09 December 2009

La ilaha illa Allah: Penyelesaian khilaf

Oleh: Zahiruddin Zabidi

Allah SWT berfirman dalam surah al-Hujurat ayat ke-13 yang bermaksud, “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu Dengan Yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang Yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan Yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha mendalam pengetahuannya (akan keadaan dan amalan kamu).”

Berdasarkan pemahaman secara literal ayat ini kita akan dapati bahawa Allah sememangnya sengaja mencipta manusia ini dengan penuh perbezaan. Perbezaan ini pula boleh diklasifikasikan kepada dua bahagian iaitu perbezaan zahir dan perbezaan batin.


Perbezaan zahir merujuk kepada sifat luaran ataupun fizikal manusia itu sendiri seperti warna kulit, rupa paras, ketinggian, berat badan, basar kecil dan sebagainya yang dapat dilihat dengan mata kasar. Perbezaan luaran ini antara faktor yang telah mengakibatkan diskriminasi yang masih boleh dilihat kesannya sehingga ke hari ini terutamanya di negara-negara maju di sebelah barat.


Perbezaan kedua adalah merujuk kepada perkara dalaman seperti pemikiran, citarasa, kemahuan dan kehendak. Ianya sangat abstrak dan bersifat subjektif, makanya jika dibiarkan manusia itu dengan sifat dalaman yang bercampur baur itu dikhuatiri akhirnya nafsu selaku elemen paling opurtunis tidak akan melepaskan peluang untuk menguasai diri manusia itu, apatah lagi rakan akrab kepada nafsu itu sendiri adalah iblis dan syaitan laknatullahialaikh.


Untuk menjadikan elemen zahiriah dan batiniah ini membentuk kesatuan, Islam telah mengajarkan umatnya tentang ajaran yang berteraskan akidah yang satu, paksinya tidak lain hanya kepada kalimah ‘La ilaha illa Allah’, dengan kalimah inilah elemen luaran seperti warna kulit, paras rupa, kedudukan dan sebagainya menjadi kesatuan yang tunggal. Begitu juga elemen dalaman tadi apabila dilandaskan dengan akidah Islam yang berteraskan kalimah tauhid itu, segalanya akan diselaraskan, secara automatis juga hawa nafsu akan dapat ditundukkan.


Kalimah tauhid atau kalimah peng-esa-an Allah SWT yang bermula dengan perkataan ‘La’ yang bermaksud tidak atau tiada, ia juga membawa erti satu penafian. Kalimah seterusnya ialah ‘ilah’ yang memberi makna yang yang selayaknya disembah, tempat meminta rezeki, memohon pertolongan.


Menjadi persoalan kepada kita kenapa kalimah tauhid ini menggunakan perkataan yang bersifat penafian di awalnya dan menggunakan perkataan ilah untuk merujuk kepada Allah, kenapa bukan perkataan rabb yang bermaksud tuhan digunakan selepas perkataan penafian ‘La’ yang berada di permulaan kalimah tauhid ini.


Sepatutnya perkataan rabb digunakan kerana ianya sesuai dengan terjemahan kalimah tauhid yang kita semua gunakan di Malaysia terutama dalam subjek Tauhid di sekolah-sekolah iaitu ‘Tiada tuhan selain Allah’. Ada kekeliruan di sini kerana terjemahan yang tepat kepada kalimah tauhid itu sebenarnya ialah ‘Tiada yang selayaknya disembah melainkan Allah’. Namun kerana bahasa Melayu itu sendiri agak miskin dalam mencari kalimah yang paling sesuai untuk menterjemahkan perkataan ilah , makanya perkataan tuhan yang merupakan terjemahan daripada perkataan rabb digunapakai untuk menterjemahkan perkataan ilah.


Ada perbezaan yang sangat ketara antara kedua kalimah ini, ilah bermaksud yang selayaknya disembah manakala rabb bermaksud tuhan. Perlu diingatkan bahawa perkataan rabb atau tuhan ini adalah perkataan umum yang boleh dipakaiguna oleh agama lain sekalipun, manakala perkataan ilah secara terang akan menafikan tuhan yang selayaknya disembah selain dari Allah. Di sinilah kekeliruan tentang kalimah tauhid itu pun bermula.


Antara faktor kebobrokan sosial dan akhlak generasi baru dalam semua aspek kehidupan yang dapat dikesan oleh para cendikiawan dan agamawan di rantau ini ialah kerana ketidakfahaman generasi baru ini dalam falsafah dan praktikal akidah Islam yang berteraskan kalimah tauhid tadi. Sistem pembelajaran yang meminggirkan subjek agama sebagai teras serta silibus yang digunapakai lebih berorientasikan ibadah praktikal semata-mata juga turut menyumbang.


Ibu bapa dan guru akan berasa bangga dan lega jika anak mereka boleh membaca al-Quran, bersembahyang dan mendapat skor A dalam subjek agama. Walhal secara hakikatnya mereka ini masih kabur tentang hakikat ‘La ilaha illa Allah’. Akhirnya lahirlah generasi yang bersembahyang lantas melakukan maksiat, berpuasa tapi makan rasuah, pergi haji namun bakhil, bersedekah tetapi tidak menutup aurat dan lain-lain. Ini adalah kerana mereka tidak benar-benar kenal Allah. Yang makruf dan mungkar bercampur tanpa gundah.


Momokan bahawa Islam itu hanya bersifat ibadah praktikal sahaja ternyata palsu jika ditelusuri secara halus kerana ianya merupakan salah satu doktrin para Orientalis untuk menyesatkan umat Islam, ianya lebih dikenali dengan istilah sekular ataupun pemisahan antara agama dengan urusan dunia, doktrin divide an rules ini juga masih menghantui umat Islam di Malaysia hari ini bukan sahaja dalam urusan pentadbiran dan politik, urusan agama juga tidak terkecuali.


Maka seharusnya, kita menyeru para pemimpin, ulama, cendikiawan dan semua umat Islam di bumi Malaysia ini bergabung dan bernaung secara utuh di bawah naungan bendera kalimah tauhid yang satu itu malah mengenepikan dan menghormati perbezaan yang tidak menafikan kalimah tauhid itu sendiri.


Sesungguhnya mereka yang ada pada diri mereka iktikad ‘La ilaha illa Allah’ adalah dijanjikan syurga oleh Allah SWT. Hargailah persamaan dan fahamilah perbezaan.


Ahmad Zahiruddin bin Mohd Zabidi
Timbalan Ketua Pemuda PUM http://www.islamon9.com
Penasihat iluvislam.com http://iluvislam.com

No 206, Blok A9 Seksyen 2,
53300 Wangsa Maju,

Kuala Lumpur

1 comment:

Avishmael said...

Kenyataan anda yg mengatakan rabb bermaksud tuhan adalah kurang tepat. Rabb dari sudut bahasa bermaksud tuan (zat yang empunya; memiliki). Dalam surah Yusuf, ada ayat yg menunjukkan nabi Yusuf merujuk rabb kpd manusia. Terjemahan ayatnya, "kembalilah kepada rabb-mu (tuanmu)...". Nabi Yusuf mengucapkan kata2 ini kpd seorang pelayan raja (rabb) yg dtg berjumpa dgnnya sewaktu di penjara. Kalau takrif rabb ialah tuhan, nescaya nabi Yusuf sudah syirik kerana mengiktiraf raja tersebut sbg tuhan. Jadi, anda telah silap dalam mentakrifkan rabb. Maksud rabb bukan tuhan, bahkan rabb ialah tuan.

Adapun ilah itulah yang bermaksud tuhan. Apakah takrif tuhan menurut konteks bahasa Melayu? Tuhan bermaksud zat yang disembah, pujaan alam raya ini. Semua tunduk kpd zat ini kerana takut dan kagum kepada-Nya. Inilah yg dimaksudkan dgn tuhan. Malangnya, arab jahiliah telah mencemari kalimah ini dgn mewujudkan ilah (tuhan) yg banyak lagi palsu. Maka, istilah Allah (Sang Tuhan) digunakan utk merujuk kpd Tuan empunya alam ini (Rabb al-'alamin), Tuhan yg asal, Tuhan Nabi Ibrahim, Tuhan kpd segala tuhan. Ini adalah pemahaman arab jahiliah ttg Allah. Tapi kita sbg org Islam kena phm Allah sbg satu-satunya Rabb al-'alamin, dan satu-satunya ilah.

Apa yg saya nk utarakan kt sini ialah, memadailah kita terjemahkan la ilaha illAllah kpd tiada tuhan melainkan Allah (Sang Tuhan). Terjemahan ini sudah betul, anda saja yg keliru. Maafkan saya. WAllahu a'lam