28 February 2011

Mana Klinik 1Malaysia di Wangsa Maju?

Oleh Zahiruddin Zabidi

SELEPAS hampir dua tahun bermastautin di Wangsa Maju, saya ada beberapa kali berkunjung ke Klinik Kesihatan Setapak dan yang terakhir adalah pagi semalam (28 Feb 2011). Namun tahun demi tahun tiada penambahbaikan yang dilakukan, sedangkan kapasiti penduduk yang berkunjung ke klinik tersebut saban hari semakin bertambah.

Klinik yang mengambil dua unit lot kedai dua tingkat yang diubahsuai tersebut dilihat sangat tidak memberikan keselesaan kepada masyarakat yang rata-ratanya adalah warga emas. Dengan keadaan yang sempit dan terhad, ianya menyebabkan suasana di dalam klinik kerap kali menjadi riuh rendah dan tidak cukup tempat duduk.

Jika diamati, bangunan kedai tersebut sudah tidak relevan lagi dijadikan klinik kesihatan bertaraf daerah kerana tidak lagi mampu menampung jumlah penduduk yang semakin ramai. Mereka yang umumnya berbangsa Melayu, Cina dan India kebanyakannya pula adalah penduduk flat Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang tidak berpedapatan tinggi.

Bukan tidak ada perkhidmatan klinik swasta di sekitar Setapak dan Wangsa Maju, namun yuran perkhidmatan yang tinggi menyebabkan rakyat marhaen pelbagai bangsa itu tidak mampu dan rasa tidak berbaloi bagi mendapatkan rawatan di sana.

Mungkin ada yang beranggapan kenapa tidak pergi sahaja ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) yang juga tidak berapa jauh, kurang 10 kilometer dari Wangsa Maju? Wajar dinyatakan bahawa bukan semua penduduk mempunyai kemudahan pengangkutan sementelah kebanyakan mereka adalah warga emas dan berpendapatan rendah dan ada yang tidak tetap.

Justeru, saya mewakili masyarakat pelbagai kaum yang bermastautin di Wangsa Maju dan Setapak memohon serta merayu pihak Kementerian Kesihatan memandang serius akan hal ini serta mengambil tindakan tuntas. Disyorkan sama ada penempatan baru sebuah klinik yang lebih besar dan selesa dibina segera atau tambahkan sahaja sebuah atau dua buah Klinik 1Malaysia sebagaimana yang sudah wujud di sesetengah tempat.

No comments: