29 October 2010

Saya mahu berjasa kepada Mereka


Oleh Zahiruddin Zabidi

SEDARI dari kecilnya, beliau adalah orang yang tidak betah senang. Kematian ibu saat dia masih bersekolah rendah menyebabkan dia tidak dapat menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi. Ayah pula kehampaan dan jadi rawan. Kemudian di pundak beliaulah, terpacak amanah bagi menjaga adik-adiknya kerana beliau adalah abang sulung.

Dia mulai bekerja, apa sahaja. Menoreh getah dan sebagainya dan akhirnya beliau mempunyai peluang bagi bekerja dengan Jabatan Kerja Raya Malaysia (JKR) yang sedang membina lebuhraya Jeli ke Grik. Pergi bekerja hanya dengan berjalanan kaki berpuluh kilometer. Itu adalah rutinnya.

Kemudian beliau kahwin dengan seorang gadis dari Kelantan yang datang menziarahi abangnya yang tinggal di kawasan perumahan yang sama dengan beliau. Mereka bertemu, ada bibit cinta di sana. Tertaut kemudian kerana sukanya emak gadis dek akhlak yang dipamerkannya. Si gadis juga tidak dapat menafikan beliau adalah bakal suami idamannya walau tiada berharta.

Surau tidak lekang, senyum tidak lokek, tulang tidak berat, ilmu agama berbunga di dada. Itulah resepi kebahagiaan rumah tangga. Sehingga semua memperakui bahawa, keberkatan dan kerahmatan Allah dalam rumahtangga adalah perkara terpenting berbanding dengan rupa, harta dan pangkat. Kerana isteri beliau pernah disindir cerca kerana memilih seorang buruh bergaji RM300 sebulan berbanding pegawai kerajaan lain yang masuk meminang.

Kini sudah lebih 25 tahun mereka bersama, enam orang cahaya mata dan seorang cucu. Bahagia, alhamdulillah. Umur beliau sudah 56, sepatutnya sudah di alam pencen namun kerana kerajaan pada zaman Pak Lah melanjutkan umur persaraan ke 58 tahun. Dia masih tetap bekerja. Kerana hanya anak sulungnya sahaja yang sudah bekerja, yang lain masih bersekolah dan berada di IPTA.

Alhamdulillah kesihatannya baik. Tiada penyakit kronik, cuma rupa tuanya sudah menguasai. Uban di kepala menjadi bukti. Yang menjadi kekhuatiran sejak akhir ini, beliau masih lagi bekerja luar (out station) dan kerja itu amat berisiko. Dengan jarak perjalanan kerja yang jauh iaitu ke seluruh negeri dalam Malaysia. Kadang-kadang jauh ke dalam hutan, bukit, rimba, paya, sungai dan laut semua perlu dia redah. Kerana kerja dan sesuap rezeki.

Oleh yang demikian, walau diri ini tenat semacam mana pun dana bulanan. Akan diterakkan juga kepada mereka. Yakin, bahawa memberi kepada mereka dengan ikhlas dibalas Allah secara tunai di dunia apatah lagi akhirat kelak. Cuma, hati kecil ini sering berbicara dan bertanya bilakah diri ini dapat menanggung sehingga beliau dapat berhenti daripada terus menempa risiko di luar sana. Kalau boleh diri ini mahu dia diam sahaja di pejabat dan tidak perlu kerja luar lagi.

Jawapannya boleh, tapi perbelanjaan pengajian adik-adik ada orang yang perlu tanggung. Nah, inilah cabaran bagi diri ini. Sedang berusaha. Akan terus berusaha.

Justeru jika ada yang bertanya kepada diri ini, kenapa kamu menulis? Diri ini akan katakan kerana duit. Diri ini perlukan duit bagi tujuan-tujuan tadi. Diri ini tidak mahu melihat lagi beliau dalam pakaian comot bergelumang dengan tikaman matahari di luar sana, selayaknya beliau sekarang hanya duduk rehat di rumah sambil menghantar dan menjemput adik bongsu bersekolah. Kadang-kadang datang bermain dengan cucu.

Allah, limpahkan diriku ini sifat cinta dan kasihan belas yang tinggi terhadap kedua ibu bapa kami. Celaka kami andai sifat kasih dan sayang, hormat dan cinta kepada mereka lenyap dari dalam diri ini.

Allahummaghfirlana wa liwa lidini warhamhuma kama rabbayani saghira.



No comments: