02 March 2011

Melangkau batas; Satu catatan

Oleh Zahiruddin Zabidi
zahiruddin_zabidi@yahoo.com.my

ALHAMDULILLAH satu tugasan yang besar membebani kedua bahu ini sudah selesai dilaksanakan. Menjadi wakil kepada satu dialog rutin di Rumah PENA (Persatuan Penulis Nasional). Saat menerima panggilan daripada Lutfi Ishak tempoh hari, saya gamam. Susah mahu memberikan jawapan kerana tidak menyangka. Akhirnya kata persetujuan diberikan dengan hati yang berat dan berkecamuk.

Tajuk Dialog Orang Muda (DOM) pada 20 Februari lalu adalah Alaf Baru: Gerhana Dunia Seni. Insya-Allah saya cuba titipkan apa yang saya ingat mengenai wacana tersebut tempoh hari sebagai perkongsian. Cerpenis wanita yang progresif, Rebecca Ilham menjadi moderator dan dua rakan panel yang mewakili jalur seni lukisan iaitu saudara Faisal dan saudara Luqman al-Jefri mewakili jalur seni filem. Saya sendiri ditaklifkan sebagai wakil dunia sastera (!?).

Sungguh saya berasa sangat goyah memandangkan kredibiliti dan autoriti yang belum maujud dalam diari kepengarangan saya. Saya nyatakan di awal bicara, saya sebenarnya tidak layak mewakili jagat penulisan sastera tanah air memandangkan umur yang masih sangat hijau sementelah saya hanya serius berkarya dan tersiarnya karya di media cetak adalah pada penghujung Disember 2009. Benar-benar baru setahun lebih sebenarnya. Kalaulah kriteria tersebut yang menjadi kriteria bagi menjadi panel, ternyata saya gagal.

Namun atas dasar mahu berkongsi, saya beranikan juga diri. Lagipun semua ahli PENA sudah saya akrabi mengenangkan sepanjang DOM sebelum ini hanya beberapa kali sahaja saya tidak hadir. Selain daripada itu, Facebook cukup membantu hubungan baik saya dengan mereka. Saya pujuk sahaja diri dengan membayangkan perbincangan adalah santai walaupun isunya berat.

Pengisian dan sedikit perkongsian

Persoalan pertama yang ditanya adalah respon mengenai tajuk tersebut iaitu gerhana dunia seni dalam jalur penulisan sastera. Saya nyatakan bahawa, apabila menyebut mengenai gerhana, ianya bersifat sementara. Dan insya-Allah, saya yakin dunia kesusasteraan akan kembali bersinar apabila tiba masanya dengan penyertaan orang muda yang bijak mengambil dan mencari peluang.

Saya cuba kaitkan dengan sedikit sejarah pembentukan persuratan dan kesusasteraan dengan peradaban Tanah Melayu yang sudah melewati beberapa tamadun besar. Sebagaimana yang kita sedia maklum, Tanah Melayu pada asalnya didominasi oleh agama Hindu yang menjadikan teks Mahabrata, Ramayana, Geetha dan lain-lain kitab mereka sebagai sumber rujukan. Justeru ramuan kesusasteraan pada zaman tersebut lebih kepada khayalan, kesaktian dan kisah dewa-dewi mengikut kepercayaan mereka.

Kemudian apabila Asia Tenggara, khususnya Nusantara mula menerima Islam ianya sekaligus menyebabkan dunia periwayatan dan persuratan sastera juga mengalami evolusi yang ketara namun dengan penuh hikmah mengikut kesesuaian. Ini adalah berdasarkan inisiatif dan kebijaksaan serta hikmah para ulama dalam berdakwah. Mereka juga menjadikan jalur seni lain sebagai wasilah dalam berdakwah. Wali Songo adalah contoh yang terbaik dalam hal ini.

Kemudian Nusantara mula diserang oleh barat dalam siri imperialis kolonial. Perancis, Belanda, Portugal, British masing-masing berlumba meluaskan empayar jajah takluk masing-masing. Dan Nusantara tidak terkecuali. Bermula tahun 1511 sehingga 1957, tanah ini dijajah tarah oleh mereka silih berganti tangan. Di sana, para penjajah bukan sahaja mahu meluaskan tanah jajahan takluk dan menarah hasil mahsulnya. Ada agenda yang lebih besar di situ yakni melancarkan dasar imperialisme mereka dengan melancarkan dakyah dan memesong akidah ummah yang bertapak kuat di bumi Nusantara.

Justeru bermula dari saat kita dimerdekan oleh British hingga kini, tapa dapat menafikan masih banyak peninggalan penjajah tersebut yang kita gunakan. Memang secara zahirnya kita sudah merdeka, namun jika diperhalusi secara batiniahnya nescaya kita akan mendapati kita dan negara ini masih terjajah.

Bermula daripada sistem pemerintahan dan dasarnya, sistem kehakiman, sistem pendidikan sehingga kepada cara berfikir semuanya masih kuat berbaur penjajah. Hatta dalam jagat kesusasteraan juga sehingga kini masih ramai yang menanggung dan mengagungkan teori-teori, karya dan tokoh barat sekalipun mereka sebenarnya mempromosikan ajaran eksistensialisme dalam berkarya ala Frank Kafka, John Paul Sartre dan Albert Camus dan seangkatan dengan mereka.

Justeru saya tegaskan perlunya tajdid yakni pembaharuan kembali kepada kaedah yang mendasarkan kepada al-Quran dan hadis dalam bersastera. Bukan kita tidak punya contoh taulan bagi diikuti dan dijadikan sebagai rujukan. Kita dahulu punya Syeikh Nuruddin ar-Raniri, Syeikh Hamzah Fansuri, Prof Dr Buya Hamka, Syeikh Tahir Jalaluddin, Syeikh Syed al-Hadi, Tok Kenali, Syeikh Daud al-Fatani dan ramai lagi sebagai bukti awal bahawa keakraban para ulama dengan dunia sastera.

Suka saya nyatakan bahawa itulah gagasan dan intipati penyampaian saya tempoh hari, iaitu tajdid dalam dunia penulisan sastera perlu dilakukan. Dan alhamdulillah, dalam beberapa hari ini saya ada berbincang dan membaca buah tangan seorang kawan maya, pensyarah pengkhususan bahasa Arab dan kesusasteraan di Universiti Sultan Zainal Abidin (UNISZA) mengenai seorang tokoh sasterawan Islam dari Mesir iaitu Najib al-Khilani.

Najib al-Khilani adalah salah seorang pengarang besar dalam dunia Islam dari Mesir yang meninggalkan jujutan karya bernafas Islam berbentuk novel, cerpen dan puisi. Dalam masa yang sama juga, beliau ada mengarang buku-buku kritikan dan pedoman sastera. Antaranya kitab bertajuk Madkhal ila al-Adabi al-Islam (Menuju Ke Arah Sastera Islam),1992, Beirut: Darul Salam.

Najib al-Kilani mendatangkan 10 kriteria sastera Islam yang pada pandangan saya sangat komprehensif dan tuntas. Bukan saya menafikan kaedah teori-teori yang dibangunkan oleh sasterawan tempatan seperti Teori Sastera Islam janaan Sasterawan negara Prof Emeritus Datuk Dr Shahnon Ahmad, Teori Takmilah janaan Dr Syafie Abu Bakar dan Gagasan Persuratan Baru janaan pengkritik sastera Tuan Haji Affandi Hassan dan beberapa teori lain.

Namun apabila bercakap mengenai sastera Islam, hendak dapat tidak kita tidak boleh mengabaikan rujukan Arab yang akrab dengan Islam itu sendiri, apatah pula al-Quran itu memang sengaja Allah pilih supaya ia berbahasa Arab - insya-Allah saya akan ulas dalam tulisan seterusnya.

Saya juga mendapati bahawa, apabila para sasterawan dan sarjana membicarakan mengenai sastera Islam semenjak bermulanya polemik sastera Islam antara Shahnon Ahmad dan Kassim Ahmad sehingga mutakhir ini, amat jarang nama pengasas kepada Rabitah al-Adab al-islami al-Alami (Pertubuhan Sastera Islam Sedunia) iaitu Syeikh Abul Hasan Ali An-Nadwi dirujuk dan dicerap pemikiran dan gagasannya dalam perbahasan sastera Islam tempatan.

Insya-Allah, dengan bantuan sahabat-sahabat yang punya kesedaran dan punyai kepakaran memandangkan ada sasterawan tanah air yang karib dengan saya sememangnya berkelulusan dalam jurusan bahasa dan sastera Arab, tajdid dalam arena penulisan sastera akan menjadi kenyataan dengan bantuan dan sokongan mereka, insya-Allah.

Sesungguhnya berdakwah kepada para penulis lebih besar kesannya kepada masyarakat kerana tulisan seorang penulis mungkin sahaja akan dibaca oleh ratusan, ribuan malah jutaan manusia. Pada masa kini, masa akan datang dan mungkin selamanya.


Nota: Ulasan oleh penulis mapan tanah air, S. M. Zakir boleh dibaca di sini - http://smzakirsayapmatahari.blogspot.com/

No comments: