09 January 2009

MENITI HARI LIKU : PERJUANGAN 08/09

MENITI HARI LIKU : PERJUANGAN

Bukan secara tidak sengaja Allah ciptakan sekalian makhluk di muka bumi ini malah pada keluasan cakerawala yang terbukti tidak mampu dirungkai oleh kecetekan ilmu manusia itu sendiri. Kini fenomena yang lebih mencabar di hari muka bakal menjelma. Apakah nasib Islam yang menjadi dasar perjuangan. Apakah akan terus pada kedudukannya atau diketepikan sedikit demi sedikit kerana keperbedaan lanskap geopolitik masa kini yang memerlukan keterbukaan toleransi yang maksimum.

Bagaimanakah caranya untuk memastikan Islam terus menerus menjadi aset perjuangan ummah. Adakah dengan apa yang kita capai setakat hari ini telah cukup untuk memastikan Islam itu sampai kepada sasaran. Walhal tujuan penciptaan manusia sebagai khalifah selain mentadbir dan memakmurkan muka bumi Allah ini antaranya juga adalah bagi berdakwah dan menyampaikan Islam itu sendiri dalam apa jua keadaan dan bentuk sekalipun.

Perkembangan dakwah Islam tidak boleh renggang dengan politik semasa. Malah sesiapa yang menghukum bahawa urusan agama dan urusan politik adalah dua institusi yang berbeza maka kafirlah hukumnya. Perlu difahamkan bahawa Islam adalah suatu pembawaan hidayah yang syumul merangkumi segala isi langit dan bumi malah mengjangkaui keluasaan cakerawala. Masakan perihal politik yang mewakili institusi pemilihan pemerintahan tanah jajahan takluk yang berdaulat seperti Malaysia boleh diasingkan dari agama Islam. Betapa jahilnya mereka yang berfikiran begitu, miskin dan daif sekali paksi akal mereka.

Bagi mereka, Islam hanyalah mengucap dua kalimah syahadah, sembahyang 5 waktu, puasa di bulan Ramadhan, bayar zakat fitrah dan pergi menuanaikan haji di Mekah. Cukup, sempurnalah Islam mereka. Apakah perlu malaksanakan hukum hudud dan qisas? Apakah juga perlu segala bentuk hiburan maksiat disekat? Kedai judi dan arak hanya beroperasi untuk orang bukan Islam? Walaupun tidak menutup aurat tidak pernah kami abaikan solat. Walaupun kami bersekedudukan tetapi kami tidak derhaka kepada orang tua kami. Dan banyak lagi persoalan yang ditimbulkan kemudiannya dijawab oleh rujukan nafsu hati mereka sendiri. Inilah masyarakat Wawasan 2020 yang bakal menjelma nanti. Bagi yang mempunyai umur sekian hari tataplah dengan mata tuli.

Di mana kurangnya keagungan para ilmuan bijak pandai dan pemerintah yang bestari. Mereka saban hari menggubal, mengrekrut, memerah, menyusun malah melaksanakan pelbagai polisi jadian sendiri. Apakah tidak berhasil untuk membina keagungan agama, bangsa dan negara? Tetapi mereka lupa mereka juga ada yang membuat, mereka juga ada tamat, mereka juga akan lumat dimamah bumi. Yang kekal hanya yang Haq pada segala nikmat dunia hina ini. Bermula dari nafas hela, urat jantan, mulut rasa. Segalanya adalah nikmat yang tidak diminta bayaran bulanan, segalanya diberi tanpa diminta. Bayangkan pancaindera dikurang satu sahaja, pincanglah sedikit kehidupan. Betapa syukur mereka yang sempurna kerana tiada susah seperti mereka yang bergelar orang kurang upaya (OKU).

Akhirnya manusia yang lemah lagi kerdil ini hanya mampu untuk mengaku bahawa sistem ciptaan akal dengkel tidak mampu menjadi indikator yang menjadi tilam hamparan empuk kehidupan dunia. Segala sistem dan falsafah yang tidak merujuk kepada al-Quran dan hadis adalah gagal dan sia-sia. Mampukah manusia menandingi keEsaan Allah ta’ala. Berbangga bagai dengan kejayaan-kejayaan duniawi yang hanya bersifat sementara. Apakah ada di antara kita yang mampu mencipta lalat bersama fungsiannya. Kehinaan lalat itu kerana dicipta untuk kekotoran, tetapi bayangkan jika tiada lalat di alam bumi ini. Apa yang akan berlaku kepada mayat-mayat dan bangkai-bangkai yang tiada jentera pelumat, akan jadi gusarlah proses metamorfosis maka dengan sebab itulah diciptakan lalat. Bagaimana kuman yang tiada ternampak dengan mata kasar mampu memainkan fungsi yang sangat besar dalam kehidupan, saban hari penemuan demi penemuan telah dipelopori oleh para saintis dengan mengelaskan kuman yang mana ada yang baik (manafaat) dan juga ada kuman yang jahat (mudarat).

Begitulah kekuasaan Allah yang memang tiada tandingannya dulu, kini dan selamanya. Patutnya di situlah ungkapan keramat itu disandarkan, bukan pada retorik-retorik keduniaan yang hina-dina. Seakan tiada hujung nyawa mereka yang bermegah-megah dengan harta, pangkat dan keilmuan. Bahkan mereka yang berkelulusan agama juga tidak terkecuali untuk merasa nikmat sementara bahkan ada yang sanggup menggadai maruah agama sendiri. Cadanngan menubuhkan Dewan Ulama’ dalam Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (PEKEMBAR) adalah diibarat sebagai meminta para pencuci tong najis mencuci dari dalam, yang mana tindakan itu adalah tindakan bodoh kerana para pencuci yang berniat baik itu akan sekali terkena percikan taik-taik semasa membasuh tong itu. Lagi malang kalau tiba-tiba tangki kehabisan air yang memungkinkan kerja pembersihan tidak selesai bahkan para pencuci tersebut akan terus menerima busuk dari tong itu. Maka seeloknya kerja pembersihan dilakukan dari luar, dalam jarak yang tertentu dan dengan kepastian segala kelengkapan dan bekalan mencukupi.

Maka dengan itu disarankan para Alim Ulama’, cendikiawan, sarjana Islam bergabung dengan niat satunya untuk menjadikan Islam sebagai dasar utama dalam segala hal keduniaan apatah lagi urusan akhirat, rujukannya al-Quran, hadis, ijmak dan kias. Jauhkan segala pertelingkahan yang semestinya tidak menguntungkan agama, bangsa dan negara. Janganlah berdabik dada dan berbangga dengan status dan pangkat yang ada pada kita, kerana ianya hanya penyakit dunia. Dato’, Dr, Prof dan banyak lagi gelaran yang menyebabkan para ilmuan ini bongkak dengan pendirian masing-masing sehingga merugikan agama. Keegoan yang dicipta sendiri oleh mereka kini telah menyebabkan mereka tidak berbahas, berbincang, berfikir kerana Allah semata. Kelantangan bersuara pada suatu isu hanya untuk menunjukkan mereka adalah jaguh dan untuk menjaga air muka pada masyarakat, takut dikatakan kalah pada hujah yang seorang lagi. Inilah penyakit yang menimpa para ilmuan ini sehingga pada ribuan tahun dahulu Al-hujjatul Islam Imam Al-Ghazali telah mengelaskan ulama’ ini kepada dua golongan. Ulama’ us-suk (jahat) dan ulamak ul-akhirah (ikhlas). Perbalahan, kutuk mengutuk sepatutnya tidak berlaku sesama para ilmuan ini, mereka seharusnya berjumpa dan berbincang secara mengikut tertiba adab dalam Islam dan bukan menjadikan dada-dada akhbar dan media eletronik sebagai tempat berhujah, ini hanya menimbulkan polemik yang tidak sihat apabila kaum bukan Islam melihat pertelingkahan sesama orang kuat agama dalam Islam ini.

Sama ada kekhilafan ini boleh diistilahkan sebagai rahmat, merujuk kepada khilaf antara para sahabat dan tabi’in pada zaman selepas Rasulullah, wallahua’lam. Tapi yang jelas bagi penulis bahawa ilmuan dan cerdik pandai sekarang berkkhilaf bukan kerana Allah, agamaNya, dan ummatNya. Malang sekali dunia hari ini kerana ketandusan mereka yang betul-betul ikhlas kerana Allah. Masaalah ini tidak akan selesai selagi mana kesatuan Islam bercabang, dikerat-kerat, ditindih malah di sorok kebenarannya. Bertambah buruk apabila golongan agamawan ini sanggup menjadi alat boneka untuk mempopularkan perkara-perkara yang baru direka, malah mereka ini sanggup memutar belit fakta Quran dan Hadis untuk tujuan batil itu. Kesannya semakin ramailah masyarakat bukan Islam keliru malah Melayu/Islam semakin bingung dengan apa yang terjadi. Malah setengahnya bertanya apakah Islam yang diperjuangkan oleh puak itu dan bagaimana pula Islam bawaan puak ini.

Tetapi ada kebaikannya juga apabila berlaku pertembungan yang sebegini. Ini adalah kerana rakyat akan dapat membezakan yang mana yang betul (haq) dan mana pula yang salah (batil). Semua ini akan jelas terpampang sebagai sajian utama dalam negara yakni bagaimana kelompok Islam memerintah manakala bagaimana pula kelompok Islam B memerintah. Ternyata akhir-akhir ini suatu perkembangan yang positif telah melanda geopolitik di Malaysia. Semakin ramai masyarakat bukan Islam tertarik dengan pendekatan kepimpinan melalui teladan yang telah diimplementasikan oleh YAB Dato’ Tuan Guru Menteri Besar Kelantan dalam jangka masa yang dikira matang, kurang 5 tahun dari travelog sirah perjuangan Rasulullah SAW yakni 18 tahun sudah. Kepimpinan melaui teladan yang menjadi moto kumpulan yang bertentangan telah direalisasikan oleh beliau, ternyata ianya adalah senjata ampuh dari sudut psikologi untuk dijadikan modal dalam memberi penerangan tentang kesyumulan Islam. Masyarakat bukan Islam semakin mengenali Islam secara luar malah mendalami Islam juga. Dengan tertubuhnya Kelab Penyokong Pas yang ditubuhkan khas untuk masyarakat bukan Islam menjadi komponen parti dalam menyatakan persetujuan mereka untuk menyokong perjuangan Islam.

No comments: