04 October 2010

Resensi Proses Kreatif Dua Penulis dari Dua Benua

Ada dua penulis yang amat saya kagumi, keduanya ada sedikit sebanyak persamaan terutamnya daripada sudut pembangunan karier mereka sebagai penulis. Persamaan antara keduanya adalah mereka mula menulis karya kreatif tanpa terlebih dahulu ada pendedahan awal mengenainya. Bahkan kedua mereka bukanlah pembaca karya kreatif sebelumnya.

Penulis yang saya maksudkan adalah Andrea Hirata (Indonesia) dan Bahruddin Bekri (Malaysia). Saya kira perjalanan hidup kedua penulis tegar novel inspiratif motivasi ini penuh dengan kekuatan dan kelebihan masing-masing yang menjadi faktor dan fenomena dalam dunia penulisan kreatif tanah air.

Fenomena Andrea Hirata



Nama Adrea Hirata mencanak naik seiring kejayaan karya fenomentalnya berjudul ‘Lasykar Pelangi’ yang akhirnya difilemkan dan mendapat sambutan yang amat luar biasa di Indonesia. Versi Bahasa Melayunya yang sudah diterjemahkan oleh PTS Publication & Distribution juga mendapat sambutan yang menggalakkan.

Beliau kemudian yang menyedari bahawa bakatnya dalam dunia penulisan tidak boleh dibazirkan terus menulis sehingga kini sudah berjujutan karyanya dalam masa kurang lima tahun. Selepas Lasykar Pelangi (2005), muncul Sang Pemimpi (2006) yang juga sudah difilemkan, diikuti Edensor (2007), Maryamah Karpouv (2008) dan yang terbaharu Padang Bulan & Cinta Di Dalam Gelas (2010).

Andrea Hirata, ketika ditemu bual dalam sesi persidangan akhbar di Pesta Buku Kuala Lumpur pada tahun 2008 menjelaskan, “Saya tidak tahu apa-apa mengenai sastera dan dunianya, bahkan saya tidak pernah membaca karya sastera sehingga buku ini (Lasykar Pelangi) ditulis, saya juga tidak pernah bermimpi bagi menjadi seorang penulis sastera.”

Beliau menambah lagi dengan berkongsi bagaimana akhirnya beliau menjadi penulis. Ceritanya, “Pada suatu hari saya pulang ke Belintong dan menziarahi Bu Mus (gurunya dalam novel tersebut), lantas Bu Mus yang sedang sakit bertanyakan kepada saya tentang satu janji yang saya lafazkan dahulu. Ya, saya pernah berkata kepadanya, ‘Apa yang berlaku di sekolah kita ini akan saya tuliskan suatu hari nanti, untuk ibu.’”

Sambungnya lagi, “Saya lantas tersedar bahawa saya memang berjanji kepada beliau lantas kembali pulang dan terus menulis dan menulis, tanpa sedar jumlah muka surat sudah 500 lebih. Segera saya cetakkan dan hantarkan naskahnya kepada Bu Mus di Belintong, langsai sudah hutang janji saya kepada Bu Mus.”

Apa yang menarik terangnya, “Pada suatu hari, sahabat sepejabat saya kepingin meminjam laptop dan saya benarkan, justeru dia terbaca tulisan-tulisan saya itu dan menyarankan saya menghantarnya ke penerbitan. Saya tidak hiraukan, dalam diam dia menghantar naskah tulisan saya itu ke percetakan dengan meniru tandatangan saya dan saya kemudian menerima satu panggilan daripada percetakan yang pada peringkat awalnya ragu akan kesohehan tulisan tersebut saya yang punya, sangkanya saya penulis mapan yang sudah tersohor menggunakan nama samaran, Ikal.”

Fenomena Bahruddin Bekri



Mungkin ada yang tidak bersetuju apabila saya angkatkan Bahruddin Bekri atau nama sebenarnya Muhammad Baharuddin bin Bekri yang berasal dari Sarawak ini sebagai satu fenomena. Namun ada sisi istimewa penulis muda yang berbakat ini wajar dikongsi.

Saya yang berpeluang berkenalan dengan beliau secara peribadi juga banyak belajar dan meminta petua serta teknik penulisan yang menyebabkan dia mampu berada di tahap sekarang.

Apakah pencapaian yang dapat dibanggakan daripada penulis muda ini, bayangkan beliau yang berkelulusan Bachelor Ekonomi dari UPM ini hanya menulis selepas menjadi editor di sebuah syarikat penerbitan buku berbahasa Melayu yang tersohor di ibu kota.

Bermula tahun 2008-2010, iaitu dalam masa kurang tiga tahun beliau sudah menulis sebanyak 11 buah buku dan dua antologi cerpen bersama penulis lain bagi susunan khas edisi hari raya terbitan PTS, kini kesemuanya hasil buah tangan beliau bertebaran dalam pasaran dan rangkaian kedai buku seluruh negara.

Antara bukunya adalah Perang Kucing (2008), Dunia Ini Sederhana Kecil (2008), Adi Gempa: Evolusi (2009), Puisi Untuk Nadina (2009),  Doa Untuk Aku (2009), Detektif Bertudung Hitam (2009), Di Mana Terangnya Bulan (2009), Kita Hanya Di Seberang Jalan (2010), Diari Mat Despatch (2010), Lelaki Berkasut Merah (2010) dan terbaharu adalah Penyiasat Masjid (2010).

Dua lagi adalah antologi cerpen projek raya yang bertajuk Baju Raya Dari Syurga (2010) dan Remaja@PTS One 2010 (2010). Kesemua naskah karya beliau diterbitkan oleh PTS Publication & Distributors Sdn. Bhd.

Saya pernah bertanyakan kepada beliau bagaimana mungkin beliau sebegitu produktif, beliau menyatakan, “Saya menggunakan ruang waktu yang ada sebaiknya.” Beliau juga tidak lokek bagi berkongsi rahsia penulisan yang produktif itu.

Antaranya menurut beliau, menulis perkara yang akrab dengan diri kita sendiri akan memudahkan proses kreatif tersebut. Ini termasuk dalam aspek pengalaman yang mana menurut beliau ada tiga aspek yang penting dalam proses pengkaryaan bagi memastikan sesebuah karya itu sedap dan bermakna kepada pembaca.

Faktor yang dimaksudkan adalah pertama pengalaman, kedua imaginasi dan ketiga ilmu. Kombinasi dua antara mana-mana tiga aspek ini sudah cukup memungkin seseorang penulis itu berkarya namun bagi sesebuah karya yang disifatkan sebagai perkongsian dan menyampaikan yang mempunyai makna yang tersendiri, ketiga-ketiga elemen perlu dipastikan wujud dalam setiap karya seseorang penulis.

Tambah beliau lagi, gagasan Teori Teknik Surah Yusuf, Bahasa Melayu Tinggi dan Syariah Compliant yang dianjurkan PTS melalui puan pengerusinya, Puan Ainon Mohd juga antara faktor di mana karya-karya ini lebih ‘lancar’ dihasilkan malah lain daripada yang lain berbanding novel-novel kreatif lain yang berada dalam pasaran. 

Selain itu ungkapan ‘Jangan menilai buku daripada kulitnya’ juga dilihat sudah tidak relevan kerana menjadi sifat semulajadi dan fitrah manusia mencintai, menyukai sesuatu yang cantik dan indah. Maka desain-desain kaver yang indah oleh Tim Grafik PTS juga memainkan peranan dalam memastikan buku beliau diterima baik oleh remaja di luar sana khususnya.

Kini Bahruddin Bekri adalah fenomena kepada anak-anak remaja yang suka membaca, karya terbaharunya sentiasa dinantikan malah atas inisiatif beberapa orang peminat tegar beliau tertubuhlah Bahruddin Bekri FC yang dijana melalaui laman web sosial Facebook bagi mereka berinteraksi terus dengan penulis kesayangan mereka ini.

Citra Islam dalam karya mereka

Walaupun karya kedua-dua penulis ini tidak diangkat dan diletakkan sebaris dengan karya-karya Islami pengarang tersohor lain namun citra Islami yang tidak betah berpisah daripada jatidiri Melayu Islam itu amat jelas terpampang dalam karya mereka.

Watak-watak yang dinukilkan dalam suasana dan latar Islam, isu-isu yang diangkat bermula daripada masalah akidah sehingga masalah feqah, akhlak dan sejarah. Penceritaan santai yang mampu mengusik kalbu pembaca khususnya remaja menerima teguran dan kritikan halus dan ikhlas, dakwah yang disampaikan secara tidak langsung dan perkara-perkara beginilah yang sepatutnya diperbanyakkan dalam pasaran kita bagi dihidangkan kepada pembaca sebagai makanan jiwa yang seimbang antara hiburan dan pengajaran.

Kedua-dua penulis ini juga membuktikan bahawa bagi menjadi seorang penulis yang bagus tidak semestinya kita terlebih dahulu perlu secara rasminya menjadi orang sastera. Sesiapa sahaja mampu menulis, asalkan sahaja bermula menulis dan bersungguh-sungguh, ikhlas serta istiqamah. Menulis juga perlu dari hati agar sampai juga ke hati para pembaca. Faktor fiskal yang lain akan menyusul dengan sendirinya kemudian.
_____________________________________________________________

Zahiruddin Zabidi
http://kalamkhalifah.blogspot.com/

3 comments:

Wanzu said...

Saudara Bahruddin Bekri juga menulis skrip komik bagi Antologi komik Baju Raya Dari Syurga dan Kad Raya Dari Syurga.

Zahiruddin Zabidi said...

Ya, Tuan Bahruddin Bekri adalah lagenda PTS.

AfiqahRazak said...

suka andrea hirata..tapi belum pernah dengar nama Bahruddin Bekri..eemm nnt nak cuba baca karya beliau. Thanks for the information.