20 January 2009

Hakikat

Hakikat atau kenyataan adalah rencah garam dalam kehidupan, kenyataan adalah bentuk peristiwa yang pasti ditempuhi oleh segala manusia yang hidup, mahupun yang telah mengdahului kita. Tetapi bagi sesetengah orang hakikat bukanlah kenyataan yang mereka mahu terima, malah mereka dengan sombongnya akan mendustakan hakikat tersebut.

Dalam sejarah kejadian manusia sendiri, apabila Adam as telah diciptakan oleh Allah ta’ala untuk menjadi khalifah di muka bumi ini maka dengan itu juga pengderhakaan oleh Iblis terhadap perintah Allah. Allah memerintah kepada sekelian malaikat agar sujud kepada Adam tetapi Iblis berpegang pada hakikat kejadian yang dia dijadikan daripada api manakala Adam dari tanah, masakan yang lebih hebat sujud dan tunduk kepada yang lemah hujah Iblis, maka berlakulah penderhakaan yang pertama dalam sejarah. Hal tersebut telah dirakamkan oleh Allah swt dalam al-Quran, surah al-Baqarah.

Iblis merasakan hakikat kejadiannya adalah lebih hebat dari Adam, dengan itu timbul rasa tidak puas hati, dengki dan sebagainya yang menyebabkan dia derhaka pada Allah. Sifat mazmumah ini kemudiannya telah diwariskan kepada manusia sendiri pada hari ini. Maka tidak boleh dinafikan bahawa mereka yang suka menjadikan sifat-sifat mazmumah ini sebagai pedoman hidup mereka layak digelar pewaris Iblis dan Syaitan. Mereka ini juga telah bersumpah dengan Allah ta’ala yang mereka akan sedaya upaya menyesatkan anak cucu Adam, lalu dipohon kepada Allah agar hayat mereka dipanjangkan hingga kiamat. Semua ini juga telah Allah ta’ala rakamkan di dalam al-Quran yang wajib sekalian umat Islam untuk beriman kepadanya.

Menjadi fitrah manusia mahukan yang terbaik untuk diri masing-masing. Keutamaan selepas diri sendiri pasti adalah orang tersayang termasuk isteri,anak-anak, ibu bapa, adik-beradik, saudara-mara seterusnya barulah kepada masyarakat sekeling yakni sahabat-handai, jiran tetangga, rakan sekampung, rakan senegeri dan rakan senegara. Ketika Malaysia secara realitinya adalah sebuah negara yang majmuk (multi-rasis) yang begitu unik, perbezaan ini sering kali dijadikan segmen yang penting dalam juzuk kehidupan masyarakat Malaysia sekian lama. Selain dari keperbedaan kaum bangsa ini perbezaan yang juga amat penting dan sentiasa diberi keutamaan adalah perbezaan agama.

Sebenarnya kedua perbezaan ini bukanlah benda yang baru, sejak sekalian lama manusia ini memang sengaja diciptakan oleh Allah ta’ala bukan lain hanya untuk menunjukkan variasi kekuasaan Allah yang maha mencipta. Siapa yang nafikan bahawa perbezaan inilah yang menjadikan Malaysia antara negara yang tidak tandus dari kontroversi.

Az-Zahir

No comments: