27 December 2009

Bersatu di bawah manhaj al-Qaradhawi

Kita mengucapkan tahniah dan ribuan terima kasih kepada kerajaan Malaysia kerana telah sudi menjemput Presiden Kesatuan Ulama Muslim Se-dunia, Prof Syeikh Dr Yusuf al-Qaradhawi malah telah menganugerahkan beliau sebagai Tokoh Maal Hijrah 1431. Ini mungkin boleh dianggap sebagai kesinambungan penganugerahan yang sama pada tahun sudah kepada Prof Dr Wahbah al-Zuhaili.

Tidak kita ketahui kenapa kerajaan memilih beliau, namun secara perspektifnya kita seharusnya berprasangka baik (husnu-zhon) kerana kesanggupan beliau untuk hadir merupakan satu rahmat kepada rakyat Malaysia yang cintakan agama.

Akhbar-akhbar perdana secara jelas mendatangkan amanat beliau sebagai tajuk utama, antara pesan beliau yang dijadikan tajuk besar ialah tentang perlunya kita umat Islam di Malaysia mempertahankan perpaduan yang dilihat masih utuh pada pandangannya. Selain itu beliau juga meminta supaya kita sebagai umat Islam untuk terus lebih berhati-hati terhadap orientalis barat yang sentiasa mengintai peluang untuk mengganyak Islam.

Semasa dijemput untuk majlis bersama dengan pihak Pakatan Rakyat khususnya PAS, beliau direkodkan berpesan agar pihak PAS menghantar ahli-ahli muda untuk latihan pengkaderan di Asia Barat yang kaya dengan khazanah ilmu Islam, beliau meminta mereka mendalami khususnya ilmu dalam bidang Fiqh dan Usul Fiqh.

Walau apapun nasihat dan pandangan beliau, adalah perlu kita sebagai umat Islam di Malaysia yang berlatarkan fikrah politik mahupun aliran pemikiran Islam yang berbeza untuk mengambil iktibar daripada pesanan-pesanan beliau.

Dengan karangan penulisan beliau yang mencecah lebih daripada 100 judul ternyata sangat layak untuk dijadikan sumber rujukan kita semua. Dengan itu adalah wajar kita di Malaysia menjadikan manhaj Prof Syeikh Dr Yusuf al-Qaradhawi sebagai manhaj rasmi kita bagi menyelesaikan masalah-masalah furu’ yang masih menghantui cendikiawan Islam di negara kita ini.

Tiada gunanya jika mengiktiraf beliau sebagai tokoh yang hebat dengan pengurniaan anugerah terhormat itu namun dalam masa yang sama kita tidak mahu menjadikan beliau sebagai rujukan dalam hal-hal yang berkaitan. Kita menyeru terutamanya para ulama dan umara tanah air untuk mencari pemurnian dalam segala hal dengan menjadikan al-Qaradhawi sebagai sandarannya.

Ahmad Zahiruddin bin Mohd Zabidi http://kalamkhalifah.blogspot.com/
Timbalan Ketua Pemuda PUM http://www.islamon9.com/
Penasihat iluvislam.com http://iluvislam.com/

No comments: