19 February 2009

Hidup Ini adalah Ujian

Peperiksaan : UUM

Insya-Allah, esok bermulalah peperiksaan akhir semester bagi pengajian jarak jauh saya bersama UUM cawangan KL (20-25 Feb). Dengan itu sehingga minggu depan saya kena tumpukan sepenuh perhatian, aktiviti-aktiviti luar daripada pembelajaran perlu direhatkan seketika, tapi dalam masa yang tersebut untuk berhenti dari berfikir bagi memastikan diri ini mampu menyumbangkan yang terbaik untuk Allah, nabi Muhammad, Umi dan Abi, bakal jauzah, adik-adik, saudara-mara seterusnya masyarakat Malaysia dan ummah keseluruhannya tidak akan mungkin terhenti insya-Allah.

Sedikit terkilan apabila permohonan untuk cuti tanpa rekod untuk mengambil peperiksaan tidak diluluskan oleh pihak atasan. Lumrah dunia, maka akurlah. Tidak mengapa asalkan ada ruang untuk saya sedikit membuat persediaan akhir sudah cukup bagi saya insya-Allah. Keadaan agak genting pada hari Ahad kerana pada hari tersebut pengajian Usuluddin di UM juga berlangsung. Ini bermakna setelah selesai peperiksaan di Plaza Warisan terus sahaja saya berkejar ke APIUM untuk mengikuti kelas di situ pulak.

Mungkin dalam saya fokus untuk peperiksaan ini akan timbul ilham dan idea-idea baru bagi pemantapan iLuvislam dot com. Lagi pulak kawan-kawan sepengajian adalah prospek seterusnya untuk menyebarkan fikrah islamiyyah yang dibawa oleh iLuvislam dot com.

Masjid

Sehari dua ini juga saya dalam proses untuk memohon secara terus bagi pertukaran dari jabatan sekarang ke unit pentadbiran Masjid Usamah bin Zaid. Alhamdulillah, hampir semua proses menunjukkan keputusan yang positif dan saya tidak dapat bayangkan betapa nikmatnya kelak jika betul saya boleh berpindah ke masjid kesayangan saya itu. Saya akan buat 2 kerja di 1 tempat. Selain penjimatan dari sudut kos dan sebagainya.

Urusan di peringkat jabatan dan kementerian telah selesai, tinggal lagi urusan JPA dengan JAWI sahaja. Alhamdulillah Ustaz Fishal, ketua penolong pengarah pengurusan kariah juga setelah diberi penerangan oleh Ustaz Mursyidi seklaku Ketua Imam@Pentadbir masjid tentang perihal ini. Maka beliau dengan berbesar hati setuju untuk menyokong permohonan itu.

Semoga Allah pastikan yang terbaik untuk hambanya ini, insya-Allah.

Membaca

Sedar tidak sedar rupanya lama sudah saya tidak membaca buku-buku baru selain buku yang masih belum selesai. Saya perasan semenjak ada talian internet tanpa talian jenama MAXIS ini telah menyebabkan kecenderungan saya kepada Internet semata. Membaca dan menulis juga banyak di laman ini sekarang.

Petang semalam sewaktu dalam perjalanan dengan Komuter ke UPM Serdang untuk ke kuliah mingguan di kolej ke-13, saya mengambil peluang untuk memulakan bacaan buku yang dah lama dipinjamkan oleh sahabat saya. Buku yang bertajuk "PEMIKIRAN ISLAM : Satu Penilaian Semula" dari K.A Rashid dari Pakistan, buku yang bertarikh tahun 1987 amat berat isinya, tetapi saya cuba hadamkan sebaik mungkin. Walaupun tidak semua yang dicernakan oleh penulis saya kena terima dan bersetuju tetapi membaca bahan ilmiyah sebegini adalah wajib jika ingin mengoptimumkan penggunaan pemikiran ini. Lalu diterjemah dengan vokal dan tulisan setelah penilaian mengikut segala kesesuaian.

Ketandusan dalam mencari fikrah yang paling sesuai untuk dikongsi di dalam blog ini masih berlarutan. Saya juga ada mengikut dengan setia beberapa laman sesawang mereka yang sudah kukuh untuk memahami teknik dan cara penyampaian berkesan bagi memastikan tulisan di blog saya tidak sia-sia melainkan ada biasan ilmiyyah walaupun tulisannya bersifat perkongsian peribadi dan lain-lain.

Penasihat

Tugas yang agak berat dan mencabar dan saya mencabar diri saya untuk berikan yang terbaik untuk iLuvislam dot com, insya-Allah saya akan mulakan perkongsian positif bermotivasi dengan rujukan dan penilaian terhadap buku, blog, artikel untuk diulas dan dikongsi khas untuk krew iLuvislam dalam YG kelak. Duta-duta iLuvislam dot com ini perlu untuk diberi semangat agar mereka sedar bahawa kerja atau amal yang dibawa portal kesayangan kita ini bukan satu perkara yang main-main lagi bahkan ianya boleh dijadikan pencetus ibrah fikriyyah islamiyyah ummah kelak insya-Allah.

Apapun teruskan bersemangat dan bermotivasi untuk memerhati, berfikir, membuat penilaian dan bertindak dalam apa jua keadaan sekalipun untuk akhirnya tiada lain hanya kerana Allah.

Insya-Allah

Az-Zahir
Penasihat iLuvislam dot com

No comments: