06 February 2011

Terjemahan: Penawar Bagi Hati (edisi Bahasa Melayu Tinggi)

Oleh Zahiruddin Zabidi
zahiruddin_zabidi@yahoo.com.my



KITAB nipis bertajuk Penawar Bagi Hati  edisi tulisan Jawi dan berkulit merah jambu tua yang berada dalam tangan saya sekarang adalah buah tangan yang diberikan oleh Ustaz Asyraff Hafdzan sewaktu beliau datang menziarahi saya di rumah. Saya sangat berterima kasih kepada beliau.

Entah mengapa, tiba-tiba sahaja saya seakan mahu menulis kembali dalam tulisan rumi atau lebih tepat ke dalam Bahasa Melatu Tinggi (BMT). Seakan ada dorongan entah dari mana dan siapa, namun saya tahu ia wujud dan sangat mendorong.

Tidak ada gesaan atau keterikatan dalam menterjemahkannya, maksudnya saya mahu menulisnya kembali bukan kerana menunaikan bebanan tarikh mati bagi proposal yang sudah diluluskan. Cuma mahu ada bahan yang perlu ditulis apabila sudah tidak tahu menulis apa atau tidak dalam mood menulis bahan kreatif lain.

Insya-Allah saya akan menterjemahkan beransur-ansur atau lebih tepat satu muka surat ke satu muka surat. Selain daripada menterjemahkannya, saya juga akan dapat membaca kembali dan menghayati nasihat-nasihat yang terdapat dalamnya. Itulah harapan saya.

Entah berapa lama ia akan memakan masa, namun saya harapkan ianya akan selesai pada suatu hari nanti dan tidak tergantung. Sehingga ia selesai diterjemahkan saya tidak akan memberikan komitmen bagi ia dibukukan, namun saya tidak pula akan menolak jika ada pihak yang mahu menerbitkan dalam versi moden kelak.

Dari sudut undang-undang harta intelek juga tiada masalah kerana naskhah tersebut sudah menjadi harta awam kerana kematian penulisnya yang sudah melebihi 50 tahun. Semoga ia menjadi bahan latihan penulisan saya malah sekaligus menjadi 'penawar bagi hati' yang alpa.


Teringat kata-kata seorang sahabat penulis. Katanya, "Menulislah untuk menasihati diri kita sendiri. Semoga bahan tulisan kita menjadi nasihat kepada diri kita sendiri." Itulah matlamat asas penulisan semula naskhah ini di sini. Saya sasarkan satu muka surat sehari bagi ditulis dan ianya punya dalam 100 muka surat lebih dalam versi Jawi.

Agar saya tahu diri ini hanyalah hamba kepada Tuan yang memiliki alam semesta ini dan saya tidak lepas daripada perlu memperhambakan dan memperhinakan diri di hadapan-Nya. Semoga hati yang sudah dinodai dengan citra kebatilan juga diubati gesit dengan pil 'penawar bagi hati' ini.

Insya-Allah, doakan semuanya lancar, amin.
________________________________________________________________


PENAWAR
BAGI HATI

Dihimpun oleh 

Syeikh Abdul Kadir bin Abdul Mutalib Al-Indonesia
Al-Mandili (beliau mendapat pendidikan agama di Makkah al-Mukkaramah)

Cetakan kali keempat 4000 naskhah

Pada Ramadan 1383 bersamaa Februari 1964


Ditulis kembali daripada versi ini oleh Zahiruddin Zabidi

2 comments:

mujahidah_fillah said...

Alhamdulillah..syukran ustaz..
ana sblm ni pernah belajar kitab ni di kampung ana tapi xsempat habis sbb cti semester dh tmt..
smga ianya memberi manfaat buat semua..insyaAllah.
smga Allah redha atas usaha ustaz..amin.

Zahiruddin Zabidi said...

Alhamdulillah, terima kasih kepada saudari. Insya-Allah semoga Allah memredai dan seterusnya memberikan kekuatan kepada ana bagi menyelesaikannya.

Menulis juga adalag terapi untuk menasihatkan diri kita sendiri, insya-Allah.