23 December 2010

Jawapan kepada Surat Terbuka di Berita Harian (4 Disember 2010), Seputar Isu Pendidikan Seks

Oleh Zahiruddin Zabidi

SURAT ini adalah respon daripada pihak Kementerian Pendidikan Malaysia atas kiriman surat terbuka saya yang tersiar di Berita Harian pada 4 Disember 2010 seputar isu Pendidikan Seks yang mahu dilaksanakan di sekolah rendah.

Tulisan asal surat saya boleh dibaca di sini http://kalamkhalifah.blogspot.com/

Ikuti jawapan tersebut sebagaimana yang tertulis di bawah, tulisan asal boleh dibaca di sini http://www.bharian.com.my/
_______________________________________________________________________



PEERS tidak hanya fokus isu seksual, sebaliknya kesihatan

2010/12/23

KEMENTERIAN Pelajaran Malaysia (KPM) ingin merujuk surat Engku Muzahadin dari UPM dan Zahiruddin Zabidi (Wangsa Maju) bertarikh 1, 2 dan 4 Disember menerusi ruangan ini mengenai pendidikan seks di sekolah.


KPM sudah melaksanakan Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PEERS) sejak 1989 di sekolah menengah dan 1994 di sekolah rendah, khususnya melalui mata pelajaran Pendidikan Kesihatan dan secara merentas kurikulum mata pelajaran lain seperti bahasa, Sains, Biologi, Pendidikan Islam dan Pendidikan Moral.

Istilah ‘Pendidikan Seks’ tidak digunakan sama sekali dalam konteks pendidikan di Malaysia kerana ia memberi konotasi negatif dalam kalangan masyarakat kita. Istilah PEERS digunakan menggantikan Pendidikan Kesihatan Keluarga (1989-2002) dan Pendidikan Seksualiti (2003-2005) selepas diluluskan Kabinet pada 20 Disember 2006.

Kurikulum pendidikan kesihatan terdiri daripada elemen PEERS (75 peratus), pemakanan (15 peratus) dan pertolongan cemas (10 peratus). Kandungan PEERS dalam pendidikan kesihatan digubal berdasarkan tahap perkembangan kognitif dan kesesuaian peringkat umur kumpulan sasaran.


Setiap individu perlu dilengkapi dengan kemahiran membuat keputusan konstruktif, bijak dan bertanggungjawab menangani situasi berisiko.

PEERS merangkumi kesihatan diri dan reproduktif iaitu aspek perkembangan dan perubahan fizikal, fisiologikal serta psikologikal semasa akil baligh serta penjagaan kesihatan reproduktif, kesan buruk pengambilan rokok, dadah dan alkohol, serta kemahiran berkata ‘TIDAK’.

Kemahiran pengurusan mental dan emosi seperti konflik, tekanan diri, keluarga dan masyarakat serta kepentingan institusi perkahwinan, kekeluargaan, peranan dan tanggungjawab ahli keluarga.

Turut diajar langkah keselamatan diri di rumah, sekolah, taman permainan, tempat awam serta akta perlindungan bagi kanak-kanak, gadis, wanita, termasuk kemahiran mengelak daripada ancaman orang tidak dikenali dan orang perlu dihubungi jika berlaku gangguan, ancaman serta kecemasan.

PEERS memberi kesedaran dan membantu murid membentuk pandangan positif mengenai kesihatan reproduktif dan sosial, menyediakan maklumat perlu diketahui supaya mereka mengambil berat kesihatan seksual selain membantu memperoleh kemahiran membuat keputusan.

Peka kepada keperluan terhadap PEERS yang dilaksanakan melalui mata pelajaran pendidikan kesihatan, maka kurikulum pendidikan kesihatan sentiasa disemak dan ditambah baik dari semasa ke semasa.

Bermula 2011, pendidikan kesihatan akan diajar secara berasingan sebagai satu mata pelajaran dan tidak bercantum dengan mata pelajaran lain. Sebelum ini digabungkan Pendidikan Jasmani dan Pendidikan Kesihatan (PJPK). Pendidikan Kesihatan diberi peruntukan satu waktu (30 minit) setiap minggu bermula dengan Tahun 1 pada tahun depan. PEERS tidak hanya fokus kepada isu seksual.

Justeru, KPM ingin menjelaskan PEERS dilaksanakan secara komprehensif dari sekolah rendah hingga sekolah menengah untuk meningkatkan kesedaran dan membantu murid memperoleh kemahiran membuat keputusan bijak serta bertanggungjawab pada masa kini dan masa depan.

UNIT KOMUNIKASI KORPORAT,
Kementerian Pelajaran Malaysia.

No comments: