21 March 2010

Berjumpa orang hebat

Akhirnya saya berpeluang berjumpa dengan orang-orang hebat dalam sastera. Antaranya ialah Datuk Dr Anwar Ridwan, Tuan Haji Faisal Tehrani dan Prof Dr Wan Abu Bakar@Dr Irwan. Ini berlaku ketika berlangsungnya acara forum anjuran Persatuan Penulis Selangor di Rumah Gapena pada 20 Mac 2010.

Forum bertajuk ‘Permasalahan Sastera Masa Kini’ menampilkan Puan Ainon Mohd (pengerusi eksekutif PTS), Saudara Faisal Tehrani (pensyarah Aswara) dan Prof Dr Ir Wan (pengelola E-Sastera). Forum dipengerusikan oleh pensyarah bahasa dari UPSI, saudara Arif Mohd.

Tidak mampu saya catatkan di sini butiran mengenai perbincangan forum kerana para panel yang tentunya hebat-hebat belaka itu mendatangkan hujah dan persona fakta yang pelbagai. Prof Dr Irwan dengan ideologi E-sasteranya, Puan Ainon Mohd dengan Bahasa Melayu sebagai bahan mentah yang mampu menjadi produk kreatif industri dan saudara Tuan Haji Faisal Tehrani dengan masalah klise dalam pengkaryaan. Banyak lagi sebenarnya.

Apapun seperti biasa kehadiran hanya berlegar di kalangan peserta lazim sahaja. Rasanya saya seorang sahaja yang paling asing di situ. Ada dua orang pelajar Aswara yang saya hubungi dalam FB untuk bertemu di sana, tambahan pula mereka adalah pelajar kepada Tuah Haji Faisal Tehrani. Jadi mereka juga hadir, beberapa wakil media juga ada, sibuk mengambil gambar dan mencacat butiran.

Saudara Naimisa yang sememang dari awal lagi menyatakan kehadirannya, sementelahan beliau adalah salah seorang ahli E-Sasterawan kelolaan Prof Dr Irwan. Ada juga buku-buku keluaran E-Sasterawan yang nyaris menjadi habuan saya, namun entah mengapa tidak terbeli pula. Saudara Naimisa juga baharu menerbitkan karya sulungnya yang bertajuk ‘Misteri Sebuah Manuskrip’ dengan Kemilau Publika Sdn. Bhd.

Apapun, input yang sangat eksklusif telah diketengahkan oleh para panel dan secara langsung ianya terus mendorong saya untuk terus berkarya. Insya-Allah.
_______________________________________________

Zahiruddin Zabidi
http://kalamkhalifah.blogspot.com/

No comments: