27 December 2010

Bendung Pengaruh Barat Dengan Segera

Oleh Zahiruddin Zabidi

ENTAH kerana terpengaruh dengan budaya barat atau sememangnya masyarakat kita khususnya orang Melayu Islam sendiri yang berevolusi ke arah, yang pastinya gejala ini sudah dianggap budaya yang biasa dalam kalangan masyarakat mutakhir ini khususnya golongan yang bekerjaya.

Suasana pejabat yang tidak membataskan pergaulan antara jantina yang pada asalnya atas nama urusan rasmi, sedikit demi sedikit mewujudkan satu hubungan kemanusiaan yang akan merebak dan tergaul dalam kehidupan peribadi individu.

Sebagai contoh amalan keluar makan tengahari bersama-sama di kalangan rakan sepejabat, lelaki dan perempuan, isteri dan suami orang, orang atasan dengan orang bawahannya. Alasan popular bagi menghalalkan perbuatan ini adalah kerana keluar ramai-ramai, dalam masa yang sama tidak kurang juga yang dilihat hanya berdua sahaja.

Sehinggakan ada sesetengah daripadanya lebih selesa bersama rakan sekerja ini daripada suami dan keluarga sendiri. Sementelah bagi mereka yang punya masalah dengan pasangan masing-masing.

Perlu difahamkan bahawa ianya bukan satu amalan yang digalakkan dalam Islam walaupun atas nama kerja sekalipun, apatah lagi situasi itu sangat berisiko besar membenihkan barah fitnah.

Kenapa tidak sahaja, pekerja perempuan dengan pekerja perempuan serta pekerja lelaki dengan pekerja lelaki sahaja yang keluar makan bersama? Ianya lebih selamat dan mampu menghindarkan diri individu daripada fitnah yang mungkin menggugah keamanan rumah tangga masing-masing.

Islam tidak menghalang secara total akan keterlibatan kedua gender yang berbeza dalam sesuatu urusan bahkan hukum asalnya adalah harus bagi tujuan menuntut ilmu, jual beli dan mesyuarat. Namun ada adab-adab dan lunas syarak yang perlu dipatuhi bagi menjamin muamalat tersebut terhindar daripada dosa dan fitnah dunia.

Bak kata pepatah: Mencegah itu lebih baik daripada mengubat. Teman tapi mesra antara individu berlainan gender yang sudah ada suami atau isteri masing-masing adalah sesuatu yang tidak relevan bagi bersosial.
_______________________________________________________________________

Nota: Tulisan ini sudah diterbitkan dalam ruangan Surat Pembaca Harakah edisi Isnin, 27-30 Disember 2010. Sebarang cuplikan perlu dikreditkan kepada Harakah.

No comments: