28 December 2009

Seputar Tentang Amalan Puak Syiah

Saya pernah bertanya kepada pakcik saya kenapa dia ke Iran untuk menyambung pengajian sedangkan dirinya berasal dari latar pendidikan agama dari institusi pondok. Jawapan darinya kepada saya ialah, “Kerana semangat Revolusi Iran 1979.”

Kita semua maklum bahawa Iran meletakkan ajaran Syiah sebagai aliran agama yang rasmi. Hal tersebut telah menimbulkan polemik yang berpanjangan dalam krisis aliran pemikiran, feqah bahkan melibatkan akidah umat Islam itu sendiri.

Namun setelah ditelesuri secara halus, baharulah diketahui bahawa Syiah itu sendiri berpecah hingga hampir puluhan aliran yang berlainan. Bermula dari yang bersifat washati atau moderat sehinggalah kepada aliran yang paling ghuluw atau ekstrim. Sila baca buku karangan Dato’ Seri Haji Abdul Hadi Awang yang bertajuk ‘Fahaman dan Ideologi Umat Islam’, buku ini diterbitkan oleh PTS Publication & Distribution.

Di Malaysia sendiri sudah ada bibit-bibit percambahan puak-puak Syiah selepas Malaysia mengamalkan dasar terbuka dalam menerima pelajar luar negara, ini telah memudahkan pelajar-pelajar luar negara termasuk daripada Asia Barat untuk menyambung pengajian di Malaysia. Bukan sahaja pelajar, bahkan Malaysia terlebih dahulu telah mengimport tenaga-tenaga pengajar dari sana.

Dalam kalangan mereka ini ramai juga yang berasal dari Iran, Iraq dan sekitarnya, tentunya kebanyakan daripada mereka adalah penganut fahaman Syiah. Secara langsung ini adalah peluang untuk menyebarkan malah menyuburkan fahaman, pemikiran dan aliran Syiah apabila sokongan dari pelajar dan rakyat tempatan bersama mereka, hal ini pernah diutarakan oleh ustaz saya Prof Madya Kamil Majid, selaku pensyarah subjek ‘Aliran Pemikiran Moden’ di Universiti Malaya.

Antara amalan utama dalam Syiah ialah menyambut Hari Ayura pada 10 Muharram dengan acara ratapan, tangisan kerana memperingati kewafatan Saidina Husain r.a, cucunda Rasulullah SAW yang dibunuh di Karbala. Oleh itu hampir juta penganut Syiah akan berkumpul di Karbala dan Najaf untuk tujuan itu, kemuncak upacara antaranya bacaan syair dan pertunjukan teater. Acara yang paling dramatis pula ialah acara memukul belakang masing-masing dengan rantai yang dipateri bersama mata pisau yang tajam di hujungnya.

Saya mendapati ramai juga yang cenderung untuk merelakan amalan itu walaupun mereka bukan Syiah. Contohnya di Malaysia, beberapa orang tokoh dunia penulisan, akademik dan mungkin politik yang pernah terkesan dengan semangat revolusi Iran itu masih mengiayakan amalan puak Syiah tersebut. Mungkin mereka ada alasan tersendiri dalam mengekspresi diri mereka dalam menzahirkan kecintaan kepada Rasulullah SAW dan ahlul bait yang lainnya dengan cara tersebut. Namun saya juga yakin mereka tidak akan sanggup untuk melakukan amalan itu sekalipun mereka menyokong aliran Syiah.

Meratapi Kematian
Dalam hal ini saya cuma teringat bahawa banyak sekali hadith soheh yang direkod dari perawi agung yang enam mengatakan bahawa Rasulullah SAW sendiri melarang keras umatnya daripada meratap kematian, kerana dikatakan bahawa meratap terhadap kematian itu adalah amalan dan warisan orang-orang Jahiliyah musyrikin dan kafir Quraish.

Tidak ingatkah kita dengan hadith Baginda yang direkodkan oleh Bukhari dan Muslim r.a dari Abdullah r.a yang bermaksud, “Bukanlah dari golongan kami, orang yang menampar-nampar pipi dan mencarik-carikkan baju dan memekik-mekik seperti mana yang dilakukan orang-orang Jahiliah”(Mutafaqqun-alaikh, Soheh Bukhari. no:672)

Dari Mughirah pula diriwayatkan hadith yang bermaksud, “Mayat yang diratapi akan diseksa kerana ratapan itu.” (Soheh Bukhari, no:670)

Abdullah ibnu Umar pula meriwayatkan dari Rasulullah SAW yang bermaksud, “Mayat akan diseksa dalam kubur sebab ia diratapi.” (Soheh Bukhari, no:671)

Dalam satu lagi riwayat dari Abu Musa r.a. Katanya, “Saya lepas dari orang yang Rasulullah berlepas diri daripadanya. Rasulullah SAW berlepas diri dari orang-orang yang berkabung dengan berteriak-teriak, mencukur kepala dan mengoyak-ngoyak baju.” (Soheh Bukhari, no: 674)

Berdasar hadith-hadith soheh tersebut tenyata apa yang dilakukan oleh puak Syiah walau apa sekalipun alasannya adalah salah di sisi nas al-Quran dan hadith. Jika benar kita ingin menggambarkan keprihatinan dam kecintaan kita terhadap ahlul-bait tentu ada cara yang lebih baik daripada meratap dan menyeksa diri seperti itu. Dalam masa yang jika mengikut kepada pemahaman literal hadith-hadith di atas, sebenarnya mereka sedang menyeksa Husain dengan meratapi kematian cucunda Rasulullah SAW itu.

Teringat pesan Tuan Guru saya. Katanya, “Kita di sini (Malaysia), kita buat cara kita (ikut fahaman ahli sunnah wal-jamaah). Mereka di sana (Iran) biarlah dengan cara mereka (Syiah).”

Maka, bersandarlah pada nas yang soheh yakni al-Quran dan hadith. Sesungguhnya tiada yang sebetul-betul perkataan dan perlakauan melainkan Rasulullah yang disuluhi dan silorongi oleh wahyu Allah. Kemudian nilailah dengan akal yang waras baik buruk sesuatu amalan itu, bukan bermaksud kita tidak menyanyangi dan menyanjungi ahlul-bait, namun sayang dan hormat kepada mereka mestilah tidak melangkaui batasan yang ditetapkan syarak.

Ayuh kita berselawat keatas Nabi Muhammad SAW dan ahli keluarga Baginda sekaliannya. “Allahumma sholli ‘ala Muhammad wa ‘ala aali Muhammad.” Maksudnya, “Allah berselawat keatas Nabi Muhammad dan ahli keluarganya (ahlul-bait).”

Ahmad Zahiruddin bin Mohd Zabidi
Seksyen 2, Wangsa Maju

1 comment:

Anonymous said...

TQ for info