13 January 2009

Usah difikirin,teruskan aja...!!

Master

Teringat lagi semasa saya tengah menunggu keputusan dari UUM untuk menyambung kembali pengajian ijazah saya. Waktu itu kesibukan belum lagi menguasai ruangan harian. Lagipun saya baru mula kerja 3 bulan, baru nak menapak kata orang KL.

Di suatu hari minggu, Nik Sin (sepupu) kawan rumah sewa telah mengajak saya ke KLCC untuk berjumpa dengan rakannya dari Indonesia yang sedang mengikuti pengajian peringkat Master dalam bidang Farmasi, umurnya baru 23 tahun malah hanya seorang gadis. Saya bersetuju.

Saya seakan sedikit teruja kerana akan berjumpa hamba Allah yang sebaya umur sedang mengikuti pengajian peringkat Master. Banyak yang bakal dibicarakan nanti, rancang saya.

Setelah berjumpa yang bersuai kenal kami bersembang. Tapi saya tidak menunggu lama untuk terus ke agenda utama,

"Eifel, saya semacam tidak percaya kamu sedang mengikuti pengajian peringkat Master sekarang, dalam bidang Farmasi pulak tu, hmm.." sambil mengerutkan kening.

Saya memulakan wacana. Eifel gelak...kemudian berkata,

"Aku pun ngak nyangka, tapi sebenarnya sesetengah perkara ngak usah difikirin, teruskan aja lagikan ianya perkara baik."

Seakan terpukul dengan ungkapan Eifel yang berbunyi "usah difikirin, teruskan aja", tiba-tiba terasa ada satu lonjakan paradigma dalam sanubari saya seolah berkata-kata dan mengkritik diri sendiri, entah kenapa saya terus tertusuk dengan ungkapan itu. Kemudian saya cuba rumuskan secara kendiri, melakukan muhasabah seterusnya menerjah sumber inspirasi.

Oleh kerana kita makhluk yang Allah kurniakan akal maka kita sentiasa berada dalam dua persimpangan, terutama dalam membuat keputusan. Bagi si pembuat keputusan tentu akan berfikir dan membuat keputusan yang paling menguntungkan diri sendiri sahaja. Tetapi tidak semestinya keputusan yang difikir masak-masak adalah keputusan yang tepat.

Terlalu berfikir panjang juga kadang-kadang menimbulkan polemik yang tidak sihat. Contohnya seseorang yang telah bekerja tetapi ingin sambung belajar ke peringkat yang lebih tinggi samaada secara pengajian jarak jauh (PJJ) ataupun pengajian luar kampus (PLK) yang ternyata memerlukan komitmen yang tinggi. Jika dia berfikir "mampukah aku...", "kalau tak lulus macammana...", "duit gaji nanti cukup ke..." dan pelbagai lagi persoalan negatif yang belum pun terjadi telah difikirkan oleh mereka maka dengan sendirinya mereke telah keundangkan diri mereka sendiri sebelum masuk gelanggang lagi.

Rumusannya ialah selagi perkara yang hendak dilakukan adalah perkara yang elok maka lakukanlah, jangan di persoalkan terutama jika perkara tersebut perkara yang baik dari landasan syarak dan agama.


Encik Nik

Encik Nik salah seorang pegawai yang bertugas bersama saya di JPPH dan dia adalah bekas pelajar SPACE UTM, dilantik sebagai pegawai W41 setelah umur cecah 40an. Itupun setelah 4 tahun berhempas pulas ke kelas kuliah pada hari minngu.

Encik Nik diajak kawannya untuk sambung belajar bersama-sama sedangkan pada peringkat awalnya dia tidak mahu. A'la kulli hal yang grad adalah Encik Nik dan kawannya yang bersemangat dulunya telah kecundang di tengah jalan.

Saya tanya Encik Nik, macam mana dia harungi saban hari sebagai seorang pelajar dan pekerja. Dia kata kalau nak kira malas, letih dan sebagainya memanglah tidak tertanggung. Tapi katanya bila difikir semua benda itu akan berlalu, masa itu pasti akan berlalu.

Motivasi

Kedua-dua individu ini secara tidak langsung telah menyuntik semangat dan membina konkrit falsafah tekad untuk saya teruskan pengajian. Teruskan dan terus jangan berhenti, pasti akan berlalu semua hal yang membelenggu lagikan pula ini ialah hal amal kebaikan.

Sabda Rasulullah yang bermaksud,

"Tuntutlah ilmu dari dalam buaian hingga ke liang lahad"

Teruskan ya rijal....teruskan ya ikhwah....dan teruskan ya muslimin....kelak tidak kita kan sesal.

Az-Zahir

No comments: