27 October 2009

[Cerpen] YB Ka, Tak, Pu dan Ru

Hening sekali dinihari itu, tiada ungkapan jitu yang layak dilontarkan. Sesekali YB Tak memandang ke luar tingkap keretanya yang ditahta mewah. Pak Samad terus menghenyak pedal minyak kereta, deras meluncur membelah kabus malam.

Permandangan aneh sekali kala itu, permandangan yang sepatutnya indah jadi kelam. Balam-balam cahaya hanya meminarkan lagi butir mata.

“Betulkah lakuku ini....” Hatinya menghitung.

“Bagaimana jika rakyat tiada lagi bersamaku, habislah periuk ruyungku.”

Pak Samad bersuara, dari tadi dia lihat tuannya itu dirundum gelisah, air mukanya bagai awam kandung hujan menunggu pecah. “Tuan, apakah gerhana yang menimpa tuan?”

“Itulah Pak Samad, saya pun kurang pasti. Rasanya sudah cukup saya berbakti, berpeluh bagai dalam berjuang. Namun...begini juga akhirnya.”

“Benda dah jadi tuan, tapi mungkin ada lagi peluangnya tuan.”

“Hmm...,” sekadar berdengus terus YB Tak menyambung dilemma.

“Hah, kalau tuan nak lebih daripada Cik Puan dulu pun ada tuan.”

“Memangla ramai, tapi manakan sama dengan Ros Biru.”

“Bagaimana Ros Hijau tuan?”

“Itulah yang saya duk menungkan ni, saya tumpang dia barulah jaya dan gah begini. Walaupun kami tak kahwin, tapi jasanya amat besar pada saya.”

“Kenapa tidak dikahwini sahaja tuan?” Pak Samad merancakkan persoalan.

“Bukan tak mahu, orang tak sudi. Ragu pada saya barangkali, namun benar duga mereka. Kasih saya pada Ros Biru membara semula. Tambahan dia dah makin berubah, makin anggun, cantik, bergaya dan bersih.”

Pak Samad menambah, “ Kalau begitu kiranya, saya rasa ikutlah fatwa hati tuan. Tapi risikonya tetap ada, kaum kerabat Ros Hijau pasti mengamuk kelak.”

“Itu saya tahu tapi saya kena nafikan, kalau tak lemah betul jantan saya ni, aib malu perkasa Melayu. Alah pada tekanan massa.”

Setelah dia dituntut cerai oleh bekas bininya yang pertama yang bernama Ros Biru, dia nanar. Hidupnya teratur dahulu, bahagia. Rupanya tidak sampai ke petang bercahaya. Dia terpaksa menceraikan isteri pertamanya kerana perintah makhamah. Silapnya juga, bersandiwara dengan api, akhirnya memakan diri.

Sinar hidupnya memancar kembali bila ada gadis yang sudi menghulur budi. Diberi tempat dan pangkat, begitu sekali dia bersyukur kerana selepas papa dan selepas banyak kali pemilihan dia hampa.

Kini dia kembali dengan nada baru, di bawah lembayung tiket yang dahulunya mahu dilayu.
Namun dia tetap dengan tagih dulu, bersandiwara dengan sekam. Walaupun tidak sebahaya api, namun sudah cukup untuk melecur badan jika tidak kena caranya.

“Tahniah YB Tak, walaupun jadi wakil bebas. Kami sokong.” Kembang kembis hatinya, ramai yang menyokongnya. Walaupun dulu mereka inilah yang menongkah arusnya. Namun segalanya tiada mustahil.

Si Iblis dahulunya malaikat, lantas dilaknat kerana sombong dan angkuh terhadap Adam yang berasal dari tanah. Disuruh sembah oleh Allah, disanggah angkuh oleh dirinya, “Asalku api engkau tanah! Mana mungkin api tunduk sujud pada tanah!?”

Lantas murka Allah menjanjikan neraka padanya. Namun dia tekad akan membawa seramai mungkin awak-awak dari benih lendir Adam. Seramai mungkin.

Barsisho pula warak lagi abid, hebatnya digambar dalam kisah hingga anak muridnya mampu terapung di langit dengan kuasa Allah. Hebat makrifatnya, sufi kekangannya.

Malang.

Tewas kerana hanya ingin menjadi lebih hebat dalam ibadah setelah digoda iblis. Arak, bunuh dan rogol jadi laku akhirnya lantas mati ia dalam kufur. Kisah dicatat di dalam kitab.

“Tapi ini lain, dulu dah jadi sekali. Bercerai dengan Ros Biru dan hinggap ke Ros Kuning. Bila Ros Kuning mati tak berkubur dan kononnya rohnya sudah bergabung dengan Roh biru, YB kembali kepada Ros Biru.” Teringat YB Tak akan bualannya dengan YB Ka. Dan lagi dua rakan seiras, YB Pu dan YB Ru.

“Ah...itu cerita lama.”

“Tapi rakyat ingat YB, kami ini pun belum tentu nasib.” Ujar YB Ka.

YB Pu turut serta, “Nasib baik huru-hara dek taufan bulan sudah belum usai, kalau tidak dah tak merasa dah kita menunggang Komri ni.”

“Sudahlah YB Pu, bukannya kita tidak mampu. Durian runtuh hari sudah bukankah masih berjebak dalam kantung kita.” YB Ru galak mengusik.

“Hahahaaaaa....” pecah usus gelak gaya mereka ini, hampir serentak. Hanya YB Tak yang tersenyum paksa.

YB Tak terkenang, tanah darahnya jelata bukan sembarangan.

Bijak sekali awak-awaknya, dilihat susuk yang kurang arif malah buntu ahlak, dihumban terus tanpa hampa.

Sedangkan YB Tak menang sudah kerana topeng yang dipakainya, begitu juga YB Ka, Pu dan Ru. Tapi negeri mereka lain, entah berentah. Dari semahal dan secantik perak sudah menjadi aluminium, sudah jatuh martabat daulatnya.

Di negeri YB Tak pula petir kilatan senantiasa terpancar. Lambang jelatanya begitu arif berpencak politik.

“Kamu semua cerai bertebus, aku kini menumpang kasih dari Ros Hijau. Tapi kasihku pada Ros Biru tak pernah luput.” Ujar YB Tak layu.

Sambungnya lagi, “Kini Ros Hijau pun sudah naik minyak bila tahu hatiku masih pada Ros Biru, tapi jika mahu balik pada Ros Biru manakan mungkin. Sudah dua kali saya bercerai hidup dengannya. Mahu diguna Cina buta takut dikilas pula.”

Terus dia dirundum pilu, tapi yang anehnya bila bertentang lensa media, cetak atau eletronik dia terus galak gagah, lantang bak arjuna tiada kesal dalam ungkapan. “Yang betul kita kena cakap betul, saya wakil bebas. Saya berhak menegur mana yang perlu, yang penting perjuangan menegakkan agama, bangsa dan Negara menjadi agenda utama.”

Ingat lagi kata-katanya ketikamana para paparazzi politik sibuk mengerumun seusai bersidang.

“YB Tak, akhir-akhir ini YB nampak macam akan rujuk kembali kepada Ros Biru, apakah benar?” Soalan diterjah ke benak telinga. Orang duk sibuk hal Negara, ekonomi, social dan pertahanan, penggubalan undang-undang, EGM kita tanya pasal cerai rujuk.

"Bagaimana pula dengan Ros Hijau?" Seorang lagi menyibuk. Bahkan banyak lagi soalan menjengah, bunyi macam hurungan lalat yang sedang menikmati hidangan mereka di....

“Saya tiada komen untuk sementara ini, kita tunggu dan lihat.” Jawapan selamat, namun hatinya meraung, “Sudah tentu aku masih saying padanya, dialah pelita hidupku, perjuanganku, titik awal dan akhir. Aku mencintainya setulus hatiku, namun dia yang membuangku walaupun aku tidak mahu. Aku mahu kembali...ingin sangat kembali...tolongla paduka Ratu Ros Biru....”

“YB Tak, kita dah sampai.” Pak Samad bersuara mengejutkan tuannya.

Tiada respon. Lama menunggu,

Pak Samad keraskan suara sambil tangannya mencuit YB Tak, “Tuan, kita dah sampai di agam tuan.”

Kaku juga.

Kali ini Pak Samad membuka pintu belakang dan mendapatkan tuannya.

Rupanya...

“Innalillahi wa inna ilaihi rajiun.”

Di tangan YB Tak terdapat sekeping kertas konyok yang tertulis.
“ Sahabat, saya susun nama kita dengan susunan ini. Ka, Tak, Pu dan Ru. Benarlah kita YB KATAKPURU.”

Zahiruddin Zabidi
Masjid Usamah bin Zaid, Wangsa Maju.

No comments: