16 November 2010

Catatan Kegembiraan

Oleh Zahiruddin Zabidi
zahiruddin_zabidi@yahoo.com.my

Kegembiraan 1

SAAT menulis entri ini saya berada di kampung halaman nan damai jauh daripada hiruk-pikuk kota raya. Kelantan Darul Naim merangkap juara Piala Malaysia yang baru dinobatkan. Cuti seminggu genap diambil, namun kelengkapan menulis dan membaca tetap dipunggah ke mana-mana sahaja. Kalau seorang pendekar itu teman karib dan juga senjatanya adalah keris Tamingsari maka sebagai seorang penulis, komputer riba, buku dan buku catatan adalah juga senjata mereka.
.
Akhirnya selepas beberapa kali berusaha bagi pulang ke kampung saya sampai jua. Kali terakhir saya balik adalah sewaktu menghantar anakda puteri dan ibunya mengurut dan berpantang di kampung. Bermaksud ianya adalah tujuh bulan yang lepas kerana pada hari raya puasa yang sudah juga saya tidak berpeluang pulang ke kampung Pasir Pekan, Kota Bharu. 

Kampung yang sama dengan Dr. Fatimah Busu, seorang sasterawan, cendekiawan yang sekarang menetap di Pulau Pinang selepas menyumbangkan bakti kepada Universiti Sains Malaysia (USM) sebagai pensyarah sastera.

Rindu. Semestinya... Kepulangan kali ini agak beda kerana saya tidak melalui jalan biasa yakni Lebuhraya Karak - Gua Musang kerana singgah terlebih dahulu bermalam di rumah makcik saya di Dungun, Terengganu.   Saya menggunakan Lebuhraya Pantai Timur, namun sedikit terkilan kerana tidak berkesempatan singgah di Kemaman rumah seorang lagi makcik saya yang menetap di sana kerana hari sudah larut malam dan jalan masuk ke rumahnya tidak dapat saya cerap dengan baik. Dikhuatiri sesat, saya mengambil keputusan menangguhkan ziarah ke rumahnya.

Semoga kepulangan kali ini membawakan seribu kebaikan daripada Allah dan daripada orang-orang yang saya kasihi.

Kegembiraan 2

Minggu sudah, tanpa disangka dua editor dari dua buah syarikat yang berbeza menghubungi saya dan menyatakan persetujuan bagi menerbitkan naskhah-naskhah yang pernah saya panjangkan kepada mereka dahulu sebelum saya bekerja sebagai editor di PTS. Ini bermaksud naskhah-naskhah tersebut sudah saya hantar sebelum bulan lima dahulu.

Mereka meminta dibuat sedikit penambahan dan saya bersetuju. Ini adalah kerana mereka mengejar judul yang banyak bagi disasarkan dalam Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL2011) pada bulan april tahun hadapan. Saya titipkan komitmen kepada mereka, insya-Allah.

Kegembiraan 3

Kelas teori sastera bersama dengan Dr. Haji Faisal Tehrani di ASWARA sudah sampai ke kemuncaknya. Secara kasarnya kami semua sudah didedahkan dengan jenis-jenis dan cara menulis menggunakan teknik dan teori barat serta Islam.

Pada hari Sabtu yang lalu, sesi perbentangan pemetaan karya diadakan. Masing-masing daripada kami mesti membentangkan rancangan penulisan dari mula hingga akhir bagi tujuan penilaian dari sudut jalan cerita, tema, logik dan sebagainya. Penelitian dibuat oleh pensyarah hanyalah dari sudut makro.

Alhamdulillah, dalam capahan idea yang banyak dan tidak tersusun saya mendapat satu ilham hasil daripada bacaan-bacaan mutakhir ini. Idea yang dicambah sudah disusun atur dengan baik dan hanya menunggu masa bagi ditukang sahaja. 

Selepas membentangkannya kepada sidang kelas. Beliau memberikan persetujuan bagi diteruskan dengan beberapa pengubahsuaian, alhamdulillah, saya gembira sangat kerana berpeluang mendapat didikan langsung daripada beliau yang semestinya tidak asing lagi dalam jagat kesusasteraan tanah air.

Dengan apa yang saya dapatkan daripada beliau dan puan guru saya, Puan Ainon Mohd, insya-Allah akan ada beberapa perkara yang saya sendiri dapat cernakan sebagai buah fikir dan buah tangan yang baru serta bernas sesuai dengan keperluan sastera Melayu Islam kepada masyarakat pada hari ini.

Jangkaan muka surat adalah 250-300 dan siap pada awal tahun hadapan. Tajuknya mungkin Riwayat Seorang Sasterawan

-Allahumma yassir wa la tuassir ya karim.

6 comments:

Welma La'anda said...

Belajar dengan Faisal Tehrani memang satu kegembiraan. Semoga banyak ilmu dicedok.

Abu Huzaifah said...

Assalamualaikum.Salam iedul Adha..selamat pulang ke kampung halaman.

Abu HUzaifah said...

Assalamualaikum.Selamat Hari Raya

Zahiruddin Zabidi said...

Welma La'anda, benar, banyak yang diceduk daripada beliau. Banyak juga perlu ditapis... ;)

Ustaz Abu Huzaifah, eid mubarak eidul adha aidan. Ustaz tidak pulang ke kampungkah?

Rebecca Ilham said...

Salam.

Wah ustaz orang Tumpat rupa-rupanya!
Saya asal Bukit Marak, Peringat. Ayah saya pernah bertugas sebagai Peg Belia dan Sukan Jajahan Tumpat sehingga akhir 1997 sebelum bertukar ke Pulau Pinang dan episod panjang perantauan keluarga kami berterusan sehingga kini.

Laing kali jupo buleh kecek la lagu ni :)

Zahiruddin Zabidi said...

Wassalam,

Ingatkan sudah tahu... memang kita pernah kecek Klate pun sebelum ini kalau saudari masih ingat.

Apapun, insya-Allah novel yang akan saya tulis untuk tugasan Dr. FT latarnya adalah sekitar kawasan jajahan Tumpat khususnya di Pantai Sri Tujuh, semoga ianya siap dan memuaskan.

Nota: Ianya tercetus selepas membaca memoir SN Prof. Emeritus Dato' Haji Shahnon Ahmad dan karya SN Dato' Dr. Anwar Ridhwan, Hari Hari Terakhir Seorang Seniman.

Doakan ya....