05 March 2010

Kenapa Tafsir Ibnu Kathir?

Akhirnya saya berjaya memiliki himpunan kitab tafsir yang sekian lama diidamkankan dengan membayar RM450 kepada teman yang telah bersusah payah untuk membawanya pulang dari Indonesia. Tafsir yang saya maksudkan ialah tafsir Ibnu Kathir keluaran Pustaka Al-Syafi’ie, sebuah syarikat penerbitan yang giat menerbit dan menterjemah karya-karya ulama agung aliran salaf.

Soalnya mengapa kitab tafsir 10 jilid itu menjadi pilihan saya, akan saya kongsikan di sini insya-Allah. Impian untuk memiliki tafsir Ibnu Kathir ini muncul sehabis pengajian subjek Usul al-Tafsir yang dikelola oleh Prof. Madya. Dr Mustafa Abdullah, Ketua Jabatan Al-Quran dan Al-Hadith Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Keinginan untuk memilikinya dalam Bahasa Arab terbantut kerana penguasaan lughah al-Quran saya yang lemah itu. Makanya saya tercari-cari versi bahasa Melayu, namun yang paling komprehensif. Dan saya temui jawapannya dari Indonesia.

Sepanjang pengajian subjek tersebut, kami telah didedahkan dengan banyak ilmu asas atau usul (fundamental) mengenai tafsir. Antara isu yang dibahaskan ialah sejarah pengajian Usul al-Tafsir, metod pentafsiran al-Quran oleh para mufassirin sepanjang zaman, pembahagian tafsir dan riwayat-riwayat ulama tafsir serta banyak lagi. Adalah mustahil jika kita ingin lebih mengusai pemahaman tentang ilmu-ilmu kitab tafsir tanpa kita memilikinya dan mengulitinya.

Dengan mengulangkaji pengajian Usul al-Tafsir, ditambah dengan rujukan kitab-kitab tafsir yang muktabar lantas berkongsi pula dengan orang-orang muslim yang lain ternyata ilmu itu akan lebih utuh dan kejap dalam sanubari kita dengan izin Allah.

Lewat penulisan saya yang dahulu, saya telah membincangkan tentang peri pentingnya ilmu-ilmu usul (lihat di sini), kali ini insya-Allah kita akan melihat kenapa tafsir Ibnu Kathir sentiasa menjadi rujukan terbaik sepanjang zaman tanpa menafikan keistimewaan tafsir-tafsir muktabar lain.

Biodata pengarang Tafsir Ibnu Kathir

Nama sebenar beliau ialah Imanuddin Ismail bin Amru bin Kathir al-Basri al-Dimisyqi. Beliau dilahirkan pada tahun 700H di Basrah, selatan Damsyiq. Membesar sebagai seorang yatim, mempunyai daya hafalan yang sangat istimewa dan sudah betah menuntut ilmu dari umurnya pucuk lagi.

Beliau kemudian berpindah ke Damsyiq pada umur 7 tahun dan mula berguru dengan guru-guru yang muktabar dalam bidang agama seperti hadith dan fiqh lantas menghasilkan banyak karya dalam bidang-bidang tersebut. Beliau ada mengarang karya besar mengenai hukum-hakam agama namun tidak sempat diselesaikan.

Ibnu Kathir sempat hidup di zaman Syeikhul al-Islam al-Imam Ibnu Taimiyyah, kisah-kisah mereka banyak direkodkan dalam karya sejarah Ibnu Kathir berjudul al-Bidayah wa al-Nihayah, banyak pujian yang telah diberikan kepada gurunya itu.

Banyak pendapat Ibnu Kathir dipengaruhi oleh pandangan Ibnu Taimiyyah, beliau malah banyak disakiti dan diuji kerana keakrabannya dengan tokoh mujaddid kurun ke-7 hijrah itu. Selain rapat dengan Ibnu Taimiyyah beliau juga rapat dengan al-Hafiz al-Mizzi dan berkahwin dengan anak ulama besar itu.

Ibnu Kathir telah menghembuskan nafas terakhir pada tahun 774H dengan meninggalkan legasi keilmuan yang sangat berharga. Jasadnya telah dikebumikan di Maqbarah al-Sufiyyah di sisi gurunya, Syeikhul al-Islam al-Imam Ibnu Taimiyyah. Beliau juga mati dalam keadaan mata yang buta.

Karya-karya Ibnu Kathir

1.Al-Bidayah wa al-Nihayah fi al-Tarikh (sebuah kitab sirah)

2.Tafsir al-Qur’an al-‘Azim (atau lebih dikenali sebagai Tafsir Ibnu Kathir).

3.Al-Kawakib al-Darari fi al-Tarikh.

4.Intikhab min al-Bidayah wa al-Nihayah.

5.Tafsir al-Qur’an.

6.Al-Ijtihad fi Talab al-Jihad.

7.Jami’ al-Masanid.

8.Sunan al-Hadi li Aqwam al-Sunan.

9.Al-Wadih al-Nafis fi manaqib al-Imam Muhammad bin Idris

Metod pemulisan Tafsir al-Qur’an al-‘Azim

Antara cirri penting dalam petafsiran al-Quran ialah untuk menghuraikan maksud yang tidak difahami secara literal, yang mana ini memerlukan huraian tambahan dalam memahami ayat atau perkataan-perkataan terbabit. Tidak semua ayat al-Quran bersifat begitu, Allah mempunyai tujuannya yang tertentu dalam penggunaan perkataan atau ayat yang sebegitu.

Tafsir al-Quran al-‘Azim dianggap antara tafsir yang terbaik kerana sifatnya yang bersih daripada elemen-elemen tambahan dan sumber yang tidak sorih. Tafsir ini diklasifikasikan sebagai Tafsir bi al-Ma’thur yang membawa maksud metod tafsir yang paling hampir dengan penafsiran para sahabat dan tabi’in.

Ini adalah kerana, Ibnu Kathir telah mensyarahkan ayat-ayat al-Quran dengan kaedah:

1.Ayat al-Quran dengan ayat al-Quran yang lain.

2.Ayat al-Quran dengan al-Hadith.

3.Ayat al-Quran dengan al-Athar (pendapat dan kata-kata para sahabat).

4.Ayat al-Quran dengan pendapat tabi’in (ijtihad yang disepakati atau ijma’).

Kelebihan Tafsir Ibnu Kathir

Ibnu Kathir sangat berhati-hati dalam meriwayatkan hadith-hadith yang mahu digunakan. Beliau akan menyatakan kedudukan hadith tersebut meskipun ianya soheh, da’if mahupun mawdu’. Bahkan unsur-unsur Israeiliyyat juga dinyatakan agar pembaca kita tafsirnya tidak terkeliru dengan periwayatannya.

Dengan elemen-elemen yang begitu ditir dan berdisiplin, Tafsir al-Qur’an al-‘Azim telah dianggap sebagai tafsir yang sangat ulung yang dikira kedua muktabar selepas Tafsir Ibnu Jarir al-Tabari dalam kawanan Tafsir bi al-Ma’thur.

Tafsir ini juga antara tafsir yang paling banyak tercetak dan tersebar di kalangan umat Islam semejak dahulu sehingga ke hari ini. Selain daripada itu, cetakan terjemahnnya juga boleh didapati dalam pelbagai bahasa. Bahkan para ulama mutaakhirin ada yang mengambil peluang untuk meringkaskan (mukhtasar) karya Ibnu Kathir ini tanpa mengubah gaya bahasa dan konten-konten dalamannya. Antara yang pernah membuat ringkasan tersebut ialah Muhammad Nasib al-Rifa’i, Syeikh Muhammad Ali al-Syabuni dan ramai lagi.

Ibnu Hajar al-Asqalani pernah memberi pendapat dengan katanya, “Beliau (Ibnu Kathir) adalah ahli Hadith yang faqih. Karya-karyanya tersebar luas di pelbagai negeri semasa hidupnya dan dimanfaatkan oleh orang ramai setelah beliau meninggal dunia.”

Kesimpulan

Adalah tidak rugi jika kita berhabis sedikit modal untuk tujuan pelaburan saham akhirat ini. Semoga dengan memiliki Tafsir Ibnu Kathir menjadikan saya lebih rajin untuk memahami dan mendalami ilmu dan hikmah-hikmah al-Quran dalam masa yang sama dapat menggunakannya sebagai rujukan penulisan yang terbaik.

Kepada yang sudah memilikinya, adalah lebih afdhal jika anda dapat meluangkan masa untuk menghadiri kelas yang membicarakan tentang Ulum al-Quran dan Usul al-Tafsir. Diploma Eksekutif Usuluddin dan Sijil Pengajian al-Quran serta al-Hadith Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya ada membicarakan tentang subjek-subjek ini.
_________________________________

Rujukan: Dr Fauzi Deraman, Mustafa Abdullah. 2006. Pengantar Usul Tafsir. Kuala Lumpur: Akademi Pengajian Islam UM, Intel Multimedia and Publication.

Disediakan oleh:

Ahmad Zahiruddin bin Mohd Zabidi

3 comments:

mariam sarbini said...

Ada lagi ke tafsir ibn kathir dr indonesia RM450...Saya survey kat malaysia ni dijual rm800-rm900.kalau ada nak juga.:)

mariamsarbini@gmail.com

Zahiruddin Zabidi said...

Saudari, saya memesan kepada sahabat yang berkunjung ke sana. kalau diikutkan harga disana hanya dalam RM250 sahaja. Namun selepas ditambah kos penghantaran maka perlu bayar lebih RM200.

Paling murah saya jumpa di Malaysia adalah RM450. Boleh rujuk di satu kedai berdekatan Harakah, maaf, saya juga sudah lupa. Nanti saya maklumkan insya-Allah.

Anonymous said...

Assalamualaikum saudara Zahiruddin. Saya Hafiz dari Johor. saya amat berminat untuk mendapatkan Tafsir Ibnu Kathir. Boleh tak tolong emailkan saya nama kedai serta lokasinya yg menjual tafsir ini.
Terima kasih. norhafiz888@yahoo.com.