30 December 2010

Syabas di atas penganjuran Pesta Buku Kanak-Kanak

Oleh Zahiruddin Zabidi
zahiruddin_zabidi@yahoo.com.my

TANGGAL 22-26 Disember 2010 yang lepas memperlihatkan satu sejarah besar dalam dunia pembukuan tanah air berlaku. Sepanjang tarikh tersebut, telah berlangsung Pesta Buku Kanak-Kanak yang pertama kalinya sepanjang tempoh 53 tahun kemerdekaan tanah air.

Sasterawan Negara, Dato’ (Dr) A Samad Said dalam satu majlis pelancaran novel kanak-kanak beliau yang kini diterbitkan semula dalam edisi dan pakejing baru oleh PTS Publication & Distributors Sdn. Bhd. dirakam berkata, ianya adalah satu perkembangan positif walaupun dikira agak terlambat bagi sebuah negara yang sudah lama merdeka.

Beliau juga sangat teruja apabila melihat betapa ramainya ibu bapa yang datang bersama anak masing-masing dan mengakui bahawa mentaliti ibu bapa khususnya yang berbangsa Melayu mulai berubah dan sedar membaca buku adalah perkara yang sangat penting dalam proses tumbesaran hidup khususnya kepada anak-anak.

Dalam masa yang sama tidak dinafikan pengajuran pertama kali dalam sejarah ini ada kekurangan antaranya adalah kekurangan publisiti dan penyertaan penerbit yang agak kecil sekalipun ruang yang disediakan adalah agak besar.

Ini mungkin mengkuti perkiraan beberapa syarikat, masa yang dipilih adalah tidak sesuai memandangkan ianya dilangsungkan di hujung tahun sekaligus hujung musim cuti sekolah. Para penerbit mungkin merumuskan rata-rata ibu bapa sudah kekeringan wang belanja bagi membeli buku untuk anak-anak kerana terlebih dahulu dihabiskan bagi persediaan persekolahaan anak-anak yang akan memulakan sesi persekolahan 2011 tidak lama lagi.

Hal ini sedikit sebanyak menyebabkan para penerbit teragak-agak dan tidak berani melaburkan modal mereka apatah lagi pastinya kos sewaan tapak yang mahal perlu dibayar per hari kepada pihak penganjur.

Perkara ini ada benarnya dan perlu diberi perhatian oleh pihak penganjur bagi perancangan masa hadapan. Pemilihan masa yang sesuai seperti yang diamalkan apabila mahu melangsungkan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) saban tahun perlu dicontohi agar PBKKL juga menjadi satu perayaan yang tidak kurang penting dan hebatnya bagi menyumbang serta menyemarakkan lagi rakyat Malaysia sebagai rakyat membaca.
___________________________________________________________


Nota: Tulisan ini sudah diterbitkan dalam ruangan Surat Pembaca Harakah edisi Isnin, 30 Dismeber 2010 -  2 Januari 2010. Sebarang cuplikan perlu dikreditkan kepada Harakah.

No comments: