12 January 2011

Pakatan Rakyat Selangor harus waspada

Oleh Zahiruddin Zabidi
zahiruddin_zabidi@yahoo.com.my

TIBA-TIBA nama Dato' Khusrin kembali menjadi sebutan di sana-sini, mungkin ada yang memuji beliau namun jelas kebanyakannya adalah mengeji beliau terutamanya di kalangan penyokong Pakatan Rakyat (PR). Beliau begitu dipandang seperti duri dalam daging atau gunting dalam lipatan serta api dalam sekam dalam kerajaan negeri Selangor sekarang ini.

Selepas tersohor dengan populariti sebagai orang yang bertanggungjawab mengarahkan Dr Asri Zainul Abidin ditangkap ketika mengadakan ceramah tertutup di sebuah rumah di Bukit Antarabangsa tidak lama dahulu atas alasan tiada tauliah, paling akhir beliau juga dikatakan orang yang bertanggungjawab mengarahkan anak buahnya menangkap ahli-ahli Syiah yang sedang mengadakan program sambutan Hari Asyura di sebuah rumah kedai berdekatan Sri Gombak. Semuanya diarahkan atas kapasiti beliau sebagai Ketua Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Namun beberapa hari lepas, pengumuman pelantikan beliau sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (SUK) benar-benar mengundang reaksi negatif sekaligus amarah dalam kalangan kepimpinan negeri Selangor. Ini memang wajar kerana tindakan Datuk Khusrin sebagai mana yang dinyatakan oleh YB Khalid Samad sebagai hidung tidak mancung, pipi tersorong-sorong.

Akhbar perdana pro-kerajaan pula segera melaga-lagakan pihak kerjaan negeri dengan sultan apabila Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mohon mengadap tuanku sultan bagi membincangkan hal tersebut. Segera pihak kerajaan Pakatan Rakyat dilabelkan sebagai penderhaka kerana kononnya ingkar kepada pilihan baginda.

Barang diingat di sini, ada satu persamaan ketara sebagai titik mula pergolakan di Selangor dan Perak iaitu selepas penstrukturan semula ahli jawatankuasa UMNO di semua peringkat negeri. Dan barang diingat kerajaan Perak jatuh ke tangan Barisan Nasional dengan cara yang paling dayus dalam sejarah demokrasi dunia adalah sewaktu Datuk Seri Najib menjadi pengerusi UMNO negeri Perak.

Semuanya bermula dengan pengisytiharan seorang tokoh UMNO yang masuk PKR secara tiba-tiba diikuti dengan lompat parti mengejut oleh dua adun PKR dan seorang adun DAP keluar daripada parti masing-masing menjadi adun bebas yang pro BN. Rampasan kuasa berlaku akhirnya dan kuasa sultan dijadikan talian hayat BN bagi survival mereka di sana bagi berkuasa. Teori Machieaveli sempurna terlaksana di Perak.

Kini, perkara yang sama mungkin berulang. Data-data dan urutan peristiwa sudah menunjukkan semua pergolakan berlaku dengan drastik selepas penstrukturan yang terbaru selepas UMNO Selangor diterajui pengerusi baru iaitu juga Datuk Seri Najib Tun Razak. Secara jelas kita semua mengetahui Datuk Khusrin adalah personal yang sanggup dijadikan kambing hitam oleh pihak UMNO/ BN bagi melaksanakan segala perancangan penaklukan negeri yang paling kaya hasil maksulnya itu.

Sekali lagi UMNO/ BN tanpa segan silu dan maruah terus memanipulasikan institusi raja sebagai perisai mereka. Pihak mereka menyatakan bahawa pemilihan Dato' Khusrin adalah perkenan baginda sultan Selangor namun dalam masa yang sama baginda sendiri menyatakan raja tidak mempunyai kuasa menentukan pemilihan SUK melainkan menerima dan bersetuju dengan pilihan yang ditetapkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Terang lagi bersuluh ini adalah propaganda pihak pembangkang (UMNO/ BN) bagi mengulangi apa yang mereka lakukan di Perak. Menjadi matlamat mereka menjadikan pihak kerajaan negeri marah dan bertindak mengikut emosi lantas mengakibatkan huru-hara apatah lagi apabila sultan disabitkan bersama. Keadaan yang kucar-kacir ini amat menguntungkan mereka, dan barang diingat juga mungkin gerakan memancing dan menyihir para adun PR dalam DUN Selangor sedang berlangsung. Mungkin telahan ini tidak berasas namun jangan pernah fikir ia tidak mungkin berlaku!!!

Justeru, barang diingat juga pihak Pakatan Rakyat di Selangor khususnya harus menghadapi semua propaganda ini dengan tenang dan bijaksana, bukannya dengan amarah dan tindakan yang akan merugikan kerajaan Pakatan Rakyat Selangor apabila diheret terjebak dalam permainan kotor mereka itu.

Suka saya merujuk kepada tulisan Hisyamuddin Rais di portal Malaysiakini yang bertajuk: Lawan UMNO, berani sahaja tidak cukup. Katanya, “- keberahian sahaja tidak mencukupi. Kudrat dan tenaga kerbau tidak diperlukan sepanjang masa. Apa yang diperlukan ialah taktik dan strategi. Apa yang diperlukan ialah pemikiran strategik. Untuk mendapat sokongan orang ramai sebuah parti politik memerlukan lebih dari jeritan reformasi atau takbir!” (perenggan 4, Malaysiakini, 24 Disember 2010)
__________________________________________________________________

Nota: Tulisan ini sudah diterbitkan dalam ruangan Surat Pembaca, Harakah. Sebarang cuplikan perlu dikreditkan kepada Harakah, edisi Isnin, 10-13 Januari 2011.

No comments: