31 October 2010

Jawapan Kepada Respon Artikel: Doktrin Sastera Islam VS Doktrin Sastera Barat

Oleh Zahiruddin Zabidi
zahiruddin_zabidi@yahoo.com.my


Pengirim: Pembaca Buku

Salam.

Tiada apa yang 'salah' apabila menulis kisah cinta islami. Tidak salah sama sekali.

Yang menjadi salah, jika semua penulis mengambil jalan mudah dengan menulis kisah cinta dengan tempelan islaminya itu. Cintanya datang dulu, baru islamnya diselit di sana sini. Itu yang tidak betul.

Seharusnya, definisi islamnya ditentukan terlebih dahulu, barulah ceritanya digarap. Berbeza bukan? Sebab penulis perlu tahu apa-apakah inti islam yang hendak diberikan kepada khalayak, jauh lebih penting daripada ceritanya.

Andainya cerita mendahului matlamat inti islamnya, maka khalayak akan mengingati ceritanya, bukan islaminya itu.

Satu lagi, jika hanya kisah cinta islami yang ingin disampaikan, bagaimana dengan pelbagai isu lain yang bersangkutan dengan islam? Apakah tidak terasa oleh penulis, terutama yang mempunyai latar pendidikan Islam yang tinggi, untuk menulis isu-isu selain daripada kisah cinta islami?

Isu murtad, gejala rasuah, gejala zina dan buang bayi, soal Islam aktual dan Islam praktikal, yang masih di tahap rendah di kalangan masyarakat kita - apakah tidak difikirkan untuk dituliskan dan dicari penyelesaiannya oleh penulis?

Akhirnya, bukankah penulis harus bergerak untuk meningkatkan corak penulisannya, agar dapat pula khalayak sama bergerak kepada perkara yang lebih serius dan berat?

Bagaimana, ke arah mana matlamat sdr dalam dunia penulisan ini, khususnya dalam sastera islami ini?

Wassalam.
_______________________________________________________________________


Jawapan daripada: Zahiruddin Zabidi

Wassalam warahmatullah, didoakan kepada Tuan Pembaca Buku (serasa saya dapat mengagak siapakah tuan....) sentiasa dilembanyungi kasih dan sayang Allah taala.

Alhamdulillah, pertamanya saya amat bersetuju dengan hujah tuan. Islam yang harus didahulukan melebihi segala-galanya khususnya dalam berkarya apatah lagi isu Akidah dan Tauhid itu sendiri selain ilmu dan hikmah serta makna bersamanya.

Cumanya apabila saya berada di kerusi editor yang juga akan bertindak sebagai pelatih secara tidak langsung kepada pengkarya-pengkarya muda dan baharu bagi karya mereka diterbitkan selain memastikan polisi syarikat dipatuhi, sememangnya menjadi masalah kepada mereka ini membincangkan isu-isu agama yang khusus melainkan mereka sendiri adalah lulusan agama seperti segelintir penulis pada hari ini.

Mereka ini betah menulis, dan jika begitu sekali sastera Islam itu dieksklusifkan maka saya kira mereka tidak akan punya peluang menulis sebuah karya yang beraroma Islam sekalipun. Makanya, anatara isu Islam yang rapat dan mesra dengan mereka ini dan masyarakat kebanyakan khususnya adalah juga masalah cinta, perkahwinan, hubungan kasih sayang dan lain-lain.

Dan lebih teruk dan tragis jika mereka ini mengambil jalan mudah menulis novel picisan yang langsung tidak menghiraukan konsep akidah, tauhid malah mempromosikan cinta nafsu dan syahwat semata-mata.

Dalam keadaan ini, pada pendapat saya adalah lebih baik mereka menulis naskhah cinta (sebagai tema utama) namun masih dalam batasan Islam itu sendiri. Tiada babak mungkar, penuh dengan usaha mempromosi sebuah kisah yang bertunjangkan al-Quran dan hadis. Sedaya mereka mampu tanpa perlu menelanjangkan agama Islam dan ajarannya dalam karya mereka itu.

Bagi penulis baharu termasuk diri saya, saya yakin kami tidak mampu bagi terus menukang sebuah karya yang sehebat buah tangan Dr. Haji Faisal Tehrani, Ustaz Zaid Akhtar, Ustaz Azman al-Kurauwi dan ramai lagi sasterawan-agamawan di luar sana. Namun setiap yang berlalu itu ada galang gantinya insya Allah.

Saya sendiri tidak mampu menulis sebuah kisah yang benar-benar 'cinta' semata-mata, sehingga kini walaupun sudah dicuba ke dalam cerpen juga tidak menjadi. Alhamdulillah, mungkin ini kerana pengaruh pembacaan selama ini dan kurangnya saya membaca naskhah cinta picisan semata-mata.

Matlamat kita sama, insya Allah, cuma sudut pandang yang beza. Tuan mungkin melihat daripada sudut seorang pembaca, pengarang, pemikir dan ahli sarjana namun saya melihat ruang itu sebagai seorang pembaca, penulis dan editor yang ingin membangunkan sebanyak mungkin naskhah-naskhah pahala dan bukannya naskhah dosa.

Dengan harapan, selepas pembaca membaca novel-novel pop Islami ini seterusnya mereka akan mendaki ke takah yang dahagakan karya-karya yang sarat dengan ilmu, falsafah, hikmah dan makna dan saya kira, mereka yang tidak akrab dengan bahan bacaan yang ringan tadi tidak akan mampu menghadam bahan bacaan yang tentu berat pengisiannya itu.

Saya cadangkan juga tuan membaca naskhah terbaharu Habiburrahman El-Shirazy yakni Bumi Cinta dan saya yakin tuan akan tercari-cari di mana 'cinta' dalam naskhah tersebut kerana ianya sudah dikaburkan dengan tema-tema yang lebih berat seperti yang tuan sarankan di atas. Saya boleh bersetuju jika ada pihak menyatakan naskhah Ayat-Ayat Cinta adalah novel pop Islami kerana nyata kriterianya begitu.

Apapun, saya amat berterima kasih atas respon, saranan dan nasihat yang diberikan oleh tuan. Saya anggap ianya adalah pengajaran daripada seorang guru kepada anak muridnya. Insya Allah saya akan terus meningkatkan mutu penulisan dan meluaskan ruang lingkup pembacaan agar tulisan-tulisan yang akan dihasilkan kelak punyai bentuk, makna dan hikmahnya yang tersendiri, insya Allah.

Dan bagi menjawab soalan yang terakhir itu, biarlah naskhah-naskhah tulisan saya yang insya Allah akan saya tukang dan terbitkan menjawabnya.


Wassalam.

No comments: