10 December 2009

Dakwahnya dengan seni

SAYA cukup teruja apabila membaca perkongsian salah seorang teman laman maya ‘Facebook’. Perkongsian bertajuk ‘Ulasan program Bedah buku Ketika Cinta Bertasbih bersama Habiburrahman El-Shirazy’ sila rujuk di sini http://www.facebook.com/home.php?filter=h#/notes/wasif-wan/ulasan-program-bedah-buku-ketika-cinta-bertasbih-bersama-habiburrahman-el-shiraz/222228867386.

Ada beberapa perkara yang begitu menarik perhatian saya, ini adalah apabila sahabat itu mengatakan bahawa Habiburrahman telah mendatangkan kisah-kisah ulama silam yang berdakwah melalui kesusasteraan. Ini adalah kerana ulama itu sendiri adalah seorang sasterawan.

Jika disoroti maka benarlah dakwaan itu, saya ingin datang hanya dua tokoh yang hidup mereka hampir sezaman walaupun berlainan benua. Di Malaysia khususnya Kelantan, kita punya ulama sufi yang alim lagi karamah, beliau dikenali sebagai Tok Kenali.

Beliau merupakan pengarang prolifik yang mengarang banyak cerpen berunsur nasihat keagamaan selain merupakan pengarang kepada majalah Pengasuh. Dunia sastera melayu juga mengiktiraf beliau sebagai ulama sasterawan. Karya beliau kini diterbitkan kembali oleh syarikat Al-Hidayah Publishing.

Di negara jiran kita biasa dengan seorang tokoh ulama yang telah mengarang kitab tafsir berjudul Tafsir al-Azhar sewaktu dirinya masih di dalam penjara, beliau ialah Prof. Dr Hamka. Selain deretan karya-karya falsafah dan keagamaan. Buya Hamka juga tidak ketinggalan dalam menghasilkan novel-novel bersifat falsafah yang sarat, kritis dan penuh dengan motif-motif ajaran Islam itu sendiri. Siapa tidak kenal novel ‘Tenggelamnya Kapal Van Der Wick’ yang amat tersohor itu.

Itulah dua orang tokoh yang belum ada penggantinya, sasterawan yang berstatus ulama dan ulama yang berstatus sasterawan. Alhamdulillah perkembangan terbaru kini sangat positif, lambakan karya-karya Islami dengan para penulisnya yang berlatar belakang pengajian tinggi Islam dari universiti-universiti Timur Tengah mahupun dalam negara, sudah ramai yang menunjukkan keseriusan masing-masing dalam menyampaikan dakwah dengan berkarya.

Contohnya kita ada saudara Faisal Tehrani, Zaid Akhtar, Salina Ibrahim dan ramai lagi. Kemunculan Grup Karyawan Luar Negara juga mendatangkan impak yang sangat positif kepada industri. Nyata kita tidak tandus modal insan dalam perjuangan sastera. Selain itu juga, pujian harus diberikan kepada PTS Publication & Distributor kerana hanya menerbitkan novel-novel yang 100% Islami dengan mazhabnya tersendiri yang dikenali sebagai ‘Penulisan Teknik Surah Yusof’.

Dalam ulasan sahabat saya itu juga, beliau telah mendatang cadangan daripada Habiburrahman dengan katanya, “Gerakan dakwah perlu lahirkan bintang filem.” Kenyataan ini adalah bersesuaian dengan tuntutan semasa yang menyaksikan lakon layar dan drama-drama Islami semakin mendapat sambutan yang luar biasa di dalam negara kita ini.

Di Malaysia sendiri, kita sudah buktikan bahawa drama Islami seperti ‘Nur Kasih’ mampu mengatasi jumlah kuantiti penonton sinetron-sinetron Indonesia yang semakin merimaskan industri tanah air. Dengan itu adalah bijak jika badan-badan dakwah bertindak mewujudkan akademi yang menyediakan pelakon-pelakon yang sebenarnya berlatarkan agama, agar nanti babak-babak yang memerlukan bacaan al-Quran, hadith, doa, kuliah dan sebagainya dilihat lebih ampuh dan sempurna.

Mulai hari ini saya sarankan pelajar-pelajar aliran agama supaya aktif juga dalam seni persembahan teatre selain dari aktif menulis dan bernasyid. Antara mereka yang boleh dirujuk dalam hal ini ialah aktivis teatre bebas, Dinsman. Beliau sekarang sibuk dengan sesi jelajah teater arahannya ke seluruh pelusuk negara, teater yang bertajuk ‘Menunggu Kata Dari Tuhan’ itu mendapatkan sambutan yang menggalakkan malah pihak Parti Islam Se-Malaysia, PAS juga dikatakan akan menganjurkan pertandingan teatre bagi menyemarakkan lagi penyampaian mesej dakwah yang praktikal melalui salah satu cabang seni ini.

Pihak Pemuda PUM dengan kerjasama beberapa agensi bukan kerajaan lainnya juga akan menganjurkan pementasan teatre ‘Menunggu Kata Dari Tuhan’ kepada umum khususnya untuk penduduk Pantai Dalam pada 30 Januari 2010 depan. Sila rujuk di sini http://dzulkhairi.blogspot.com/2009/10/teater-islam-mkdt.html.

Ahmad Zahiruddin bin Mohd Zabidihttp://kalamkhalifah.blogspot.com/
Timbalan Ketua Pemuda PUMhttp://www.islamon9.com
Penasihat iluvislam.comhttp://iluvislam.com/
No 206, Blok A9 Seksyen 2,
53300 Wangsa Maju,
Kuala Lumpur

2 comments:

Tokdin said...

Assalamualaikum. Semoga saudara dirahmati Allah sentiasa dalam hidup ini. Dalam tulisan saudara tersebut ada menyatakan bahawa Tok Kenali merupakan pengarang kepada majalah Asuh. Namun, pada pengetahuan yang saya ada, Tok Kenali (rahmatullai alaih) adalah seorang pengarang kepada majalah yang diberi nama sebagai Pengasuh. Mungkin kesilapan yang tidak disengajakan atau ada fakta lain yang belum sampai pada saya. Wassalam. -Tokdin Tuman-

Zahiruddin Zabidi said...

Waalaikmussalam tuan, terima kasih untuk kesekian kalinya.

Saya sendiri tergelak apabila membaca kembali ayat tersebut.

Aduh, cuai sungguh diri ini.