24 June 2009

Redha

Ternyata di atas dua pilihan yakni yang haq atau yang batil pasti ada penentangan. Samaada jelas atau tidak, agak mustahil untuk kita selaku manusia yang dieanugerahkan Allah akal fikiran untuk selari dalam segenap perkara.

Namun persamaan tetap wujud, pasti! Bagaimanapun ianya bergantung kepada diri kita dalam memilih cara yang terbaik untuk mengasimilasikan kejernihan bagi mencapai kebersamaan itu.

Usahlah dibincang dalam skop seluas politik negara yang sedang membadai. Ternyata kompleksiti struktur kemanusiaan dalam pemikiran dan pemahaman ideologi sangat hebat. Kalau tidak masakan ibu dan bapa kepeningan melayan kerenah 2 orang anak mereka yang masih kecil, apa lagi kalau 10 orang.

Cuba renungkan dalam konteks kekeluargaan yakni perikatan perhubungan rumah tangga. Suka saya tanya kepada mereka yang telah berkahwin melebihi usia matang yang kita anggarkan 10 tahun keatas. Apakah aspek yang terpenting dalam disiplin mereka menjaga rumahtangga mereka agar sentiasa bahagia. Ternyata jawapan yang pelbagai akan disajikan kepada kita.

Namun hakikatnya ialah akan kerana sifat sabar dan redhalah manusia akan sentiasa bahagia. Dalam erti kata syukur pada yang ada dan sabar dengan apa yang tiada.

Zahiruddin al-Mawar

23 June 2009

Suami

Hari-hari saya kini berlalu dengan saya sebagai seorang suami, satu sandaran atau gelaran yang sangat biasa bagi kita namun sangat asing bagi yang yang belum merasa alam ini.

Ketika berjumpa dengan kawan-kawan yang tidak dapat menghadirkan diri ke majlis saya tempoh hari, antara soalan yang ditanya ialah : "Macam mana? Best tak kahwin?" Jawapan yang mampu saya berikan ialah sebuah senyuman yang mugkin saya sendiri pun kurang faham maksudnya. Untuk mereka yang bertanya, terpulanglah apakah tafsiran mereka terhadap 'jawapan' itu.

Semalam, keluarga belah saya datang ke rumah kami. Gamat jugak dibuatnya, isteri dan saya cuba menyiapka hidangan yang terbaik sekadar mampu. Kawan isteri terlebih dahulu tiba, alhamdulillah masakan yang serba sederhana itu mencapai piawaian 'sedap' dari para pemakannya. Termasuk pakcik-pakcik dan makcik-makcik saya dan sepupu-sepupu yang sempat merasa sup ayam tersebut, nampak kepuasan di balik wajah letih isteri saya.

Antara sudut yang mendapat perhatian mereka ialah perpustakaan mini kami. Buku saya dan isteri diletakkan bersama di atas rak yang dibeli dengan harga RM79.90 di Carefour itu. Lalu salah seorang daripada mereka mengambil buku "When Mars and Venus Collide" tulisan John Gray. Lalu mereka bertanyakan isinya.

Sebenarnya buku itu adalah hadiah dari isteri semasa awal pertunangan kami. Saya agak pelik pada peringkat awalnya kenapa dia berikan buku itu dan meminta saya membacanya sampai habis kemudian dia mahu mendengar ulasan saya. Saya akur, dah orang bagi buku free.

Akhirnya saya dapat tahu yang buku itu telah disyorkan oleh Ustaz Hasrizal @ Abu Saif kepada mereka yang bakal mendirikan rumahtangga selain bukunya sendiri "Aku Terima Nikahnya". Buku itu merupakan rekod motivasi dan komunikasi kekeluargaan kerana titik tolak sebuah kebahgiaan adalah komunikasi begitu juga punca akar permasalahan kerana kegagalan komunikasi.

Dengan pembacaan yang belum khatam itu, saya membuat rumusan bahawa kemahiran komunikasi adalah ilmu yang paling penting darihal tentang muamalat sesama manusia terutamanya lagi dalam kontek kekeluargaan yakni sebagai suami dan isteri.

Oleh yang demikian saya jelaskan kepada sepupu yang bertanya : "Buku ini memahamkan kepada kita bahawa kita kena akur pada hakikatnya lelaki dan wanita itu berbeza, mustahil untuk sama dalam segenap hal. Namun titik persamaannya tetap ada. Maka bagi yang ingin berumah tangga harus memegang prinsip bahawa kita (suami isteri) seharusnya mencari persamaan dan memahami perbezaan, insya-Allah lidah yang tergigit akan segera terubat, biji barah yang baru membuah akan segera dibantutkan.

Kahwinlah dengan niatnya Li-llahi ta'ala, Li-sunnati Rasulih. Insya-Allah mawaddah warahmah bukan omongan kosong lagi, kita yang mencorak dan membuat keputusan kerana usaha adalah hak kita kemudiannya qada' dan qadar Allah ta'ala adalah yang terbaik, yakinlah insya-Allah kerana Allah tidak akan menguji hambanya lebih dari daya tahan hambanya sendiri.

Wallahua'lam

Zahiruddin al-Mawar

18 June 2009

Sekali lagi saya memulakan bicara tanpa kerangka yang jelas. Kenapa dan mengapa?

Saya sendiri tertanya kepada diri ini, apakah mahu diri saya lagi? Semenjak kebelakangan ini saya menyedari semangat untuk menuntut ilmu yang lebih khusus semakin memuncak. Seakan pula saya kesal dengan keadaan diri yang hanya mampu belajar secara PJJ dan bukanya secara sepenuh masa.

Saya amat rindukan suasana perbincangan dalam kelas dengan Profesor-profesor saya. Seakan setiap hari minggu itu amat manis citrawarnanya. Malahan kami sekelas terkadang sanggup untuk tidak meminta rehat hanya untuk meneruskan perbincangan kami. Begitu saya dan pakcik-makcik serta datuk dan nenek yang menjadi pelajar dalam kelas itu merasai nikmat dan lazatnya kebenaran ilmu itu sendiri.

Saya sangat berasa hiba bila mengenangkan ilmu yang tidak seberapa dengan kadar umur Islam saya. Cop 'tahu' dan bukannya 'alim', itulah labelnya. Saya masih mencari mana usulnya.

Akhir-akhir ini haluannya makin jelas. Segala yang dirancang dengan izin Allah a'zzawajalla berada dalam haluannya. Cuma yang perlu ada adalah kesabaran, dalam untuk menjadi alim. dalam melayarkan behtera rumahtangga dan kehidupan kelak.

Ubat apa yang lebih mujarab selain sabar?

Nilai kenikmatan sebuah sabar itu sendiri dianggap sebagai separuh daripada iman oleh mentor utama kita Rasulullah SAW. Insya-Allah dengan kesabaran inilah juga kita lihat terlahirnya manusia-manusia hebat yang mencorak, merevolusi, mengasimilasi segala kebaikan untuk bukan sahaja kehidupan mereka sendiri malah seluruh umat selepasnya.

Saya mesti bersabar dalam kapasiti saya, insya-Allah.


17 June 2009

Kembali

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Pengasihani

Salam untuk sekalian sahabat, maaf jika ruangan ini statik lagi kaku untuk beberapa ketika lamanya, bukan maksudnya saya tidak lagi mahu menulis kerana menulis merupakan salah satu disiplin ilmu yang wajib dipraktikkan bagi mereka yang mencintai ilmu.

Tanyalah jika ada ulama' yang tidak berkarya, mana mungkin. Jika tanpa menulis, nescaya kalam Allah dan hadis baginda Rasulullah SAW tidak menjadi tatapan kita pada hari ini.

Benarlah kata pujangga, semakin banyak yang kita pelajari maka makin jahillah diri.

Saya kelemasan dalam memikirkan kedhaifan ilmu yang ada pada diri. Mampukah nanti untuk dimanfaatkan kepada diri sendiri, keluarga dan ummat. Banyak yang mahu dipelajari, namun bukan semudah yang dikata.

Kalau al-imam Abu Zakaria @ Imam Nawawi sehingga tidak teringat sunnah perkahwinan kerana kesibukan mengoreksi ilmu dalam pelbagai disiplin. Kalau al-imam al-Ghazali sehingga 12 subjek sehari menelaah pelajaran sehingga dunia falsafah yang maha luas terlintup di balik kulit kepalanya. Maka kita tidak selayaknya untuk mengkritik sinis mereka, hormatilah.

Tidak bersetuju dengan pendapat mereka tidak beerti kita perlu mencela dan menghukum mereka (para ulama'). Kerana mereka itu pewaris nabi, yang sendirinya mereka itu diiktiraf oleh baginda. Malah keilmuan mereka juga merupakan nyalaan cahaya menghias lorong zaman, ketika gemilang mahupun kelam.

Ijmak dan kias tidak akan bersahutan tanpa suaian dari para ulama' ini.

Saya mampu untuk tidak bersetuju dengan beberapa ulama' dalam beberapa pendirian mereka pada hari ini, namun mereka itu tetap amat saya hormati dan cintai demi Allah kerana keilmuan mereka. Akan saya cium tangan dan peluk mesra mereka ini yang hanya walau sepatah kata ilmu yang disampaikanya kepada saya. Itu pegangan saya.

Saya seru diri ini agar terus neutral dalam mengasimilasikan apa sahaja maklumat. Yang akhirnya mampu untuk saya hadamkan sebagai ilmu yang disimpan dan kemudian digunakan malah disampaikan, insya-Allah.