30 October 2009

Kuliah Kembali

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.

Setelah sekian lama berhenti dari berkuliah di UPM, akhirnya saya kembali untuk berkongsi dengan adik-adik di sana.

Sepatutnya saya sudah memulakan kuliah tersebut minggu sudah, namun perkara yang tidak boleh dielakkan telah berlaku. Saya turun pada jam enam dan masih berada di Kuala Lumpur pada jam tujuh. Akhirnya saya menghubungi sahabat saya Ustaz Hisham untuk membatalkan kuliah tersebut.

Di Kuala Lumpur kita harus pandai dan bijak dalam mengatur langkah, maksudnya dalam memilih jalan dan haluan untuk samapai ke destinasi tanpa terjerumus ke dalam kancah kesesakan lalulintas yang tidak berkesudahan walaupun bajet dan konsesi lebuhraya menelan berbilion mungkin duit rakyat jelata.

Amat menyedihkan malah rakyat terus tertekan. Kami nantikan perubahan insya-Allah.

Dari Wangsa Maju sepatutnya saya menggunakan lebuhraya MRR2 untuk ke UPM Serdang, namun saya sedar bahawa kesesakan yang amat akan saya hadapi di beberapa simpang sepanjang ke sana. Antaranya simpang susur ke Ampang, Taman Shamelin, Kajang dan Cheras.

Mungkin akan mengambil masa sehingga 1 jam lebih untuk sampai ke UPM. Tambahan pula Maghrib sekarang tepat 7.00 petang, sangat mendesak.

Opsyen yang kedua ialah melalui jalan Tun Abdul Razak terus menuju lebuhraya Seremban-Melaka dan susur ke Serdang. Percaturan saya silap, kes minggu lepas dijadikan pengajaran, rupanya kesesakan di sana lebih dahsyat berbanding MRR2. Dalam masa sejam, saya masih terperangkan dalam terowong di antara Ampang Park dan Tabung Haji.

Semalam, perhitungan yang ditir dibuat. Saya menggunakan opsyen ketiga iaitu melalui jalan Genting Klang yang memang kalis sesak pada sebelah petang kerana para pekerja menuju jalan pulang yang bertentangan, makanya sebelah sanalah yang sesak teruk.

Dari sana, saya melalui Jalan Pekeliling yang juga kalis sesak pada waktu itu, alhamdulillah. Saya meneruskan perjalanan melalui Jalan Kuching terus maju melalui jalan depan Istana Negara dan terus maju melalui Lebuhraya Seremban-Melaka. Ada sedikit kesilapan di sini, sepatutnya di satu susur saya kena belok ke kiri untuk melalui Bandar Tasik Selatan dan terus selamat ke UPM.

Akhirnya saya terpaksa bergelumang juga dengan kesesakan. Alhamdulillah, opsyen yang seterusnya muncul, susur ke Kuchai Lama beriring dengan UPM Serdang. Saya membelok dan terus maju ke Bandar Tasik Selatan.

Lega.

Kesesakan sudah tiada dan terus saya memecut SAGA BLM milik isteri, dia pun bersama saya sebenarnya. Alhamdulillah saya sampai tepat pada masanya walaupun sedikit salah faham berlaku apabila saya keliru samada saya perlu berkuliah di Kolej ke-12 atau 13. Setelah menghubungi sahabat saya Ustaz Hisham maka jelaslah saya akan berkuliah di Kolej ke-12 UPM.

Seronok juga dapat jumpa adik-adik semester lepas, sempat saya berborak dengan salah seorang daripada mereka. Saya dapat tahu yang memang pengisian kuliah kosong pada semester ini, kesian mereka yang dahagakan perkongsian mutiara ilmu agama. Bajet yang banyak sepatutnya dimanfaatkan kepada mereka.

Tajuk yang dibahaskan semalam juga agak panas, saya berharap adik-adik di sana dapat mengambil iktibar yang sewajar di samping saya juga boleh memahirkan diri dalam pengkhususan penulisan ini.

Tajuk yang bakal menjadi bab dalam buku sulung saya, insya-Allah.

Jumpa lagi minggu hadapan untuk siri seterusnya insya-Allah.

Zahiruddin Zabidi
Masjid Usamah bin Zaid, Wangsa Maju.

29 October 2009

Satu..Dua..Mula..!

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang

Sungguh saya rasa agak iri hati (yang positif) kepada sahabat-sahabat yang sudah ada karya sendiri. Dan ini secara langsung terus menerus memotivasikan saya. Tapi saya sedar mereka juga bermula seperti saya.

Alhamdulillah, hari sabtu dan Ahad ini padat dengan aktiviti bengkel penulisan. Saya sedar walaupun kita minat menulis dan berbakat menulis, kaedah dan teknik penulisan yang betul harus dipelajari dahulu.

Tambahan pula setiap syarikat penerbitan ada skema dan mazhab yang tersendiri dalam proses penerbitan. Jadi, tunjuk ajar secara langsung dari editor adalah proses pembelajaran yang paling penting buat penulis-penulis dan bakal penulis.

Namun tidak salah jika kita berupaya untuk menguasai beberapa kaedah yang berbeza ini. Ini akan dianggap fleksibeliti dan kreativiti seorang penulis. Makanya peluang untuk penulis itu menapak dan menbarkan jaringnya dalam dunia kesusasteraan adalah lebih terbuka.

Buat masa ini saya akan menumpukan perhatian terhadap corak penulisan dan penerbitan mazhab PTS kerana saya amat berminat untuk menjadi salah seorang penulis syarikat itu. Insya-Allah saya akan konsisten dalam menuntun setiap bengkel ilmu yang dianjurkan pula secara gratis.

Kita tentu pernah dengar dialog ini, "Mana ada barang percuma sekarang ini, nak masuk tandas pun kena bayar RM0.30 sen di Kuala Lumpur."

Tapi di PTS, yang mustahil itu telah menjadi kenyataan. Bengkel hampir sehari, dari pukul 8 pagi hingga 12 tengahari kemudian disambung pada pukul 2 petang hingga 4 petang itu dijalankan secara percuma, saya ulang...percuma. Masakan mampu saya menolak rezeki ini.

Sasaran untuk menyiapkan paling kurang sebuah buku sebelum 1 Januari 2010 akan dikotakan. Tiada alasan lagi, sebenarnya sudah agak lama saya mula menulis. Namun seperti yang dikatakan sebelum ini, menulis tanpa kaedah dan teknik yang bertepatan dengan syarikat penerbit akan menghampakan kita akhirnya.

Jadi saya cuba meniru kaedah sahabat Rasulullah yang mengambil masa sehingga 8 tahun untuk menghafal surah Al-Baqarah kerana menggunakan kaedah hafal satu ayat, faham da amalkan terlebih dahulu kemudian barulah hafal ayat yang seterusnya.

Yang pasti, saya sudah bermula dan saya tidak akan berpaling lagi. Kertas kerja untuk penulisan saya sudah siap dan insya-Allah saya akan berjumpa dengan penerbit PTS untuk berbincang projek saya tersebut.

Selain itu saya juga kena memperbanyakkan membaca buku keluaran PTS untuk mencerap lebih roh PTS dalam berkarya kelak. Tunjuk ajar dari sifu-sifu PTS seperti Puan Ainon, Tuan Syafiq, Tuan Zamri dan ramai lagi amat diperlukan.

Zahiruddin Zabidi
Masjid Usamah bin Zaid, Wangsa Maju.

28 October 2009

Berita Baik

Gegak gempita alam buana dengan kemelut politik yang tidak sudah-sudah. Bosan, bahkan mual dengan sikap para politikus yang seakan tidak mengerti dosa pahala, syurga dan neraka.

Sesungguhnya Allah sedang memerhati dan para malaikatnya mencacat setiap gerak laku malah detik niat kita.

Setakat ini saya sudah menghabiskan 3 buah buku novel sejarah Islam karangan Abdul Latip Talib yang diterbitkan PTS Publication. Selain daripada memerhati dan mengkaji metod penulisan Pak Latip dari sudut penampilan ideanya yang digarap melalui idea asal yang sudah tersedia, saya juga cuba untuk memahami dan memahirkan diri saya dengan kaedah penulisan Surah Yusof yang menjadi mazhab rasmi kepada penulis dan bakal penulis PTS Publication.

Setelah selesai mencerap judul Sultan Muhammad Al-Fateh, Hulagu Khan dan Salahuddin Al-Ayubi. Tiba-tiba saya menyedari, selain dari pemerhatian dari sudut kesusasteraan saya dapat rasakan hampir 100% cerita mengenai para pahlawan ini ialah kehebatan mereka dalam berpolitik. Sebagai seorang pemerintah, panglima, ayah, suami dan sahabat.

Bahkan mereka berpolitik sehingga ke medan perang yang telah mengorbankan beratus ribu malah berjuta nyawa jika dihitung kesemuanya. Mereka juga berpolitik sehingga terpaksa menumpahkan darah saudara sebangsa dan seagama. Apakah rasionalnya di sebalik sejarah ini.

Justeru, saya melihat proses politik masa kini juga tidak terlepas dari konflik yang melibatkan sesama bangsa dan agama. Kerana terdapat dua kelompok dalam politik yakni kelompok pertama berpolitik kerana kuasa politik menjadi tujuan mereka namun di sebelah pihak lagi berpolitik kerana Allah.

Niat inilah yang membezakan orang Islam dan kafir malah orang Islam dan juga Islam, sesungguhnya orang paling mulia di sisi Allah ialah orang yang bertakwa kepada-Nya.

Maka saya sedar, di sebalik mereka yang mencari kuasa politik kerana ingin menegakkan syiar Islam pasti tentangnnya dari dalam dan luar. Sejarah sudah membuktikan, cuma senjata dan latan yang digunakan sekarang lebih moden, khabar yang menjadi fitnah boleh tersebar dalam hanya beberapa saat ke seluruh dunia.

Saya cuba berlapang dada, mencari cerita positif di sebalik segala-mala hal yang ditatapkan saban hari. Rogol, bunuh, zina, liwat, kemalangan, dadah, dedah, rempit dan segala macam bagai lagi masalah yang seharusnya dicari cara untuk menyelesaikannya, sekalipun tidak mampu cukuplah jika kita berusaha mengurangkannya.

Berita gembira yang saya maksudkan ialah pasukan bola sepak Kelantan telah menang selesa 2-0 terhadap Perlis semalam di Stadium Sultan Muhammad IV dan akan ditentang balik di tempat lawan bagi menentukan mereka layak ke peringkat akhir.

Berita kedua ialah, Kelantan mengekalkan rekod bersih rasuah secara konsisten selama 19 tahun pemerintahan di bawah Kepimpinan Ulamak, fikir-zikirkanlah. Yang mana manikan yang mana jauhari.

Saya menyokong segala kebaikan, namun bukan pula beerti saya tidak akan membantah segala kemungkaran. Walaupun ianya dari pihak yang sama.

Zahiruddin Zabidi
Masjid Usamah bin Zaid, Wangsa Maju.

27 October 2009

[Cerpen] YB Ka, Tak, Pu dan Ru

Hening sekali dinihari itu, tiada ungkapan jitu yang layak dilontarkan. Sesekali YB Tak memandang ke luar tingkap keretanya yang ditahta mewah. Pak Samad terus menghenyak pedal minyak kereta, deras meluncur membelah kabus malam.

Permandangan aneh sekali kala itu, permandangan yang sepatutnya indah jadi kelam. Balam-balam cahaya hanya meminarkan lagi butir mata.

“Betulkah lakuku ini....” Hatinya menghitung.

“Bagaimana jika rakyat tiada lagi bersamaku, habislah periuk ruyungku.”

Pak Samad bersuara, dari tadi dia lihat tuannya itu dirundum gelisah, air mukanya bagai awam kandung hujan menunggu pecah. “Tuan, apakah gerhana yang menimpa tuan?”

“Itulah Pak Samad, saya pun kurang pasti. Rasanya sudah cukup saya berbakti, berpeluh bagai dalam berjuang. Namun...begini juga akhirnya.”

“Benda dah jadi tuan, tapi mungkin ada lagi peluangnya tuan.”

“Hmm...,” sekadar berdengus terus YB Tak menyambung dilemma.

“Hah, kalau tuan nak lebih daripada Cik Puan dulu pun ada tuan.”

“Memangla ramai, tapi manakan sama dengan Ros Biru.”

“Bagaimana Ros Hijau tuan?”

“Itulah yang saya duk menungkan ni, saya tumpang dia barulah jaya dan gah begini. Walaupun kami tak kahwin, tapi jasanya amat besar pada saya.”

“Kenapa tidak dikahwini sahaja tuan?” Pak Samad merancakkan persoalan.

“Bukan tak mahu, orang tak sudi. Ragu pada saya barangkali, namun benar duga mereka. Kasih saya pada Ros Biru membara semula. Tambahan dia dah makin berubah, makin anggun, cantik, bergaya dan bersih.”

Pak Samad menambah, “ Kalau begitu kiranya, saya rasa ikutlah fatwa hati tuan. Tapi risikonya tetap ada, kaum kerabat Ros Hijau pasti mengamuk kelak.”

“Itu saya tahu tapi saya kena nafikan, kalau tak lemah betul jantan saya ni, aib malu perkasa Melayu. Alah pada tekanan massa.”

Setelah dia dituntut cerai oleh bekas bininya yang pertama yang bernama Ros Biru, dia nanar. Hidupnya teratur dahulu, bahagia. Rupanya tidak sampai ke petang bercahaya. Dia terpaksa menceraikan isteri pertamanya kerana perintah makhamah. Silapnya juga, bersandiwara dengan api, akhirnya memakan diri.

Sinar hidupnya memancar kembali bila ada gadis yang sudi menghulur budi. Diberi tempat dan pangkat, begitu sekali dia bersyukur kerana selepas papa dan selepas banyak kali pemilihan dia hampa.

Kini dia kembali dengan nada baru, di bawah lembayung tiket yang dahulunya mahu dilayu.
Namun dia tetap dengan tagih dulu, bersandiwara dengan sekam. Walaupun tidak sebahaya api, namun sudah cukup untuk melecur badan jika tidak kena caranya.

“Tahniah YB Tak, walaupun jadi wakil bebas. Kami sokong.” Kembang kembis hatinya, ramai yang menyokongnya. Walaupun dulu mereka inilah yang menongkah arusnya. Namun segalanya tiada mustahil.

Si Iblis dahulunya malaikat, lantas dilaknat kerana sombong dan angkuh terhadap Adam yang berasal dari tanah. Disuruh sembah oleh Allah, disanggah angkuh oleh dirinya, “Asalku api engkau tanah! Mana mungkin api tunduk sujud pada tanah!?”

Lantas murka Allah menjanjikan neraka padanya. Namun dia tekad akan membawa seramai mungkin awak-awak dari benih lendir Adam. Seramai mungkin.

Barsisho pula warak lagi abid, hebatnya digambar dalam kisah hingga anak muridnya mampu terapung di langit dengan kuasa Allah. Hebat makrifatnya, sufi kekangannya.

Malang.

Tewas kerana hanya ingin menjadi lebih hebat dalam ibadah setelah digoda iblis. Arak, bunuh dan rogol jadi laku akhirnya lantas mati ia dalam kufur. Kisah dicatat di dalam kitab.

“Tapi ini lain, dulu dah jadi sekali. Bercerai dengan Ros Biru dan hinggap ke Ros Kuning. Bila Ros Kuning mati tak berkubur dan kononnya rohnya sudah bergabung dengan Roh biru, YB kembali kepada Ros Biru.” Teringat YB Tak akan bualannya dengan YB Ka. Dan lagi dua rakan seiras, YB Pu dan YB Ru.

“Ah...itu cerita lama.”

“Tapi rakyat ingat YB, kami ini pun belum tentu nasib.” Ujar YB Ka.

YB Pu turut serta, “Nasib baik huru-hara dek taufan bulan sudah belum usai, kalau tidak dah tak merasa dah kita menunggang Komri ni.”

“Sudahlah YB Pu, bukannya kita tidak mampu. Durian runtuh hari sudah bukankah masih berjebak dalam kantung kita.” YB Ru galak mengusik.

“Hahahaaaaa....” pecah usus gelak gaya mereka ini, hampir serentak. Hanya YB Tak yang tersenyum paksa.

YB Tak terkenang, tanah darahnya jelata bukan sembarangan.

Bijak sekali awak-awaknya, dilihat susuk yang kurang arif malah buntu ahlak, dihumban terus tanpa hampa.

Sedangkan YB Tak menang sudah kerana topeng yang dipakainya, begitu juga YB Ka, Pu dan Ru. Tapi negeri mereka lain, entah berentah. Dari semahal dan secantik perak sudah menjadi aluminium, sudah jatuh martabat daulatnya.

Di negeri YB Tak pula petir kilatan senantiasa terpancar. Lambang jelatanya begitu arif berpencak politik.

“Kamu semua cerai bertebus, aku kini menumpang kasih dari Ros Hijau. Tapi kasihku pada Ros Biru tak pernah luput.” Ujar YB Tak layu.

Sambungnya lagi, “Kini Ros Hijau pun sudah naik minyak bila tahu hatiku masih pada Ros Biru, tapi jika mahu balik pada Ros Biru manakan mungkin. Sudah dua kali saya bercerai hidup dengannya. Mahu diguna Cina buta takut dikilas pula.”

Terus dia dirundum pilu, tapi yang anehnya bila bertentang lensa media, cetak atau eletronik dia terus galak gagah, lantang bak arjuna tiada kesal dalam ungkapan. “Yang betul kita kena cakap betul, saya wakil bebas. Saya berhak menegur mana yang perlu, yang penting perjuangan menegakkan agama, bangsa dan Negara menjadi agenda utama.”

Ingat lagi kata-katanya ketikamana para paparazzi politik sibuk mengerumun seusai bersidang.

“YB Tak, akhir-akhir ini YB nampak macam akan rujuk kembali kepada Ros Biru, apakah benar?” Soalan diterjah ke benak telinga. Orang duk sibuk hal Negara, ekonomi, social dan pertahanan, penggubalan undang-undang, EGM kita tanya pasal cerai rujuk.

"Bagaimana pula dengan Ros Hijau?" Seorang lagi menyibuk. Bahkan banyak lagi soalan menjengah, bunyi macam hurungan lalat yang sedang menikmati hidangan mereka di....

“Saya tiada komen untuk sementara ini, kita tunggu dan lihat.” Jawapan selamat, namun hatinya meraung, “Sudah tentu aku masih saying padanya, dialah pelita hidupku, perjuanganku, titik awal dan akhir. Aku mencintainya setulus hatiku, namun dia yang membuangku walaupun aku tidak mahu. Aku mahu kembali...ingin sangat kembali...tolongla paduka Ratu Ros Biru....”

“YB Tak, kita dah sampai.” Pak Samad bersuara mengejutkan tuannya.

Tiada respon. Lama menunggu,

Pak Samad keraskan suara sambil tangannya mencuit YB Tak, “Tuan, kita dah sampai di agam tuan.”

Kaku juga.

Kali ini Pak Samad membuka pintu belakang dan mendapatkan tuannya.

Rupanya...

“Innalillahi wa inna ilaihi rajiun.”

Di tangan YB Tak terdapat sekeping kertas konyok yang tertulis.
“ Sahabat, saya susun nama kita dengan susunan ini. Ka, Tak, Pu dan Ru. Benarlah kita YB KATAKPURU.”

Zahiruddin Zabidi
Masjid Usamah bin Zaid, Wangsa Maju.

26 October 2009

Damaikanlah

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.

Ribut sekali jagat raya dengan adegan-adegan kehidupan yang pelbagai. Antara peristiwa yang berlaku ialah EGM UMNO yang masih hangat lagi, dan hari Jumaat sudah kita dihidangkan dengan perbentangan bajet 2010 yang di sampaikan oleh YAB Perdana Menteri.

Sekali lagi kita gempar dengan kenyataan bahawa PAS juga akan mengadakan EGM, dan yang mengusulnya pula adalah Tok Guru Mursyidul Am sendiri. Begitu banyak sekali cakap-cakap tentang hal ini. Positif dan negatif, menyokong dan menyanggah semuanya mengambil bahagian.

Saya hanya mampu memerhati dan mengambil iktibar dari segala yang berlaku. Belum masanya untuk terjun ke lautan onar itu. Namun dari sini, saya punya agenda dan matlamat tersendiri.

Insya-Allah saya akan bersama dengan Ustaz Dzulkhairi dalam Pemuda Persatuan Ulamak Malaysia, panjang kami berdiskusi hari Sabtu sudah. Sungguh, bersama sahabat yang mampu mengingatkan kita akan akhirat adalah nikmat yang merupakan anugerah dari Allah.

Pelbagai agenda sudah dirangka oleh beliau, dan saya kagum sekali dengan Ustaz Dzulkhairi yang jelas kesungguhannya apabila sudah menanggung amanah, istiqamahlah yang paling penting dalam sekalian hal ini. Insya-Allah saya juga sedang berusaha untuk bertransformasi bersamanya.

Pengurusan adalah aspek yang penting dalam kehidupan. Pengurusan hidup yang baik akan membuahkan hasil yang baik. Allah sudah mengajar kita melalui kalamnya dan Rasulullah juga sebagai uswah hasanah yang terbaik dalam pengurusan juga.

Pernahkah kita bayangkan bagaimana Baginda Rasulullah SAW sebagai seorang rasul, pemimpin, suami, ayah, datuk, panglima perang, pendakwah, sahabat dan banyak lagi jawatan-jawatan penting dalam hanya satu masa.

Bahkan Rasulullah mampu untuk mneguruskan rumahtangganya yang mempunyai lebih dari seorang suri. Begitu sekali adil dan saksama serta bijak Rasulullah dalam pengurusan kehidupan hariannya.

Jika kita mendabik dada dan mengaku bahawa kitalah manusia yang paling sibuk. Sehingga tercicir dari melakukan ibadah-ibadah wajib seperti solat lima waktu, ibadah sunat pula tidak bertambah. Maka bandingkanlah diri kita dengan Nabi Sulaiman AS, betapa baginda mengusai dunia dan segala isinya termasuk jin, iblis dan zat-zat alam yang lainnya. Apakah kesibukan kita mengatasi kesibukan Baginda?

Insya-Allah saya yakin apabila kita balik kepada konsep pengurusan hidup cara Islam dan disiplinnya maka tidak mustahil untuk mencapai apa yang dirancang dalam masa terdekat, antaranya:

- Menyiapkan sebuah buku sebelum 1/1/2010 dengan PTS
- Menulis sebanyak mungkin karya dan artikel ke akhbar
- Meluangkan masa yang secukupnya untuk isteri dan bakal anak
- Memastikan pengajian berjalan lancar
- Memperbanyakkan bacaan ilmiah, fiksyen dan bukan fiksyen
- Komitmen dengan jawatan-jawatan di luar kerja hakiki
- Komitmen untuk kerja-kerja hakiki di masjid

Ya Allah hanyasalah pada-Mu aku memohon, dijauhkan fitnah dunia dan akhirat. Hanya pada kekuasaan-Mu-lah terletak segala harap dan taat.

Zahiruddin Zabidi
Masjid Usamah bin Zaid, Wangsa Maju.

23 October 2009

Sekilas Rujuk

Saya tercari-cari artikel lama bagi mendapatkan maklumat tambahan agar kelak dapat dihemburkan dalam bentuk pemikiran acuan diri saya sendiri. Lapangan yang akan digunakan itu samada melalui ceramah, kuliah maghrib, penulisan dan borak-borak santai bersama kawan-kawan.

Kecenderungan saya kepada keusasteraan juga semakin ketara. Insya-Allah saya akan mengikuti kursus-kursus yang dianjurkan oleh PTS secara gratis itu untuk menjadi salah seorang penulis prolifik PTS. Ideanya sudah dicambah, tinggal lagi mahu diadaptasikan dalam bentuk kalam sahaja. Tambahan pula saya sudah berpeluang berguru dengan guru-guru yang hebat, biasanya guru yang hebat akan menghasilkan anak didik yang hebat juga.

Dalam kesibukan seharian, ada beberapa perkara yang saya kesalkan. Antaranya ialah masa yang terhad untuk membaca, isteri yang sedang alahan mengandung dan ruang ibadat yang tenang. Agak kalut saya dengan semua ini. Mungkin kerana beberapa sikap negatif lama bertandang kembali. Walaupun sudah dapat dihindarkan dahulu namun ianya berulang, insya-Allah saya cuba atasinya.

Minggu sudah, saya cerapkan beberapa buku karangan saudara Faisal Tehrani seperti Karya Nan Indah, Maaf Dari Sorga, Rahsia Ummi yang menggunakan kaedah 'realisme' dalam karyanya. Di daerah 'surrealisme' saya juga sempat cerapkan karya Abdul Latip Talib seperti Hulagu Khan dan Sultan Muhammad Al-Fateh.

Tujuannya untuk memahami teknik dan jurus fikir kedua ikon prolifik ini. Ternyata pertembungan teknik, kaedah, metod ini mendatangkan rahmat kepada pendatang baru dunia kesusasteraan seperti saya. Saya lihat begitu fleksibel sekali pilihan yang terbentang di depan mata. Terpulang kepada kreativiti diri sendiri kelak.

Dan yang pasti, saya akan cuba mengusai kedua-dua mazhab ini agar saya tidak terjerumus ke dalam lembah taklid. Perit sudah saya melihat dan membaca akibat taksub dan ghuluw umat Islam terdahulu dan kini dalam masalah mazhab. Sikap bodoh sombong menjadi asas dalam beriktikad dan berhujah, hasilnya umat Islam menjadi lemah malah hina dina di mata masyarakat dunia. Arakian juga politik yang lebih bertunjangkan iktikad akal nafsu, bukannya didasarkan dengan akidah Islamiyyah.

Sesungguhnya kehidupan, politik, sosial, sastera, teknologi dan sebagainya adalah alat untuk kita menuju Allah ta'ala. Dan saya memilih untuk berusaha menjadi hamba Allah yang sentiasa mengharap redhanya, agar kelak saya dan mereka yang saya sayang dikumpulkan di dalam syurga Allah, insya-Allah.

Zahiruddin Zabidi
Masjid Usamah bin Zaid, Wangsa Maju.

Nota: Saya amat tertarik dengan kenyataan Dr Mohd Puad Zarkashi selaku Timbalan Menteri Pelajaran di dalam Metro hari ini. Rujukan http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Friday/Setempat/20091023083257/Article/index_html

Penulis karya sastera corak agama kurang

BIDANG kesusasteraan banyak membantu negara namun ada beberapa perkara yang menjadi kekangan termasuk kekurangan penulis karya sastera bercorak keagamaan, kata Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi. Menurutnya, yang banyak ketika ini adalah penceramah politik agama manakala sasterawan agama amat kurang.

Katanya, kerajaan sangat menghargai sumbangan sasterawan dan kerana itu hadiah insentif berbentuk wang tunai ditingkatkan dari sejumlah RM30,000 kepada sejumlah RM60,000, mulai pencalonan 2005.

“Kerajaan juga mengarahkan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) selaku Sekretariat Tetap Anugerah Sastera Negara untuk memantapkan tatacara anugerah ini serta mengkaji semula kemudahan perubatan Sasterawan Negara.

“Kerajaan dari semasa ke semasa mengkaji hadiah dan insentif untuk Sasterawan Negara,” katanya, menjawab soalan Hamim Samuri (BN-Ledang), semalam.

Sasterawan Negara Ke-10 dimenangi Datuk Dr Mohd Anuar Rethwan atau lebih dikenali sebagai Anwar Ridhwan, baru-baru ini. Oleh itu, Mohd Puad berkata, pihaknya juga akan menimbang untuk mengambil karya sastera yang bermutu tinggi dan penuh unsur bernilai untuk dijadikan bahan rujukan di sekolah.

“Kementerian Pelajaran sedang melakukan persiapan terakhir transformasi kurikulum supaya pelajar tidak taksub peperiksaan,” katanya.

22 October 2009

Daulat Tuanku

Acap saya berjumpa dengan Baginda di Masjid Muhammadi Kota Bharu, Baginda hanya berjubah tanpa kolar dan bersandar di dinding masjid tepi mihrab bersebelahan dengan mimbar. Di kepalanya hanya beralas kopiah yang rakyat kebanyakannya pun mampu miliki. Sungguh menyenangkan hati. Bahkan penceramah juga duduk lebih tinggi daripada Baginda. Baginda tekun mendengar.

Memang Tengku Mahkota kami, YM Tengku Muhammad Farish Petra ibni Sultan Ismail Petra menjadi sebutan dan kesenangan di mata dan hati rakyat Kelantan khususnya, hubungan baik Baginda dengan Dato' Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat juga merupakan kredit kepada rakyat jelata. Baginda dilihat sebagai anak murid kepada Dato' Tuan Guru.

Kini Baginda merupakan pemangku kepada Ayahandanya DYMM Al-Sultan Kelantan Sultan Ismail Petra ibni Almarhum Sultan Ismail Petra yang sedang ngering dan menjalani rawatan di Singapura. Rakyat terasa amat kelainannya, walaupun ada cerita kurang manis berkaitan adinda Baginda, Tengku Temenggung.

Dirgahayu kami jelata rakyat mohon amat Tuanku dengan rahmat dan rahim Allah ta'ala memerintah penuh dengan keimanan dan ketaqwaan kepada Allah. Jadikanlah Ulama' sebagai pendamping dan rujukan setiap masa, hormatilah mereka dan utamakanlah mereka.

Ketegasan dan kecaknaan Tuanku terhadap permasalahan rakyat amat kami hargai. Oleh yang demikian kami dengan rela hati bernaung di bawah payungan daulat Baginda Tengku Mahkota.

Daulat Tuanku.

Zahiruddin Zabidi
Masjid Usamah bin Zaid, Wangsa Maju.

Dari sumber http://www.malaysiakini.com/news/115484

Pemangku Raja sokong K'tan tuntut royalti minyak
Okt 20, 09 5:36pm


Pemangku Raja Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra Sultan Ismail Petra menyokong usaha kerajaan Kelantan untuk menuntut bayaran royalti petroleum seperti perjanjian yang telah termaktub antara kerajaan negeri dan Petronas pada 1975.

Baginda bertitah berasaskan data daripada Jabatan Perangkaan yang diedarkan Unit Perancang Ekonomi Jabatan Perdana Menteri, sumbangan Kelantan kepada pengeluaran petroleum seluruh negara bagi tahun 2005 hingga 2008 adalah lebih tinggi daripada pengeluaran negeri Sabah."Pengeluarannya adalah sebanyak 5.4 peratus setahun dan mengikut catatan itu pengeluaran petroleum dari perairan Kelantan telah bermula sejak 2005."

"Kerajaan negeri hendaklah meneruskan usaha-usaha bagi mendapatkan royalti berkenaan seperti kehendak perjanjian yang telah termaktub antara kerajaan negeri dan Petronas," titah baginda ketika menyempurnakan Majlis Pembukaan Rasmi Persidangan Ketiga (Belanjawan) Bagi Tempoh Penggal Kedua Dewan Negeri Kelantan Ke-12 di Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kota Bharu hari ini.

Baginda bagaimanapun yakin di bawah prinsip dan semangat persekutuan, Petronas akan melaksanakan kehendak perjanjian berkenaan yang mengkehendaki bayaran tunai dilunaskan sebanyak dua kali setiap tahun.

Titahnya pembayaran royalti itu nanti, baik tunggakan mahupun bayaran semasa, akan meningkatkan pendapatan bagi Kelantan dan jika perkara itu terlaksana, kerajaan negeri dinasihatkan supaya membelanjakan royalti tersebut dengan sebaik mungkin."Beta difahamkan kawasan pengeluaran gas dan minyak bagi beberapa kawasan pelantar yang paling hampir adalah dengan negeri ini."

"Beta juga berharap Petronas dan kerajaan pusat dapat memikirkan penempatan aktiviti keperluan pelantar, pembaikian dan penyelenggaraan kapal-kapal ini berada di bumi Kelantan berdasarkan ia paling hampir," titahnya.Menurut baginda, jika pembangunan berkaitan aktiviti pengeluaran minyak di perairan Kelantan dapat dikembangkan, sudah tentu ia dapat menyumbang kepada pemulihan ekonomi negara dan dapat menarik pelaburan luar negara ke Malaysia.

Isu royalti minyak ini timbul apabila Kelantan menuntut sebanyak RM1 bilion kepada kerajaan pusat berdasarkan pelantar minyak itu dibina di perairan Kelantan.Kerajaan pusat bagaimanapun sedang meneliti tuntutan Kelantan itu dan kini masih di peringkat kajian secara menyeluruh sama ada Kelantan berhak menerimanya. BERNAMA

21 October 2009

[Cerpen] Sultan dan Aurat

“Ajaklah kepada jalan Allah dengan berhikmah, bantahlah mereka dengan kebaikan.”

Titah Sultan Al-Zahir kepada para Ulama’ yang bakal berdebat dengan Paderi-Paderi dari Gereja Saint Paul. “Insya-Allah, dengan pertolongan-Nya kita bukan sahaja mampu menang debat ini bahkan mereka semua akan dikurniakan hidayah oleh Allah ta’ala, bukankah begitu ajaran Nabi kita wahai guruku?”

Para Ulama’ yang hadir bersidangan hari itu tersenyum mendengar titah Sultan Al-Zahir yang menampakkan kecerdasan dan kealimannya. Syeikh Muhimmah kemudiannya berkata, “Benar Tuanku, patik mewakili saf Ulama’ berbangga dan bersyukur bernaung di bawah seorang Sultan yang beriman dan bertakwa seperti Tuanku.”

“Janganlah kalian ucapkan begitu, jika dibandingkan dengan Khalifah Umar bin Abdul Aziz, Sultan Salahuddin Al-Ayyubi, Sultan Muhammad Al-Fateh dan ramai lagi, beta ini hanya picisan. Semoga Allah meredhai beta dengan tanggungan amanah yang maha berat ini. Beta hanya tidak mahu masuk neraka.”

Sultan Al-Zahir menangis di hujung titah, para hadirin diminta bersurai. Kecuali seorang sahaja, Syeikh Muhimmah. Dia adalah penasihat dan guru kepada Baginda Sultan Al-Zahir, beliau mendampingi baginda semenjak baginda merah lagi. Hinggalah baginda memegang tampuk pemerintahan Negara Masaya.

Ketika berdua dengan Syeikh Muhimmah, Sultan Al-Zahir menceritakan perihal mimpinya semalam. “Guruku, kamulah makhluk yang beta sayang sesudah kaum keluargaku, beta ingin meluahkan apa yang terbuku di hati beta kepadamu.”

Syeikh Muhimmah tenang, sambil melurut janggut putihnya lalu berkata, “Silakan, Tuanku bukan hanya Sultan pada patik, bahkan tidak kurang dari seorang anak.”

Sultan Al-Zahir terharu, hampir sahaja menitis air mata ukhwah. “Semalam beta bermimpi, aneh sungguh mimpinya. Gusar beta memikirkan. Tujuh biji bintang di langit telah berguguran lalu menerpa tepat ke arah istana dari langit, memang keadaan Negara Masaya jadi gegak gempita, bintang-bintan itu seperti meluncur tanpa belas kasihan dan bakal sahaja memusnahkan kita semua.”

Baginda terhenti sejenak, berkerut muka, matanya dilontar jauh ke angkasa. Baginda menyambung, “Hampir sahaja bintang-bintang itu ke bumi, tiba-tiba segala bintang itu berpecah dengan secepat kilat lantas menjadi abu kerana sebiji batu bumi yang hitam lagi hodoh melanggar mereka. Apakah firasatmu guruku?”

Lama Syeikh Muhimmah membatu, matanya dipejam. Dia lantas bangun, “Tuanku, adalah baik kita bermunjat kepada Allah agar dapat kita rungkai mimpi Tuanku.”

“Baiklah, ayuh.”

Usai mereka berdua sembahyang sunat hajat dua rakaat secara berjemaah, Syeikh Muhimmah berpaling kepada Sultan Al-Zahir dan berkata sambil tersenyum, “Alhamdulillah, kita memohon kepada Allah diberi ilham dan Allah perkenankan.”

“Maksud guru...”

“Ya, Allah ilhamkan padaku dengan kekuasaannya untuk menafsirkan mimpi tuanku. Insya-Allah segalanya akan terungkai.”

Debat akan bermula bila-bila masa sahaja, orang ramai sudah berkumpul di dewan terbuka Suukil Fawakih. Lima orang paderi Nasrani yang paling alim akan berentap untuk menguji kebenaran agama Islam.

Anwar, si pedagang kurma berkata, “Mustahil mereka boleh menumpaskan Guru-guru kita yang alim-alim belaka.”

Sahabatnya Daud juga mengiakan, “Insya-Allah dengan pertolongan Allah, Dia sentiasa bersama orang yang menegakkan agamanya.”

“Jangan terlalu yakin saudara, paderi-paderi ini telah mengalahkan ramai alim ulama’ di Negara Islam lainnya. Mereka itu hebat berkata-kata untuk mematikan hujah, logik akal mereka juga membisukan lawan.”

Seorang munafik bernama Khazzab bersuara, dia lantas menambah, “Kalau mereka menang maruah Islam akan tercalar. Sultan dan Ulama’ juga akan dipandang hina.”

Orang sekeliling tidak mempedulikan kata-kata Khazzab, mereka tahu benar perangai si munafik itu. Kalau bukan sebab dia masih mendirikan solat, berpuasa, berzakat dan menunaikan haji serta mengucap dua kalimah syahadah. Sudah pasti dibunuh.

Pusingan pertama bermula, saf Ulama Masaya ditanya, “Kalian mendakwa Islam itu adil, dan banyak ayat al-Quran menyuruh berlaku adil.”

“Benar katamu”

“Namun kenapa perempuan sahaja yang perlu menutup aurat? Bukankah itu satu bentuk kezaliman?”

Syeikh Yusuf, anak murud Syeikh Muhimmah mohon untuk menjawab. “Tidak benar katamu, kerana Islam tidak hanya menyuruh perempuan sahaja yang menutup aurat bahkan lelaki juga sama.”

“Buktikan?”

“Kamu membaca al-Quran?”

“Ya.”

“Tahu maknanya?”

“Kami fasih berbahasa Arab.”

“Cuba tengok ayat ke tiga puluh surah An-Nur, apakah maknanya?”

Mereka lantas mencapai dan membelek-belek mushaf al-Quran yang dibawa bersama.
Salah seorang membaca dengan lantang, “Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan.”

Syeikh Yusuf menambah, “Maka jelaslah bahawa Islam bukan hanya mewajibkan kepada kaum perempuan untuk menutup aurat, kaum lelaki juga tidak terkecuali. Cumanya berbeza pada pelaksaannya.”

“Itulah maksud kami, kenapa terdapat perbezaan antara lelaki ddan perempuan. Kalau perempuan diwajibkan memakai niqab, jilbab dan sebagainya. Maka kaum lelaki juga begitu, tetapi aurat lelaki hanya bermula dari pusat hingga ke lutut manakala aurat perempuan keseluruhan tubuh melainkan tapak tangan dan muka, bahkan ada sesetengah Ulama’ Islam mewajibkan menutup muka.”

Bentak salah seorang paderi panjang lebar, rakannya menambah, “Inilah ketidakadilan yang kami maksudkan, kami mohon penjelasan.”

Syeikh Mahmud kemudiannya memohon kebenaran untuk berhujah, beliau memula kata-katanya dengan pujian kepada Allah dan Rasulullah lantan berkata, “Betul kata tuan, banyak bedanya syariat aurat lelaki dan perempuan. Cumanya saya ingin persoalkan, adakah secara zahirnya lelaki dan perempuan itu sama?”

“Tentu sekali tidak.”

“Nah, tuan sendiri sudah menjawab persoalan tadi.”

“Maksud tuan hamba?”

“Apabila secara zahirnya lelaki dan perempuan berbeza maka pensyariatan ke atas mereka pun berbeza dalam perkara khusus seperti aurat. Ini adalah kerana wanita itu dijadikan dengan penuh keindahan. Dan Islam meletakkan keindahan itu pada tempat yang sewajarnya.”

Syeikh Waliullah yang dari tadi hanya mendiamkan diri pun bersuara, “Izinkan saya menyuarakan pandangan saya, saya kira jika saya bagi bukti dari ayat-ayat suci kami tentunya pihak tuan akan tolak mentah-mentah, ini adalah kerana tuan-tuan tidak beriman dengannya.”
Tambahnya lagi, “Izinkan saya mengguna logik, jika kita ke kedai permata untuk membeli permata yang elok, baik dan bermutu. Agaknya tuan di mana letaknya permata itu?”

Plato, salah seorang paderi itu menjawab, “Tentunya disimpan rapi.”

“Makanya Islam juga begitu, wanita dipandang mulia dan mempunyai haknya tersendiri di dalam Islam tanpa menafikan hak orang lelaki. Ini adalan sangat berbeza sekali dengan peradaban dan kepercayaan agama lain sejak dulu. Dan tentunya permata yang bermutu dan berharga itu perlu dijaga, dibungkus, dipamerkan ketika hanya perlu. Bukannya dilonggok dan bukannya didedahkan di khalayak sesuka. Itu sudah tentu barang yang sudah hilang nilai harganya.”

Paderi-paderi tidak berpuas hati. “Maksudnya walaupun ianya kelihatan tidak adil?”

“Adil atau tidak bukan nilaian kita, kami orang Islam apabila sesuatu perkara itu merupakan arahan Tuhan kami, kami akan ikut tanpa banyak soal. Kami yakin bahawa Allah ada hikmahnya tersendiri di sebalik pensyariatan aurat itu.”

Paderi-paderi yang hadir hampir kebuntuan akal. Kemudiannya salah seorang daripada mereka bersuara, “Baiklah, kami mengakui Islam itu lengkap dan indah. Namun, kenapa masih ramai umat Islam sendiri yang tidak mengamalkan malah menentang ajaran Islam itu sendiri?”

Syeikh Muhimmah berkata, “Masalah ini berpunca dari orang-orangnya bukan agamanya. Sepeti juga kamu, berapa keratkah yang benar menganuti dan mengamalkan ajaran Kristian yang sebenar melainkan sudah ramai yang semakin jauh dengan ajaran kamu sendiri.”

Sekali lagi para Paderi itu terbisu. Dan sesi hari itu berakhir dengan kemenangan moral memihak kepada orang Islam.

Pusingan baru bermula, para Paderi kembali mengutarakan persoalan, “Baiklah, hari ini hanya satu soalan yang akan kami tanya.”

Semua hadirin termasuk Sultan, Ulama’ dan rakyat jelata diam membisu. Hati masing-masing menari tanpa rentak.

Gusar. Namun terus tetap berdoa kepada Allah agar kemenangan moral ini milik Islam.

“Kamu semua percayakan tuhan itu Esa?”

“Tentu sekali.”

“Tidak beranak dan tidak diperanakkan?”

“Ya, tiada sangsi kami dalam hal ini.”

“Soalannya, dengan kekuasaan tuhanmu yang hebat itu mustahil dia tidak mampu untuk menunjukkan dirinya, maka tunjukkan diri tuhanmu kepada kami dan apakah pekerjaannya sekarang?”

Tersentak para hadirin. Mereka yang suam suku imannya mula mengcongak kira ada benarnya kata para paderi itu. Malah kelihatan mereka yang munafik juga tersengih senyum, gembira barangkali para ulama’ dan Sultan mendapat malu jika tidak terjawab soalan itu.

Syeikh Muhimmah kemudiannya bersuara, “Tuanku, izinkan patik membuat permohonan.”
Sultan Al-zahir bertitah, “Silakan guruku.”

“Patik mohon tuanku membebaskan Abduh, hamba yang ditangkap atas tuduhan mengintai walaupun belum terbukti kesohehannya dibebaskan. Hanya dia yang dapat menjawab persoalan ini.”

Sultan dan hadirin sekaliannya tersentak. Semua rakyat tahu Abduh telah ditangkap kerana dakwaan mengintai anak-anak dara sedang mandi di sungai.

Sultan seakan tidak berkenan dengan usul itu, “Tapi guruku, bukankah dia bersalah kerana mengintai. Adalah tidak wajar kita bebaskan dia sekarang.”

“Tuanku, Abduh telah ditangkap kerana tuduhan mengintai gadis-gadis sedang mandi, namun kita tidak boleh salahkan dia sahaja. Gadis-gadis itu juga harus dipersalahkan kerana mandi di tempat terbuka tanpa menutup aurat. Haram hukumnya, walhal si fulan hanya kebetulan ke sungai yang sama untuk member minum kambing-kambing tuannya. Andai kata saya melalui kawasan gadis-gadis itu sedang mandi, nescaya saya juga akan dituduh begitu. Kalau Tuanku sendiri yang ....”

“Cukup, baiklah. Bebaskan Abduh, bawa dia kemari.”

Sultan juga menurunkan titah, “Mulai hari ini beta haramkan rakyat beta untuk mandi di sungai secara terbuka. Beta akan arahkan tentera untuk membina tempat-tempat mandi untuk rakyat jelata. Tempat lelaki dan perempuan akan diasingkan, dan sesiapa yang melanggar peraturan ini akan dikenakan hukuman takzir.”

Syeikh Muhimmah dan saf ulama’ lainya tersenyum mengangguk bersetuju dengan titah Sultan. Kata mereka, “Alhamdulillah”

Abduh dibawa mengadap ke dewan bersidang. Gementar hatinya, menyangka dia bakal dihukum.

“Abduh, beta sudah tahu hal sebenarnya dan engkau dibebaskan. Namun engkau haru berdepan dahulu dengan para paderi ini.”

Gembira hati Abduh, “Titah Tuanku patik junjung, tapi sebelum itu patik mohon untuk solat dua rakaat.”

“Silakan.”

Perbahasan dimulakan semula setelah beberapa ketika rehat. Para ulama’ buntu untuk member jawapan yang logik di akal untuk menjawab persoalan paderi-paderi itu. Akhirnya mereka hanya berdoa dan bermunajat semoga Allah memberi ilham kepada Abduh, hamba yang terpilih itu.

Abduh mula menjawab, “Bohong jika katamu Allah tidak akan tunjukkan dirinya. Allah dengan kekuasaannya akan menunjukkan dirinya kelak. Tapi tentunya bukan pada hari ini.”
“Habis, bilakah waktunya?”

“Di akhirat kelak. Tapi dengan syarat.”

“Apakah syaratnya?”

“Kamu mestilah seorang Islam yang mukmin.”

“Omong kosong!”

Abduh memulakan provokasi kepada para paderi, “Tuhanmu pernah menampakkan dirinya?”
“Ya, kami melihatnya tergantung di salib setiapa hari.”

“Bohong, itu hanyalah patung yang diukir dan dilukis. Sesungguhnya Isa Al-Masih sudah diangkat ke langit dan kamu semua tidak pernah juga berjumpa dengannya sendiri, hebatkah tuhanmu?”

“Adakah kamu mempunyai nyawa?”

“Tentu sekali.”

“Tunjukkan juga padaku di mana letaknya nyawa itu? Bagaimanakan bentuknya? Apakah warnanya?”

Bungkam lidah para paderi, terkejut dengan hujah si budak hitam lagi abdi itu. Mereka tidak menyangka begitu sekali cerdas otaknya.

“Apa pula kerja tuhamu sekarang?”

“Benar kalian mahu tahu?”

“Kalian perlu turun ke bawah dan aku perlu keatas.”

Mereka semua pun turun kebawah, sehingga hanya si budak abdi yang hitam bernama Abduh sahaja di atas mimbar.

“Saksikanlah wahai rakyat Masaya, kepada yang muslim mahupun tidak. Mereka bertanya apakah yang tuhanku sedang buat, maka aku akan menjawabnya.”

Seluruh mata dan telinga menumpu kearah Abduh.

“Lihatlah olehmu, saksikanlah Allah tuhanku sedang menurunkan yang batil, yang berkuasa, yang alim ke bawah. Dan dia dengan kekuasaa-Nya yang maha agung itu telah menaikkan seorang abdi yang hitam, tidak berpendidikan, tidak berkuasa dan dituduh bersalah ke atas makam yang tertinggi. Tiada yang mustahil bagi Allah, ketahuilah kalau kita tidak beriman dengannya maka kita akan tergolong dari kalangan mereka yang rugi.”

Semua yang mendengar berasa sungguh terharu dan insaf, hingga ada yang menitiskan air mata. Syeikh Muhimmah berbisik kepada Sultan Al-Zahir, “Inilah maksud mimpi tuanku.”

Zahiruddin Zabidi
Masjid Usamah bin Zaid, Wangsa Maju.

20 October 2009

Tahniah Akhi

Info gambar: Saya dan Ustaz Dzul (Ketua Pemuda PUM)

Terkejut juga semalam menerima SMS dari sahabat saya Ustaz Mohd Dzulkhairi bin Md Nor, mantan Presiden GAMIS.
Beliau menjemput saya untuk hadir ke majlis walimahnya di Tapah pada 29 November 2009. Dan saya agak teruja bila tahu bakal isteri beliau berasal dari Tapah, jalan yang wajib saya dan isteri lalui jika mahu balik ke Cameron Highland.

Saya berseloroh dengannya, "Nanti boleh kita balik rumah mertua sama-sama."

Beliau sekadar tergelak kecil.

Lebih mengejutkan, bakal isterinya ialah rakan seusrah dan pernah aktif berprogram bersama isteri saya. Isteri saya segera menghubungi sahabatnya itu untuk mendapatkan kepastian dan benarlah anggapan kami, semuanya aturan Allah.

Saya juga sempat mengucapkan tahniah kepadanya atas mandat baru yang digalas iaitu sebagai Ketua Pemuda Persatuan Ulama Malaysia (PUM). Sempat saya berbincang dengan beliau mengenai perkara tersebut dan memberi serta menerima sedikit informasi terkini.

Di hujung bicara dia berkata, "Akhi, jemputlah bersama ana dengan PUM, kita buat pembaharuan bersama."

Saya tergelak.

"Anta selesaikan dahulu urusan kahwin, hal itu kita bincang selepas anta kahwin insya-Allah. Orang kahwin sama orang kahwin berbincang lebih sikit berkatnya." Saya bercanda.

Semoga berbahagia akhi, di dunia dan akhirat. Sama-sama kita bina bait al-mukmin. Menjadi suami dan ayah yang diredhai Allah. Amin.

Zahiruddin Zabidi
Masjid Usamah bin Zaid, Wangsa Maju.

19 October 2009

Saya Punya Guru Baru

Info gambar: Puan Ainon sedang membahaskan teks saya


Alhamdulillah, semalam seperti yang dijadualkan saya telah menghadirkan diri dengan sempurna ke bengkel penulisan 'Teknik Surah Yusof' yang dianjurkan oleh PTS Publication di Sekolah Rendah Islam Al-Ikhlas Taman Permata, depan pasaraya Giant.

Untuk pertama kalinya saya dapat hadir ke kelas yang dianjurkan secara gratis itu. Dan inilah juga buat pertama kalinya saya bersua muka dengan Presiden atau Pengerusi PTS sendiri iaitu Puan Ainon bin Abdullah yang cukup bermotivasi dan berenegetik sepanjang sesi bengkel tersebut.

Alhamdulillah, sepanjang bengkel tersebut kami didedahkan dengan teknik-teknik penulisan yang pada pendapat saya adalah mazhab baru dalam aliran penulisan kesusasteraan tanah air. Banyak elemen baru yang dicerapkan, sangat bertentangan dengan aliran tradisional yang lebih bermazhab 'realism' dalam penulisan.

Alasan Puan Ainon sangat mudah, "Kita ikut teknik surah Yusof, al-Quran ialah Kalamullah, apa yang lebih indah daripada al-Quran? Sebab itu al-Quran tidak akan jemu dibaca hingga ke hari Kiamat."

Persis Ulama' Salafi dalam mentafsirkan al-Quran dan mengamalkan sunnah Baginda Rasulullah SAW. Dalam 'Teknik Penulisan Surah Yusof' juga diterangkan secara jelas apa yang perlu dan tidak perlu ada, segalanya dianalisis secara ditir satu persatu.

Saya takjub. Maka benarlah sastera Islam itu yang terindah, benar juga Al-Quran adalah ensiklopedia kesusasteraan Islam dan Melayu yang agung tiada bandingan. Tertolak terus mazhab 'realisma' jika mahu dikategorikan sebagai salah satu cabang sastera Islami.

Dengan tema 'Sastera itu memberi harapan'. Kami pasti impak yang tercalit di hati pembaca lebih berbekas. Lebih sampai dakwahnya, lebih menyuburkan roh Islam dan cintakan Allah dan Rasulnya. Itulah harapan yang dinamakan 'surrealisma'. Harapan masa hadapan, berubah sekarang.

Kami juga diberi latihan, dan yang menariknya dua teks latihan perlu ditulis di papan putih sebagai contoh umum. Dan teks yang kedua adalah teks saya. Terkejut, terngamam, semuanya ada. Saya gagahkan juga untuk mampir menayangkan tulisan picisan itu. Dan akhirnya...biarlah jadi rahsia saya dan mereka yang berkenaan sahaja.

Dan banyak lagi pengajaran yang tidak akan ternilai dengan wang ringgit didapati di dalam bengkel tersebut.

Dan yang paling menggembirakan saya ialah, saya punya seorang Guru dan ramai sahabat baru, Tuan Syafiq selaku editor yang baru bertugas di PTS juga saya hulurkan salam ukhwah fillah, sebelumnya saya hanya kenal beliau melalui tulisan blog peribadinya sahaja. Ada juga Tuan Zamri, katanya pada saya selepas berbasi-basi, "Inilah sekolah saya bermula tahun 2005 sehingga saya sekarang sudah menerbitkan 13 buah buku dengan PTS. Awak kena datang semua bengkel dan tidak mustahil awak akan jadi lebih hebat daripada saya."

Insya-Allah, kesinambungannya akan melorongkan saya hingga mengandung dan melahirkan karya saya sendiri. Maha suci Allah yang segala kekuasaan pada-Nya, saya memohon. Amin.

Untuk maklumat lanjut sila layari:

- http://universitipts.com/
- http://sasteraislami.blogspot.com/
- http://typeace.blogspot.com/
- http://www.zamrimohamad.com/

Zahiruddin Zabidi
Masjid Usamah bin Zaid, Wangsa Maju.

16 October 2009

Kehilangan

Menjadi adat di dunia ini, ada saatnya kita akan kehilangan dan terasa akan kehilangan tersebut.
Kehilangan seringkali dikaitkan dengan kesedihan. Kerana kehilangan akan mengurangkan apa yang pernah ada pada diri kita. Maka orang yang beriman akan terus redha dan orang yang kufur akan terus ingkar pada Allah.

Kehilangan itu mungkin boleh berlaku dengan kematian, kecurian, keciciran, kecuaian, sikap tidak prihatin dan banyak lagi asbab musabab yang memunasabahkannya.

Pada pemerhatian saya, ada banyak jenis kehilangan. Namun dapat saya kategorikan dalam tiga kumpulan besarnya iaitu:

-kehilangan orang tersayang.
-kehilangan barang tersayang.
-kehilangan sifat baik.

Kehilangan Orang Tersayang

Keadaan ini biasa berlaku apabila berlaku kematian. Terutamanya ahli keluarga kita dan sahabat handai malah tidak dilupakan guru-guru dan pemimpin yang kita sayangi, pastinya kita akan merasakan ianya satu kehilangan yang besar kepada diri kita apabila mereka mendahului kita ke alam baqa'.

Kehilangan Barang Tersayang

Kemusnahan, kerosakan, kecurian mungkin punca kehilangan barangan tersayang ini. Mungkin juga kerana sifatnya yang tidak kekal akan menyebabkan ianya perlu ditukar ganti. Lantas kita terpaksa menggantikan ia dengan barangan baru, walaupun barang itu kita sayang malah penuh dengan elemen kenangan.

Kehilangan Sifat Baik

Ini adalah kehilangan yang paling teruk dan paling susah untuk digantikan. Kematian seorang isteri mungkin boleh diganti oleh isteri yang lain walaupun tidak sama keadaannya, begitu juga dengan barangan yang lainnya. Kereta, rumah dan apa sahaja barangan yang hilang boleh diganti lagi.

Namun kehilangan sifat baik hanya mengundang bencana. Bencana moral. Sudah menjadi fitrah manusia suka kepada kebaikan dan berbuat kebaikan. Hanya kerana terpesona dengan kaedah-kaedah keseronokan sementara hasil talbis Iblis dan Syaitan itu makanya jauh kita terpesong. Kehilangan sifat baik ini digantikan dengan sifat jahat. Ini adalah kerana sifat baik dan jahat tidak mungkin bersama. Sebab itu Allah jadikan syurga dan neraka.

Saya

Saya juga pernah rasa kehilangan, alhamdulillah kehilangan sikap dan sifat buruk adalah sesuatu yang positif. Dan saya juga amat takut kini jika diuji lagi dengan kehilangan.

Kehilangan rasa dan sifat ingin menjadi hamba Allah yang terbaik, umat Baginda Nabi Muhammmad SAW yang memperjuangkan sunnahnya, anak yang taat kepada kedua orang tua dan suami yang soleh kepada isteri saya serta Abuya terbaik untuk anak-anak.

Adalah satu petaka.

Saya boleh sabar dan redha dengan kehilangan motorsikal Honda Wave yang sudah sekian tahun saya tunggang semenjak bertugas di Kuala Lumpur. Malah banyak kenangan ketika kami mula-mula kahwin dengan motor itu. Hampir berbulan menunggang bersama untuk menghantar isteri ke tempat kerja.

Dan baru pagi tadi, setelah bersiap untuk ke tempat kerja. Saya sedikit awal. Tiba-tiba saya terngamam apabila menyedari motor tersebut tiada di parkir apartment saya. Redha. Namun tindakan segera perlu dibuat, laporan Polis.

Sebelum itu saya sedikit haru apabila menyedari salah sebuah buku saya hilang dari rak. Memang ada rasa kekurangan pada papan kayu yang menampung buku-buku saya itu. Bila ditenung mata, difikir minda, diingat rasa akhirnya sedarlah saya buku sulung Ustaz Hasrizal Abdul Jamil, 'Aku Terima Nikahnya..' sudah tiada di rak! Dan sehingga sekarang saya tidak tahu siapa yang meminjamnya, samada orang tersebut ambil tanpa saya tahu atau saya tidak ingat kepada siapa saya pinjamkan buku tersebut.

Apa yang termampu ialah bersabar dan kuntumkan bunga redha atas kehilangan-kehilangan tersebut. Yang pastinya ialah kehilangan yang lebih besar akan menjengah, bila-bila masa dan di mana sahaja. Kita, saya dan anda semua pasti akan merasainya, kehilangan yang kekal tidak berpenghujung.

Soalnya, adakah kita bersedia? Tepuk dada dan tanyalah Iman.

Zahiruddin Zabidi
Masjid Usamah bin Zaid, Wangsa Maju.

15 October 2009

Politik

Saya amat jarang bermadah tentang politik di sini. Mungkin kerana kurang menggemari elemen negatif yang sentiasa membaluti arena politik. Namun tidak beerti saya anti politik malah memboikot politik. Setiap susur alur politik tanah air tercinta saya perhatikan.

Rasulullah SAW adalah seorang ahli politik selain seorang usahawan bahkan CEO kepada syarikat dagang Siti Khatijah binti Khuwailid. Sahabat-sahabat baginda yang lain juga turut berpolitik sehingga Islam gah ke seluruh alam. Tidak dapat dinafikan oleh sesiapun.

Tiga elemen sosial yang akan membuntuti manusia sepanjang zaman ialah agama, politik dan budaya. Tidak terlepas juga politik di dalamnya.

Adalah tidak wajar jika kita katakan politik bukanlah fungsi untuk kecemerlangan di dunia mahupun akhirat. Namun awas, politik bukan matlamat, ianya cuma alat. Tok Guru Nik Aziz mengumpamakan politik sebagai bekas yang menampung Islam di dalamnya.

Apa yang lebih jelas ialah politik itu sebagai wadah dan wasilah untuk menegakkan kalimah Tauhid. Pada saya ketika ini, jika UMNO tiba-tiba menggunakan kaedah Tauhidiyyah sebagai asas perjuangan, masalah umat di Malaysia banyak yang selesai.

Dr Mohd Asri Zainal Abidin, mantan Mufti Perlis dalam kenyataannya menyatakan jika UMNO ingin selamat, mereka perlu kembali kepada Islam yang sebenarnya, rujuk di sini http://drmaza.com/home/?p=738.

Dato' Seri Najib Tun Abdul Razak dilihat sangat berhati-hati dalam gerak kerjanya, dia jarang melatah. Setiap komen dan pertanyaan dijawab sekadar sahaja, agar tidak kontroversi. Yang dilihat agak lancang membuta ialah Timbalannya Dato' Seri Muhyidin Yasin yang juga Menteri Pelajaran Malaysia masa ini.

Hari ini, UMNO sekali lagi bersidang di PWTC. Kubu tegak sarang berpusat. Dulu, kini dan selamanya. EGM, persidangan agung luar biasa. Pindaan terhadap 7 dasar parti dan menggariskan 4 rukun kelangsungan UMNO yang diwara-warakan oleh Timbalan Presiden mereka. Dan banyak lagi usul-usul hebat yang dilaungkan oleh perwakilan pemuda, puteri dan wanita UMNO yang masing-masing tidak mahu kalah dengan pembesar suara.

Saya tertarik dengan 4 usul kelangsungan yang menggunakan istilah-istilah Arab lagi Islamik, rencana apa agaknya. Teori-teori kelangsungan barat gagal mendapat tempat dalam persidangan kali ini. Walaupun 4 usul ini didakwa diciplak dari pertubuhan Islam lain, namun sudut nilai positifnya ialah UMNO sudah menampakkan tranformasinya.

Atau mungkin kerana ramai sudah pimpinan tertinggi dan jemaah menteri yang terkena panahan jiwa ESQ165, maka terhasilnya rasa ingin transformasi ini. Saya hanya mengagak, hidayah itu miliknya Allah. Mutlak hak-Nya pada siapa mahu dihidangkan. Kita hanya berusaha, kalau UMNO berusaha mentransformasikan ke arah yang lebih jelas iaitu 'bertaubat nasuha' dan kembali kepada Allah maka berbahagialah kita, umat Malaysia yang berbilang tara bangsa dan agama.

Sama-sama kita lihat kesinambungannya kelak. Harap masih ada ruang perubahan untuk Islam.
Zahiruddin Zabidi
Masjid Usamah bin Zaid, Wangsa Maju.

14 October 2009

Saya Bermadah

Kebelakangan ini saya agak sibuk. Sangat terasa walaupun tempat kerja adalah dekat sekali. Selang hanya beberapa blok bangunan sudah sampai. Masjid tempat saya bertugas semenjak bulan November tahun lalu sudah hampir menjengah umur 1 tahun.

Masih bayi kiranya. Saya juga masih seorang junior dalam lapangan nikah kahwin. Setelah selesai ijab dengan suasana yang serba sederhana bulan 6 lepas, saya bersyukur. Allah perkenankan doa saya. Juga alhamdulillah ibnu Ahmad Zahiruddin juga telah menampakkan ciri-cirinya. Habis lembik sangat isteri saya muntah-muntah dan sebagainya. Saya kesian akannya.

Kini tumpuan pada pengajian yang mahu disambung ke peringkat sarjana Insya-Allah. Masih saya dilema, pada awalnya mahu saya sambung ke bidang Sarjana Pengajian Islam, takhassaus dalam Sejarah dan Tamadun Islam. Namun semakin banyak saya membaca dan memerhati terdetik pula hati untuk menukar kepada aliran Syariah, mungkin takhassus dalam Fiqh Pengurusan atau Fiqh Muamalat.

Saya simpan dahulu kerana masih berbaki kurang dua tahun, masih punya saat untuk memilih insya-Allah.

Saya mencari, terus mencari. Akhirnya jumpa, namun tak pasti.

Namun yang pasti, jika matinya saya sekarang di manakah natijah diri ini?

Syurga atau neraka, saya melata.

Rabbana atina fiddunya hasanah wa fil akhirati hasanatan wakina a'zabannar.

Amin.

Zahiruddin Zabidi
Masjid Usamah bin Zaid, Wangsa Maju.

13 October 2009

Tawaran Hebat!

Alhamdulillah, setelah saya hadir sendiri ke pejabat utama PTS Publication Sdn. Bhd. (Batu Caves) dan Al-Ameen Serve Sdn. Bhd. (Setapak) yang memang berdekatan dengan tempat tinggal dan kerja saya iaitu Wangsa Maju. Saya telah mendapat beberapa kelebihan.

Antaranya saya boleh berkenalan dengan staf yang bertanggungjawab menguruskan jualan bahkan menjalinkan hubungan moral untuk perhubungan jual-beli buku-buku keluaran syarikat mereka kelak.

Saya juga diberi diskaun yang agak banyak persennya namun masih bergantung kepada kuantiti belian. Lagi banyak beli lagi tinggi diskaunnya.

Diskaun yang diberi juga mampu mencecah sehingga 50% dari harga sebenar jika pesanan yang diterima ribuan jilid. Agak mustahil kerana saya bukan tauke toko buku atau kitab.

Apapun yang pentingnya saya mendapat idea. Bila difikir-fikir ianya tidak menjadi kesalahan.

Saya ingin berkongsi sedikit kelebihan ini dengan anda semua. Tidak kita siapapun anda, jika berminat untuk mendapatkan buku-buku keluaran dari kedua syarikat di atas makanya jangan malu segan untuk menghubungi saya.

Bila-bila masa, di manapun atau bagaimanapun. Saya mengalu-alukan anda, dengan sedikit penjimatan itu munkin kita mampu mengubah atau mendapat faedah yang besar kelak.

Untuk sebarang pertanyaan dan tempahan, boleh menghubungi saya:

No telefon/SMS: 013-9698869

Emel : zahiruddin_zabidi@yahoo.com.my

Maklumat lanjut mengenai judul-judul buku syarikat terbabit:

PTS : http://pts.com.my/

Ameenbooks : http://shop.ameenbooks.com.my/

Zahiruddin Zabidi
Masjid Usamah bin Zaid, Wangsa Maju.

09 October 2009

Kalam Kreatif: Realiti atau Fantasi

Assalamua'alaikum,

Terima kasih pada Allah untuk respon positif kalian, tak tahu kenapa semenjak dua menjak ni mood membaca saya beralih kepada novel-novel Islami selain bacaan ilmiyah lain, setakat ni saya dah hampir habis baca novel 'Terasing' karya saudara Hilal Asyraf keluaran Telaga Biru, dan baru beli novel tulisan Faisal Tehrani yang bertajuk 'Keampunan Dari Sorga'. Dan mungkin akan terus membeli kesemua koleksi karya dua orang penulis ini, tidak diketahui pula mengapa masih belum berselera untuk menatap karya Fatimah Sharha. Mungkin, suatu hari.

Soal asasnya, apakah tulisan cerpen dan novel sebegini mampu akhirnya memahamkan pembaca kepada akidah Islam yang sebenar selain penerapan nilai-nilai Islam lainnya, begitu juga unsur Syariatik yang menggariskan keperluan dan kehendak mad'u-mad'u dakwah, sampaikah kepada pembaca? Saya bereksperimen.

Cinta dan tulisan hanya alat, iLuvislam juga adalah alat. Tujuannya untuk mendapat redha Allah, kerana dengan redha, rahmat dan rahim serta belas kasihan Allah sahajalah kita akan diterima ke dalam syurga, insya-Allah.

Selepas ini saya akan ke HQ PTS, hajat di hati hendak beli kesemua koleksi novel Islami figura Islam tulisan Abdul Latip Talib atau Pak Latip, kesemuanya ada 12 jilid dengan kos biasa lebih kurang RM250. Tapi sekarang PTS buat promosi untuk ahli kelab peminat FaceBook PTS dengan diskaun sebanyak 30%, jadi kesemua buku tersebut akan didapati dengan harga kurang RM200, saya takkan lepaskan peluang ini, lagipun gaji baru masuk semalam. Isteri saya juga bersetuju setelah dipujuk, dia agak jeles sebenarnya melihat keutamaan saya melayan buku-buku saya. Tapi sebenarnya dia faham.

Terima kasih Sayangku.

Semoga ada mutiara-mutiara hikmah dari kalam-kalam yang saya tatap dan tenung saban hari ini untuk dirembeskan menjadi cairan idea dan ilham untuk torehan kalam saya kelak.

Semoga juga setiap untaian kalam saya memberi kesan kepada keimanan dan ketaqwaan kepada siapapun yang membacanya terutama diri saya sendiri yang penuh dengan kefaqiran dan kedhaifan.

Mungkin sebenarnya saya berazam mahu menyampaikan dan mensyarahkan al-Quran dan Sunnah merujuk kepada karya Ulama' muktabar melalui kalam kreatif, cerpen dan novel!

Apa kata anda?

Zahiruddin Zabidi
Masjid Usamah bin Zaid, Wangsa Maju.

08 October 2009

Harap

Aku tersesat dalam lamunan

Menganggap dunia tempat tuaian

Agar nanti senang di hamparan

Namun..

Resah dan gelisah

Silih gantinya tiada hujung

Ku sembah harap, ku sujud taat

Tetap jua harap yang korup

Berkat jadi alat bukan matlamat

Hampaku..dalam taat ku mengelat

Rintih ini untuk apa, tujunya pula untuk siapa

Persaksikanlah

Ya Allah...Ya Ilahi...Ya Rabbi

Bolehkah lagi aku harap

Ikhlas ku cari pada-Mu tetap

Satu..satu ku pinta

Hambakanlah aku...Tuhanku...hambakan

Agarku tahu cebis kasih-Mu mendebu diriku

Ku rayu pohon segala harap

Mukhlisin jadi pagaran tetap

Firdausi syurga tuju matlamat

Zahiruddin Zabidi

06 October 2009

Wardatul Iman III

Hari ini Ustaz Abdul Kadir berjanji untuk habiskan pengajian tentang pengertian Iman, Islam dan Ihsan. Ada suatu perkara besar yang bakal menyusul kelak, segala perangcangan sudah rapi. Tinggal lagi menghabiskan lebihan tanggungjawab kepada agama untuk mendidik ummah, khususnya syabab di universitinya.

“Alhamdulillah, wa sholatu wassalamu ‘ala Rasulillah, amma ba’du..” Ustaz Abdul Kadir memula bicara setelah melafazkan salam kepada muridnya.

“Hari ini kelas hanya akan berlansung setengah jam kerana ana kena uruskan beberapa hal lagi untuk misi keamanan ke Palestin,” terpancar cahaya kegembiraan di muka Ustaz Abdul Kadir. Memang azamnya untuk kembali ke tanah anbiya’ itu setelah kali terakhir ke sana semasa menuntut di Jordan.

Seisi kelas hening, ada raut kesedihan dan kesayuan kerana mereka tahu Murabbi mereka ini akan meninggalkan mereka, mungkin tidak akan kembali lagi.

“Baiklah, sambung balik pengajian kita, dah sampai mana ye?” tanya Ustaz Abdul Kadir sambil membelek-belek helaian buku silibus maddah Iman dan Kehidupan itu.

“Pengertian Ihsan dan pecahan Tauhid mengikut Ahli Sunnah wal Jamaah.” Jawab Yahya yang berada mengadap dengan Ustaz Abduk Kadir.

“Baiklah, spepertimana yang kita tahu. Tauhid itu secara yang paling jumhur dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu....?” Ustaz Abduk Kadir mendepakan tangan sambil meminta muridnya mejawab.

“Tauhid Rububiyyah, Uluhiyyah dan Asma’ wa sifat.” Hampir keseluruhannya menjawab.

“Apakah pengertian Tauhid Rububiyyah, Taufik?” soal Ustaz Abduk Kadir rambang sahaja.

“Percaya Allah sebagai Pencipta, Pentadbir, Pemberi, Pemilik dan Pemutus untuk apa sahaja makhluk, benda, urusan yang ada di dunia ini. Dalilnya ialah ayat kedua surah Al-Fatihah yang bermaksud ‘Maha suci Allah tuhan sekalian Alam’.”

“Sebab itulah sebenarnya orang bukan Islam juga sebenarnya percayakan Allah, cuma secara langsung atau tidak. Malah orang Yahudi dan Nasrani juga percayakan Allah pada asalnya, namun mereka telah mensyirikkan Allah, menyeleweng lagi teruk mereka telah menyendarkan segala pendustaan itu kepada Allah, mengatakan Isa dan Uzair adalah anak Allah, menjadikan paderi dan pendeta mereka setaraf dengan Allah. Dan banyak lagi, namun jika ditanya tentang kepercayaan mereka kepada Allah dalam pemahaman mereka maka tidak mampu mereka nafikan, banyak sudah contoh yang kita bincang semalam kan..,” Ustaz Abdul Kadir menghela nafas.

“Ada soalan setakat ini?” Ustaz Abdul Kadir memandang keseluruhan isi kelasnya, ini mungkin kali terakhir beliau bertemu mereka.

“Baik, Kita sambung pula dengan Tauhid Uluhiyyah.”

“Siapa mahu mensyarahkannya?”

Diam seketika, masing-masing merasakan deruan nafas dan darah bergolak.

Aduh, inilah sikap pelajar kita majoritinya, jarang mempersoalakn secara kritis malah hanya meneguk bulat-bulat apa yang disampaikan. Kadang-kadang mengundang bosan kepada tenaga pengajar.

Yang kita perlukan ialah perbincangan ilmiah yang harmonis. Mungkin juga kerana kurangnya pembacaan di kalanga pelajar yang menyebabkan mereka tiada persoalan untuk diutarakan, cukuplah dengan menerima sahaja.

Dan akhirnya, kita terus akan terbelenggu dengan Mazhab Taqlid. Walhal yang secantiknya kita boleh ke laras Ittiba’.

“Ana cuba Ustaz,” sahut Ikram. Yakin sekali raut wajah Presiden JMI ini. Patulah menjadi pilihan untuk menerajui Jemaah Islam Universiti.

“Tauhid Uluhiyyah ialah kepercayaan tentang hanya Allah yang layak disembah, tempat meminta, memohon pertolongan, rezeki rahmat dan segalanya. Dala erti kata tidak mensyirikkan Allah dengan bergantung kepada selainnya. Hanya beribadah dan melakukan apa sahaj kerana Allah, kul inna solati wanusuki wa mahyaya wa mamatu lillahi rabbil alamin.” Tegas dan padat hujah anak muda ini.

Ustaz Abdul Kadir tersenyum.

Seisi kelas diam.

“Ada yang mahu menambah?” soalnya.

Kelihatan Azman mengangkat tangan.

“Silakan.”

“Kalau ana katakan bahawa Tauhid Uluhiyyah ini adalah khusus untuk orang Islam kerana hanya orang Islam yang beribadah kepada Allah, walaupun agama Yahudi dan Nasruni malah manusia secara amnya percayakan tentang kewujudan Allah namun mereka tetap dikira kufur kerana telah mensyirikkan Allah dengan menyembah, mengharap dan meminta kepada selain-Nya. Itulah yang ana faham mengenai tauhid Uluhiyyah melalui pembacaan ana.” Azman menyudahkan bicara.

Selagi lagi Ustaz Abdul Kadir tersenyum puas.

“ Sekarang ni terungkailah sudah pengertian Tauhid Uluhiyyah dan Rububiyyah, dan mengenai Tauhid Asma’ Wa Sifat ini panjang ulama’ bahaskan. Bahkan perbezaanya amat ketara antara golongan Khalaf dan Salaf.”

“ Ana lebih suka ambil yang mudah untuk kita fahami, jangan kita susahkan otak kita untuk memikirkan perkara yang tidak perlu kita fikirkan. Dalam bab Tauhid Asma’ Wa Sifat ini, kita hanya kena yakin dan percaya dengan kalam Allah dalam Allah memperumpamakan diri-Nya sendiri. Tak payahlah kita duk bahas bagaimana berdirinya Allah, bagaimana Mendengarnya Allah kerana ianya hanya membuang masa. Malah mampu menjerumuskan kita kearah kesesatan, nauzubillah.”

“Apabila Allah kata Dia Maha Mendengar dan Melihat, maka kita kena percaya tanpa takwil akan kalam Allah itu sesuai dengan kuasa dan cara-Nya sendiri tanpa perlu kita bahas dan fikir bagaimana Allah itu melihat,mendengar dan sebagainya. Itulah adalah akidah Ahlul Sunnah Wal Jamaah mengenai Tauhid Asma Wal Sifat Allah ta’ala.”

“Jelas?” tanya Ustaz mahukan kepastian.

Sekali lagi kelas keheningan dari soalan, tandus. Samada faham atau tidak, hanya Allah dan diri mereka sahaj yang tahu, kalau yang kurang faham seterusnya dating berjumpa Ustaz dan bertanya, baguslah. Jika berdiskusi sesama mereka pun sudah cukup bagus, namun jika ada yang memang tidak kisah tentang kefahaman atau tidak, ini akan menimbulkan masalah.

Apabila ada salah faham, salah pengertian. Mungkin mengundang,

Sesat.

Nauzubillahi Min Zalik.

“Seterusnya kita akan belajar tentang Ihsan, iaitu pelengkap asas Akidah Islam itu sendiri. Setelah mengetahui ciri-ciri Islam dan Iman, maka kita juga kena tahu pasal Ihsan. Mengikut hadis Jibril yang sudah belajar bulan sudah. Apabila Rasulullah ditanya oleh Jibril tentang Ihsan, Rasulullah lantas menjawab ‘Beribadah kepada Allah seperti melihat-Nya, jika tidak mampu yakinlah bahawa Allah sentiasa memerhati kamu’ maksudnya, kesempurnaan Akidah Islam apabila kita mengamalkan dengan segala anggota setelah bersyahadah, solat, puasa, zakat dan haji kerana keyakinan dan percaya kepada Allah, Malaikat-Nya, Rasul-Nya, Kitab-Nya, Hari Kiamat dan Qada’ dan Qadar-Nya, dan ini semua akan dilakukan dengan seikhlas mungkin kerana yakin Allah sentiasa mengawasi dan mengetahui setiap saat dan detik yang berlaku pada kita. Dengan ini keihklasan yang sebenar akan wujud apabila kita tahu Allah sentiasa bersama kita.”

“Segala amalan, aktiviti, niat, keinginan akan dilakukan hanya kerana Allah bukan untuk ditunjuk-tunjuk lagi kerana percaya Allah melihatnya, segala kejahatan yang dilarang oleh Allah akan digeruni kerana Allah dan Malaikat Raqib dan Atib sedang memerhati dan mencatat setiap amalan kita baik mahupun buruk.”

“Lantas sempurnalah akidah yang hakiki berteraskan amalan keislaman yang disulami keimanan dan disempurnakan dengan keihsanan. Daripada seorang muslim, seseorang itu akan menjadi seorang mukmin dan mukhlish lantas tidak mustahil menjadi seorang muttaqin, insya-Allah.” Ustaz Abdul Akdir menyudahkan bicara sambil menghirup nafas dalam, begitu mendalam dan bermakna.

Sambil menambah: “Dan..syurgalah menjadi habuan para solehin ini, doakan diri kita semua bersam mereka insya-Allah.” Kelihatan berkaca mata Ustaz Abdul Kadir, itulah tarbiah hati yang disampaikan kerana untuk sampai juga ke dalam hati syabab al-din di depannya. Para pewaris ilmu yang bakal mencorak iklim dakwah selang beberapa tahun dari sekarang.

Syarahan Ustaz Abdul Kadir begitu lain pada hari ini, walaupun tidak sehebat pemidato yang sedang menaikkan semangat tenteranya untuk menuju medan jihad. Namun terlihat jelas kesannya, ada muridnya yang hampir sahaja menangis walaupun ini bukanlah cerita sedih, namun dalam diam mereka sedar walaupun mereka bakal ustaz dan Ustazah namun makam mukhlishin jauh sekali.

“Kita berhenti di sini, insya-Allah kalau ada apa-apa soalan boleh emel ana ye, doakan ana selamat tiba dan kembali dari misi ini. Ana minta maaf dengan izin Allah dari antum semua dan ana halalkan segala ilmu ana yang kurang kepada antum, ana minta maaf atas kekurangan ilmu yang ana sampaikan dan rajinlah antum semua belajar dan membaca, kemudian bertanyalah jika tidak faham kepada mereka yang ahli. Allah ta’ala berfirman yang bermaksud: ‘Tanyalah kepada ahlinya jika kamu tidak mengetahui’”

“Wassalamualaikum,” salam akhir dari seorang Murabbi.

“Wa’alaikumussalam warahmatullahi ta’ala wa barakatuh.”

Setelah berpelukan sesama, meminta maaf dan berbual-bual seketika, Ustaz Abdul Kadir pun berjalan menuju ke blok bangunan pejabat. Itulah kali terakhir susuk tubuhnya kelihatan di Universiti Darul Taqwa ini.

Setelah beberapa lama kepergian Ustaz Abdul Kadir ke Palestin atas misi keamanan, universiti digemparkan dengan berita yang amat menyayat hati, namun setengah mereka melafazkan syukur dan tahniah pula. Ustaz Abdul Kadir dikhabarkan telah terbunuh dalam satu siri serangan bom Zionis laknatullah ketika sedang menguruskan mangsa-mangsa tempatan.

“Alhamdulillah, Ustaz kita bertemu Allah dalam keadaan syahid, impiannya sudah tercapai, kita bagaimana?” Kata murid-murid Ustaz Abdul Kadir sesama mereka.

Semoga sebaris namamu dengan para mukhlishin dan muttaqin di alam sana, insya-Allah.

-tamat-

05 October 2009

Komen dan Soalan: Entri bertajuk KALAM HIKMAH 16 http://kalamkhalifah.blogspot.com/2009/09/kalam-hikmah-16.html

Salam ustaz..saya turut bersmpati atas apa yg menimpa ustaz & juga isteri tercinta..namun benarlah janjiNya setiap apa yg berlaku pasti ada hikmahnya..tahniah diatas kurniaNya jua ustaz bakal menjadi bapa..ustaz..sy ingin memohon sedikit ruang ms ustaz andai dpt ustaz memberi sedikit panduan atau cara2 mengatasi rs sedih..terus terang sy katakan selama ini sy jahil..sy hanyut dlm alam percintaan..bg sy, si dialah segala2nya..namun kini kebahagiaan itu telah diambil semula olehNya..perpisahan yg terjadi selepas 7 thn bersama amat perit dirasa wlupun dari luaran sy berjaya menunjukan ketenangan..perpisahan disebabkan org ketiga ini juga kdg2 membuat sy ingin membenci si dia..namun jiwa sy dirasakan terlalu rapuh..kasih syg yg disulam selama ini masih kukuh sehingga rasa benci tak dpt diwujudkan dlm diri wlupun telah dilakukan sedemikian rupa..sy ingin skali melupakan kenangan lama & memulakan hidup baru..tp hati ini kdg2 terasa sunyi..malah ada rakan2 cadangkan mencari pengganti supaya hati ini tak sunyi & x lagi mengigati si dia..tp sy fobia..malah kini sy rs mahu berehat dr semua ini..sy juga makin sedar couple dilarang oleh Allah..sy inginkan cr terbaik yg boleh sy lakukan secara istiqamah untuk menjadi lebih tenang..jika ada doa2 atau apa jua yg boleh membantu,sy harap ustaz sedia membantu..salam

Jawapan:

Wassalam saudara, kesedihan merupakan fitrah dan lumrah hidup seorang manusia. Soalnya sekarang bagaimana kita menguruskan kesedihan yang melanda diri kita. Setelah kita tahu bahawa punca kesedihan yang berpanjangan ini adalah kerana kegagalan cinta kita terhadap seseorang yang bernama wanita.

Soalnya apakah cinta itu hanya layak untuk seorang wanita yang belum tahunya menjadi hak kita yang sah yakni isteri. Wajarkah kita melabur segala perasaan kasih sayang, cinta dan harapan kepada sesuatu yang tidak pasti? Sangat berisiko dan ramai sudah yang kecundang. Dan Islam amat melarang melakukan sesuatu perkara yang memudaratkan diri kita sendiri bahkan orang lain sekalipun.Apakah kepastian cinta dan kasih dari Allah serta Rasulnya tidak mendapat tempat dalam hidup kita?

Bagaiman pula dengan cinta dan kasih sayang tanpa syarat seorang ibu dan ayah serta adik beradik kita yang sudah bersama kita ketika senang dan susah, apakah sedikitpun mereka tiada peranan untuk mendapat cinta dan kasih sayang kita?

Apabila kita sudah tersilap parkir kereta kita di tempat yang salah, maka segera alihkan sebelum terlambat. Walaupun sudah terlambat sekalipun, masih sempat jika yang terlambat itu masih bernadi dan bernafas. Ya, kesalahan kita ialah meletakkan perasaan cinta itu pada tujuan, waktu dan orang yang salah. Saya nak kita renungkan satu ayat dari surah An-Nur ayat 3 yang berbunyi:


ٱلزَّانِى لَا يَنكِحُ إِلَّا زَانِيَةً أَوۡ مُشۡرِكَةً۬ وَٱلزَّانِيَةُ لَا يَنكِحُهَآ إِلَّا زَانٍ أَوۡ مُشۡرِكٌ۬‌ۚ وَحُرِّمَ ذَٲلِكَ عَلَى ٱلۡمُؤۡمِنِينَ

Maksunya:
Lelaki yang berzina (lazimnya) tidak ingin berkahwin melainkan dengan perempuan yang berzina atau perempuan musyrik dan perempuan yang berzina itu pula (lazimnya) tidak ingin berkahwin dengannya melainkan oleh lelaki yang berzina atau lelaki musyrik dan perkahwinan yang demikian itu terlarang kepada orang-orang yang beriman.

Pernah ketika saya sedang berbual-bual dengan beberapa orang kawan, tiba-tiba salah seorang kawan berkata kepada saya: " Syeikh, tolongla ana cari isteri. Tapi, kalau boleh nak yang cantik, pandai dan kaya.." katanya dengan nada bergurau.

Saya terngamam, tinggi sungguh selera sahabat saya ini. Saya lantas menjawab ringkas: "Boleh, takde masaalah, cuma satu sayaratnya."

"Apa syaratnya?" bersungguh benar nampaknya dia.

"Awak kena jadi macam tu dulu." Jawapan itu membuatkan dia terdiam dan tersipu, kawan-kawan lain pula gelakkan dia.
.....................................................................................
Islam tidak pernah menafikan hak cinta kita. Bahkan Islam adalah agama yang amat menggalakkan percintaan. Cinta yang diletak pada tempat yang haknya:

Cintailah Allah dengan mensyukuri segala rahmatnya dan tidak mengkufurinya. Dalam erti kata lain menjadi hamba yang soleh.

Cintailah Rasulullah dengan mempelajari dan mengamalkan sunnah baginda.

Cintailah ibu bapa dan kaum kerabat kita dengan mentaati dan menghargai mereka.

Cintailah hanya wanita yang bernama isteri.
......................................................................................

Kesedihan boleh diatasi dengan memperbanyakkan aktiviti yang boleh menenangkan hati dan jiwa. Jauhkan suasana yang mendorong kepada kesedihan tersebut agar segala elemen dalaman termasuk pemikiran kita lebih terarah dan tahu sifat kesedihan yang Allah anugerahkan itu bila harus digunakan. Bukankah dengan mengingati Allah jiwa dan hati akan menjadi lebih tenang? Letakkan kesedihan pada tempatnya kerana kesediihan itu akan lebih bererti:

- Sedihlah bila sedar diri kita banyak berdosa kepada Allah.
- Sedihlah bila sunnah Rasulullah tidak kita amalkan malah tidak mampu berbuat apa-apa bila ianya dipersendakan.
- Sedihlah bila kita sedar kita bukan anak yang soleh kepada kedua ibu bapa kita.
- Sedihlah bila melihat kezaliman yang terpaksa ditanggung oleh saudara muslim kita di seluruh dunia.

Dan banyak lagi kesedihan yang wajar kita sedihkan daripada terus terpana kesedihan kerana cinta pada seorang perempuan yang bukan hak kita. Aktifkan paradigma, lakukan anjakan. Jika dibandingkan dengan kesedihan mereka apalah sangat kesedihan kita ini, malu kita pada Allah. Kini katakana, laungkan! Aku mahu berubah! Aku kena berubah! Ah diri, jangan kau siakan ruang dan luang yang masih ada, ayuh:

- Perkasakan ibadat wajib dan maksimumkan ibadat sunat.
- Jadikanlah al-Quran sebagai basahan lidah, kalau boleh ditadabburkan yakni dibaca bersama dengan maknanya sekali.
- Banyakkan hadir ke majlis ilmu atau aktiviti sosial kemasyarakatan.
- Banyakkan bergaul dengan orang baik-baik, soleh dan berilmu.
- Banyakkan mendengar dan meminta nasihat daripada mereka.
- Banyakkan membaca buku-buku motivasi Islam dan sebagainya.

Tetapkan jadual harian yang padat dan asimilasikan sebaik boleh, tanamkan iktikad yang aku mahu berusaha jadi yang terbaik, sebagai hamba kepada Allah, umat kepada nabi Muhammad SAW, anak kepada kedua ibu bapa dan seterusnya.

Dan yakinlah di sebalik segala kesedihan ada kegembiraan, di sebalik segala kesulitan ada kesenangan, di sebalik segala penderitaan ada kebahgiaan. Allah tidak akan menguji hambanya melainkan dengan ujian yang mampu ditanggung oleh hambanya itu.

Bersangka baiklah pada Allah. Qada’ dan qadar Allah tentunya yang terbaik untuk kita walaupun secara zahirnya nampak tidak. Yang disukai, dikasihi dan dicintai kita tidak semestinya yang terbaik untuk kita namun sebaliknya yang dibenci, dicerca dan dihina mungkin sekali bukan yang terburuk untuk kita.

Yang penting, yakinlah dengan janji Allah. Jika kita cukup dengan Allah maka Allah akan cukupkan kita.

Apakah mustahil bagi Allah untuk menemukan kita dengan gadis yang akan kita cintai dan dia jua mencintai kita apabila cinta Allah bersama kita. Dan amatlah manis jika siapapun gadis itu, ketika kita melafazkan kalimah dan menterjemahkan cinta kita padanya, dia adalah seorang yang bernama isteri. Wallahua’lam.

Zahiruddin Zabidi

*Saya cadangkan sesiapa yang bersedih supaya memiliki buku-buku ini:

- “La Tahzan” karangan Dr Abdullah Aidh Al-Qarni
-“Aku Terima Nikahnya” karangan Ustaz Hasrizal Abdul Jamil
-“Tentang Cinta” karangan Pahrol Md Joui