05 December 2009

Kepentingan Sumber Kepada Organisasi

Antara aspek yang menentukan kejayaan sesebuah organisasi ialah sumbernya. Sumber itu pula boleh kita bahagikan kepada 2 bahagian iaitu sumber manusia dan sumber bukan manusia.

Sumber manusia bermaksud tenaga kerja yang menggerakkan organisasi sukarelawan tersebut malah sanggup berkorban masa, tenaga untuk memastikan program yang direncanakan oleh organisasi mereka mencapai matlamat. Yang paling penting dalam aspek sumber manusia ini ialah keikhlasan dan kesabaran para penggeraknya.

Sumber yang kedua ialah sumber selain daripada manusia, Hal ini dibahas panjang dalam subjek khas ‘Organisasi dan Masyarakat’ khususnya di kalangan pelajar aliran pengurusan atau pentadbiran. Dalam bab ini perkara yang paling penting dan merupakan sumber yang paling asas penggerak kepada semua perkara itu ialah, duit.

Wang bukan segala-galanya, namun hampir segala-galanya memerlukan wang.

Organisasi yang bersifat kerja sosial kemasyarakatan tentunya memerlukan dana yang besar untuk melaksanakan program-program mereka. Makanya dana harus dijana, bagaimanakah caranya bergantung kepada kebijaksaan pengurusan organisasi terbabit. Samada mereka ingin mencari duit secara bermusim dan cukup untuk belanja satu-satu program sahaja, ataupun menjadikan program yang dijalankan itu untuk kutipan dana bagi program seterusnya.

Menjadi tradisi organisasi yang berteraskan agama menggunakan metod derma sebagai jalan mudah untuk mencipta dana. Kita tidak nafikan keberkesanannya, namun sedekah pada asalnya ialah dari orang yang ikhlas mencari untuk memberi, bukan kita yang pergi menadah simpati. Kita mesti bergerak selangkah ke depan, bina satu sumbangan yang bersifat suasana menang-menang.

Ternyata banyak caranya, peluang juga luas terbentang. Cumanya pada saya adalah bijak jika sesebuah organisasi mencipta ruang janaan yang bersifat jangka masa panjang dan bersistematik dan mampu menjadi legasi. Pengurusan bagi unit ini harusnya 100% menggunakan sistem pengurusan korporat konvensional. Dalam erti kata ‘bussines is bussines’.

Bukan pula bermaksud kita menafikan sumbangan tulang empat kerat yang amat penting dalam menggerakkan organisasi kemasyarakatan sebegini. Sumber manusia ini juga penting dan saling memerlukan antara sesama, cumanya menjadi fitrah manusia perlukan bajet untuk meneruskan kehidupan walaupun sederhana.

Sehingga akhirnya tujuan kita ialah, organisasi bukan lagi bersifat menagih ihsan dari orang ramai bahkan mereka yang memerlukan pula akan diburu oleh organisasi.

Dalam perjumpaan ‘Brainstorming hala tuju Pemuda PUM’ rujuk di sini http://islamon9.com/aktiviti-p-pum/brainstorming-halatuju-pemuda-pum/ bertempat di Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Salah seorang wakil jemputan dari PMIUM telah menyuarakan pendapat dengan mengatakan bahawa organisasi yang kuat antara faktornya ialah mereka yang mempunyai ‘tapak’ yang kukuh dan dikenali begitu. Kemudian baharulah mereka berkembang hinggan ke seanteronya.

Kami amat tertarik dengan cadangan tersebut dan merasakan ianya sangat relevan. Saya tidak menafikan bahawa Pantai Dalam selaku sahabat karib kepada UM, para mahasiswa dan mahasiswinya sejak berdekad lalu adalah punca mula terbaik.

Selain itu, saya mencadangkan sebuah kedai buku kelolaan Pemuda PUM akan beroperasi di situ. Kaedahnya mudah, kedai buku itu adalah milik penuh Pemuda PUM dan setelah ditolak modal dan kos-kos sampingan seperti gaji pekerja, bil-bil, sewa dan bahagian pelabur atau rakan kongsi maka keuntungan bersihnya akan secara total milik Pemuda PUM.

Di sini kami menggesa semua mahasiswa/siswi UM khususnya, pansyarah-pensyarahnya, penduduk setempat yang terdiri daripada masyarakat kelas bawahan, menengah dan tinggi supaya menjadi pelanggan tetap khutub khanah milik Pemuda PUM ini. Setiap pembelian anda kelak adakah sumbangan terus kepada gerak kerja PUM di masa hadapan.

Saya yakin pasaran yang begitu berpotensi sedang menunggu di daerah Pantai Dalam. Hanya dengan sedikit promosi yang meyeluruh, dalam masa kurang setahun khutub khanah milik Pemuda PUM ini akan menjadi sinonim dengan Pantai Dalam dan isinya.

Sehingga mereka akan berkata, “Hendak beli buku agama, pergilah ke kedai Pemuda PUM.”

Ahmad Zahiruddin bin Mohd Zabidi
Timbalan Ketua Pemuda PUM
Penasihat iluvislam.com
http://kalamkhalifah.blogspot.com/

No comments: