18 June 2009

Sekali lagi saya memulakan bicara tanpa kerangka yang jelas. Kenapa dan mengapa?

Saya sendiri tertanya kepada diri ini, apakah mahu diri saya lagi? Semenjak kebelakangan ini saya menyedari semangat untuk menuntut ilmu yang lebih khusus semakin memuncak. Seakan pula saya kesal dengan keadaan diri yang hanya mampu belajar secara PJJ dan bukanya secara sepenuh masa.

Saya amat rindukan suasana perbincangan dalam kelas dengan Profesor-profesor saya. Seakan setiap hari minggu itu amat manis citrawarnanya. Malahan kami sekelas terkadang sanggup untuk tidak meminta rehat hanya untuk meneruskan perbincangan kami. Begitu saya dan pakcik-makcik serta datuk dan nenek yang menjadi pelajar dalam kelas itu merasai nikmat dan lazatnya kebenaran ilmu itu sendiri.

Saya sangat berasa hiba bila mengenangkan ilmu yang tidak seberapa dengan kadar umur Islam saya. Cop 'tahu' dan bukannya 'alim', itulah labelnya. Saya masih mencari mana usulnya.

Akhir-akhir ini haluannya makin jelas. Segala yang dirancang dengan izin Allah a'zzawajalla berada dalam haluannya. Cuma yang perlu ada adalah kesabaran, dalam untuk menjadi alim. dalam melayarkan behtera rumahtangga dan kehidupan kelak.

Ubat apa yang lebih mujarab selain sabar?

Nilai kenikmatan sebuah sabar itu sendiri dianggap sebagai separuh daripada iman oleh mentor utama kita Rasulullah SAW. Insya-Allah dengan kesabaran inilah juga kita lihat terlahirnya manusia-manusia hebat yang mencorak, merevolusi, mengasimilasi segala kebaikan untuk bukan sahaja kehidupan mereka sendiri malah seluruh umat selepasnya.

Saya mesti bersabar dalam kapasiti saya, insya-Allah.


No comments: