25 January 2009

Seharian Berprogram : Semarak Cintakan Masjid

Tahajjud : Taubat : Tasbih

Tepat pukul 3 pagi tadi Ustaz Mursyidi (Ketua Imam) membuat panggilan rindu untuk mengejutkan saya untuk ke masjid, ya..hari ini program di masjid bermula dengan Qiamullail, jemputan imam dari UTM. Tapi macam biasa, peram dulu seketika sambil mula melayan rasukan hasutan iblis laknatullah.

Rasanya tidak wajar menyalahkan iblis kerana itu dah memang kerja dia. Yang kita bagi peluang pada para iblis untuk melalaikan kita tu buat apa. Kena lawanlah, maka dengan semangat motivasi kendiri itupun saya bangkit walau dah terlewat setengah jam. 3:45pagi saya mudik di masjid, ustaz jemputan tersebut tengah bagi penerangan, ramai jemaah yang telah hadir, hampir 50 orang. Alhamdulillah.

Qiamullail dimulakan dengan sembahyang Tahajjud, disusuli dengan sebahyang sunat Taubat dan diakhirkan dengan solat tasbid 4 rakaat 2 salam bagi mengcukupkan 300 kali tasbih. Alhamdulillah, berjaya saya selesaikan semuanya walau dalam keadaan penuh daif. Kebetulan di sebelah saya seorang adik yang berusia kurang lebih 10 tahun berjaya selesaikan semua solat-solat tanpa menunjukkan rasa panat dan mengantuk, hati seakan terdetik malu pada tarbiyyah adik itu, kredit kepada ibu bapanya dan semoga dia tergolong dari kalangan anak yang soleh
hingga akhirnya.

Selepas solat subuh berjemaah aktiviti diteruskan dengan kuliah subuh yang disampaikan oleh ustaz tersebut, pukul 7.30 majlis usai. Saya balik terus terlentang lelah dibuai mimpi duha. Ingat juga Ustaz Mursyidi pesan supaya ke gelanggang futsal bagi mewakili masjid. Berat rasanya, bukan tidak tahu main, cuma dah lama tidak main dan tidak mahir sangat.

Futsal

Kepenatan, maka lewatlah bangun. Pukul 11:00 baru sampai ke gelanggang, team masjid diwakili oleh 4 orang JAWI dan Reimi (ketua bilal Usamah bin Zaid) pun turut serta. Saya memerhati, rasanya gusar untuk bermain. Tetapi kerana permintaan Ustaz Mursyidi terpaksa juga saya berjuang dalam gelanggang tu, alasan kasut yang dipakai tidak sesuai terus dibangkang Reimi dengan memberikan kasutnya pada saya. Bermainlah saya 12 minit lamanya.

Alhamdulillah saya berjaya menamatkan 12 minit perlawanan walaupun tidak banyak membantu, keputusan memang tidak meihak kepada kami walaupun kami yang menyumbat gol pendahuluan 2-0 tetapi ketirisan di bahagian pertahanan (saya la tu..) menyebabkan pihak lawan berjaya membolos terus menerus sehingga 3 kali. Keputusan 3-2.

Asyura

Ketika kumpulan muda bermain futsal, kumpulan orang lama di masjid sedang mengacau bubur Asyura yang dikepalai oleh Ustaz Haji Mat, kata mereka pada saya semasa ke masjid untuk bertugas waktu Zohor, insya-Allah bubur itu akan siap dalam waktu Asar nanti. Mungkin nanti saya ke sana awal sedikit sebab sekarang ini saya berada di rumah, rasanya nak berehat sedikit untuk hilangkan penat main futsal tadi dulu, tidur sekejap mungkin selepas habis menulis untuk blog ni.

Perasmian

Malam ini selepas maghrib akan dilangsungkan kuliah maghrib kemudian acara perasmian. Ustaz Mursyidi siang-siang dah minta saya untuk jadi pengacara, dah memang kepakaran saya katanya untuk bercakap maka kita ketengahkanlah katanya. Mahu tak mahu kenalah juga, insya-Allah tiada masaalah.

Nasyid

Acara kemuncak malam ini ialah persembahan nasyid dari beberapa kumpulan nasyid tanah air yang saya sendiri pun tidak sempat lagi tahu kumpulan mana. Walau apapun ini adalah satu permulaan yang sangat baik untuk komuniti Islam Wangsa Maju apabila ada pergerakan dala program sepeti ini. Dapat dilihat tadi kumpulan Futsal yang mewakili surau bawah kelolaan zon 5 begitu sengit bersaing antara satu sama lain.

Semoga program sebegini akan mengerat dan mengukuhkan lagi tali sillaturrahin umat Islam untuk lebih gagah cemerlang dan tidak dipandang enteng di bumi Allah ini, insya-Allah.

Syukur yang seamat syukur pada Allah kerana nikmat Islam, Iman malah kehidupan yang saya ada hari ini dan insya-Allah masa depan.

Az-Zahir