31 January 2011

Membaca: Bermula dengan komik!

Oleh Zahiruddin Zabidi

KITA bukan dilahirkan secara fitrah sebagai seorang pembaca, namun secara fitrahnya kita diciptakan untuk membaca. Sementelah ayat pertama al-Quran yang berbentuk fiil amar (ayat perintah) adalah iqra yang bermaksud bacalah. Sebagaimana yang kita maklum, Rasulullah yang sedang bersuluk dan berkhalwat di dalam Gua Hirak didatangi oleh Jibril lantas didakap kejap dari belakang lantas diseru, “Bacalah!”

Dalam keadaan yang terkejut dan panik, Rasulullah yang ummi (tidak mendapat pendidikan formal) hanya mampu menjawab, “Apa yang aku mahu baca?”

Jibril lantas mengulangi arahan tersebut sebanyak tiga kali dan jawapan yang sama juga diberikan oleh Rasulullah sehingga Jibril meminta Rasulullah mengulangi apa yang dirinya bacakan.

Itulah detik dan saatnya wahyu pertama turun, tiada khilaf dari kalangan ulama bagi menyatakan ada ayat lain selain ayat 1 hingga 5 Surah al-Alaq itu sebagai wahyu pertama yang turun daripada langit melalui Jibril.

Makanya membaca menjadi asas korpus kehidupan sebagai seorang Islam. Sekalipun seorang Islam tidak tahu membaca dalam bahasa lain namun tetap menjadi kewajipan mereka bagi pandai membaca al-Quran khususnya Surah al-Fatihah kerana ianya adalah rukun yang wajib dalam solat.

Komik sebagai wadah pembacaan
Dunia hari ini menyaksikan perubahan demi perubahan berlaku. Sekalipun membaca merupakan arahan pertama yang dinyatakan dalam agama Islam melalui wahyu Allah, namun budaya membaca dikalangan masyarakat Islam di negara kita masih di tahap yang jauh daripada apa yang dipanggil sebagai masyarakat membaca.

Antara cabarannya adalah kerana buku-buku yang ada di pasaran sekarang tidak mampu mencuri dan menarik minat generasi muda sedangkan budaya membaca itu wajar dipupuk sedari anak-anak masih di bangku sekolah lagi, melentur buluh biar dari rebungnya.

Namun buku jenis apa dan pakej yang bagaimanakah yang mampu menangkap jiwa-jiwa anak muda ini kepada membaca. Melalui pemerhatian dan pengalaman sendiri, ada satu janru buku yang sangat berpengaruh dan mampu menarik minat anak-anak kepada membaca iaitu dengan menggunakan komik.

Kerajaan melalui Kementerian Pendidikan juga sudah mula berfikir bagaimana mahu menyampaikan data-data dan maklumat khususnya dalam mata pelajaran sejarah melalui kaedah kreatif melalui komik ataupun novel. Dalam masa yang sama Institut Terjemahan Nasional Malaysia (ITNM) di bawah pengurusan baru yang dikepalai Encik Mohd Khir Ngadiron dilihat agresif mahu merealisasikan agenda tersebut.

Contoh yang terbaik menggunakan kaedah karikatur sebagai medium menyampaikan maklumat dan fakta sejarah adalah sebagaimana yang dilakukan oleh Lat. Beliau yang tersohor dengan karya cerapan sosiologi melalui pengalaman beliau sendiri sewaktu kecil yang dinamakan Kampung Boy, karya beliau berjaya mencipta dimensi baru dalam korpus perbukuan tanah air.

Komik merujuk kepada naskhah buku cerita berilustrasi dengan dialog-dialog yang minimum. Ianya terbukti mampu menarik minat sekalipun anak-anak yang tidak suka membaca paling kurang kepada menatap gambar-gambar ilustrasi yang berwarna dan menarik pada setiap helai muka suratnya. Paling kurang mereka sudah mula memegang, membelek dan secara tidak langsung sudah membaca dialog-dialog yang ada dalam naskhah tersebut.

Pengalaman
Penulis sendiri juga saat mula terpupuk minat membaca adalah kerana terpengaruh dengan ayah yang sentiasa membeli naskhah tabloid politik yang sarat dengan tulisan keagamaan dan beliau suka membaca dengan kuat.

Sewaktu di darjah satu, penulis sudah dihantar menjalani kursus computer di Kota Bharu dan diamanahkan bagi pergi sendiri dari Tumpat setiap pagi Jumaat. Di hadapan pusat pembelajaran tersebut ada sebuah gerai akhbar dan majalah. Pada waktu itu juga, hanya adalah majalah Ujang dan Gila-Gila yang mendominasi pasaran majalah berilustrasi.

Majalah-majalah tersebut tidak mampu menarik minat penulis kerana faktor harga dan isinya yang berkisar lawak jenaka yang jarang dapat difahami oleh penulis. Namun pada suatu hari, saat melalui gerai tersebut bagi ke pusat pembelajaran. Menjadi kebiasaan penulis akan menelek-nelek dahulu majalah-majalah yang ada di situ, tanpa disangka ada satu naskhah majakah nipis yang berilustrasi seorang pahlawan kuno Cina menjungjung sebilah pedang yang dilukis cantik sambil berdiri di atas seekor raksasa gergasi.

Tanpa banyak menyoal penulis terus menyambar naskhah tersebut dan melihat harganya, alhamdulillah, hanya RM1.80 sahaja. Kira-kira cukup duit belanja yang diberikan oleh ayah dan tambang balik ke rumah selepas kelas. Naskhah tersebut dibeli dan segera dibaca rakus. Naskhah tersebut adalah komik karya Tony Wong yang pertama diterjemah ke dalam bahasa Melayu dan diedarkan di Malaysia berjudul Alam Perwira.

Tony Wong yang merupakan artis komik Hong Kong akhirnya melebarkan sayapnya ke dalam pasaran Malaysia sehinggakan menjadi fenomena. Ianya terus berkembang sehingga siri komik dan manga Jepun juga diterjemah sama kemudiannya. Kemudian wujud komik Raja Rimba, Dewata Raya, Pedang Setiawan dan banyak lagi. Dalam saiz manga pula Bola Naga (Dragon Ball), Satria Naga, Doraemon, Detektif Conan dan banyak lagi.

Penulis menjadi pembeli tegar dan membeli hampir kesemua komik bersiri dan judul lainnya. Begitu juga kemudian manga-manga dari Jepun yang menjadi koleksi peribadi sehingga menginjak dewasa. Boleh dikatakan kebanyakan duit belanja yang diberi oleh orang tua penulis digunakan bagi membeli naskhah-naskhah komik yang begitu mencandukan.

Komik kini
Kini sudah banyak juduk komik yang pelbagai stail sudah wujud dalam pasaran tanah air. Tanpa menafikan ianya sangat laris dan sudah tentu pelanggan utama produk ini adalah remaja dan ke bawah khususnya budak-budak lelaki.

Tanpa menafikan, walaupun komik mampu menjadi alat penyampaian ilmu yang efektif, dalam masa yang sama kesan buruk yang sudah wujud akibat komik juga kian terasa. Ini adalah kerana, bukan semua komik menjanjikan isi dan karikatur yang bersifat didaktik dan baik.

Di sana, wujud lambakan komik yang menjadikan karikatur yang berunsur lucah di samping komik yang mempromosikan hal-hal kelucahan yang lain. Lukisan yang dilukis dengan sebegitu rupa seksi lantas memainkan pula peranan berunsur dan berbaur seksual mampu meracuni, mengundang dan merangsang minda anak-anak ke arah yang tidak sewajarnya.

Begitu juga dari sudut penggunaan bahasa yang tidak dititik berat oleh segelintir pengkarya. Dengan hanya memasukkan dialog yang berunsur slanga malah bahasa Melayu – Inggeris rojak benar-benar menyebabkan kerosakan bahasa itu sendiri.

Justeru, bagi merealisasikan komik sebagai wadah menyampaikan maklumat, fakta dan ilmu dengan kaedah yang santai dan hiburan, PTS Publications & Distributions Sdn. Bhd. melalui salah satu anak syarikat menjemput para pengkarya bagi menghasilkan satu janru baru dalam arena komik yang kemudiannya dinamakan Komik-M merujuk kepada komik Malaysia.

Kriteria ketat dikenakan bagi memastikan karya-karya tersebut mampu menjadi bahan yang mendidik anak-anak yang membacanya. Antara kriteria tersebut adalah, segala lakaran dan ilustrasi dalam komik mestilah syariah compliant merujuk kepada aurat watak-watak yang dilukis mesti menurut piawaian yang dikehendaki oleh Islam.

Dalam sudut bahasa pula, semua dialog yang diungkapkan mesti menggunakan Bahasa Melayu Tinggi (BMT). Selain daripada memperjuangkan bahasa itu sendiri, penggunaan bahasa Melayu yang betul dari sudut nahu dan semantiknya akan membantu anak-anak menguasai bahasa Melayu yang betul sedari mereka masih di sekolah rendah lagi. Ayat-ayat kontot, bahasa SMS dan slanga adalah dilarang sama sekali dalam Komik-M.

Semoga kehadiran Komik-M mampu mengubah persepsi komik adalah bahan bacaan yang tidak bermanfaat kepada anak-anak. Semoga Komik-M yang sudah mencapai jumlah lebih 50 judul sekarang ini mampu menjadi santapan rohani anak-anak selain menjadi pencetus kepada budaya membaca dalam diri mereka. Dan menjadi tanggungjawab ibu bapa memastikan anak-anak mendapat bahan bacaan yang terbaik bagi pembangunan kematangan diri mereka.

Sudah tiba masanya kita menyediakan apa yang menjadi keperluan kepada anak-anak dan bukannya menyediakan apa yang kita mahu. Eksploitasi wadah-wadah kreatif di luar sana adalah perlu bagi memastikan maksud dakwah dan didaktik itu sampai sekalipun dengan cara yang tidak formal kepada generasi hijau di luar sana.

27 January 2011

Cerpen Sulung di Tunas Cipta edisi Februari 2011: Alhamdulillah

Oleh Zahiruddin Zabidi
zahiruddin_zabidi@yahoo.com.my

"Aku lihat mereka sering berbalah. Tidak cukup di masjid dan surau, meleret ke dalam laman maya. Sebut sahaja apa dia? Blog, facebook, twitter, forum-forum dan pelbagai lagi jadi medan perbalahan.
Mereka terus berbalah sehingga luntur nilai akhlak dan adab walaupun mereka sebagai agamawan yang fakih lagi tersohor. Terbenam segala hikmah, yang nampak hanya kebatilan mereka sahaja.
Aku, selaku hamba yang baru mahu pulang ke agama yang diredai Allah, sentiasa celaru dengan isian bersulam hasut di sana sini. Aku kecewa, kerana majlis ilmu menjadi acara caci maki. Tiada hikmah, selain ucap cerca belaka. Al-Quran dan hadis yang dilafazkan akhirnya menimbulkan mual pendengar. Aku perlukan pemurnian masyarakat juga. Aku tahu hanya ilmu yang akan menjadi pedoman kami untuk menjadi penilai."
- Petikan daripada cerpen Jalan Tengah. Dijemput kepada tuan puan para pembaca yang budiman menyudikan diri membacanya, semoga beroleh manfaat, terima  kasih. Selamat membaca.

25 January 2011

Laporan Harakadaily

Ismail Hashim




Pendokong Gerakan Islam di negara ini disaran segera menggunakan ruang media filem yang sedang terbuka luas bagi menyampaikan mesej dakwah dan persoalan semasa kepada rakyat.

Aktivis sosial Islami, Dr Muhaimin Sulam (paling kiri) berkata, industri filem bernilai RM6 bilion ini sewajarnya menjadi lapangan baharu untuk gerakan Islam sertai dalam usaha mengharmonikan pemikiran dan tindakan positif rakyat.

Muhaimin sebelum ini merupakan penggerak kepada Jabatan Kesenian, Kebudayaan dan Sukan (DACS) Dewan Pemuda PAS Pusat, baru-baru ini berjaya menamatkan pengajian empat tahun dalam pengkhususan sains politik di University of Wales Triniti St Davies, United Kingdom.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panelis dalam Wacana Industri Lakonan dan Dunia Artis Menurut Islam di Dewan Masjid Saidina Abu Bakar As-Siddiq, Bangsar anjuran Pemuda Persatuan Ulamak Malaysia (PUM).

Turut serta adalah Ketua Ulama Majlis Syura Sekreatariat Ulama Muda Umno (iLMU), Fadlan Mohd Othman lulusan bidang Hadis daripada Universiti Madinah dengan Editor Islamika PTS, Ustaz Zahiruddin Zabidi sebagai moderator.

Bercakap lebih lanjut, Muhaimin berkata, mereka yang memperjuangkan perancangan dan ideologi sekular kelihatan lebih kehadapan dengan mengambil kesempatan sepenuhnya dari dahulu lagi.

Menurutnya, pihak yang tidak mendokong gerakan Islam ini sedang mewarnai bidang perfileman dalam negara ini sejak sekian lama tanpa sebarang gugatan dan mereka dengan semahunya mengaut keuntungan wang dan misi propaganda.

"Setakat ini tidak ada sebuah filem pun yang menceritakan kebaikan gerakan Islam khususnya PAS, dalam masa sama kebanyakan filem sarat dengan mesej negatif kepada penonton.

"Kita tidak menetapkan ciri-ciri sesebuah filem Islami itu mesti ada perlambangan seperti pelakon mesti berjanggut, bersongkok dan ada kalimah Arab di dalam skripnya namun natijah akhirnya mesti menyedarkan khalayak tentang kebenaran," tegasnya.

Dalam pada itu, beliau turut menyatakan, kelihatannya filem-filem bikinan barat lebih memberikan impak lebih berkesan berbanding kebanyakan filem hasil kerja tidak bermanfaat ke arah mendidik masyarakat terbitan syarikat filem dalam negara.

Beliau tidak menafikan wujud segelintir kecil mereka yang berusaha dengan bersungguh-sungguh mendatangkan kesan positif kepada penonton seperti antaranya, Pengarah Haji Abu Hassan Morad dan Puan Erma Fatima.

Ketika ditanya tentang persediaan PAS menangani isu ini jika berjaya memerintah negara, Muhaimin menjawab, Dasar Perfileman 2005 sudah ada dan selepas menang, segala peruntukan dan penguatkuasaan boleh dilaksanakan sebaik mungkin.

Sumber: http://www.harakahdaily.net/

23 January 2011

Laporan ringkas program Wacana Industri Lakonan dan Dunia Artis Menurut Pandangan Islam

Oleh Zahiruddin Zabidi
zahiruddin_zabidi@yahoo.com.my

ALHAMDULILLAH, program Wacana Industri Lakonan dan Artis Menurut Pandangan Islam anjuran Unit Syubban (Pemuda) Persatuan Ulama Malaysia (PUM) berjalan dengan lancar pada malam 20 haribulan lepas bertempat di dewan utama Masjid Saidina Abu Bakar, Bangsar.

Walaupun wacana yang sepatutnya dihadiri oleh tiga orang panel itu hanya dihadiri oleh dua daripada mereka kerana Puan Erma Fatima yang dimasukkan ke wad hospital akibat keracunan makanan, wacana tetap berjalan sebagaimana yang dirancang. Kehadiran pada malam tersebut tidak seramai wacana yang terdahulu namun cukup bagi menghangatkan suasana.

Saya sendiri diamanahkan menjadi moderator pada malam tersebut, secara jujur saya berasa agak kurang selesa kerana perlu menjadi moderator kepada sati program yang agak besar dan luas perbincangannya malah mampu sahaja menyinggung sesiapa andai tidak kena caranya.


Tambahan pula panelis yang dijemput adalah daripada kalangan profesional yang bertaraf cendekiawan dalam bidang masing-masing malah mewakili dua sekte politik yang agam dalam negara kita. 


Dr Muhaimin Sulam sememangnya dikenali sebagai aktivis PAS dan kolumnis Harakah meskipun tidak memegang apa-apa jawatan penting dalam parti. 


Ustaz Fadlan Mohd Othman pula selaku Ketua Sekretariat Ulama Muda Umno (ILMU) sememangnya dikenali dengan pengisytiharan '40 Ulama Muda masuk UMNO' suatu masa dahulu. Selain daripada itu beliau juga merupakan pensyarah dengan takhasus bidang hadis.


Selepas wacana, ahli panel masing-masing diserbu oleh wartawan yang hadir. Seingat saya, ada wakil dari Majalah I (Karangkraft), Berita Harian, Harian Metro dan Harakah. Tanpa saya sangka, keesokannya ada seorang rakan sepejabat memberitahu ada gambar saya terpampang (di bawah) di utusanonline.com.my, ini bermakna pihak Utusan juga ada datang membuat liputan.


Alhamdulillah, semoga mesej yang cuba kami sampaikan kepada ummah di luar sana lebih terkesan dan berpanjangan. Insya-Allah, menurut Ketua Pemuda Syubban (Pemuda) PUM, Ustaz Dzulkhairi Md. Noor, wacana seni seterusnya akan dibuat dengan lebih besar dan tersusun. 


Beliau mencadangkan wacana seni seterusnya akan diadakan dengan menjemput nama besar seperti Rosyam Noor, Amy Search, Siti Nurhaliza dan juga Prof. Madya Abu Hasan Hasbullah mewakili suara artis dan beberapa ulama daripada pelbagai wadah bagi membahaskan seputar isu dunia seni tanah air.

SESI bual bicara Wacana Ilmiah Industri Lakonan dan Dunia Artis menurut pandangan Islam yang di hadiri oleh panel jemputan antaranya, dari kiri, Dr. Muhaimin Sulam, Ustaz Zahiruddin Zabidi dan Ustaz Fadlan Mohd Othman, bertempat di Masjid Saidina Abu Bakar As Siddiq, Bangsar, Kuala Lumpur. 21 Jan. 2010. Utusan/AMIN FARIJ HASAN (Sumber: http://www.utusan.com.my/)


Bagi tuan puan yang mahu membaca laporan Harakahdaily boleh merujuk di sini http://www.harakahdaily.net/.

21 January 2011

Berdakwah tanggungjawab kita semua

Oleh Zahiruddin Zabidi

SELAIN daripada al-Quran dan sunnah yang disebut Rasulullah sebagai warisan baginda kepada umatnya, masih ada satu sunnah warisan baginda yang sentiasa disalah anggap oleh kita sebagai umatnya.

Antara tugas terbesar Rasulullah selepas menerima wahyu pertama sekaligus sebagai pengiktirafan baginda sebagai Rasul (utusan) Allah adalah menyampaikan dan mengajak manusia kepada jalan kebenaran iaitu jalan Allah. Dalam masa yang sama mereka juga perlu mencegah kemungkaran.

Justeru, menyampai dan mengajak itu dipanggil dengan terma khusus iaitu dakwah. Dakwah adalah salah satu tugas warisan daripada Rasulullah kepada setiap umatnya. Namun hanya segelintir sahaja yang memandang dakwah ini sebagai perkara yang besar dan prioriti dalam kehidupan mereka.

Mungkin ramai daripada orang Islam hari ini berpandangan tugas dakwah boleh dilucutkan daripada pertanggungjawaban mereka kerana sudah wujud agensi kerajaan khususnya di bawah jabatan agama Islam negeri masing-masing yang mempunyai unit dakwah.

Ditambah pula dengan kewujudan organisasi dakwah sukarela seperti ABIM, JIM mahupun yang berkaitan kerajaan seperti YADIM yang aktif menjalankan aktiviti dakwah dalam konteks dan kemampuan mereka sendiri. Ini menambahkan lagi tanggapan bahawa dakwah itu boleh diserahkan kepada mereka yang bertanggunjawab atau dalam erti kata lain mereka yang bekerja dan makan gaji dengan organisasi tersebut.

Umat Islam seharusnya menyedari bahawa tanggungjawab dakwah adalah kewajipan kita semua sedari Allah pernah berpesan dalam al-Quran, Surah Ali-Imran ayat 104 yang bermaksud: “Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang ma'ruf dan mencegah daripada yang mungkar; merekalah orang-orang yang beruntung.”

Kemudian dalam surah yang sama ayat 110 Allah menegaskan lagi dengan ayat yang bermaksud: “Kamu adalah umat terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang ma'ruf dan mencegah daripada yang munkar, dan beriman kepada Allah. Sekiranya Ahli Kitab beriman, tentulah itu lebih baik bagi mereka, di antara mereka ada yang beriman, dan kebanyakan mereka adalah orang-orang yang fasik.”

Sekali lagi dalam surah yang sama ayat 114 Allah menjelaskan peranan dan kepentingan dakwah kepada makruf danmencegah kemungkaran dalam ayat yang bermaksud, “Mereka beriman kepada Allah dan hari penghabisan, mereka menyuruh kepada yang ma'ruf, dan mencegah dari yang mungkar dan bersegera kepada (mengerjakan) pelbagai kebajikan; mereka itu termasuk orang-orang yang soleh.”

Namun daripada kebanyakan lapangan dakwah yang pelbagai itu, ada satu cabang dakwah yang sangat penting dan utama bagi seseorang Muslim khususnya bagi seorang lelaki. Dalam berdakwah menyampaikan risalah Islam yang menganjurkan kebaikan dan mencegah kemungkaran terlebih dahulu kita seharusnya memastikan diri dan ahli keluarga kita sudah berada dalam kondisi tersebut.

Allah kemudian memberi amaran yang keras kepada kita melalui Surah At-Tahrim ayat 6 yang bermaksud, Wahai orang-orang yang beriman, pelihara dirimu dan keluargamu daripada api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu; penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, keras, dan tidak menderhakai Allah terhadap apa yang diperintahkan-Nya kepada mereka, dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan.”

Berdasarkan ayat di atas jelas bahawa dakwah untuk mengajak kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran itu harus bermula terlebih dahulu dari dalam diri dan dalam rumah kita masing-masing.

20 January 2011

Pakatan Rakyat perlu rasional dalam menangani isu Interlok

Oleh Zahiruddin Zabidi
zahiruddin_zabidi@yahoo.com.my

MINGGUAN MALAYSIA bertarikh 9 Januari 2010 di bawah tajuk Novel Interlok Dibakar yang melapor kira-kira 100 orang berketurunan India melakukan demontrasi membakar naskhah novel Interlok di samping gambar Sasterawan Negara Abdullah Hussain.

Turut hadir dalam demontrasi itu adalah Dr. Mariah Mahmud, ahli parlimen Kota Raja dan M. Manoharan, adun Kota Alam Syah. Turut dilaporkan para demontran turut mencaci maki kepada SN Abdullah Hussain dengan kata-kata yang kasar dan tidak beradab.

Saya sebagai salah seorang penyokong PAS dan juga merupakan seorang pendatang baru dalam dunia penulisan ingin merakamkan rasa kecewa dengan tindakan Dr. Mariah Mahmud yang menghadiri acara tersebut sekaligus menzahirkan sokongan beliau terhadap tindakan kelompok tersebut.

Saya dan ramai rakan penulis berasa terhina dan terguris dengan tindakan beliau yang pada kami tidak patut sama sekali. Namun dengan jelas, demi kelangsungan politik di kawasan beliau yang memerlukan undi kaum India, beliau kelihatan merelakan malah menyokong tindakan tersebut.

Barang diingatkan bahawa isu Interlok masih di peringkat perbincangan dan masih belum ada keputusan rasmi daripada mana-mana pihak. Tidak bersetuju dengan kandungan novel tersebut adalah satu isu khusus yang masih terbuka bagi dibahas, dibincang dan diperdebatkan secara wajar dengan mana-mana pihak berwajib.

Malah, pihak persatuan penulis di peringkat Nasional seperti Persatuan Penulis Nasional (PENA) sekalipun sentiasa menanti dengan tangan yang terbuka bagi membincangkan isu ini. Panggil sahaja mereka, nescaya ada yang secara sukarela menawarkan diri mewakili suara penulis.

Namun tindakan membakar naskhah novel Interlok di khalayak umum, sekaligus dengan tindakan membakar gambar dan memaki hamun penulis yang sudah tidak kita nafikan sumbangannya dalam korpus kesusasteraan Melayu dan negara itu adalah satu tindakan yang tidak beradab malah tidak bertamadun mengikut perkiraan para sarjana.

Berkenaan sedikit frasa yang menimbulkan krisis itu, kita boleh merujuk kepada kes yang sama berlaku kepada pemenang bersama tempat ketiga Sayembara Novel 10 Tahun Merdeka (1968) tersebut iaitu SN Arena Wati. Menurut Dr. Roosfa Hashim dalam karya terbarunya bersama Dr. Jeniri Amir yang bertajuk Bukuku Kubuku: Sebuah Wacana Perbukuan dan Penerbitan di bawah tajuk Arena Wati, Sandera dan Nasionalisme Melayu, muka surat 343 menyatakan:

Pada penghujung 1970 Arena Wati terperanjat apabila menerima panggilan telefon daripada Saroja, isteri SN Abdullah Hussain yang memberikan ucapan tahniah kepada atas kemenangan Sandera di tempat ketiga, tiada pemenang pertama dan kedua.

Menurut Arena Wati, beliau kemudian dinasihatkan, kononnya menurut kehendak Tun Abdul Razak, supaya watak orang Inggeris dalam Sandera dibuang semuanya daripada peranan awal hingga akhirnya. Sebagai tanda setia, Arena Wati menurut nasihat tersebut dan mengerjakan pembetulan seperti yang dikehendaki.

Nah, jelas di sini para sasterawan bukanlah seorang yang ultra kiasu dan akan mempertahankan karya mereka secara totok. Di sana juga masih ada tatacara dan toleransi yang boleh dibawa berbincang secara lunak dan baik. Sehingga kini, saya kira tiada seorang pun wakil daripada Kementerian Pendidikan Malaysia dan jauh sekali menterinya yang berkunjung bertemu dengan SN Abdullah Hussain bagi berbincang perkara tersebut. Begitu juga si timbalan menteri yang nyaring melalak dalam dewan rakyat tempoh hari.

Apakah sesuatu yang sangat payah jika kamu semua pergi menjenguk seorang Sasterawan Negara yang sudah berada dalam hayat emasnya itu. Dilaporkan beliau sekarang punya masalah kesihatan termasuk tidak boleh berjalan dan sudah kabur pendengaran. Benar, perkataan adab sudah tidak maujud dalam kamus para politikus yang menjadikan kelangsungan politik semata-mata sebagai nadi nafas mereka.

Kepada para pemimpin Pakatan Rakyat, janganlah kita meneladani sikap dan sifat pihak sebelah sana yang sudah sirna lenyap akhlak serta adab muluknya. Saya yakin dengan sedikit perbincangan dan pujukan, SN Abdullah Hussain pasti akan bersetuju demi kepentingan bersama meng’hazaf’kan (memansuhkan) beberapa frasa yang punya perkataan ‘pariah’ itu. Dan saya sekali lagi yakin, tindakan membakar yang dilakukan hanya akan menambahkan kekacauan sementelah para penulis adalah jambatan masyarakat.

Teladanilah Rasulullah yang sentiasa rasional dan merujuk kepada yang lebih mengetahui dalam persoalan yang baginda tidak ahli. Sementelah Allah juga pernah berpesan dalam al-Quran, “Bertanyalah kepada ahlinya andai kamu tidak mengetahui….”

_______________________________________________________________

Nota: Tulisan ini sudah diterbitkan dalam ruangan Sastera Budaya, Harakah, edisi Isnin, 17-20 Januari 2011. Sebarang cuplikan perlu dikreditkan kepada Harakah.

19 January 2011

Rakaman Seputar Perjumpaan: Penerbit, Penulis Novel dan Penulis Skrip

 Di pejabat PTS, Gombak

 Ustaz Zahirudin Zabidi

 Ustaz Rohidzir (tengah)

Aleeya Ahmad dan Roziyah Mahamad

Tulis Ustaz Zabidi Mohamed:
PERTEMUAN SILATURAHIM BAGI MEMBINCANGKAN KEMUNGKINAN MENJADIKAN BEBERAPA SKRIP DRAMA SAYA KEPADA BENTUK NOVEL. PERTEMUAN KEDUA YANG DIJANGKA MINGGU DEPAN AKAN MEMUKTAMADKAN SKRIP DRAMA SAYA YANG MANA SATU PATUT DI DAHULUKAN.
TERIMA KASIH PTS
____________________________________________________________________

Kredit gambar kepada Ustaz Zabidi Mohamed, beliau boleh dilawati di http://zabidiskrip.blogspot.com/.

Laporan Wartawan PTS: Penulis Skrip Jalin Kerjasama dengan Penulis PTS

Penulis skrip yang dikenali, Tuan Zabidi Mohamed kini berminat menjalin kerjasama dengan PTS Islamika Sdn. Bhd. bagi mengangkat skrip tulisan beliau menjadi naskah novel.


Beliau yang berminat menjalin kerjasama dengan penulis novel srikandi Islam PTS, Tuan Zahiruddin Zabidi berbesar hati sekiranya skrip tulisan beliau dapat dilahirkan menjadi novel kepada pembaca.
Tuan Zabidi datang sendiri ke Ibu Pejabat PTS bagi menghantar skrip hasil tulisan beliau bagi dinilai dan diadaptasi kepada novel oleh Tuan Zahiruddin Zabidi.
Menurut Tuan Zabidi, Makam Cinta pernah memenangi tempat kedua dalam Pertandingan Menulis Skrip Islam Anjuran IKIM. Beliau menjelaskan Makam Cinta yang belum pernah disiarkan di mana-mana televisyen.

"Ini adalah kali pertama skrip saya diadaptasi kepada novel. Kerjasama ini dihasilkan kerana kini saya memfokuskan diri kepada penulisan skrip drama," jelas beliau.Beliau sebelum ini menghasilkan skrip-skrip drama hebat dan mempunyai nilainya yang tersendiri.
Antara drama lain hasil tulisan beliau termasuklah Soos & Associates, Cinta Sempurna, Mencari Nur Khadijah, Ku Petik Bintang-Bintang dan banyak lagi.
Selain itu, drama Hani menjadi drama yang mendapat sambutan penonton. Drama itu disiarkan dalam slot Lestary di TV3 menarik minat penonton bagi mengikuti kisah Hani.

14 January 2011

Siri kembara Lima Putera: Mencari Pohon Emas sudah tiba di stor PTS

Oleh Zahiruddin Zabidi
zahiruddin_zabidi@yahoo.com.my

Salah seorang 'putera' memegang naskhah awal.

Siri Kembara Putera Berlima: Mencari Pohon Emas sudah selamat tiba ke dalam stor PTS lewat hari sudah. Kepada tuan puan yang berminat mendapatkannya boleh sahaja terus ke bookcafe PTS yang akan juga beroperasi setiap hari Sabtu, 11.00 pagi hingga 6.00 petang. Selain itu boleh juga dibeli secara on-line di http://www.bookcafe.com.my/.


Alhamdulillah!
Alhamdulillah!
Alhamdulillah!

13 January 2011

Pertama kali bersiaran langsung: TV AlHijrah

Oleh Zahiruddin Zabidi
zahiruddin_zabidi@yahoo.com.my

SEPATUTNYA Puan Ainon Mohd, pengerusi PTS Publications & Distributors Sdn. Bhd. yang akan hadir menjadi tetamu bagi satu rancangan bual bicara secara siaran langsung di TV AlHijrah pada hari Ahad ini. Namun beliau tidak dapat hadir kerana terlebih dahulu ada komitmen kepada bengkel penulisan yang perlu dikendalikan.

Ustaz Syafiq Zulakifli, mantan editor perolehan PTS yang kini bertugas sebagai Eksekutif Penyiaran di TV AlHijrah merangkap hos bagi rancangan tersebut menelefon dan menjemput saya bagi menggantikan Puan Ainon Mohd.

Lambat saya berikan persetujuan kerana gusar memikirkan keadaan diri yang tidak ada pengalaman langsung bagi bersiaran langsung. Dan juga sudah terbukti saya agak kecundang apabila berhadapan dengan kamera. Sementelah selepas melihat rakaman kembali beberapa siri rakaman sebelum ini.

Alhamdulillah, persetujuan diberi juga akhirnya mengenangkan tajuk yang akan dibincangkan bukan sahaja melibatkan kelangsungan perjuangan saya dalam penulisan khususnya berkenaan sastera Islam, namun ada satu misi yang besar perlu diperkongsikan kepada ummah mengenai kelangsungan perjuangan PTS dalam memandaikan dan menegakkan akidah bangsa.

Apapun, hanya kepada Allah diserahkan segala harapan. Semoga saya dipermudahkan, difasihkan lidah dan dilapangkan dada saat temu bual secara langsung itu berlangsung.

Dijemput kepada tuan puan menonton, terima kasih.


Insya-Allah. Pada hari Ahad. 16 Januari 2011. Jam 12.00 tengah hari. Saya akan bersiaran secara langsung dalam rancangan 'Assalamualaikum', TV AlHijrah. Tajuk yang akan dibincangkan adalah seputar 'Novel Cinta Islami'.

Mohon didoakan saya... Allahumma yassir wa la tuassir ya karim. Amin.

12 January 2011

Pakatan Rakyat Selangor harus waspada

Oleh Zahiruddin Zabidi
zahiruddin_zabidi@yahoo.com.my

TIBA-TIBA nama Dato' Khusrin kembali menjadi sebutan di sana-sini, mungkin ada yang memuji beliau namun jelas kebanyakannya adalah mengeji beliau terutamanya di kalangan penyokong Pakatan Rakyat (PR). Beliau begitu dipandang seperti duri dalam daging atau gunting dalam lipatan serta api dalam sekam dalam kerajaan negeri Selangor sekarang ini.

Selepas tersohor dengan populariti sebagai orang yang bertanggungjawab mengarahkan Dr Asri Zainul Abidin ditangkap ketika mengadakan ceramah tertutup di sebuah rumah di Bukit Antarabangsa tidak lama dahulu atas alasan tiada tauliah, paling akhir beliau juga dikatakan orang yang bertanggungjawab mengarahkan anak buahnya menangkap ahli-ahli Syiah yang sedang mengadakan program sambutan Hari Asyura di sebuah rumah kedai berdekatan Sri Gombak. Semuanya diarahkan atas kapasiti beliau sebagai Ketua Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Namun beberapa hari lepas, pengumuman pelantikan beliau sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (SUK) benar-benar mengundang reaksi negatif sekaligus amarah dalam kalangan kepimpinan negeri Selangor. Ini memang wajar kerana tindakan Datuk Khusrin sebagai mana yang dinyatakan oleh YB Khalid Samad sebagai hidung tidak mancung, pipi tersorong-sorong.

Akhbar perdana pro-kerajaan pula segera melaga-lagakan pihak kerjaan negeri dengan sultan apabila Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mohon mengadap tuanku sultan bagi membincangkan hal tersebut. Segera pihak kerajaan Pakatan Rakyat dilabelkan sebagai penderhaka kerana kononnya ingkar kepada pilihan baginda.

Barang diingat di sini, ada satu persamaan ketara sebagai titik mula pergolakan di Selangor dan Perak iaitu selepas penstrukturan semula ahli jawatankuasa UMNO di semua peringkat negeri. Dan barang diingat kerajaan Perak jatuh ke tangan Barisan Nasional dengan cara yang paling dayus dalam sejarah demokrasi dunia adalah sewaktu Datuk Seri Najib menjadi pengerusi UMNO negeri Perak.

Semuanya bermula dengan pengisytiharan seorang tokoh UMNO yang masuk PKR secara tiba-tiba diikuti dengan lompat parti mengejut oleh dua adun PKR dan seorang adun DAP keluar daripada parti masing-masing menjadi adun bebas yang pro BN. Rampasan kuasa berlaku akhirnya dan kuasa sultan dijadikan talian hayat BN bagi survival mereka di sana bagi berkuasa. Teori Machieaveli sempurna terlaksana di Perak.

Kini, perkara yang sama mungkin berulang. Data-data dan urutan peristiwa sudah menunjukkan semua pergolakan berlaku dengan drastik selepas penstrukturan yang terbaru selepas UMNO Selangor diterajui pengerusi baru iaitu juga Datuk Seri Najib Tun Razak. Secara jelas kita semua mengetahui Datuk Khusrin adalah personal yang sanggup dijadikan kambing hitam oleh pihak UMNO/ BN bagi melaksanakan segala perancangan penaklukan negeri yang paling kaya hasil maksulnya itu.

Sekali lagi UMNO/ BN tanpa segan silu dan maruah terus memanipulasikan institusi raja sebagai perisai mereka. Pihak mereka menyatakan bahawa pemilihan Dato' Khusrin adalah perkenan baginda sultan Selangor namun dalam masa yang sama baginda sendiri menyatakan raja tidak mempunyai kuasa menentukan pemilihan SUK melainkan menerima dan bersetuju dengan pilihan yang ditetapkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Terang lagi bersuluh ini adalah propaganda pihak pembangkang (UMNO/ BN) bagi mengulangi apa yang mereka lakukan di Perak. Menjadi matlamat mereka menjadikan pihak kerajaan negeri marah dan bertindak mengikut emosi lantas mengakibatkan huru-hara apatah lagi apabila sultan disabitkan bersama. Keadaan yang kucar-kacir ini amat menguntungkan mereka, dan barang diingat juga mungkin gerakan memancing dan menyihir para adun PR dalam DUN Selangor sedang berlangsung. Mungkin telahan ini tidak berasas namun jangan pernah fikir ia tidak mungkin berlaku!!!

Justeru, barang diingat juga pihak Pakatan Rakyat di Selangor khususnya harus menghadapi semua propaganda ini dengan tenang dan bijaksana, bukannya dengan amarah dan tindakan yang akan merugikan kerajaan Pakatan Rakyat Selangor apabila diheret terjebak dalam permainan kotor mereka itu.

Suka saya merujuk kepada tulisan Hisyamuddin Rais di portal Malaysiakini yang bertajuk: Lawan UMNO, berani sahaja tidak cukup. Katanya, “- keberahian sahaja tidak mencukupi. Kudrat dan tenaga kerbau tidak diperlukan sepanjang masa. Apa yang diperlukan ialah taktik dan strategi. Apa yang diperlukan ialah pemikiran strategik. Untuk mendapat sokongan orang ramai sebuah parti politik memerlukan lebih dari jeritan reformasi atau takbir!” (perenggan 4, Malaysiakini, 24 Disember 2010)
__________________________________________________________________

Nota: Tulisan ini sudah diterbitkan dalam ruangan Surat Pembaca, Harakah. Sebarang cuplikan perlu dikreditkan kepada Harakah, edisi Isnin, 10-13 Januari 2011.

10 January 2011

Erti Sanah (Tahun) Baharu di Berita Minggu, 9 Januari 2010

Oleh Zahiruddin Zabidi
zahiruddin_zabidi@yahoo.com.my

ALHAMDULILLAH, sajak pembuka tirai tahun 2011 sebagaimana tajuk di atas menghiasi dada Sanggar Kreatif Berita Minggu, Ahad, 9 Januari 2010.

Petang semalam saya mendapat mesej pesanan ringkas daripada kanda Salman Sulaiman, seorang aktivis dan penulis sastera yang tidak asing lagi dalam jagat kesusasateraan tanah air.

Tulis beliau, "Assalamualaikum, tahniah! Sajak dalam Berita Minggu. Cepat tersiar, tulis 7 haribulan (Januari); hari ini sudah tersiar."

Saya tersenyum, mahu tergelak pun ada.

Saya lantas menelefon beliau dan selepas berbalas salam dan bertanya khabar, saya kemudian dipujinya berkenaan tersiarnya sajak saya itu kerana baginya sangat cepat. 7 Januari tulis, 9 Januari sudah disiarkan. 

Dalam kekek tawa saya bertanya kembali kepada beliau, "Abang Salman sudah baca sajak tersebut?"

Jawabnya, "Sudah."

Saya kembali bertanya, "Sudah tengok betul-betul tarikhnya?"

Dia seakan kepelikan, "Mengapa?"

Saya menjawab sambil mahu tergelak, "Tarikh saya karang sajak itu adalah 7 Januari 2010, bukannya 7 Januari 2011. Sudah setahun dua hari umurnya, hari ini baru tersiar."

Kami tergelak besar. Dia tidak menyangka, kemudian saya jelaskan bahawa sajak itu sudah lama saya hantar ke pihak Sastera Berita Harian.

Apapun, alhamdulillah. Penantian dan kesabaran yang berbaloi akhirnya. Sajak yang saya karang untuk sambutan tahun hijri tahun sudah akhirnya disiarkan pada tahun baru masihi tahun ini. Semoga mesej dihadam lumat oleh para pembaca.

Terima kasih kepada pihak editorial bahagian Sastera Berita Harian yang dikemudi Bonda Salbiah Ani.

Di sini saya titipkan kembali sajak tersebut:

Erti sanah (tahun) baharu?

Qamar baharu hijri menyapa
Sebelum seketika qamar masihi berlabuh
Masih tertanya apakah maksud
Merdeka di watan ini.

Apakah terlunas dengan
deretan tuan besar seagama sebangsa
melaungkan azimat keramat
Hidup Melayu!
Hidup Melayu!
HIdup Melayu!

Sekelompok pula teriak nyaring
Allahuakbar!
Allahuakbar!
Allahuakbar!

Tandanya peranakan ibu pertiwi
Sedang bersatu?

Hakikatnya…
Perangai itu bergantung pada
diri sendiri.
Pesan Za’ba sang pendeta jagat bangsa.

Hemburkanlah segala kudrat
gembeling sedaya umat
Pastikan Melayu tidak hilang ‘Me’nya
Lantas jadi kulai ‘layu’
Hamka, ulama sasterawan nusantara
Mengungkap lafaz tazkiah.

ZAHIRUDDIN ZABIDI
7 Jan 2010
Wangsa Maju, KL

Berita Minggu, 9 Januari 2010