19 October 2010

Surat Kepada Media Massa, Kod Etika Pakaian di IPTA dan IPTS: Satu Teguran Kepada Pihak Berwajib

Oleh Zahiruddin Zabidi
zahiruddin_zabidi@yahoo.com.my

Percaya atau tidak, zaman ini bukan sahaja wanita yang didiskriminasikan namun lelaki yang lebih dominan sebagai pendiskriminasi turut menjadi mangsa diskriminasi. Contoh yang paling ketara adalah dalam bab kod etika pemakaian di tempat awam khususnya di pusat pengajian tinggi dan jabatan-jabatan kerajaan.

Saya mengambil contoh di beberapa IPTA dalam negara seperti UUM yang begitu terkenal dengan ketegasan mereka dalam memastikan pelajar mereka khususnya siswa mematuhi kod etika pakaian. Tali leher sememangnya diwajibkan bagi pelajar lelaki bahkan mereka tidak dibenarkan membuat urusan rasmi apatah lagi menghadiri kelas jika tidak bertali leher.

Lain pula halnya kepada siswi. Satu-satunya universiti yang mempunyai kod etika pakaian yang jelas dan patuh syariah adalah UIAM yang mana mereka mewajibkan pelajar mereka bukan sahaja menutup aurat bahkan mereka diwajibkan bertudung dalam masa yang sama.

Keadaan ini tidak berlaku di universiti lain yang lebih menitik beratkan pemakaian tali leher kepada siswa berbanding pemakaian tudung dan penutupan aurat kepada siswi. Tidak keterlaluan jika saya katakan, antara sebab jenayah seksual meningkat adalah kerana sikap wanita-wanita dalam berpakaian.

Di sana sini kita boleh melihat siswi begitu bebas memperagakan kepelbagaian feksyen pakaian ke kelas tanpa ada sebarang sekatan. Pembukaan aurat begitu menjadi budaya walaupun siswi tersebut adalah seorang Melayu Islam. Isu mereka tidak ingin menutup aurat di luar kampus adalah isu lain. Namun pemakaian yang patuh syariah di kampus semestinya diwajibkan oleh pihak pengurusan universiti kerana mereka akan disoal oleh Allah di akhirat kelak.

Saya juga yakin kita semua tahu menilai antara kewajipan pemakaian tali leher siswa dan penutupan aurat para siswi, yang manakah lebih utama dan relevan serta akan diredai oleh Allah. Jangan sampai kita terpaksa menanggung dosa yang orang lain buat di akhirat nanti. Kerana seksaan Allah itu sangat pedih dan zalim.

Dengan itu saya menyarankan kepada pihak pengurusan semua universiti membuat undang-undang kecil di bawah kuasa yang diperuntukkan kepada mereka agar mewajibkan pemakaian yang menutup aurat seperti baju kurung, jubah dan bertudung kepala kepada siswi Melayu Islam dan pakaian yang sopan kepada siswi bukan Islam.

Kepada kumpulan aktivis mahasiswa Islam setiap universiti khususnya, wajib menjadikan isu ini isu yang diperjuangkan sepanjang zaman dan desakan mesti dibuat sehingga ianya diwartakan menjadi undang-undang sah universiti di seluruh negara.

'Tiada aurat, terpelihara umat!'
_____________________________________________________________


Nota: Saya cuba panjangkan surat ini kepada ruangan surat beberapa media cetak, semoga ia sampai kepada sasaran yang dimaksudkan. Insya Allah.

3 comments:

Anonymous said...

Assalamu'alaikum Ustaz.

Saya mohon copy penulisan ustaz untuk perkongsian.

Zahiruddin Zabidi said...

Waalaikumussalam, silakan saudara. Semoga bermanfaat kepada ummah.

Abu Huzaifah said...

Assalamualaikum.Ustaz,mohon keizinan untuk 'copy'entri ini ke blog hamba.Dijemput ziarah ke blog http://bicara-hamba.blogspot.com.Syukran jazilan.