15 January 2009

Kebejatan Ruangan Masa

Masa


"Demi masa, sesungguhnya manusia itu berada dalam kerugian, melainkan mereka yang beriman dan beramal soleh, dan mereka yang berada dalam kebenaran, dan mereka yang berada dalam kesabaran" surah Al-ikhlas


Banyak versi syarah surah ini saya sudah dengar, dari seingat pandai mengaji dan membaca sudah dikhabarkan akan makna surah ini. Dewasa sedikit diajarkan pulak maknanya sehingga kemudian mendengar syarahnya dari ustaz dan ustazah yang pelbagai.

Pernah sahaja saya mendengar syarah surah ini sehingga hampir satu sesi kuliah, begitu mendalam huraiannya. Apapun surah ini memang menggambarkan kepentingan masa yang tiada tolak bandingnya.

Al-Imam al-Ghazali rahimahullahu ta'ala menggambarkan masa sebagai tempat yang paling jauh, kerana masa yang telah berlalu takkan kembali dan tidak akan mampu kita untuk ke sana lagi walau secanggih manapun kenaikan kita.

Saidina Ali karramallahu wajhah pula menggambarkan masa ibarat sebilah pedang yang amat tajam, jika kita kelewatan atau membazirkannya maka ianya akan memotong kita tanpa belas ihsan.

Saya sendiri tidak terlepas dari menzalimi dan dizalimi oleh masa. Kecundang dahulu, bila diberi peluang bermain dengan masa, saya tidak tahu kenapa mudah saya meninggalkan mercu gading yang diimpikan oleh segenap yang sudah bergelar mahasiswa. Mungkin stigma pemikiran pada masa itu amat pesimis malah kosong dari rahmat Allah. Tapi kini...

Masa seakan seiring dengan saya, walaupun masih kadang-kadang dia mendahului. Tapi saya sebolehnya berusaha untuk memujuknya agar bersama-sama melewati kehidupan fana ini, janganlah ditinggalkan saya. Bukan apa, dia makhluk Allah yang hebat, tidak berupa, berwarna, berasa. Masa sentiasa taat pada peintah Allah, tidak pernah ia terhenti dan pusing ke belakang melainkan terus maju ke depan.

Saya kahwinkan masa saya dengan beberapa elemen kepentingan agama Allah sebagai ganti rugi yang dahulunya, kalau boleh mahu diqada'kan semuanya sekaligus, mampu ke? Insya-Allah kerana saya tahu Allah pernah berfirman bermaksud :


"Jika kamu mempermudahkan urusan Allah akan dipermudahkan pula urusanmu.."
Menyibukkan diri pada setiap peruntukan saat, minit dan jam yang ada sebaleh-bolehnya untuk urusan agama, agenda saya sekarang. Setiap lintas fikir, tutur madah, pandang mata, bunyi dengar, lidah rasa sebolehnya semata li llahi ta'ala.

Kini saya seronok kerana kebejatan masa saya telah saya cuba isikan dengan agenda ini, Letih, sudah tentu. Tapi segan dan malu pada Rasulullah yang sanggup berlapar, bermandi darah, berpeluh basah sedangkan dia ialah Habibullah lebih terkesan memotivasikan untuk tidak merungut, tapi tidak pula diminta empuk rasa nikmat dunia. Kerana Rasulullah tahu itu hanya sementara, tetapi rahmat dan redha Allah membawa ke syurga.

Kita beruntung, masih punya masa selagi tidak dirangut nyawa badan.

Az-Zahir

No comments: