gelora nafsu ammarah kepada mereka yang menjadi musuh agamaMU, ku madah padamu jua.

LA ILAHA ILLALLAH, MUHAMMADUR RASULULLAH.

Az-Zahir

Hakikat

Hakikat atau kenyataan adalah rencah garam dalam kehidupan, kenyataan adalah bentuk peristiwa yang pasti ditempuhi oleh segala manusia yang hidup, mahupun yang telah mengdahului kita. Tetapi bagi sesetengah orang hakikat bukanlah kenyataan yang mereka mahu terima, malah mereka dengan sombongnya akan mendustakan hakikat tersebut.

Dalam sejarah kejadian manusia sendiri, apabila Adam as telah diciptakan oleh Allah ta’ala untuk menjadi khalifah di muka bumi ini maka dengan itu juga pengderhakaan oleh Iblis terhadap perintah Allah. Allah memerintah kepada sekelian malaikat agar sujud kepada Adam tetapi Iblis berpegang pada hakikat kejadian yang dia dijadikan daripada api manakala Adam dari tanah, masakan yang lebih hebat sujud dan tunduk kepada yang lemah hujah Iblis, maka berlakulah penderhakaan yang pertama dalam sejarah. Hal tersebut telah dirakamkan oleh Allah swt dalam al-Quran, surah al-Baqarah.

Iblis merasakan hakikat kejadiannya adalah lebih hebat dari Adam, dengan itu timbul rasa tidak puas hati, dengki dan sebagainya yang menyebabkan dia derhaka pada Allah. Sifat mazmumah ini kemudiannya telah diwariskan kepada manusia sendiri pada hari ini. Maka tidak boleh dinafikan bahawa mereka yang suka menjadikan sifat-sifat mazmumah ini sebagai pedoman hidup mereka layak digelar pewaris Iblis dan Syaitan. Mereka ini juga telah bersumpah dengan Allah ta’ala yang mereka akan sedaya upaya menyesatkan anak cucu Adam, lalu dipohon kepada Allah agar hayat mereka dipanjangkan hingga kiamat. Semua ini juga telah Allah ta’ala rakamkan di dalam al-Quran yang wajib sekalian umat Islam untuk beriman kepadanya.

Menjadi fitrah manusia mahukan yang terbaik untuk diri masing-masing. Keutamaan selepas diri sendiri pasti adalah orang tersayang termasuk isteri,anak-anak, ibu bapa, adik-beradik, saudara-mara seterusnya barulah kepada masyarakat sekeling yakni sahabat-handai, jiran tetangga, rakan sekampung, rakan senegeri dan rakan senegara. Ketika Malaysia secara realitinya adalah sebuah negara yang majmuk (multi-rasis) yang begitu unik, perbezaan ini sering kali dijadikan segmen yang penting dalam juzuk kehidupan masyarakat Malaysia sekian lama. Selain dari keperbedaan kaum bangsa ini perbezaan yang juga amat penting dan sentiasa diberi keutamaan adalah perbezaan agama.

Sebenarnya kedua perbezaan ini bukanlah benda yang baru, sejak sekalian lama manusia ini memang sengaja diciptakan oleh Allah ta’ala bukan lain hanya untuk menunjukkan variasi kekuasaan Allah yang maha mencipta. Siapa yang nafikan bahawa perbezaan inilah yang menjadikan Malaysia antara negara yang tidak tandus dari kontroversi.

Az-Zahir

17 January 2009

JIhad : Gaza / Kuala Terengganu

Hari ini saya mulakan hari dengan bertugas di masjid untuk laungan azan Subuh, saya tidur di rumah Ustaz Reimi kerana sedikit kerisauan jika lambat sedar kerana seharian mengadap laptop untuk menyudahkan tugasan kelas yang berlangsung tadi.

Di kelas hari ini semasa sesi kelas pagi, maddah Perhubungan Etnik memulakan pengajaran. Pensyarah bagi subjek ini En. Azizi yang banyak melontarkan pandangan luar kotak yang disahut oleh saya sebagai bahasan positif. Ingat tadi, ada kami sebut berkenaan PPSMI, falsafah sebenar perlembagaan dan banyak lagi. Peluang yang diberi untuk memberi pandangan itu sebaiknya digunakan oleh saya untuk menimbulkan polemik minda tajdid yang positif untuk diri dan kawan-kawan.

Pada sebelah petang ada sesi pegucapan awam bagi subjek English for Communication, saya pilih tajuk 'Boycott Israelian Product' atas semangat memberi kesedaran kepada rakan-rakan agar ada sensitiviti tentang apa yang berlaku. Nampaknya tidak ramai yang mahu cakna, mungkin yang kena bom bukan mak bapak, adik beradik, anak pinak mereka. Tapi bukan ke mereka saudara seIslam yang dipertanggungjawabkan oleh Allah kepada kita?

Kelas berakhir 5.30pm.

Selepas maghrib saya cuba menyampaikan perkongsian wacana ilmu dengan mengaitkan Islam dalam perspektif barat. Walaupun kitab yang dipegang saya ialah "Matan Al-arba'in" tetapi wacana lebih kearah tazkirah pemerahan minda, insya-Allah ada manafaatkan pada diri saya terutamanya selain pada jemaah sekalian.

Pulang dari masjid terus laptop dihadap untuk mengetahui keputusan pilihanraya. Alahamdulillah, kemenangan hak pada yang benar mahu mendaulahkan Islam, insya-Allah.

Tetapi ketika kumpulan Islam di Kuala Terengganu ini menang mengikut lunas ketetapan demokrasi di Malaysia, ingat terus saya ketika ini juga Gaza masih dibedil dan digasak oleh Yahudi laknatullah. Perjuangan yang belum selesai dan tidak akan selesai, itulah hakikat perjuangan.


Jihad saya pada ruangan saya, tidak tahu layak dipanggil jihad atau tidak? Kuala Terengganu juga jihad, acuan Malaysia. Di Gaza pula jihad juga. Tapi, acuan mana yang mampu dan dapat disumbangkan?Termanggu..

Az-Zahir

16 January 2009

Artikel : Jodoh

Sedikit gembira apabila artikel tulisan saya bertajuk "JODOH" telah disiarkan oleh laman web iLuvislam.com bermula 14 Jan 09 lalu sehigga hari ini telah mencapai hit yang agak memberangsangkan.

Sehingga ketika ini hit telah mencapai 3814 tatapan dan 30 lebih komen. Insya-Allah artikel yang berkaitan jodoh ini akan saya panjangkan, insya-Allah semoga saya dapat memunafaatkan sedikit ilmu dan pengalaman yang Allah ta'ala kurniakan.
Bagi akhun wa akhawat yang berminat untuk membaca artikel tersebut boleh ke portal tersebut, sebarang komen dan penambahbaikan amatlah dialukan.

Insya-Allah saya akan sentuh berkenaan tajuk "Teman tapi mesra : retorik" untuk artikel seterusnya, wallahua'lam. Semoga Allah terus memberi ilham dan kesihatan zahiriyyah dan batiniyyah untuk terus menyampaikan dan seterusnya mengajak para mukmin dan mukminah mencari dan mencapai hakikat redha Allah, wallahua'lam.

Az-Zahir

Mencemar Duli - DYMM Al-sultan Yang Dipertuan Agong

DYMM Tuan Yang Dipertuan Agong akan mencemar duli untuk bersolat Jumaat di masjid Usamah bin Zaid, Wangsa Maju.

Persiapan yang agak drastik telah dijalankan seharian lamanya, saya hanya diberitahu setelah singgah untuk solat Asar di situ oleh Ustaz Mursyidi, sempat juga menolong apa yang patut.
Solat Jumaat hari ini perlulah saya hadir untuk meraikan para tetamu, mungkin ini adalah pengalaman baru. Semoga dengan lawatan rasmi ini menjadi pemangkin kearah kemakmuran pengimarahan masjid Usamah bin Zaid, insya-Allah.


Az-Zahir

15 January 2009

Kebejatan Ruangan Masa

Masa


"Demi masa, sesungguhnya manusia itu berada dalam kerugian, melainkan mereka yang beriman dan beramal soleh, dan mereka yang berada dalam kebenaran, dan mereka yang berada dalam kesabaran" surah Al-ikhlas


Banyak versi syarah surah ini saya sudah dengar, dari seingat pandai mengaji dan membaca sudah dikhabarkan akan makna surah ini. Dewasa sedikit diajarkan pulak maknanya sehingga kemudian mendengar syarahnya dari ustaz dan ustazah yang pelbagai.

Pernah sahaja saya mendengar syarah surah ini sehingga hampir satu sesi kuliah, begitu mendalam huraiannya. Apapun surah ini memang menggambarkan kepentingan masa yang tiada tolak bandingnya.

Al-Imam al-Ghazali rahimahullahu ta'ala menggambarkan masa sebagai tempat yang paling jauh, kerana masa yang telah berlalu takkan kembali dan tidak akan mampu kita untuk ke sana lagi walau secanggih manapun kenaikan kita.

Saidina Ali karramallahu wajhah pula menggambarkan masa ibarat sebilah pedang yang amat tajam, jika kita kelewatan atau membazirkannya maka ianya akan memotong kita tanpa belas ihsan.

Saya sendiri tidak terlepas dari menzalimi dan dizalimi oleh masa. Kecundang dahulu, bila diberi peluang bermain dengan masa, saya tidak tahu kenapa mudah saya meninggalkan mercu gading yang diimpikan oleh segenap yang sudah bergelar mahasiswa. Mungkin stigma pemikiran pada masa itu amat pesimis malah kosong dari rahmat Allah. Tapi kini...

Masa seakan seiring dengan saya, walaupun masih kadang-kadang dia mendahului. Tapi saya sebolehnya berusaha untuk memujuknya agar bersama-sama melewati kehidupan fana ini, janganlah ditinggalkan saya. Bukan apa, dia makhluk Allah yang hebat, tidak berupa, berwarna, berasa. Masa sentiasa taat pada peintah Allah, tidak pernah ia terhenti dan pusing ke belakang melainkan terus maju ke depan.

Saya kahwinkan masa saya dengan beberapa elemen kepentingan agama Allah sebagai ganti rugi yang dahulunya, kalau boleh mahu diqada'kan semuanya sekaligus, mampu ke? Insya-Allah kerana saya tahu Allah pernah berfirman bermaksud :


"Jika kamu mempermudahkan urusan Allah akan dipermudahkan pula urusanmu.."
Menyibukkan diri pada setiap peruntukan saat, minit dan jam yang ada sebaleh-bolehnya untuk urusan agama, agenda saya sekarang. Setiap lintas fikir, tutur madah, pandang mata, bunyi dengar, lidah rasa sebolehnya semata li llahi ta'ala.

Kini saya seronok kerana kebejatan masa saya telah saya cuba isikan dengan agenda ini, Letih, sudah tentu. Tapi segan dan malu pada Rasulullah yang sanggup berlapar, bermandi darah, berpeluh basah sedangkan dia ialah Habibullah lebih terkesan memotivasikan untuk tidak merungut, tapi tidak pula diminta empuk rasa nikmat dunia. Kerana Rasulullah tahu itu hanya sementara, tetapi rahmat dan redha Allah membawa ke syurga.

Kita beruntung, masih punya masa selagi tidak dirangut nyawa badan.

Az-Zahir

14 January 2009

Sepetang bersama para mujahid muda-Mahasiswa UM

APIUM

Beberapa bulan lepas saya bertemu secara tidak sengaja dengan seorang akh yang dikira sangat 'familiar' dilihat, tetapi kalau tanya di mana? Saya sendiri kurang pasti, Yusri namanya. Cumanya rentetan dari pertemuan itulah seterusnya ditakdir Allah ta'ala kami dipertemukan lagi bila saya berkunjung ke Akademi Pengajian Islam UM untuk urusan kemasukan Diploma Eksekutif Usuluddin (Insya-Allah bulan Febuari akan mula)di surau APIUM untuk menunaikan solat Zohor. Kemudian sekali lagi kami dipertemukan di Masjid Negara setelah selesai sembahyang Jumaat, kelihatan sesosok tubuh yang agak saya kenal sedang membelek-belek dokumen.

Rupanya akh Yusri, graduan paling baru keluaran APIUM sedang menunggu untuk berurusan dengan pihak Masjid Negara untuk program "Kem Ibadah" yang dianjurkan syarikat konsultannya sendiri. Hebat anak muda ini. Membuatkan saya teruja untuk tahu lebih, setelah bertukar nombor telefon bimbit masing-masing kami berpisah dengan iringan salam terhadap diri masing-masing. Seterusnya ukhwah antara kami terus bersemi, tiada perbatasan ukhwah atas nama dakwah Islam, Insya-Allah.

GAMIS

Kemudian saya dapat tahu yang akh Yusri adalah ketua dewan dakwah Gabungan Mahasiswa Islam Semalaysia (GAMIS). Pernah saya membawa akh Yusri ke masjid Usamah bin Zaid untuk dipertemukan dengan Ustaz Mursyidi (ketua imam) untuk membina jaringan kerjasama jika ada program yang memerlukan fasilititor yang berpengalaman kerana sememangnya masjid kami kekurangan tenaga kerja. Beliau tidak keberatan untuk menyumbangkan fitrah dan fikrah kepada usaha dakwah malah memberi jaminan untuk mengrekrut akh-akh yang lainnya lagi untuk sama membantu.

Saya sendiri pernah beberapa kali ke rumah sewa para aktivis mahasiswa UM ini. Tapi jarang mereka ada di rumah kerana masing-masing sibuk dengan urusan kuliah, ada yang sambung Master, PHD, dah jadi tutor dan lain-lain. Cuma petang semalam saya bernasib baik kerana boleh dikatakan semua ahli rumah ada di rumah, termasuh akh Dzulkhairi (Presiden Gamis) dan beberapa orang akh yang hebat-hebat belaka. Secara verbal duduk berborak dan berjemaah Magrib sudah cukup untuk membawa saya menyelami kehidupan mereka yang berwawasan dan sederhana.

Teringat sabda Rasulullah yang menyebut :

"Jika berkawan dengan penjual daging akan berbau daginglah kita, jika berkawan dengan penjual minyak wangi maka wangilah kita"

Semoga hubungan yang terbina atas dasar haraki Iskami ini akan memberi munafaat kepada agama Allah khususnya, terima kasih atas layanan para akh sekalian, sepetang bersama kalian sudah cukup mencerna ruhiyyah perjuangan untuk meneruskan cita-cita mendaulahkan Islam. Mungkin saya lambat sedikit dari akh sekalian tapi yang pasti, Insya-Allah saya akan sampai.


Az-Zahir

13 January 2009

Usah difikirin,teruskan aja...!!

Master

Teringat lagi semasa saya tengah menunggu keputusan dari UUM untuk menyambung kembali pengajian ijazah saya. Waktu itu kesibukan belum lagi menguasai ruangan harian. Lagipun saya baru mula kerja 3 bulan, baru nak menapak kata orang KL.

Di suatu hari minggu, Nik Sin (sepupu) kawan rumah sewa telah mengajak saya ke KLCC untuk berjumpa dengan rakannya dari Indonesia yang sedang mengikuti pengajian peringkat Master dalam bidang Farmasi, umurnya baru 23 tahun malah hanya seorang gadis. Saya bersetuju.

Saya seakan sedikit teruja kerana akan berjumpa hamba Allah yang sebaya umur sedang mengikuti pengajian peringkat Master. Banyak yang bakal dibicarakan nanti, rancang saya.

Setelah berjumpa yang bersuai kenal kami bersembang. Tapi saya tidak menunggu lama untuk terus ke agenda utama,

"Eifel, saya semacam tidak percaya kamu sedang mengikuti pengajian peringkat Master sekarang, dalam bidang Farmasi pulak tu, hmm.." sambil mengerutkan kening.

Saya memulakan wacana. Eifel gelak...kemudian berkata,

"Aku pun ngak nyangka, tapi sebenarnya sesetengah perkara ngak usah difikirin, teruskan aja lagikan ianya perkara baik."

Seakan terpukul dengan ungkapan Eifel yang berbunyi "usah difikirin, teruskan aja", tiba-tiba terasa ada satu lonjakan paradigma dalam sanubari saya seolah berkata-kata dan mengkritik diri sendiri, entah kenapa saya terus tertusuk dengan ungkapan itu. Kemudian saya cuba rumuskan secara kendiri, melakukan muhasabah seterusnya menerjah sumber inspirasi.

Oleh kerana kita makhluk yang Allah kurniakan akal maka kita sentiasa berada dalam dua persimpangan, terutama dalam membuat keputusan. Bagi si pembuat keputusan tentu akan berfikir dan membuat keputusan yang paling menguntungkan diri sendiri sahaja. Tetapi tidak semestinya keputusan yang difikir masak-masak adalah keputusan yang tepat.

Terlalu berfikir panjang juga kadang-kadang menimbulkan polemik yang tidak sihat. Contohnya seseorang yang telah bekerja tetapi ingin sambung belajar ke peringkat yang lebih tinggi samaada secara pengajian jarak jauh (PJJ) ataupun pengajian luar kampus (PLK) yang ternyata memerlukan komitmen yang tinggi. Jika dia berfikir "mampukah aku...", "kalau tak lulus macammana...", "duit gaji nanti cukup ke..." dan pelbagai lagi persoalan negatif yang belum pun terjadi telah difikirkan oleh mereka maka dengan sendirinya mereke telah keundangkan diri mereka sendiri sebelum masuk gelanggang lagi.

Rumusannya ialah selagi perkara yang hendak dilakukan adalah perkara yang elok maka lakukanlah, jangan di persoalkan terutama jika perkara tersebut perkara yang baik dari landasan syarak dan agama.


Encik Nik

Encik Nik salah seorang pegawai yang bertugas bersama saya di JPPH dan dia adalah bekas pelajar SPACE UTM, dilantik sebagai pegawai W41 setelah umur cecah 40an. Itupun setelah 4 tahun berhempas pulas ke kelas kuliah pada hari minngu.

Encik Nik diajak kawannya untuk sambung belajar bersama-sama sedangkan pada peringkat awalnya dia tidak mahu. A'la kulli hal yang grad adalah Encik Nik dan kawannya yang bersemangat dulunya telah kecundang di tengah jalan.

Saya tanya Encik Nik, macam mana dia harungi saban hari sebagai seorang pelajar dan pekerja. Dia kata kalau nak kira malas, letih dan sebagainya memanglah tidak tertanggung. Tapi katanya bila difikir semua benda itu akan berlalu, masa itu pasti akan berlalu.

Motivasi

Kedua-dua individu ini secara tidak langsung telah menyuntik semangat dan membina konkrit falsafah tekad untuk saya teruskan pengajian. Teruskan dan terus jangan berhenti, pasti akan berlalu semua hal yang membelenggu lagikan pula ini ialah hal amal kebaikan.

Sabda Rasulullah yang bermaksud,

"Tuntutlah ilmu dari dalam buaian hingga ke liang lahad"

Teruskan ya rijal....teruskan ya ikhwah....dan teruskan ya muslimin....kelak tidak kita kan sesal.

Az-Zahir

Program Khidmat Masyarakat-Bengkel Pengukuhan Solat.

Salah satu modul semester ini (pengajian PJJ saya dengan UUM) ialah Khidmat Masyarakat 2, yang mana memerlukan mahasiswa dan mahasiswi menganjurkan satu program kemasyarakatan. Kami dibahagikan kepada 3 kumpulan dan setiap kumpulan terdiri dari 20 orang anggota.

Usul program yang diterima adalah "Bengkel Pengukuhan Solat". Perbentangan kertas kerja kepada pensyarah@penyelia projek telah diserahkan kepada saya.Alhamdulillah, segalanya lancar apabila hujah-hujah dan jawapan yang dikemukakan saya kepada pensyarah dan rakan-rakan kumpulan lain memuaskan, saya cuba lakukan yang terbaik kerana program ini saya ibaratkan sambil menyelam minum air :

1.Dakwah ibadah

2.Markah subjek


Bengkel Pengukuhan Solat

Program berbentuk ilmiah spiritual ini adalah sebaik program pembangunan masyarakat kiranya. Kumpulan sasaran ialah adik-adik 9-15 tahun, dan diadakan di Pusat Islam UPM Serdang. Memang sesuai kerana Ustaz Hisyam (sahabat siswa) sahabat sekumpulan dengan saya dan juga merupakan Imam dan pegawai Pusat Islam UPM Serdang oleh yang demikian juga dia telah dilantik sebulat suara sebagai pengarah projek. Jadi, memang satu kelebihan kepada kami.

Dengan menyumbangkan sedikit unsur dasar, menyumbang fikrah dan memudah cara. Saya rasa terharu kerana sahabat sekalian seakan sekata dalam segenap hal.

Alhamdulillah

27 Disember 2008 lalu dipilih untuk kelangsungan bengkel tersebut, penyertaan yang hanya dihadkan kepada 50 orang sahaja menjadi sehingga 75 orang, itupun menurut Ustaz Hisyam hampir 200 orang yang mahu menghadirkan diri malah ada yang mahu membayar yuran walhal program itu adalah percuma.


Banner program

Saya sendiri telah mengendalikan beberapa slot dalam bengkel tersebut dengan menjadi moderator dan penceramah pengisian praktikal azan dan solat. Alhamdulillah segalanya lancar dan kami semua amat berpuas hati dengan program seharian ini, semoga program in mejadi perintis kepada semangat juang dakwah saya dan kawan-kawan lain.

Melentur buluh biar dari rebungnya, anak-anak harus diisikan rohani mereka dengan pengertian agama, moga Allah memberkati program kami dan saya harap niat untuk dakwah 'lillahi ta'ala' mengatasi harapan untuk mendapat 'A' untuk subjek tersebut. Paling kurang saya sudah buktikan yang alat dunia harus digunakan semaksimum yang mungkin untuk agama Allah.

Di bawah ini saya akan muatkan gambar-gambar sekitar hari program.

Az-Zahir

12 January 2009

Sekitar Hari Program-Bengkel Pengukuhan Solat di UPM Serdang




















Potrait 2008/2009


AHMAD ZAHIRUDDIN BIN MOHD ZABIDI

Masjid Usamah bin Zaid



Masjid Usamah bin Zaid, seksyen 1 Wangsa Maju


Masjid ini memakan masa hampir 5 tahun untuk disiapkan, dengan kos yang tidak dapat saya nak anggarkan walaupun dah hampir 2 bulan bertugas sebagai bilal (rawatib) di sini. Yang saya tahu masjid ini adalah masjid yang paling bongsu di WPKL iaitu yang ke-54. Tempat yang agak berprestij kerana terletak di lereng bukit menggambarkan syiar Islam yang masih utuh di Malaysia walaupun ada anasir-anasir yang cuba mencalarkannya.

Saya mula bertugas di sini secara rasmi pada 1 November 2008 yang lalu setelah menghadiri percubaan bertugas selama satu hari penuh dari Subuh hingga Isyak. Alhamdulillah, Allah ta'ala memilih saya untuk menjadi salah seorang anak muda yang terikat dan mahu hatinya diikat pada masjid, semoga tergolong dalam salah satu golongan yang mendapat naungan daripada Arash Allah ta'ala di hari pembalasan kelak, Insya-Allah.

Banyak program dalam perangkaan untuk dijalankan, peruntukan dari pihak atasan juga banyak kerana memandangkan masjid ini ialah masjid peringkat zon. Buat masa ini sudah ada aktiviti yang dilangsungkan bahkan insya-Allah nanti akan banyak lagi program pembangunan insan terutama masyarakat Islam setempat ke arah mengimarahkan masjid seterusnya mendaulahkan Islam akan diadakan.

Buat masa ini masjid ini mempunyai seorang imam kerajaan, tiga orang imam rawatib. Bilal kerajaan juga seorang dan dua lagi bilal rawatib termasuk saya sendiri. Seorang noja dan pegawal keselamatan juga dilantik sebagai jentera pengurusan masjid Usamah bin Zaid. Majoriti ahli petugas masjid adalah orang muda barangkali kerana penyesuaian dengan nama Usamah bin Zaid, pejuang muda di zaman tabi'in. Wallahua'lam.

Ketua Imam (JAWI)
Ustaz Mursyidi bin Haji Abdul hamid

Imam Rawatib
Ustaz Haji Mohammad bin Yusof

Imam Rawatib
Ustaz Khuzairi

Imam Rawatib
Ustaz Ihsan

Ketua Bilal (JAWI)
Ustaz Reimi

Bilal Rawatib
Ustaz Nashol

Bilal Rawatib
Ustaz Ahmad Zahiruddin bin Mohd Zabidi

Noja
Abang Mohd Noor Biggs Abdullah

Jaga
Abang Yusoff

Bingkisan Tahun Sudah

Alhamdulillah, maha suci Allah yang mentadbir tanpa pernah ada kesilapan. Sedangkan kita manusia sangatlah penuh dengan kedaifan. Tapi kadang-kadang kita tidak rasa yang kita ini adalah hambanya kerana rahman dan rahim Allah sendiri.

Sebenarnya banyak yang hendak dicoret dalam ruangan subjektif ini, mungkin lepas ini blog ini adalah medium perhubungan dan perkembangan diri saya dan 'akhun wa akhawat' yang telah dan akan mengenali diri saya.

Suka saya mulakan coretan aktif blog ini (baru ada broadband dan laptop sendiri) dengan merumuskan perjalanan helaan nafas kurniaan Allah kepada saya sepanjang tahun 2008 yang lalu, agar menjadi perkongsian dan juga catitan peribadi saya.

Ada beberapa perkara besar yang perlu dicatitkan agar saya tidak tergolong dari mereka yang sentiasa lupa dan lebih teruk jika menjerumus ke lembah kekufuran khafi(kecil) ataupun jali(besar).

Setelah habis 6 bulan kontrak sebagai Pembantu Perangkaan di Jabatan Perangkaan Kelantan, saya dan seorang kawan tidak disambung kerana pihak atasan tahu bahawasanya kami telah berjaya dalam temuduga sebagai penjawat awam tetap. Kontrak sebagai pekerja sambilan itu tamat pada 31 Disember 2007.


Jan 2008
Melapor diri di SPA Putrajaya sebagai penjawat awam (tetap) kemudian diarah ke Jabatan Penilaian & Perkhidmatan Harta WPKL (JPPH WPKL).

Mac 2008
Memulakan tugas sebagai pengajar Al-Quran dan Fardhu-Ain di bawah naungan Darul Fawwaz yang dikelolakan oleh pasangan suami isteri, Ustaz Haji Azwan bin Haji Ali dan Ustazah Muzayyah.
Pertama kali mengundi, alhamdulillah kemenangan ditetapkan pada golongan yang benar mahu mandaulahkan Islam.

April 2008
Mendaftarkan diri sebagai pelajar pengajian jarak jauh Universiti Utara Malaysia (UUM) untuk pengajian Ijazah Sarjana Muda (kepujian) Pentadbiran Awam.
Julai 2008
Penubuhan UMI WA ABI ENTERPRISE yang melakukan kaloborasi antara saya sebagai pengurus@pemodal dan Cik Ail (pak cik saya) sebagai pegawai hal ehwal pemasaran dan jualan kereta terpakai.

Nov 2008
Memulakan tugas sebagai Bilal (rawatib) untuk Masjid Usamah bin Zaid, Wangsa Maju. Merupakan masjid yang paling bongsu di WPKL yakni masjid ke-54 bertaraf zon.

Dis 2008
Mengikat talian hubungan dengan mar'ah yang insya-Allah menjadi pelengkap syarak dan sunnah Rasulullah dalam sedikit masa lagi, Insya-Allah.

Saya merafa'kan setulus kesyukuran kepada Rabb Al-Jalil dan kepada hambanya yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam kelangsungan hidup ini. Untuk perancangan di masa hadapan kiranya ada sebagai alur laluan selagi mana ianya realistik dan ada daya usaha untuk menuju ke arah yang demikian.
Az-Zahir

10 January 2009

SETAHUN BERLALU : catatan peribadi

Alhamdulillah, syukur sekian kalinya kepada Allah ta'ala kerana nikmat Iman dan Islam kepada kita, ternyata tidak mampu untuk dilangsaikan walaupun kita sedaya upaya untuk membalasnya.

Kini tahun 2009@1430 telah tiba, setelah hampir setahun saya berpindah kembali ke Kuala Lumpur setelah meninggalkannya tahun sudah. Tapi sangatlah berbeza kali ini kerana transformasi mental dan fizikal telah mengiringi saya pada kali ini.

8 Jan 2009 maka genaplah setahun saya bergelar penjawat awam setelah melaporkan diri tarikh yang sama tahun sudah. Alhamdulillah banyak nikmat dan tak kurang juga ujian yang telah ditempuh malah kadang-kadang perlu dirempuh sepanjang tahun yang tersebut. Disamping cuba menyibukkan diri sebagai seorang da'ie dengan sedikit ilmu anugerah Allah ta'ala saya juga telah mengajar Al-Quran kepada mereka yang membutuhkan dengan kadar ilmu saya. Terbaru saya telah diterima bertugas sebagai 'bilal rawatib' di masjid ke-54 di WPKL yang terletak di Wangsa Maju, Usamah bin Zaid diberi nama. Alhamdulillah, hampir semua niat saya Allah permudahkan patut saya malu dan syukur padaNya.

Blog ini agak terkebelakang kerana saya tidak mempunyai fasilitis yang agak memuaskan untuk memahirkan penguasaan saya dalam dunia 'bloger', insya-Allah selepas ini saya akan cuba membaiki dan meningkatkan mutu penulisan kerana memang saya suka menulis dan dalam proses untuk menjadi penulis.

Sebelumnya saya berpendapat untuk menjadikan blog saya ini blog wacana ilmiah semata dengan memaparkan artikel cetusan nurani hati dengan salutan ilmu sedengkal yang ada. Ternyata saya sendiri pun kurang berpuas hati kerana sangat terasa kering dan kosong , mungkin kerana tiada label nama yang dapat disandarkan untuk digahkan agaknya. Tetapi apapun menulis bukan sekadar untuk mencetuskan paksi minda berfalsafah kepada orang lain malah untuk diri sendiri adalah terpaling penting.

Kini, saya mengambil keputusan untuk menvariasikan blog saya ini agar tidak stereotaip pada satu keadaan sahaja, tetapi lebih kepada catatan kritis tentang perjalanan hidup seharian untuk peringatan diri sendiri di kala lupa malah mungkin boleh dikongsi dengan mereka yang sudi membaca, saya masih dalam ruang penerokaan di samping bertukus lumus menyiapkan assignment pengajian.

Catatan diri ini mungkin lebih memberi erti kepada diri saya sendiri di samping dikongsi bersama dengan para mukmin yang sealiran pemikiran dengan saya. Selepas ini sebolehnya saya akan terus menulis dari hari ke hari untuk setiap catatan yang bermunafaat bagi membina, menyedarkan seterusnya mengaplikasikannya dalam kehidupan hakiki.


Ayuh, bangunlah untuk melakukan apa sahaja yang memberi kita 'credit pahala' untuk dijanjikan syurga oleh Allah kelak, insya-Allah.
Az-Zahir


09 January 2009

MENITI HARI LIKU : PERJUANGAN 08/09

MENITI HARI LIKU : PERJUANGAN

Bukan secara tidak sengaja Allah ciptakan sekalian makhluk di muka bumi ini malah pada keluasan cakerawala yang terbukti tidak mampu dirungkai oleh kecetekan ilmu manusia itu sendiri. Kini fenomena yang lebih mencabar di hari muka bakal menjelma. Apakah nasib Islam yang menjadi dasar perjuangan. Apakah akan terus pada kedudukannya atau diketepikan sedikit demi sedikit kerana keperbedaan lanskap geopolitik masa kini yang memerlukan keterbukaan toleransi yang maksimum.

Bagaimanakah caranya untuk memastikan Islam terus menerus menjadi aset perjuangan ummah. Adakah dengan apa yang kita capai setakat hari ini telah cukup untuk memastikan Islam itu sampai kepada sasaran. Walhal tujuan penciptaan manusia sebagai khalifah selain mentadbir dan memakmurkan muka bumi Allah ini antaranya juga adalah bagi berdakwah dan menyampaikan Islam itu sendiri dalam apa jua keadaan dan bentuk sekalipun.

Perkembangan dakwah Islam tidak boleh renggang dengan politik semasa. Malah sesiapa yang menghukum bahawa urusan agama dan urusan politik adalah dua institusi yang berbeza maka kafirlah hukumnya. Perlu difahamkan bahawa Islam adalah suatu pembawaan hidayah yang syumul merangkumi segala isi langit dan bumi malah mengjangkaui keluasaan cakerawala. Masakan perihal politik yang mewakili institusi pemilihan pemerintahan tanah jajahan takluk yang berdaulat seperti Malaysia boleh diasingkan dari agama Islam. Betapa jahilnya mereka yang berfikiran begitu, miskin dan daif sekali paksi akal mereka.

Bagi mereka, Islam hanyalah mengucap dua kalimah syahadah, sembahyang 5 waktu, puasa di bulan Ramadhan, bayar zakat fitrah dan pergi menuanaikan haji di Mekah. Cukup, sempurnalah Islam mereka. Apakah perlu malaksanakan hukum hudud dan qisas? Apakah juga perlu segala bentuk hiburan maksiat disekat? Kedai judi dan arak hanya beroperasi untuk orang bukan Islam? Walaupun tidak menutup aurat tidak pernah kami abaikan solat. Walaupun kami bersekedudukan tetapi kami tidak derhaka kepada orang tua kami. Dan banyak lagi persoalan yang ditimbulkan kemudiannya dijawab oleh rujukan nafsu hati mereka sendiri. Inilah masyarakat Wawasan 2020 yang bakal menjelma nanti. Bagi yang mempunyai umur sekian hari tataplah dengan mata tuli.

Di mana kurangnya keagungan para ilmuan bijak pandai dan pemerintah yang bestari. Mereka saban hari menggubal, mengrekrut, memerah, menyusun malah melaksanakan pelbagai polisi jadian sendiri. Apakah tidak berhasil untuk membina keagungan agama, bangsa dan negara? Tetapi mereka lupa mereka juga ada yang membuat, mereka juga ada tamat, mereka juga akan lumat dimamah bumi. Yang kekal hanya yang Haq pada segala nikmat dunia hina ini. Bermula dari nafas hela, urat jantan, mulut rasa. Segalanya adalah nikmat yang tidak diminta bayaran bulanan, segalanya diberi tanpa diminta. Bayangkan pancaindera dikurang satu sahaja, pincanglah sedikit kehidupan. Betapa syukur mereka yang sempurna kerana tiada susah seperti mereka yang bergelar orang kurang upaya (OKU).

Akhirnya manusia yang lemah lagi kerdil ini hanya mampu untuk mengaku bahawa sistem ciptaan akal dengkel tidak mampu menjadi indikator yang menjadi tilam hamparan empuk kehidupan dunia. Segala sistem dan falsafah yang tidak merujuk kepada al-Quran dan hadis adalah gagal dan sia-sia. Mampukah manusia menandingi keEsaan Allah ta’ala. Berbangga bagai dengan kejayaan-kejayaan duniawi yang hanya bersifat sementara. Apakah ada di antara kita yang mampu mencipta lalat bersama fungsiannya. Kehinaan lalat itu kerana dicipta untuk kekotoran, tetapi bayangkan jika tiada lalat di alam bumi ini. Apa yang akan berlaku kepada mayat-mayat dan bangkai-bangkai yang tiada jentera pelumat, akan jadi gusarlah proses metamorfosis maka dengan sebab itulah diciptakan lalat. Bagaimana kuman yang tiada ternampak dengan mata kasar mampu memainkan fungsi yang sangat besar dalam kehidupan, saban hari penemuan demi penemuan telah dipelopori oleh para saintis dengan mengelaskan kuman yang mana ada yang baik (manafaat) dan juga ada kuman yang jahat (mudarat).

Begitulah kekuasaan Allah yang memang tiada tandingannya dulu, kini dan selamanya. Patutnya di situlah ungkapan keramat itu disandarkan, bukan pada retorik-retorik keduniaan yang hina-dina. Seakan tiada hujung nyawa mereka yang bermegah-megah dengan harta, pangkat dan keilmuan. Bahkan mereka yang berkelulusan agama juga tidak terkecuali untuk merasa nikmat sementara bahkan ada yang sanggup menggadai maruah agama sendiri. Cadanngan menubuhkan Dewan Ulama’ dalam Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (PEKEMBAR) adalah diibarat sebagai meminta para pencuci tong najis mencuci dari dalam, yang mana tindakan itu adalah tindakan bodoh kerana para pencuci yang berniat baik itu akan sekali terkena percikan taik-taik semasa membasuh tong itu. Lagi malang kalau tiba-tiba tangki kehabisan air yang memungkinkan kerja pembersihan tidak selesai bahkan para pencuci tersebut akan terus menerima busuk dari tong itu. Maka seeloknya kerja pembersihan dilakukan dari luar, dalam jarak yang tertentu dan dengan kepastian segala kelengkapan dan bekalan mencukupi.

Maka dengan itu disarankan para Alim Ulama’, cendikiawan, sarjana Islam bergabung dengan niat satunya untuk menjadikan Islam sebagai dasar utama dalam segala hal keduniaan apatah lagi urusan akhirat, rujukannya al-Quran, hadis, ijmak dan kias. Jauhkan segala pertelingkahan yang semestinya tidak menguntungkan agama, bangsa dan negara. Janganlah berdabik dada dan berbangga dengan status dan pangkat yang ada pada kita, kerana ianya hanya penyakit dunia. Dato’, Dr, Prof dan banyak lagi gelaran yang menyebabkan para ilmuan ini bongkak dengan pendirian masing-masing sehingga merugikan agama. Keegoan yang dicipta sendiri oleh mereka kini telah menyebabkan mereka tidak berbahas, berbincang, berfikir kerana Allah semata. Kelantangan bersuara pada suatu isu hanya untuk menunjukkan mereka adalah jaguh dan untuk menjaga air muka pada masyarakat, takut dikatakan kalah pada hujah yang seorang lagi. Inilah penyakit yang menimpa para ilmuan ini sehingga pada ribuan tahun dahulu Al-hujjatul Islam Imam Al-Ghazali telah mengelaskan ulama’ ini kepada dua golongan. Ulama’ us-suk (jahat) dan ulamak ul-akhirah (ikhlas). Perbalahan, kutuk mengutuk sepatutnya tidak berlaku sesama para ilmuan ini, mereka seharusnya berjumpa dan berbincang secara mengikut tertiba adab dalam Islam dan bukan menjadikan dada-dada akhbar dan media eletronik sebagai tempat berhujah, ini hanya menimbulkan polemik yang tidak sihat apabila kaum bukan Islam melihat pertelingkahan sesama orang kuat agama dalam Islam ini.

Sama ada kekhilafan ini boleh diistilahkan sebagai rahmat, merujuk kepada khilaf antara para sahabat dan tabi’in pada zaman selepas Rasulullah, wallahua’lam. Tapi yang jelas bagi penulis bahawa ilmuan dan cerdik pandai sekarang berkkhilaf bukan kerana Allah, agamaNya, dan ummatNya. Malang sekali dunia hari ini kerana ketandusan mereka yang betul-betul ikhlas kerana Allah. Masaalah ini tidak akan selesai selagi mana kesatuan Islam bercabang, dikerat-kerat, ditindih malah di sorok kebenarannya. Bertambah buruk apabila golongan agamawan ini sanggup menjadi alat boneka untuk mempopularkan perkara-perkara yang baru direka, malah mereka ini sanggup memutar belit fakta Quran dan Hadis untuk tujuan batil itu. Kesannya semakin ramailah masyarakat bukan Islam keliru malah Melayu/Islam semakin bingung dengan apa yang terjadi. Malah setengahnya bertanya apakah Islam yang diperjuangkan oleh puak itu dan bagaimana pula Islam bawaan puak ini.

Tetapi ada kebaikannya juga apabila berlaku pertembungan yang sebegini. Ini adalah kerana rakyat akan dapat membezakan yang mana yang betul (haq) dan mana pula yang salah (batil). Semua ini akan jelas terpampang sebagai sajian utama dalam negara yakni bagaimana kelompok Islam memerintah manakala bagaimana pula kelompok Islam B memerintah. Ternyata akhir-akhir ini suatu perkembangan yang positif telah melanda geopolitik di Malaysia. Semakin ramai masyarakat bukan Islam tertarik dengan pendekatan kepimpinan melalui teladan yang telah diimplementasikan oleh YAB Dato’ Tuan Guru Menteri Besar Kelantan dalam jangka masa yang dikira matang, kurang 5 tahun dari travelog sirah perjuangan Rasulullah SAW yakni 18 tahun sudah. Kepimpinan melaui teladan yang menjadi moto kumpulan yang bertentangan telah direalisasikan oleh beliau, ternyata ianya adalah senjata ampuh dari sudut psikologi untuk dijadikan modal dalam memberi penerangan tentang kesyumulan Islam. Masyarakat bukan Islam semakin mengenali Islam secara luar malah mendalami Islam juga. Dengan tertubuhnya Kelab Penyokong Pas yang ditubuhkan khas untuk masyarakat bukan Islam menjadi komponen parti dalam menyatakan persetujuan mereka untuk menyokong perjuangan Islam.

Selamat Tahun Baru Hijriah dan Masihi

Alhamdulillah, tahun baru hijriah dan masihi baru membuka tirai dengan serumpun kenangan manis, suka dan duka tahun yang sudah. Masih belum terlambat kiranya mahu ana ungkapkan 'ahlan wasahlan wa marhaban bikum'.
2008 berlalu dengan hakikat tidak akan kembali lagi, yang nyatanya juga bumi semakin menua dan kita juga semakin singkat jangka hayat yang tinggal. Mahu tidak mahu kena jua kita jadi hamba Allah yang soleh agar dijamin syurgaNya kelak, Insya-Allah.
Ana sendiri telah melaui fasa-fasa transformasi yang agak penting dalam hidup seterusnya sepanjang tahun lalu. Banyak perkara yang dikira nikmat Allah yang tidak termampu diterima kasih kita padaNya.