30 December 2010

Syabas di atas penganjuran Pesta Buku Kanak-Kanak

Oleh Zahiruddin Zabidi
zahiruddin_zabidi@yahoo.com.my

TANGGAL 22-26 Disember 2010 yang lepas memperlihatkan satu sejarah besar dalam dunia pembukuan tanah air berlaku. Sepanjang tarikh tersebut, telah berlangsung Pesta Buku Kanak-Kanak yang pertama kalinya sepanjang tempoh 53 tahun kemerdekaan tanah air.

Sasterawan Negara, Dato’ (Dr) A Samad Said dalam satu majlis pelancaran novel kanak-kanak beliau yang kini diterbitkan semula dalam edisi dan pakejing baru oleh PTS Publication & Distributors Sdn. Bhd. dirakam berkata, ianya adalah satu perkembangan positif walaupun dikira agak terlambat bagi sebuah negara yang sudah lama merdeka.

Beliau juga sangat teruja apabila melihat betapa ramainya ibu bapa yang datang bersama anak masing-masing dan mengakui bahawa mentaliti ibu bapa khususnya yang berbangsa Melayu mulai berubah dan sedar membaca buku adalah perkara yang sangat penting dalam proses tumbesaran hidup khususnya kepada anak-anak.

Dalam masa yang sama tidak dinafikan pengajuran pertama kali dalam sejarah ini ada kekurangan antaranya adalah kekurangan publisiti dan penyertaan penerbit yang agak kecil sekalipun ruang yang disediakan adalah agak besar.

Ini mungkin mengkuti perkiraan beberapa syarikat, masa yang dipilih adalah tidak sesuai memandangkan ianya dilangsungkan di hujung tahun sekaligus hujung musim cuti sekolah. Para penerbit mungkin merumuskan rata-rata ibu bapa sudah kekeringan wang belanja bagi membeli buku untuk anak-anak kerana terlebih dahulu dihabiskan bagi persediaan persekolahaan anak-anak yang akan memulakan sesi persekolahan 2011 tidak lama lagi.

Hal ini sedikit sebanyak menyebabkan para penerbit teragak-agak dan tidak berani melaburkan modal mereka apatah lagi pastinya kos sewaan tapak yang mahal perlu dibayar per hari kepada pihak penganjur.

Perkara ini ada benarnya dan perlu diberi perhatian oleh pihak penganjur bagi perancangan masa hadapan. Pemilihan masa yang sesuai seperti yang diamalkan apabila mahu melangsungkan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) saban tahun perlu dicontohi agar PBKKL juga menjadi satu perayaan yang tidak kurang penting dan hebatnya bagi menyumbang serta menyemarakkan lagi rakyat Malaysia sebagai rakyat membaca.
___________________________________________________________


Nota: Tulisan ini sudah diterbitkan dalam ruangan Surat Pembaca Harakah edisi Isnin, 30 Dismeber 2010 -  2 Januari 2010. Sebarang cuplikan perlu dikreditkan kepada Harakah.

27 December 2010

Bendung Pengaruh Barat Dengan Segera

Oleh Zahiruddin Zabidi

ENTAH kerana terpengaruh dengan budaya barat atau sememangnya masyarakat kita khususnya orang Melayu Islam sendiri yang berevolusi ke arah, yang pastinya gejala ini sudah dianggap budaya yang biasa dalam kalangan masyarakat mutakhir ini khususnya golongan yang bekerjaya.

Suasana pejabat yang tidak membataskan pergaulan antara jantina yang pada asalnya atas nama urusan rasmi, sedikit demi sedikit mewujudkan satu hubungan kemanusiaan yang akan merebak dan tergaul dalam kehidupan peribadi individu.

Sebagai contoh amalan keluar makan tengahari bersama-sama di kalangan rakan sepejabat, lelaki dan perempuan, isteri dan suami orang, orang atasan dengan orang bawahannya. Alasan popular bagi menghalalkan perbuatan ini adalah kerana keluar ramai-ramai, dalam masa yang sama tidak kurang juga yang dilihat hanya berdua sahaja.

Sehinggakan ada sesetengah daripadanya lebih selesa bersama rakan sekerja ini daripada suami dan keluarga sendiri. Sementelah bagi mereka yang punya masalah dengan pasangan masing-masing.

Perlu difahamkan bahawa ianya bukan satu amalan yang digalakkan dalam Islam walaupun atas nama kerja sekalipun, apatah lagi situasi itu sangat berisiko besar membenihkan barah fitnah.

Kenapa tidak sahaja, pekerja perempuan dengan pekerja perempuan serta pekerja lelaki dengan pekerja lelaki sahaja yang keluar makan bersama? Ianya lebih selamat dan mampu menghindarkan diri individu daripada fitnah yang mungkin menggugah keamanan rumah tangga masing-masing.

Islam tidak menghalang secara total akan keterlibatan kedua gender yang berbeza dalam sesuatu urusan bahkan hukum asalnya adalah harus bagi tujuan menuntut ilmu, jual beli dan mesyuarat. Namun ada adab-adab dan lunas syarak yang perlu dipatuhi bagi menjamin muamalat tersebut terhindar daripada dosa dan fitnah dunia.

Bak kata pepatah: Mencegah itu lebih baik daripada mengubat. Teman tapi mesra antara individu berlainan gender yang sudah ada suami atau isteri masing-masing adalah sesuatu yang tidak relevan bagi bersosial.
_______________________________________________________________________

Nota: Tulisan ini sudah diterbitkan dalam ruangan Surat Pembaca Harakah edisi Isnin, 27-30 Disember 2010. Sebarang cuplikan perlu dikreditkan kepada Harakah.

24 December 2010

Debat Ulama Muda: Nasihat Kepada Pemimpin Menurut al-Quran, Hadis dan Pandangan Ulama

Oleh Zahiruddin Zabidi
zahiruddin_zabidi@yahoo.com.my


Dari kiri: Ustaz Fathul Bari, Ustaz Dzulkhairi (moderator) dan Ustaz Wan Ji Wan Husin.


PADA 14 Disember yang lalu selepas solat Isyak bertempat di dewan utama Masjid Abu Bakar, Bangsar, berlangsung satu program debat anjuran unit Syubban (Pemuda) Persatuan Ulama Malaysia dengan Youth Center yang dipengerusikan oleh Ketua Pemudanya, Ustaz Dzulkhairi Md Noor.

Panel jemputan pada sesi perdebatan kali ini adalah Ustaz Fathul Bari Mat Jaya selaku Pengerusi iLMU (Sekretariat Ulama Muda UMNO) dan Ustaz Wan Ji Wan Hussin sebagai wakil PAS. Tajuk yang diperdebatkan adalah 'Nasihat Kepada Pemimpin Menurut al-Quran, Hadis dan Pandangan Ulama'.

Menggunakan tagline 'Berbincang Secara Rasional, Menjauhi Emosional' program debat yang bermula sejurus selepas solat Isyak berjemaah itu berjaya menarik hampir 200 orang peserta, rata-rata hadirin adalah pelajar dari IPTA terdekat, jemaah masjid, ahli-ahli PAS dan ahli UMNO sendiri. Turut hadir beberapa orang tokoh akademik daripada disiplin yang pelbagai.

Debat tamat pada jam 11.30 malam, maklum balas yang diperolehi daripada hadirin sangat positif dan rata-rata mengharapkan siri debat ilmiah seperti diteruskan dengan mendatangkan tajuk dan tokoh yang pelbagai pada masa hadapan.

Secara kesimpulan, kedua-dua panel bersetuju teguran kepada pemimpin itu boleh dilakukan samada dalam keadaan terang-terangan (jahar) mahupun tertutup (sirr). Namun kedua-duanya perlu mengikut kondisi yang sesuai dan mengikut maslahah dan mafsadah semasa.

Menurut Ustaz Dzulkhairi lagi, bemula tahun hadapan pihak Syubban PUM akan terus menggembleng program debat dan forum bersiri dengan mendatangkan pelbagai isu, antaranya perihal sehari selepas Pakatan Rakyat berkuasa, industri lakonan di Malaysia, rancangan televisyen, sistem ekonomi, dasar negara dan lain-lain.


Kira-kira 200 orang memenuhi dewan.
______________________________________________________________________________________________

Nota: Tulisan ini sudah diterbitkan dalam ruangan Surat Pembaca Harakah edisi Isnin, 27-30 Disember 2010. Sebarang cuplikan perlu dikreditkan kepada Harakah.

23 December 2010

Jawapan kepada Surat Terbuka di Berita Harian (4 Disember 2010), Seputar Isu Pendidikan Seks

Oleh Zahiruddin Zabidi

SURAT ini adalah respon daripada pihak Kementerian Pendidikan Malaysia atas kiriman surat terbuka saya yang tersiar di Berita Harian pada 4 Disember 2010 seputar isu Pendidikan Seks yang mahu dilaksanakan di sekolah rendah.

Tulisan asal surat saya boleh dibaca di sini http://kalamkhalifah.blogspot.com/

Ikuti jawapan tersebut sebagaimana yang tertulis di bawah, tulisan asal boleh dibaca di sini http://www.bharian.com.my/
_______________________________________________________________________



PEERS tidak hanya fokus isu seksual, sebaliknya kesihatan

2010/12/23

KEMENTERIAN Pelajaran Malaysia (KPM) ingin merujuk surat Engku Muzahadin dari UPM dan Zahiruddin Zabidi (Wangsa Maju) bertarikh 1, 2 dan 4 Disember menerusi ruangan ini mengenai pendidikan seks di sekolah.


KPM sudah melaksanakan Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PEERS) sejak 1989 di sekolah menengah dan 1994 di sekolah rendah, khususnya melalui mata pelajaran Pendidikan Kesihatan dan secara merentas kurikulum mata pelajaran lain seperti bahasa, Sains, Biologi, Pendidikan Islam dan Pendidikan Moral.

Istilah ‘Pendidikan Seks’ tidak digunakan sama sekali dalam konteks pendidikan di Malaysia kerana ia memberi konotasi negatif dalam kalangan masyarakat kita. Istilah PEERS digunakan menggantikan Pendidikan Kesihatan Keluarga (1989-2002) dan Pendidikan Seksualiti (2003-2005) selepas diluluskan Kabinet pada 20 Disember 2006.

Kurikulum pendidikan kesihatan terdiri daripada elemen PEERS (75 peratus), pemakanan (15 peratus) dan pertolongan cemas (10 peratus). Kandungan PEERS dalam pendidikan kesihatan digubal berdasarkan tahap perkembangan kognitif dan kesesuaian peringkat umur kumpulan sasaran.


Setiap individu perlu dilengkapi dengan kemahiran membuat keputusan konstruktif, bijak dan bertanggungjawab menangani situasi berisiko.

PEERS merangkumi kesihatan diri dan reproduktif iaitu aspek perkembangan dan perubahan fizikal, fisiologikal serta psikologikal semasa akil baligh serta penjagaan kesihatan reproduktif, kesan buruk pengambilan rokok, dadah dan alkohol, serta kemahiran berkata ‘TIDAK’.

Kemahiran pengurusan mental dan emosi seperti konflik, tekanan diri, keluarga dan masyarakat serta kepentingan institusi perkahwinan, kekeluargaan, peranan dan tanggungjawab ahli keluarga.

Turut diajar langkah keselamatan diri di rumah, sekolah, taman permainan, tempat awam serta akta perlindungan bagi kanak-kanak, gadis, wanita, termasuk kemahiran mengelak daripada ancaman orang tidak dikenali dan orang perlu dihubungi jika berlaku gangguan, ancaman serta kecemasan.

PEERS memberi kesedaran dan membantu murid membentuk pandangan positif mengenai kesihatan reproduktif dan sosial, menyediakan maklumat perlu diketahui supaya mereka mengambil berat kesihatan seksual selain membantu memperoleh kemahiran membuat keputusan.

Peka kepada keperluan terhadap PEERS yang dilaksanakan melalui mata pelajaran pendidikan kesihatan, maka kurikulum pendidikan kesihatan sentiasa disemak dan ditambah baik dari semasa ke semasa.

Bermula 2011, pendidikan kesihatan akan diajar secara berasingan sebagai satu mata pelajaran dan tidak bercantum dengan mata pelajaran lain. Sebelum ini digabungkan Pendidikan Jasmani dan Pendidikan Kesihatan (PJPK). Pendidikan Kesihatan diberi peruntukan satu waktu (30 minit) setiap minggu bermula dengan Tahun 1 pada tahun depan. PEERS tidak hanya fokus kepada isu seksual.

Justeru, KPM ingin menjelaskan PEERS dilaksanakan secara komprehensif dari sekolah rendah hingga sekolah menengah untuk meningkatkan kesedaran dan membantu murid memperoleh kemahiran membuat keputusan bijak serta bertanggungjawab pada masa kini dan masa depan.

UNIT KOMUNIKASI KORPORAT,
Kementerian Pelajaran Malaysia.

14 December 2010

Idea Dari Langit

Oleh Zahiruddin Zabidi
zahiruddin_zabidi@yahoo.com.my

BERMULA tahun sudah saya semakin giat menghantar karangan pendek berbentuk surat pembaca ke akhbar-akhbar perdana seperti Harakah, Berita Harian selain daripada artikel, esei, rencana, puisi, cerpen. 

Alhamdulillah setakat ini sudah ada 10 buah surat yang berkisarkan kritikan, saranan, teguran dan pandangan seputar isu semasa  tersiar dalam akhbar-akhbar terbabit. Harapannya adalah, sedikit tulisan itu mampu memberikan gambaran mengenai hasrat kelompok yang bernama rakyat agar dicakna oleh kelompok yang bertanggungjawab.

Insya-Allah saya akan terus menulis dan menghantar kepada pihak yang berwajib itu agar setiap nukilan yang terhasil daripada pemerhatian dan penelitian daripada seorang rakyat memberikan aspirasi kepada sekelompok rakyat demi kepentingan rakyat keseluruhan.

Tanpa menafikan bukan semua pihak yang akan bersetuju dengan setiap nukilan saya, namun saya akan sentiasa cuba memilih isu umum yang melibatkan kepentingan bersama sebagai rakyat dalam melontarkan kritikan, cadangan dan bantahan bermula dari sekecil-kecil masalah sehingga sebesar-besar masalah.

Menjadi kebiasaan juga kita mendengar para penulis sibuk menghimpun dan menjilid tulisan mereka terutama puisi dan cerpen yang sudah tersiar di akhbar perdana bagi diantalogikan. Namun saya, insya-Allah jika diberi peluang mahu mengantalogikan surat-surat tersebut dalam sebuah buku khusus selepas ianya mencapai 100 naskhah keluaran.

Mungkin ianya akan menjadi satu-satunya dalam sejarah pembukuan di Malaysia, namun yang penting adalah saya sebagai seorang penulis sekaligus ditaklif sebagai seorang pemikir dan pendakwah sudah sedikit sebanyak mula menyumbang kepada masyarakat Malaysia khususnya umat Islam lewat tulisan-tulisan tersebut.

Semoga Allah menilainya dengan pahala, amin.

10 December 2010

Tidak Wajar Menjadikan Sin Chan Sebagai Ikon Anak-Anak

Oleh Zahiruddin Zabidi
zahiruddin_zabidi@yahoo.com.my

JANGAN terkejut andai tiba-tiba anak anda berumur kurang tujuh tahun melondehkan seluar serta menunjukkan punggungnya sambil menggoyangkannya dan berkata, “Punggung....” Timbul persoalan, dari mana mereka belajar perkara sebegitu?

Ini secara jelas adalah pengaruh yang tidak sihat daripada rancangan kartun kegemaran kebanyakan kanak-kanak termasuk sesetengah ibu bapa sendiri iaitu Sin-Chan. Sedarkah kita bahawa, bukan semua kartun adalah selamat bagi ditontonkan kepada anak-anak mutakhir ini.

Sebagai contoh rancangan Sin-Chan sendiri yang banyak dengan unsur lucah, siri Sponge Bob yang menjadikan 'Bikini Bottom' sebagai tempat tinggal mereka. Tidak kurang juga kebanyakan kartun yang menjadikan tema pergaduhan, perbalahan dan membalas dendam sebagai tema dan jalan cerita. Tidak kurang juga kartun yang mempromosi adegan seksual dan cara berpakaian yang tidak senonoh serta tidak mengatup aurat.

Tanpa menafikan kartun mampu menjadi instrumen pendidikan yang terbaik untuk anak-anak namun dalam masa yang sama ianya juga amat berpengaruh dalam menanamkan budaya dan akhlak yang tidak baik kepada anak-anak.

Lantas, adalah menjadi kesalahan yang besar apabila ibu bapa sendiri yang mendorong anak-anak mereka bagi menonton siri-siri yang ternyata lebih besar kesan negatif berbanding kesan positif. Namun, dalam masa yang sama kita berterima kasih kepada pihak yang berjaya mencipta watak Upin dan Ipin, watak kartun animasi yang diciptakan oleh warga tempatan.

Kejayaan Upin dan Ipin sebagai produk animasi Malaysia yang berjaya menambat hati kanak-kanak tempatan dan luar negara wajar dipuji dan diangkat menjadi ikon kanak-kanak terkini dengan lebih penambahan unsur didaktik secara langsung mahupun tidak langsung.

Di Indonesia sebagai contoh, ikon Upin dan Ipin digunakan semaksimum mungkin dengan melekatkan dan mengaitkan watak tersebut termasuk pada buku-buku agama.Ini tidak lain adalah bertujuan bagi menarik dan mendapatkan perhatian anak-anak dan secara tidak langsung terhadap bahan-bahan bacaan agama.

Kesimpulannya adalah pemantauan dan penyaringan terhadap rancangan-rancangan kartun di televisyen perlu dilakukan oleh ibu bapa apabila anak-anak di rumah sementelah pada waktu cuti sekolah sekarang ini. Dalam masa yang sama pihak televisyen bertanggungjawab menyiarkan hanya rancangan yang berfaedah dan mendidik kepada anak bangsa.
_______________________________________________________________________


Nota: Tulisan ini sudah diterbitkan oleh Malaysiakini (edisi BM), Berita Harian dan www.iluvislam.com.

06 December 2010

Respon Terhadap Tulisan di Mingguan Malaysia: Sastera Islam Lawan Barat

Oleh Zahiruddin Zabidi
zahiruddin_zabidi@yahoo.com.my

ASSALAMUALAIKUM buat saudara Zahiruddin Zabidi. Moga-moga saudara dilimpahi rahmat Tuhan Pemilik Alam hendaknya. Adapun tujuan saya mengutus surat elektronik ini atau megahnya dikenali dengan nama e-mel sekadar memberi pujian dan tanda setuju dengan butir bicara saudara dalam ruangan rencana sastera pada halaman surat khabar Utusan Malaysia.

Jika ditilik-tilik kembali apa yang diutarakan oleh saudara. Sememangnya benar sekali bahawasanya Malaysia ini walau sudah kali yang ke-53 Tahun merdekanya masih saja kurang upaya dalam melampirkan satu identiti negara bangsanya dengan jelas. Cubalah kita soroti setiap pembangunan dari sudut pembinaannya. Walaupun bangunan baru begitu cepat sekali menongkah langit seperti mana yang dapat dilihat di sekitar Lembah Klang itu, namun tidak jelas melainkan sedikit sahaja satu reka bentuk, seni bina yang memaparkan, menandakan, atau melambangkan ciri-ciri budaya kita. Apa yang jelas adalah kemegahan kita dengan reka bentuk yang dicedok atau lebih tepat lagi laras bahasanya, ditiru, diambil terus tanpa ada penyesuaian atau suntikan ilham seni bina warisan bangsa. Tidak kiralah ciri-ciri kemelayuannyakah atau mana-mana budaya yang terdapat di negara kita ini. Kurang pula unsur-unsur Islamik dalam seni binanya walau negara ini merupakan negara Islam. Walau bagaimanapun, tidaklah bermakna tiada langsung bangunan yang melampirkan seni bina berasaskan ciri-ciri budaya kita seperti mana seni bina Menara Berkembar Petronas.

Begitulah pula apa yang berlaku dalam dunia sastera tanah air kita. Walau saya ini tiadalah berpengalaman mana dalam kesusasteraan ini namun sebagaimana yang dinyatakan oleh saudara dalam artikel tersebut amatlah saya setuju sama sekali. Segala karya sastera kita sering saja mahu diukur dengan kayu pengukur ciptaan Barat. Manakan mungkin beras ditimbang dengan memakai penimbang lori yang nyata laras ukurannya tidak sama. Apakah kita tidak mampu menghasilkan asas kesusasteraan kita sendiri tanpa perlu mencedok terus apa yang datang dari Barat? Apakah kita tiada sasterawan yang hebat dalam lingkungan kesusasteraan Islam dan Melayu yang boleh saja dijadikan bahan rujukan dan kajian? Akan nyata teranglah bahawasanya kita punya kekuatan tersendiri, asas berpijak yang kukuh, punya tokoh yang hebat dalam bidang sastera ini malah dalam bidang yang sekalipun seperti seni bina, undang-undang, malah apa saja. Tinggal cuma usaha kita sendiri mahu memandang hebat kekuatan kita sendiri atau memandang remeh, kolot, tiada standard, dan sebagainya.

Satu perkara lagi, saat menelusuri patah demi patah setiap perkataan dalam rencana saudara itu ternyatalah satu perkara yang pada pengetahuan saya satu kekhilafan ejaan barangkali atau terkeliru fakta atau pengetahuan. Ketika saudara menyatakan barisan penulis, karyawan, ulama yang mempelopori kesusasteraan Islam, saudara telah terkhilaf ketika menyatakan nama Buya Hamka. Tulis saudara dalam artikel itu sebegini - Haji Abdul Malik bin Haji Karim Aminullah (Hamka). Adapun yang sebenarnya nama beliau ialah Haji Abdul Malik bin Haji Karim Amrullah (rahmatullahi alaihi). Amrullah itu adalah nama datuk beliau Syeikh Amrullah dan bukannya Aminullah. Hal ini boleh saja dirujuk pada buku Ayahku tulisan Prof. Dr. Hamka. Diharap saudara dapat membetulkannya dalam rencana yang lain. Jika ada fakta lain yang diluar pengetahuan saya harap diusul kembali hendaknya.
Wassalam. 

Tokdin Tuman.

_______________________________________________________________________

Jawapan daripada saya:

Waalaikumussalam, didoakan tuan sentiasa dirahmati Allah.

Terima kasih atas komentar, persetujuan dan kesudian tuan mengarang surat yang panjang ini. Sungguh saya berterima kasih. Semoga lebih ramai penulis di luar sana bersetuju dan berlapang dada seperti saudara, insya-Allah.

Berkenaan dengan ejaan, sememangnya jika ditelusuri secara halus, ada rangkap yang sepatutnya berada di baris lain juga sudah termasuk dalam rangkap lain lantas menyebabkan kekeliruan di sana. Berkenaan dengan ejaan nama datuk Buya Hamka, saya sangat berterima kasih atas kesudian tuan menegurnya. Sungguh ianya adalah khilaf daripada saya sendiri dan saya mohon maaf.

Buat makluman tuan juga, tulisan tersebut tergantung di akhir bicara. Saya kira ianya kerana kesempitan ruang menyebabkan editor yang mengurus ruangan terbabit terpaksa memotong sedikit bahagian akhir, justeru bagi membaca tulisan penuh (selepas dibaiki ejaan dan sedikit fakta), mohon tuan menjengah ke sini http://kalamkhalifah.blogspot.com/2010/10/doktrin-sastera-islam-vs-sastera-barat.html

Apapun, saya mengucapkan sekali lagi ribuan terima kasih kepada tuan dan dengan rendah diri saya mohon tuan doakan agar saya dapat menjadi penulis yang menyampai erti kepada masyarakat dan ummah. Saya berniat menjadi penulisan sebagai kerjaya utama dalam hidup dan mahu menulis sebanyak-banyaknya dengan mengekstrakkan isi-isi al-Quran dan hadis ke dalam karya-karya saya. Insya-Allah.

Sampai jumpa lagi, yang baik dan indah itu daripada Allah, yang jelik yang buruk dan kurang itu adalah pilihan saya sendiri.

Terima kasih, wassalam.

Zahiruddin Zabidi
http://kalamkhalifah.blogspot.com/
_______________________________________________________________________



Respon beliau kembali:

Assalamualaikum ya akhi. Terima kasih kembali atas kesudian menerima pandangan dan komen saya yang tidak seberapa itu. Sejurus saja habis membaca balasan e-mel saudara, terus saja pantas saya berkunjung barang sebentar untuk melihat tulisan rencana saudara itu dalam tulisan asal yang sepenuhnya itu. Terasa segan menyelubungi diri ini saat saya dibahasakan oleh saudara dengan kata Tuan. Siapalah diri ini jika hendak dipanggil Tuan walau telah maklum kata Tuan itu biasa digunakan dalam perbualan harian. Sekadar orang muda yang jauh panggang dari api hendak dibandingkan dengan saudara Zabidi yang barangkali sesuai dikatakan sebagai seorang penulis muda yang berpotensi besar. Niat saudara yang murni itu untuk menulis untuk kebaikan ummah itu amatlah dihormati dan dikagumi. Walaupun belum berpeluang untuk menatap hasil karya saudara seperti mana Rabiatul Adawiyah - Perindu Cinta Abadi dan Aminah - Cinta Puteri Quraisy. Semoga terbuka ruang dan rezeki buat saya membaca karya saudara itu kelak. 

Saya doakan agar tercapailah apa yang diimpi-impikan, dikuatkan azam saudara buat mengerah segala buah fikiran untuk dicurahkan hasil karya yang bermutu tinggi untuk masyarakat umumnya. Semoga dunia sastera Islam di Malaysia ini akan semakin rancak dengan kelahiran penulis-penulis muda seperti saudara. Semoga hasil karya saudara dapat membimbing masyarakat ke arah yang baik dan bukannya menambah kecelaruan dalam masyarakat ini. Teringat saya kata Prof. Emeritus Shahnon Ahmad, kalau tidak salah beginilah lebih kurang - "para karyawan/sasterawan seharusnya dapat membentuk minda masyarakat melalui karya mereka dan bukan sebaliknya" yakni para karyawan berkarya mengikut apa yang didamba-dambakan masyarakat. Jika masyarakatnya hancur, hancur jugalah karya-karya sastera mereka. Tariklah minat para pembaca dengan gaya bahasa yang indah tetapi tidaklah terlalu tinggi sebelum rancak menarik masyarakat menghadam karya-karya yang serba tinggi mutunya dengan pemikiran yang hebat-hebat. Yang memerlukan pembaca ligat berfikir lantas mencetus daya pemikiran masyarakat yang hebat. Sebagai contoh gaya penulisan Buya Hamka yang sering mengaitkan persoalan cinta dalam karyanya dengan gaya bahasa yang mudah sambil memberi pengisian yang sesetengahnya cukup berat. Ada seseorang pernah memuji beliau (maaf tidak teringat siapakah gerangannya), Hamka dianugerahkan dengan kelebihan menyampaikan persoalan-persoalan yang berat dalam soal agama dan falsafah dengan menggunakan laras bahasa yang mudah dihadam oleh masyarakat biasa.

Wallahu 'alam. Akhir kalam semoga saudara berjaya dalam bidang penulisan yang saudara ceburi.

Wassalam.

-Tokdin Tuman-

04 December 2010

Kenapa Perlu Guna Istilah 'Pendidikan Seks'?

Oleh Zahiruddin Zabidi
zahiruddin_zabidi@yahoo.com.my


ISTILAH-istilah yang digunakan memberikan konotasi yang khusus kepada masyarakat. Sebagai contoh perkataan 'seks' yang memang memberikan persepsi yang khusus mengenai hubungan seksual dalam konteks kita sebagai masyarakat di Malaysia. Namun apakah kewajarannya mendedahkan anak-anak seawal usia darjah satu kepada 'seks'?

Harus diingatkan bahawa bukan semua rakyat Malaysia yang begitu terbuka dalam membincangkan hal ehwal seks di khalayak umum apatah lagi apabila dibincangkan di dalam kelas pengajian peringkat sekolah rendah.

Dalam Islam urusan seputar isu seksual memang dipandang berat, namun ianya dibincangkan di bawah subjek Fiqh Umum, Fiqh Munakahat atau Fiqh Kewanitaan. Justeru ianya menjadi lebih lunak dan tidak memberikan konotasi yang negatif kepada pelajar-pelajar terbabit walaupun isi pengajian mengenai hal tersebut. Begitu kitab-kitab berkenaan adab-adab dalam Islam yang banyak membincangkan subjek-subjek bersangkutan seksualiti ini.

Saya kira walaupun kurikulum yang sudah dirangka dan bakal digunakan sangat bagus dan praktikal memandangkan kebejatan luaran dan dalaman dalam masyarakat hari ini, namun istilah 'seks' tidak perlu wewenangnya dibobrokkan kepada anak-anak kecil.

Apakah tidak boleh jika istilah Pendidikan Moral dikekalkan dengan mendatangkan silibus baru berkenaan dengan perkara di atas dibincangkan. Begitu juga tambah sahaja satu bab atau silibus khas dalam mata pelajaran Agama Islam setiap tahun dari darjah satu hingga darjah enam, kemudian dari tingkatan satu sehingga tingkatan enam berkenaan dengan urusan ini.

Kiranya ini lebih praktikal dan berkesinambungan berbanding mewara-warakan perihal 'seks' kepada anak-anak yang menyebabkan mereka matang sebelum waktunya. Jangan pula anak-anak yang masih muda pucuk ini menjadi bahan eksperimen kepada pihak-pihak tertentu kerana kesannya bukan pada hari ini, namun pada masa hadapan.

Masih belum terlambat bagi kita membetulkan dan menyelaraskan kembali dengan duduk berbincang dengan semua pihak. Buah fikir dan karangan ulama muktabar seperti Syeikh Dr. Abdullah Naseh Ulwan yang banyak mengarang berkenaan dengan pendidikan seks untuk anak-anak wajar dirujuk dan dikaji secara mendalam oleh pihak-pihak bertanggunjawab.
_______________________________________________________________________

Nota: Sudah diterbitkan dalam ruangan surat pembaca Berita Harian pada 4 Disember 2010.

02 December 2010

Ulasan Atas Ulasan: Puisi Politik Bumi

Oleh Zahiruddin Zabidi
zahiruddin_zabidi@yahoo.com.my

Isu November 2010

ALHAMDULILLAH, puisi saya bertajuk Politik Bumi tersiar dalam majalah Tunas Cipta edisi November. Ianya merupakan buah tangan sulung saya di Tunas Cipta. Insya-Allah, saya berazam bagi terus berkarya untuk Tunas Cipta. Di sini saya titipkan puisi tersebut;

Politik bumi

Bumi
bulat,
timur barat
utara selatan
sejuk dan
panas.

Aman damai
hancur nista,
impian
kenikmatan
jadi angan-angan.

Kuasa,
yang dikuasai
demokrasi
monarki.
Hagemoni kiasu
agama bangsa
ketuhanan dicabuli.

Sehingga
akhirat
bukan tujuan,
kerana
nafsu
adalah tuan.

Kiamatlah!

ZAHIRUDDIN ZABIDI
Wangsa Maju

Tunas Cipta, November 2010.

Menjadi kebiasaan, cerpen dan puisi yang tersiar akan diulasn dan dikritik oleh sarjana yang dilantik khusus oleh pihak majalah. Dalam tahun ini pengulas bagi segmen cerpen adalah Dr. Siti Hajar dari USM dan bagi segmen puisi adalah Dr. A. Halim Ali dari UPSI. Dua orang tokoh akademik aliran sastera yang tidak asing lagi di negara kita.

Isu Disember 2010

Pada pertengahan November lalu satu pesanan sampai ke kotak mesej Facebook saya, pengirimnya adalah Tuan Editor Tunas Cipta, tulis beliau:
"Assalamualaikum Tuan ZZ. Sajak tuan mendapat pujian oleh pengulas. Moga dengan sedikit motivasi ini akan terus membarakan semangat tuan dalam penulisan. Nantikan keluaran Disember nanti. Moga ketemu lagi."
Semalam saya sudah dapatkan naskhah Tunas Cipta isu Disember dengan pergi sendiri ke DAWAMA di Ulu Klang dan membaca ulasan tersebut, sedikit sedutan ulasan Dr. A. Halim Ali:
"Sajak "Politik Bumi" karya Zahiruddin Zabidi agak menarik. Struktur baris dan jumlah perkataan dalam baris amat minimum, iaitu satu hingga dua perkataan dalam baris. Jarang-jarang ditermui sajak dalam bentuk ini. Kelainan seperti ini baik, tetapi pengajak harus sedar dan tahu sebab musabab atau makna tersirat sajak dibentuk sedemikian rupa. Inti pemikirannya jelas, iaitu tentang politik punca pergolakan kehidupan. Ada amanat yang disampaikan, iaitu supaya pergolakan ini ditamatkan. Ada pemadatan makna hasil penggunaan bahasa yang ringkas. Pergolakan politik menjadikan keamanan hancur dan agama tidak dipedulikan manusia. Penyajak mengusulkan pemikiran politik memusnahkan kehidupan. Pemikiran ini digambar dalam bahasa yang baik dan dipadatkan" (Tunas Cipta, Disember 2010, muka surat 6)
Terima kasih kepada pihak Tunas Cipta dan Dr. A. Halim Ali yang sudi memberikan perhatian kepada puisi yang tidak seberapa ini. Namun izinkan saya perhaluskan lagi makna puisi tersebut berdasarkan ulasan di atas, ada selaput makna yang tidak dicernakan mengikut pandangan saya mungkin. Kerana pada ayat 'Penyajak mengusulkan politik memusnahkan kehidupan' adalah kurang kena dengan pandangan peribadi saya dan maksud tersirat dalam puisi tersebut.

Kerana saya berpegang kepada politik bukan subjek yang menyebabkan dunia kacau-bilau, hancur nista, keamanan dan agama tidak dipedulikan, namun ianya adalah sikap manusia itu sendiri terhadap politik dan dan tatacara mereka berpolitik. Sedangkan politik itu jika didasarkan dengan lunas-lunas Islam yang lunak, adil dan saksama maka ianya akan menatijahkan kedamaian dan keamanan yang sempurna, sebagaimana pada zaman Rasulullah SAW memerintah negara Islam pertama di Madinah al-Muawarah. Dalam erti kata yang sebenar manusialah yang bersalah bukan politik itu sendiri. Jika dilihat pada rangkap akhir puisi tersebut;

Sehingga
akhirat
bukan tujuan,
kerana 
nafsu
adalah tuan.
(b. 19-24)

Jelas di sini sasaran atau objek yang menjadikan akhirat bukan tujuan sekaligus menjadikan nafsu adalah tuan adalah manusia, yakni diri kita sendiri. Politik hanyalah alat atau instrumen yang fleksibel bagi digunakan, samada bagi dibuat kebaikan atau kejahatan di atas muka bumi Allah ini.

Bagi membaca ulasan penuh puisi-puisi dan cerpen-cerpen yang tersiar pada bulan sudah, tuan puan disyorkan mendapatkan majalah Tunas Cipta edisi Disember di kedai berhampiran. Terdapat juga laporan-laporan seputar isu sastera dan puisi serta cerpen yang bagus-bagus diterbitkan. Selamat mambaca.

"Majulah Sastera Untuk Negara"