06 March 2011

Lelah yang berbaloi; Siri ceramah berterusan

Oleh Zahiruddin Zabidi
zahiruddin_zabidi@yahoo.com.my

PADA 5 Mac 2011, saya perlu menghadiri tiga siri ceramah yang berlainan tajuk dan lokasi dalam masa satu hari. Hati dan sanubari berbolak balik dan bertanya sendiri, “Mampukah?” dan “Laratkah?”, namun semua persoalan tersebut akhirnya sirna selepas perancangan dan sedikit persediaan serta pengharapan kepada Allah.

Bagi sesi pertama, program anjuran Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Putra Malaysia (PMIUPM) di Kem Bina Taqwa, Dengkel. Satu daerah yang asing buat saya. Tajuk yang diberi adalah - Peranan Mahasiswa Sebagai Pendakwah.

Alhamdulillah dengan merujuk kepada sebuah buku terjemahan karya Prof Dr Syeikh Yusuf Al-Qaradhawi yang berjudul Kebangkitan Pemuda Islam: Suatu Kemajuan Yang Harus Dibimbing Bukan Ditentang, saya cuba buatkan sebuah slide show. Kerana tidak biasa berceramah menggunakannya, ianya memberikan saya satu pengalaman baru tatkala proses membuat dan sewaktu penyampaian berlangsung.

Melaluinya, saya cuba mengajak para mahasiswa agar memahami masalah pokok dan asas sebagai seorang pendakwah. Lantas dengan memahami akan masalah tersebut, dengan sendirinya insya-Allah kita akan tahu melalui pengajian mahupun pengalaman bagi mengatasinya.

Menurut Prof Dr Syeikh Yusuf Al-Qaradhawi, antara perkara yang menghalang kebangkitan Islam daripada berjaya adalah umat Islam khususnya para pemuda dan pendakwah tidak lepas daripada situasi sebagaimana yang diterangkan di bawah:
  1. Kedangkalan dalam memahami Islam dan syariatnya.
  2. Tidak mengakui pendapat pihak lain.
  3. Sibuk dengan masalah-masalah sampingan dan mengabaikan masalah pokok.
  4. Berdialog dan berdebat dengan cara yang kasar.
  5. Cenderung mempersulitkan keadaan.
Kelima-lima perkara yang diutarakan oleh beliau ini saya kira sangat relevan bagi diberi perhatian oleh para mahasiswa yang meletakkan diri mereka sebagai pendakwah.

Secara jelas pada hari ini, niat dan kerja yang diharapkan membuahkan kebaikan dan kemenangan kepada Islam akhirnya mendatangkan persepsi yang sangat negatif kepada gerakan Islam dan Islam umumnya. Inilah perkara yang perlu diberi perhatian oleh para mahasiswa di luar sana.

Sebagaimana yang kita maklum bahawa pada hari ini, medan perjuangan kita bukanlah lapangan perang senjata dan pertumpahan darah. Namun lapangan perjuangan kita pada hari ini adalah melalui pergelutan ideologi (Ghazwatul fikr) yang semakin rakus menyelinap dan mengcengkam minda umat Islam.

Justeru bagi menentang perang jenis ini, ianya juga perlu dilawan dan ditentang dengan kaedah yang sama, justeru kaedah debat mahupun dialog dilihat sebagai wasilah penting dalam menjayakan siri pemurnian pemikiran ini.

Justeru di bawah bab Menuju Dialog Yang Konstruktif, Prof Dr Syeikh Yusuf Al-Qaradhawi memberikan syor dan jalan penyelesaian kepada situasi di atas. Menurut beliau ada lima perkara yang perlu diberi perhatian bagi menghadapi situasi tersebut iaitu:
  1. Menghormati kepakaran seseorang.
  2. Berguru dengan ahli warak dan ahli iktidal (intelektual).
  3. Permudahkan dan jangan persulitkan.
  4. Berdakwah secara baik dan bijak.
  5. Mengetahui nilai amal hukum dan susunannya.
Dengan memahami kedua-dua elemen tersebut, paling kurang para mahasiswa yang ingin berdakwah akan mendapati mereka jelas dengan matlamat dakwah tersebut. Kerana, tanpa pemikiran dan pengurusan strategik, dakwah yang kita lakukan meskipun dilihat sebagai hebat mungkin kesannya tidak seberapa.

Justeru, menjadi peranan para mahasiswa bagi memahami dan mempraktikkan apa yang diutarakan oleh Prof Dr Syeikh Yusuf Al-Qaradhawi. Para ulama, khususnya ahli gerakan Islam amat memahami akan kepentingan para mahasiswa dalam menjatuh dan membangunkan sesebuah tamadun kehidupan sebagaimana yang banyak terakam dalam lembaran sejarah.

Kolej Damansara Utama

Saya kemudian ke KDU di Bandar Damansara bagi sesi perkongsian dan alhamdulillah mendapat sambutan yang begitu baik daripada audien, meskipun kebanyakan mereka dilihat sebagai masyarakat urban yang mempunyai jurang yang agak besar daripada ilmu agama.

Berlainan dengan audien pada sebelah pagi, di KDU semuanya perlu diubah dan disesuaikan. Antaranya adalah laras bahasa, kerana kebanyakan mereka menggunakan bahasa Inggeris dan topiknya juga tidak boleh terlalu dalam yang akan menyebabkan mereka rasa bosan semakin jauh dengan ilmu agama kerana kesilapan penceramah yang menceritakan apa yang dia tahu, bukan apa yang audien perlukan.

Lantas saya banyakkan sahaja perkongsian cerita-cerita mengenai syurga dan neraka, dosa dan pahala. Perkara-perkara asas dan perihal mukjizat, karamah, maunah dan cerita-cerita ghaibiyah di samping nasihat-nasihat yang tegas dalam beberapa isu serta nasihat yang lembut dalam sesetengah isu. 

Apa yang penting perlu terlebih dahulu adalah mencetuskan mahu mereka kepada ilmu agama. Dan insya-Allah apabila hijab itu sudah terbuka maka pada masa tersebut mereka sendiri yang akan mencari ilmu tafaqquh yang mereka perlukan.

Surau Al-Falah

Kuliah bulanan menggunakan Kitab Ihya Ulumuddin karya agung Hujjatul Islam Imam Al-Ghazali rahimahullah taala anhu.

Dalam seputar bab Ulama ad-Dunya wa Ulama al-Akhirah. Secara jelas banyak kaul daripada para ulama yang menggambarkan bilamana seorang ulama mula mendampingi penguasa demi kepentingan tertentu, maka kebanyakan mereka akan tenggelam dalam kepentingan dan kebinasaan.

2 comments:

Zaid Akhtar said...

Imey Mudo Power!
:-)

Zahiruddin Zabidi said...

Ustaz Zaid lagi power, tengah buat PhD... umur baru 24 ;D....