21 January 2011

Berdakwah tanggungjawab kita semua

Oleh Zahiruddin Zabidi

SELAIN daripada al-Quran dan sunnah yang disebut Rasulullah sebagai warisan baginda kepada umatnya, masih ada satu sunnah warisan baginda yang sentiasa disalah anggap oleh kita sebagai umatnya.

Antara tugas terbesar Rasulullah selepas menerima wahyu pertama sekaligus sebagai pengiktirafan baginda sebagai Rasul (utusan) Allah adalah menyampaikan dan mengajak manusia kepada jalan kebenaran iaitu jalan Allah. Dalam masa yang sama mereka juga perlu mencegah kemungkaran.

Justeru, menyampai dan mengajak itu dipanggil dengan terma khusus iaitu dakwah. Dakwah adalah salah satu tugas warisan daripada Rasulullah kepada setiap umatnya. Namun hanya segelintir sahaja yang memandang dakwah ini sebagai perkara yang besar dan prioriti dalam kehidupan mereka.

Mungkin ramai daripada orang Islam hari ini berpandangan tugas dakwah boleh dilucutkan daripada pertanggungjawaban mereka kerana sudah wujud agensi kerajaan khususnya di bawah jabatan agama Islam negeri masing-masing yang mempunyai unit dakwah.

Ditambah pula dengan kewujudan organisasi dakwah sukarela seperti ABIM, JIM mahupun yang berkaitan kerajaan seperti YADIM yang aktif menjalankan aktiviti dakwah dalam konteks dan kemampuan mereka sendiri. Ini menambahkan lagi tanggapan bahawa dakwah itu boleh diserahkan kepada mereka yang bertanggunjawab atau dalam erti kata lain mereka yang bekerja dan makan gaji dengan organisasi tersebut.

Umat Islam seharusnya menyedari bahawa tanggungjawab dakwah adalah kewajipan kita semua sedari Allah pernah berpesan dalam al-Quran, Surah Ali-Imran ayat 104 yang bermaksud: “Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang ma'ruf dan mencegah daripada yang mungkar; merekalah orang-orang yang beruntung.”

Kemudian dalam surah yang sama ayat 110 Allah menegaskan lagi dengan ayat yang bermaksud: “Kamu adalah umat terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang ma'ruf dan mencegah daripada yang munkar, dan beriman kepada Allah. Sekiranya Ahli Kitab beriman, tentulah itu lebih baik bagi mereka, di antara mereka ada yang beriman, dan kebanyakan mereka adalah orang-orang yang fasik.”

Sekali lagi dalam surah yang sama ayat 114 Allah menjelaskan peranan dan kepentingan dakwah kepada makruf danmencegah kemungkaran dalam ayat yang bermaksud, “Mereka beriman kepada Allah dan hari penghabisan, mereka menyuruh kepada yang ma'ruf, dan mencegah dari yang mungkar dan bersegera kepada (mengerjakan) pelbagai kebajikan; mereka itu termasuk orang-orang yang soleh.”

Namun daripada kebanyakan lapangan dakwah yang pelbagai itu, ada satu cabang dakwah yang sangat penting dan utama bagi seseorang Muslim khususnya bagi seorang lelaki. Dalam berdakwah menyampaikan risalah Islam yang menganjurkan kebaikan dan mencegah kemungkaran terlebih dahulu kita seharusnya memastikan diri dan ahli keluarga kita sudah berada dalam kondisi tersebut.

Allah kemudian memberi amaran yang keras kepada kita melalui Surah At-Tahrim ayat 6 yang bermaksud, Wahai orang-orang yang beriman, pelihara dirimu dan keluargamu daripada api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu; penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, keras, dan tidak menderhakai Allah terhadap apa yang diperintahkan-Nya kepada mereka, dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan.”

Berdasarkan ayat di atas jelas bahawa dakwah untuk mengajak kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran itu harus bermula terlebih dahulu dari dalam diri dan dalam rumah kita masing-masing.

No comments: