20 January 2009

Ustaz / Imam / Bilal : Satu Panggilan

Ustaz

Kerana saya mengajar al-quran kepada adik-adik yang orang tua mereka mahukan begitu, mereka panggil saya Ustaz. Kerana perwatakan saya, cara berpakaian, cara bertutur dan perkara yang ditutur serta amalan rutin maka sebahagian kenalan pejabat suka panggil saya Ustaz.

Kadang-kadang ada yang panggil syeikh, saya sendiri suka membahasakan diri akhun yang bergelar Ustaz atau sedang melanjutkan pengajian dalam bidang agama sebagai ‘Syeikh’, hampir keseluruhan daripada mereka saya akan lontarkan panggilan tersebut.

Begitu juga akhun yang baru saya kenal atau bakal kenal, menurut saya panggilan tersebut melambangkan penghormatam saya kepada fikrah keilmuan mereka yang berorientasikan ulum al-Islam. Kerana saya belum kesampaian, insya-Allah sedikit masa lagi akan saya susul mereka. Rakan-rakan serumah lama juga tidak putus dengan meletakkan gelaran Ustaz pada saya, tidak tahu mengapa, walaupun kami sedikit berbeza dari sudut fikriyyah.

Semasa menjalani kursus BTN, Induksi Kursus dan Umum saya dilantik menjadi imam rasmi kursus maka secara automatiknya panggilan ‘Imam’ meniti di bibir setiap peserta apabila bertembung dengan saya, malu alang juga. Bahkan sehingga sekarang kalau berjumpa kawan yang sekursus dulu, mereka lebih selesa dengan panggilan itu. Agak menakutkan saya.

Bukan apa, ilmu tidak mencapai tahap yang selayaknya. Memang kita berpengajian agama dahulu, tetapi malu alah kerana mereka yang memandang tinggi pada saya. Beberapa kali saya menegur akhun dan akhawat jangan panggil saya dengan panggilan itu, tinggi martabatnya. Takut tidak mampu menanggung amanah nama tersebut. Kalaupun ilmu agama lebih sedikit daripada mereka tetapi dari segi akhlak belum tentunya.

Kini pula saya adalah bilal rawatib Masjid Usamah bin Zaid, maka makin ramailah yang suka memanggil saya Ustaz, Allahu rabbi. Adakah ini ujianMu atau bolehkah ku anggap sebagai pendorong agarku betul Ustaz nanti, Insya-Allah.

Ketika balik berhari raya Aidilfitri di kampung, di samping mengimami beberapa siri solat tarawikh, ada juga ada program berbuka puasa di surau kampung. Saya juga diamanahkan menjadi pengerusi dengan panggilan ustaz oleh orang kampung, ya Allah..semakin tambah beban panggilan ini. Sementelah pada raya tersebut saya telah diminta membacakan khutbah raya. Hendak ditolak segan pula, seinngat saya pihak surau telah beberapa kali meminta saya berkhutbah tetapi sentiasa sahaja ditolak, kini tidak mampu lagi.

Ada seorang hamba Allah yang suka memanggil saya dengan panggilan yang tersebut, saya tegur dan minta dia panggil nama sahaja. Tetapi hujah dia balik “Tidak mengapa la imam, bukan ke kata-kata itu doa? Kalau semua orang panggil ustaz ke imam ke macam diorang doa la tu,” saya terdiam. Hujahnya betul, semenjak menyandang gelaran tersebut pergerakan aku bataskan, banyak perkara kebaikan yang saya idamkan dahulu semakin menjadi realiti.

Sebenarnya saya suka jika dipanggil Ustaz, itulah idaman saya kini. Tetapi rasanya belum sampai masanya, alimku bukan alim melain tahu sahaja. Tidak layak lagi. Tetapi akan saya usaha untuk menembusi ruangan layak itu. Saya tidak kisah panggilan apa yang suka diletakkan orang, Janji dapat terus saya menyampaikan segala kebaikan yang ada dan sedaya upaya mengurangkan segala kemaksiatan yang telah bersarang dan bakal mendatang.

Ya Allah, engkau sahaja tahu selayaknya apa untuk hamba sahaya hinamu ini. Tetapi ku akan tetap terus berusaha untuk redhaMu walau kadang-kadang salah caranya, ku akan cuba janganlah putuskan pertalian “habbah”Mu itu, ku rayu..ku pinta..ku damba..Insya-Allah, sirapkanlah gelora nafsu ammarah kepada mereka yang menjadi musuh agamaMU, ku madah padamu jua.

LA ILAHA ILLALLAH, MUHAMMADUR RASULULLAH.

Az-Zahir

No comments: