17 June 2009

Kembali

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Pengasihani

Salam untuk sekalian sahabat, maaf jika ruangan ini statik lagi kaku untuk beberapa ketika lamanya, bukan maksudnya saya tidak lagi mahu menulis kerana menulis merupakan salah satu disiplin ilmu yang wajib dipraktikkan bagi mereka yang mencintai ilmu.

Tanyalah jika ada ulama' yang tidak berkarya, mana mungkin. Jika tanpa menulis, nescaya kalam Allah dan hadis baginda Rasulullah SAW tidak menjadi tatapan kita pada hari ini.

Benarlah kata pujangga, semakin banyak yang kita pelajari maka makin jahillah diri.

Saya kelemasan dalam memikirkan kedhaifan ilmu yang ada pada diri. Mampukah nanti untuk dimanfaatkan kepada diri sendiri, keluarga dan ummat. Banyak yang mahu dipelajari, namun bukan semudah yang dikata.

Kalau al-imam Abu Zakaria @ Imam Nawawi sehingga tidak teringat sunnah perkahwinan kerana kesibukan mengoreksi ilmu dalam pelbagai disiplin. Kalau al-imam al-Ghazali sehingga 12 subjek sehari menelaah pelajaran sehingga dunia falsafah yang maha luas terlintup di balik kulit kepalanya. Maka kita tidak selayaknya untuk mengkritik sinis mereka, hormatilah.

Tidak bersetuju dengan pendapat mereka tidak beerti kita perlu mencela dan menghukum mereka (para ulama'). Kerana mereka itu pewaris nabi, yang sendirinya mereka itu diiktiraf oleh baginda. Malah keilmuan mereka juga merupakan nyalaan cahaya menghias lorong zaman, ketika gemilang mahupun kelam.

Ijmak dan kias tidak akan bersahutan tanpa suaian dari para ulama' ini.

Saya mampu untuk tidak bersetuju dengan beberapa ulama' dalam beberapa pendirian mereka pada hari ini, namun mereka itu tetap amat saya hormati dan cintai demi Allah kerana keilmuan mereka. Akan saya cium tangan dan peluk mesra mereka ini yang hanya walau sepatah kata ilmu yang disampaikanya kepada saya. Itu pegangan saya.

Saya seru diri ini agar terus neutral dalam mengasimilasikan apa sahaja maklumat. Yang akhirnya mampu untuk saya hadamkan sebagai ilmu yang disimpan dan kemudian digunakan malah disampaikan, insya-Allah.

No comments: