Oleh Zahiruddin Zabidi
zahiruddin_zabidi@yahoo.com.my
Isu November 2010
ALHAMDULILLAH, puisi saya bertajuk Politik Bumi tersiar dalam majalah Tunas Cipta edisi November. Ianya merupakan buah tangan sulung saya di Tunas Cipta. Insya-Allah, saya berazam bagi terus berkarya untuk Tunas Cipta. Di sini saya titipkan puisi tersebut;
Politik bumi
Bumi
bulat,
timur barat
utara selatan
sejuk dan
panas.
Aman damai
hancur nista,
impian
kenikmatan
jadi angan-angan.
Kuasa,
yang dikuasai
demokrasi
monarki.
Hagemoni kiasu
agama bangsa
ketuhanan dicabuli.
Sehingga
akhirat
bukan tujuan,
kerana
nafsu
adalah tuan.
Kiamatlah!
ZAHIRUDDIN ZABIDI
Wangsa Maju
Tunas Cipta, November 2010.
Menjadi kebiasaan, cerpen dan puisi yang tersiar akan diulasn dan dikritik oleh sarjana yang dilantik khusus oleh pihak majalah. Dalam tahun ini pengulas bagi segmen cerpen adalah Dr. Siti Hajar dari USM dan bagi segmen puisi adalah Dr. A. Halim Ali dari UPSI. Dua orang tokoh akademik aliran sastera yang tidak asing lagi di negara kita.
Isu Disember 2010
Pada pertengahan November lalu satu pesanan sampai ke kotak mesej Facebook saya, pengirimnya adalah Tuan Editor Tunas Cipta, tulis beliau:
"Assalamualaikum Tuan ZZ. Sajak tuan mendapat pujian oleh pengulas. Moga dengan sedikit motivasi ini akan terus membarakan semangat tuan dalam penulisan. Nantikan keluaran Disember nanti. Moga ketemu lagi."
Semalam saya sudah dapatkan naskhah Tunas Cipta isu Disember dengan pergi sendiri ke DAWAMA di Ulu Klang dan membaca ulasan tersebut, sedikit sedutan ulasan Dr. A. Halim Ali:
"Sajak "Politik Bumi" karya Zahiruddin Zabidi agak menarik. Struktur baris dan jumlah perkataan dalam baris amat minimum, iaitu satu hingga dua perkataan dalam baris. Jarang-jarang ditermui sajak dalam bentuk ini. Kelainan seperti ini baik, tetapi pengajak harus sedar dan tahu sebab musabab atau makna tersirat sajak dibentuk sedemikian rupa. Inti pemikirannya jelas, iaitu tentang politik punca pergolakan kehidupan. Ada amanat yang disampaikan, iaitu supaya pergolakan ini ditamatkan. Ada pemadatan makna hasil penggunaan bahasa yang ringkas. Pergolakan politik menjadikan keamanan hancur dan agama tidak dipedulikan manusia. Penyajak mengusulkan pemikiran politik memusnahkan kehidupan. Pemikiran ini digambar dalam bahasa yang baik dan dipadatkan" (Tunas Cipta, Disember 2010, muka surat 6)
Terima kasih kepada pihak Tunas Cipta dan Dr. A. Halim Ali yang sudi memberikan perhatian kepada puisi yang tidak seberapa ini. Namun izinkan saya perhaluskan lagi makna puisi tersebut berdasarkan ulasan di atas, ada selaput makna yang tidak dicernakan mengikut pandangan saya mungkin. Kerana pada ayat 'Penyajak mengusulkan politik memusnahkan kehidupan' adalah kurang kena dengan pandangan peribadi saya dan maksud tersirat dalam puisi tersebut.
Kerana saya berpegang kepada politik bukan subjek yang menyebabkan dunia kacau-bilau, hancur nista, keamanan dan agama tidak dipedulikan, namun ianya adalah sikap manusia itu sendiri terhadap politik dan dan tatacara mereka berpolitik. Sedangkan politik itu jika didasarkan dengan lunas-lunas Islam yang lunak, adil dan saksama maka ianya akan menatijahkan kedamaian dan keamanan yang sempurna, sebagaimana pada zaman Rasulullah SAW memerintah negara Islam pertama di Madinah al-Muawarah. Dalam erti kata yang sebenar manusialah yang bersalah bukan politik itu sendiri. Jika dilihat pada rangkap akhir puisi tersebut;
Sehingga
akhirat
bukan tujuan,
kerana
nafsu
adalah tuan.
(b. 19-24)
Jelas di sini sasaran atau objek yang menjadikan akhirat bukan tujuan sekaligus menjadikan nafsu adalah tuan adalah manusia, yakni diri kita sendiri. Politik hanyalah alat atau instrumen yang fleksibel bagi digunakan, samada bagi dibuat kebaikan atau kejahatan di atas muka bumi Allah ini.
Bagi membaca ulasan penuh puisi-puisi dan cerpen-cerpen yang tersiar pada bulan sudah, tuan puan disyorkan mendapatkan majalah Tunas Cipta edisi Disember di kedai berhampiran. Terdapat juga laporan-laporan seputar isu sastera dan puisi serta cerpen yang bagus-bagus diterbitkan. Selamat mambaca.
"Majulah Sastera Untuk Negara"
6 comments:
Hebat!
Rasanya saya perlu membaca sajak tuan berkali-kali, barulah dapat memahami intinya.
Mujur ada ulasan, cepat sikit saya faham makna yang tersirat, hehe..
Tahniah, Tuan Zahiruddin.
Alahai saudari,
Cuba baca petikan di bawah.
"Dalam buku Kedudukan Ilmu Dalam Kesusasteraan: Teori dan Praktis, perkara ini dibincangkan oleh beberapa orang penulis yang pakar dalam bidang pengajian Islam dan kesusasteraan Islam. Pendeta Za’ba sendiri sejak tahun 1934 lagi telah mengingatkan, dalam kitab Ilmu Mengarang Melayu, supaya bertindak bijaksana dengan menjauhkan diri daripada memakai bahasa kiasan yang “terlampau jauh terpelanting perbandingannya atau maksudnya”; juga menjauhi daripada memakai “kiasan yang tiada bererti kepada pembaca atau pendengar kerana perbandingannya tiada pernah dilihat atau diketahui mereka”; apatah lagi “kiasan yang terpaksa dihuraikan terang-terang baharu orang mengerti.” Pendeknya, “tiap-tiap bahasa kiasan itu hendaklah kena tentang memakainya, bukannya boleh bila suka dan di mana suka sahaja.” Za’ba juga mengingatkan, “jangan bersengaja hendak memakai bahasa kiasan, biar ia datang sendiri jikalau alun tujuan yang dikarangkan itu membayangkan kepada hati kita sesuatu kiasan yang munasabah, pakailah itu; tetapi jika tidak demikian nescaya kiasan itu kelak kelihatan mengada-ada sahaja.” (Hal. 230, versi Jawi 1956). Tidakkah ini peringatan yang tepat dan bagus? Tetapi penulis zaman sekarang menidakkan yang baik dengan berkata semuanya sudah ketinggalan zaman, tidak sesuai lagi, kerana terlalu “mengajar” (tidak bagus diajar-ajar, kerana ‘aku sudah belajar/ jadi kurang ajar’!) padahal penulis zaman baru mahu bebas sebebas-bebasnya. Tetapi kebaikan tidak mengenal zaman, boleh dipakai sepanjang masa. Adalah karut untuk mengatakan nasihat begini menyekat kebebasan menulis, kerana jika dipandang dari segi positifnya, ia mendorong penulis menjadi lebih kreatif dan lebih berhati-hati. Oleh itu, seorang penulis yang merendahkan Za’ba tidak layak dipanggil pengarang; dia hanya layak digelar sasterawan saja. Ya. Hanya seorang sasterawan." (Sumber: http://pbaru.blogspot.com/search?updated-max=2010-12-02T06:07:00%2B08:00&max-results=2)
Semoga bermanfaat untuk kita semua.
Tahniah ya Ustaz ZZ.
Puisi ini sungguh 'direct to the point.' Tajam, memang tajam.
Saya juga suka dengan perkongsian petikan tentang pendapat Za'ba. Saya bersetuju dengan petikan tersebut. Penulis harus menulis sesuatu yang bisa memberi impak sesuatu kepada pembaca untuk mengubah sesuatu dalam kehidupannya, paling tidak pembaca akan menyikapi apapun yang sedang terjadi, sudah terjadi, pernah terjadi, dan akan terjadi dengan hasil pembacaan tadi.
Penulis memikul amanah yang besar dalam mengubah minda khalayak. Disebabkan amanah besar itu, penulis tidak boleh menulis sesuatu tanpa ilmu, dan perlu lebih sangat berhati-hati sebelum menulis sesuatu.
Sungguh saya merasa termotivasi.
Bagaimana ya mahu memulakan langkah pertama untuk menjadi seorang penulis?
Mahu mencuba, rasa takut..GRR..
Wassalam.
Salam,
Sebenarnya saudari sudah memulakan langkah sebagai penulis, tidak percaya? Cuba tenung dan rujuk kembali dalam blog sendiri. Sudah tertulis beribu-ribu patah aksara bukan?
Cuma bagi menjadi seorang penulis yang karya mereka diterbitkan perlulah belajar daripada para penulis yang sudah mapan selain daripada perlu banyak membaca, membaca dan membaca.
Saya juga budak yang masih belajar ;).
Saya suka perkataan itu :
'Membaca, membaca, dan membaca'. Saya teringat semasa menonton rakaman video sewaktu Dr.Faizal Musa [Faisal Tehrani] diwawancara dalam rancangan Malaysia Hari Ini, semasa mengulas tentang novel Bedar Sukma Bisu, beliau ada berkongsi tentang bagaimana beliau bertemu sendiri dengan SN A.Samad Said untuk belajar menulis dan apa yang perlu beliau lakukan. Lantas Pak Samad berkata, "Ada lima perkara, Yang pertama, membaca, yang kedua membaca, yang ketiga membaca, yang keempat, membaca, dan menulis"
Beliau tanyakan, "kalau yang kelima juga membaca, ia jadi apa?" Pak Samad jawab, "Ia jadi pembaca".
Terima kasih Ustaz.
Wassalam
assalamualaikum, tuan.
Tahniah dan terusakan menulis. Saya juga sudah membaca ulasan berkenaan
Post a Comment