23 January 2011

Laporan ringkas program Wacana Industri Lakonan dan Dunia Artis Menurut Pandangan Islam

Oleh Zahiruddin Zabidi
zahiruddin_zabidi@yahoo.com.my

ALHAMDULILLAH, program Wacana Industri Lakonan dan Artis Menurut Pandangan Islam anjuran Unit Syubban (Pemuda) Persatuan Ulama Malaysia (PUM) berjalan dengan lancar pada malam 20 haribulan lepas bertempat di dewan utama Masjid Saidina Abu Bakar, Bangsar.

Walaupun wacana yang sepatutnya dihadiri oleh tiga orang panel itu hanya dihadiri oleh dua daripada mereka kerana Puan Erma Fatima yang dimasukkan ke wad hospital akibat keracunan makanan, wacana tetap berjalan sebagaimana yang dirancang. Kehadiran pada malam tersebut tidak seramai wacana yang terdahulu namun cukup bagi menghangatkan suasana.

Saya sendiri diamanahkan menjadi moderator pada malam tersebut, secara jujur saya berasa agak kurang selesa kerana perlu menjadi moderator kepada sati program yang agak besar dan luas perbincangannya malah mampu sahaja menyinggung sesiapa andai tidak kena caranya.


Tambahan pula panelis yang dijemput adalah daripada kalangan profesional yang bertaraf cendekiawan dalam bidang masing-masing malah mewakili dua sekte politik yang agam dalam negara kita. 


Dr Muhaimin Sulam sememangnya dikenali sebagai aktivis PAS dan kolumnis Harakah meskipun tidak memegang apa-apa jawatan penting dalam parti. 


Ustaz Fadlan Mohd Othman pula selaku Ketua Sekretariat Ulama Muda Umno (ILMU) sememangnya dikenali dengan pengisytiharan '40 Ulama Muda masuk UMNO' suatu masa dahulu. Selain daripada itu beliau juga merupakan pensyarah dengan takhasus bidang hadis.


Selepas wacana, ahli panel masing-masing diserbu oleh wartawan yang hadir. Seingat saya, ada wakil dari Majalah I (Karangkraft), Berita Harian, Harian Metro dan Harakah. Tanpa saya sangka, keesokannya ada seorang rakan sepejabat memberitahu ada gambar saya terpampang (di bawah) di utusanonline.com.my, ini bermakna pihak Utusan juga ada datang membuat liputan.


Alhamdulillah, semoga mesej yang cuba kami sampaikan kepada ummah di luar sana lebih terkesan dan berpanjangan. Insya-Allah, menurut Ketua Pemuda Syubban (Pemuda) PUM, Ustaz Dzulkhairi Md. Noor, wacana seni seterusnya akan dibuat dengan lebih besar dan tersusun. 


Beliau mencadangkan wacana seni seterusnya akan diadakan dengan menjemput nama besar seperti Rosyam Noor, Amy Search, Siti Nurhaliza dan juga Prof. Madya Abu Hasan Hasbullah mewakili suara artis dan beberapa ulama daripada pelbagai wadah bagi membahaskan seputar isu dunia seni tanah air.

SESI bual bicara Wacana Ilmiah Industri Lakonan dan Dunia Artis menurut pandangan Islam yang di hadiri oleh panel jemputan antaranya, dari kiri, Dr. Muhaimin Sulam, Ustaz Zahiruddin Zabidi dan Ustaz Fadlan Mohd Othman, bertempat di Masjid Saidina Abu Bakar As Siddiq, Bangsar, Kuala Lumpur. 21 Jan. 2010. Utusan/AMIN FARIJ HASAN (Sumber: http://www.utusan.com.my/)


Bagi tuan puan yang mahu membaca laporan Harakahdaily boleh merujuk di sini http://www.harakahdaily.net/.

No comments: