27 August 2009

Kalam Hikmah 15


PERBAHARUILAH HIDUP KITA. JADIKANLAH HIDUP KITA LEBIH BERTENAGA DAN SESEKALI UBAHLAH KEBIASAAN HIDUP KITA SEHARI-HARI.
Tajdid yakni pembaharuan merupakan elemen yang sangat penting dan diiktiraf dalam agama. Bukan sahaja kehidupan, pemikiran, ilmu, teknologi, suasana persekitaran malah diri kita sendiri juga amat memerlukan tajdid.

Perubahan (islah) akan tetap berlaku. Persoalannya adakah perubahan itu kearah yang lebih baik atau sebaliknya.

Manusia akan berubah, itu adalah sunnatullah. Dari sekecil mikroorganisma yang bernama air mani atau sperma dalam bahasa saintifiknya. Seterusnya melalui proses tumbesaran tersendiri yang telah ditetapkan Allah, maka akhirnya membentuk seorang bayi yang siap lengkap mempunyai roh nyawa.

Setelah dilahirkan ke fana dunia sebagai seorang bayi terus dia maju membesar hingga menjadi manusia. Itu proses yang terjadi kepada semua manusia terutama kita yang sedang membaca tulisan ini.

Pokoknya perubahan itu adalah fitrah, lumrah dan yang lebih tepat lagi adalah sunnatullahi ta'ala.

Mari kita renugkan nukilan kalam Allah dalam surah As-Sajadah ayat 6-8:


٦) ٱلَّذِىٓ أَحۡسَنَ كُلَّ شَىۡءٍ خَلَقَهُ ۥ‌ۖ وَبَدَأَ خَلۡقَ ٱلۡإِنسَـٰنِ مِن طِينٍ۬


٧) ثُمَّ جَعَلَ نَسۡلَهُ ۥ مِن سُلَـٰلَةٍ۬ مِّن مَّآءٍ۬ مَّهِينٍ۬


٨) ثُمَّ سَوَّٮٰهُ وَنَفَخَ فِيهِ مِن رُّوحِهِۦ‌ۖ وَجَعَلَ لَكُمُ ٱلسَّمۡعَ وَٱلۡأَبۡصَـٰرَ وَٱلۡأَفۡـِٔدَةَ‌ۚ قَلِيلاً۬ مَّا تَشۡڪُرُونَ


Maksudnya:

(6) Yang menciptakan tiap-tiap sesuatu dengan sebaik-baiknya dan dimulakanNya kejadian manusia berasal dari tanah;

(7) Kemudian Dia menjadikan keturunan manusia itu dari sejenis pati, iaitu dari air (benih) yang sedikit dipandang orang;

(8) Kemudian Dia menyempurnakan kejadiannya, serta meniupkan padanya: Roh ciptaanNya. Dan Dia mengurniakan kepada kamu pendengaran dan penglihatan serta hati (akal fikiran), (supaya kamu bersyukur, tetapi) amatlah sedikit kamu bersyukur.

Kitalah yang menghalakan perubahan kita kearah kebaikan ataupun sebaliknya. Segala kudrat sebagai seorang manusia dan khalifah Allah mampu untuk menentukan samada kesan dari tindakan kita itu kebaikan atau keburukan.

Ya, benar sekali Allah telah tetapkan qada' dan qadar-Nya. Namun apakah kita tahu secara jelas ditir nasib kita, di dunia ini mahupun akhirat kelak. Jawapannya ialah tidak sama sekali.

Menurut pakar motivasi terkenal negara kita Malaysia, Dato' Dr Fadzilah Kamsah. Manusia perlu perubah setiap hari, ini adalah kerana mereka itu hidup. Manusia yang tidak berubah tidak akan berjaya, dalam segala hal.

Katanya lagi, orang yang pandai itu belajar dari kesilapan diri sendiri mankala orang yang bijak belajar dari kesilapan orang lain.

Berubahlah, lakukan anjakan Paradigma. Saat ini juga, jangan lengahkan! Kalau tidak kita termasuk dari kalangan mereka yang rugi.

ZahiruddinZabidi

26 August 2009

Kalam Hikmah 14

BACALAH SEJARAH, FIKIRKANLAH KEAJAIBAN-KEAJAIBANNYA; RENUNGKANLAH KEANEHAN-KEANEHANNYA; DAN NIKMATILAH CERITA-CERITA DAN KHABAR-KHABARNYA.
Sejarah ialah fakta yang boleh dicabar.

Hujah saya kepada para pendengar kuliah dan sahabat-sahabat apabila kami membincangkan tentang sejarah. Tidak kiralah apa jua sejarahnya sekalipun. Termasuk sejarah awal Tanah Melayu dan negara yang kita cintai Malaysia.

Bermulanya coretan sejarah Rasulullah SAW yang lebih dikenali sebagai Sirah Nabawiyyah. Ataupun sejarah Rasul dan Nabi sebelumnya. Malah sejarah-sejarah kegemilangan Islam selepas kebangkitan khilafah Islam Madinah, semuanya mempunyai nilai yang tidak mampu dibayar dengan kertas wang malah jongkong emas sekalipun.

Sejarah kebangkitan dan kejatuhan empayar-empayar pemerintahan agong dahulukala. Sebab dan penyebab serta kesannya. Begitu sekali mampu menanam roh perjuangan malah membangkitkan semangat cintakan agama Islam itu sendiri khususnya.

Kitab suci al-Quran juga begitu sekali mencatatkan hampir seribu ayat lebih hanya tentang sejarah dan kisah umat lampau. Tiada lain tujuannya untuk menjadi panduan dan pedoman kepada umat terkemudian iaitu umat nabi Muhammad SAW. Diceritakan bagaimana kaum-kaum yang telah mendustakan, mensyirikkan malah kufur kepada Allah ini akhirnya hancur musnah diazab dengan dahsyat sekali oleh Allah. Dan kesan sejarahnya masih dapat dilihat pada hari ini.

Kisah keangkuhan Firaun, kesombongan Qarun, kejelikan kaum-kaum yang zalim kepada tuhan mereka yakni Allah termasuk kaum A'ad, Tsamut malah Bani Israel yang sememangnya sinonim dengan putar-belit mereka sejak dari dahulu, kini dan selamanya. Sudah jelas direkod di dalam al-Quran. Tidak lebih dari perlunya kita mengambil pengajaran daripada segala kisah yang dilembarkan dalam al-quran itu.

Tidak kurang juga kisah-kisah kaum yang taat kepada Allah dan akhirnya redha Allah bersama mereka, lantas Allah menatijahkan syurga kepada mereka, namun bilangannya sedikit berbanding yang kufur.

Salah satu maddah yang perlu dipelajari semasa saya belajar dahulu ialah IKTIBAR SEJARAH RASUL yang dikendalikan oleh Prof Madya Dr Ali bin Hasan. Kami berbincang dan membahaskan segala persoalan yang amat kritikal, dan banyak persoalan yang muncul dek kerana terdapat percanggahan-percanggahan yang jelas malah tersembunyi di sebalik lembaran-lembaran sejarah itu. Jelas sejarah itu fakta yang masih boleh dicabar.

Tidak kurang juga elemen Israeliyyat yang memang menjadi intipati penambahan ke dalam riwayat-riwayat sejarah lampau. Biarpun ada kisah Israeliyyat yang mempunyai kebenaran kerana diakui bahawa di dalam Taurat dan Injil terlebih dahulu merekod kisah-kisah yang juga diwahyukan dalam al-Quran. Bahkan perkhabaran tentang kelahiran baginda Rasulullah SAW juga terlebih dahulu telah direkod dalam kitab-kitab sebelumnya. Makanya golongan ini pernah berkata: "Kami mengenali Muhammad lebih daripada anak kami sendiri."

Namun yang jelas adalah, bukannya fakta tentang kesohehan riwayat-riwaayat itu yang menjadi tujuan segala wahyu al-Quran itu. Namun sejarah itu mahu memberitahu bahawa JANGAN KAMU BERANI MENJADI SEPERTI KAUM-KAUM YANG ENGKAR INI, PILIH DAN IKUTILAH KAUM-KAUM YANG SOLEH SEBELUM KAMU, KAMU TIDAK AKAN RUGI!

Rasulullah SAW bersabda:

‏ ‏عمران بن حصين ‏ ‏يحدث ‏ ‏أن رسول الله ‏ ‏صلى الله عليه وسلم ‏ ‏قال: ‏ ‏إن خيركم قرني ثم الذين يلونهم ثم الذين يلونهم ثم الذين يلونهم قال ‏ ‏عمران ‏ ‏فلا أدري أقال رسول الله ‏ ‏صلى الله عليه وسلم ‏ ‏بعد ‏ ‏قرنه ‏ ‏مرتين ‏ ‏أو ثلاثة ‏ ‏ثم يكون بعدهم قوم يشهدون ولا يستشهدون ويخونون ولا يؤتمنون ‏ ‏وينذرون ‏ ‏ولا يوفون ويظهر فيهم السمن

Hadis dari Imran bin Husain r.a berkata Rasulullah SAW bersabda:
Sesungguhnya yang terbaik dari kalangan kamu ialah sezaman denganku, kemudian orang yang hidup selepas zaman aku, setelah itu orang yang hidup selepas mereka. Imran berkata: Aku tidak mengetahui kenapakah Rasulullah s.a.w menyebut selepas kurunnya sebanyak dua atau tiga kali. Selepas itu datang satu kaum yang di minta memberi penyaksian tetapi tidak di beri penyaksian, yang berkhianat sehingga tidak boleh dipercayai, yang suka bernazar tetapi tidak melaksanakannya dan sukakan kemewahan.
(Soheh Muslim: 4603)
ZahiruddinZabidi

25 August 2009

Kalam Hikmah 13

KITA HARUS BERGERAK DAN BEROLAHRAGA. JAUHI SIFAT MALAS DAN KETIDAKBERDAYAAN. TINGGALKAN KEKOSONGAN DAN PENGANGGURAN.



Masih saya ingat bilamana keputusan temuduga SPA (Suruhajaya Perkhidmatan Awam) keluar setelah beberapa bulan saya hadir temuduga di Wisma Persekutuan Kota Bharu. Alhamdulillah dan segala puji yang selayaknya untuk Allah atas kurniaan rezeki-Nya. Saya dan Azaruddin lulus temuduga dan bakal menjadi penjawat Awam sedikit masa lagi. Manakala sahabat saya Roslan sekali lagi gagal menempatkan diri walaupun itu bukan kali pertama beliau hadir temuduga.

Ucapan tahniah daripada kawan-kawan pejabat (pada masa itu bekerja sebagai Pembantu Perangkaan sambilan di Jabatan Perangkaan Malaysia bertempat di bangunan Tabung Haji Kota Bharu), sambung menyambung ucapan tahniah mereka diselangi dengan gurau senda mereka, tidak lupa juga bos-bos, kakak-kakak dan abang-abang serta pakcik-makcik yang senior.

Saya pernah berkata, jika dapat kerja tetap dengan kerajaan yang pertamanya saya akan kahwin dan yang keduanya saya akan sambung belajar untuk habiskan Ijazah saya yang tersangkut dahulu.

Saya hanya mampu untuk melafazkan syukur yang tidak terhingga kepada Allah saat itu. Lorong rezeki telah dibuka oleh-Nya. Itulah hakikatnya.

"Untunglah engkau, dah dapat kerja tetap." kata seorang rakan.

"Pakai 'kabel' apa?" soal seorang lagi.

"Tak sangka ye, minta sekali je, temuduga dan terus dapat. Memang betul bertuah la engkau ni." kawan yang lain pula berkata.

"Hmm..ye la, aku ni bukan je nak dapat, temuduga pun tak pernah panggil. Permohonan dah beberapa kali kena perbaharukan." seakan kecewa bunyinya kawan yang ini.

Pertamanya saya jelaskan kepada mereka kejadian ini tidak lebih dari hanya ketetapan Allah kepada saya. Qada' dan qadar-Nyalah tersurat dan tersirat segala natijah hidup ini.

Cuma yang mahu dijelaskan, saya hanya mengikut apa yang perlu dilakukan mengikut peraturan yang ditetapkan. Dan sebenarnya ini adalah temuduga keempat untuk tahun yang sama setelah ketiga-tiga sebelumnya gagal. Silap jika katakan, rezeki itu datang bergolek. Ternyata ada secebis usaha yang perlu digarapkan.

Setelah beberapa kali menghadapi temuduga sebelumnya, ternyata pengulangan 'mood' temuduga itu banyak membantu saya. Kesilapan yang dilakukan pada sesi temuduga lepas mengajar saya untuk lebih bersedia menghadapi temuduuga seterusnya. Persiapan tanggapan pertama melalui pemakaian, laras percakapan dan sebagainya. Ternyata saya sudah bersedia dan tahu apa yang perlu dicakapkan dan tidak perlu dicakapkan.

Selain itu saya juga sedaya upaya mendapatkan surat sokongan Jabatan Perangkaan untuk menjadi penguat bahawa saya sudah berpengalaman dalam sistem kerja sektor kerajaan. Akhirnya persediaan rapi dibuat terhadap data-data, sijil-sjil yang perlu dibawa dan ditunjukkan semasa temuduga. Alhamdulillah, Allah membalas usaha saya setimpalnya setelah beberapa kali gagal sebelumnya.

Allah berfirman dalam surah Al-A'raf ayat 147:


هَلۡ يُجۡزَوۡنَ إِلَّا مَا كَانُواْ يَعۡمَلُونَ
Maksudnya:
Mereka tidak diberikan balasan melainkan (bagi) apa yang mereka telah kerjakan.

Maka dengan itu Sunnatullah adalah selari dengan Syariatullah. Tidak mungkin untuk sesuatu hasil itu berlaku tanpa ada usaha. Untuk memperolehi cahaya mata, seseorang lelaki dan perempuan wajib berkahwin dahulu. Bahkan proses untuk berkahwin, bertunang malah bertemu dengan jodoh itupun memerlukan usaha yang bukan kepalang. Tidak cukup berpegang dengan 'jodoh itu ketentuan Allah dan sudah ditetapakan oleh-Nya.

Soalnya siapa jodoh kita kalau kita tidak berusaha mencarinya, malah mana mungkin jodoh itu hadir kalau tiada keinginan pada diri seseorang itu untuk berkahwin. Begitu juga rezeki, sang papa maupun hartawan. Adakah mereka tahu kadar peruntukan rezeki yang sememangnya Allah dah tetapkan ketikamana di alam rahim ibu mereka lagi? Ternyata tanpa usaha yang digalangi konsep Syariatullah ternyata hasilnya yakni Sunnatullah (qada' dan qadar Allah SWT: yang baik maupun sebaliknya) tidak akan kedapatan.

Makanya berusahalah dengan kadar 100% dan seterusnya tawakkal kepada Rabb juga 100% pasti yang terbaik Allah tetapkan untuk kita. Menjadi kesilapan jika keduanya dibahagi sama rata kerana ianya hanya menyebabkan umat ini malas dan terus alpa dari berusaha.

ZahiruddinZabidi

24 August 2009

Kalam Hikmah 12


KELUARLAH DAN PERHATIKAN ALAM SEKELILING. PERHATIKAN KEBUN-KEBUN YANG INDAH, DAN TELITILAH MAKHLUK ALLAH DAN KEINDAHAN CIPTAAN SANG PENCIPTA.


Allah menciptakan denai alam ini dengan tujuan. Dari sekecil-kecil makhluk yang dinamakan mikrorganisma hingga kepada sebesar-besar kejadian alam cakerawala, semuanya sengaja Allah ciptakan khusus untuk manusia itu melihat, memerhati, berfikir dan seterusnya mengiakan akan kebesaran dan kebijaksaan Khaliq yang tiada tandingan tentunya.


Firman Allah dalam surah Yunus ayat 24 yang berbunyi:


إِنَّمَا مَثَلُ ٱلۡحَيَوٰةِ ٱلدُّنۡيَا كَمَآءٍ أَنزَلۡنَـٰهُ مِنَ ٱلسَّمَآءِ فَٱخۡتَلَطَ بِهِۦ نَبَاتُ ٱلۡأَرۡضِ مِمَّا يَأۡكُلُ ٱلنَّاسُ

وَٱلۡأَنۡعَـٰمُ حَتَّىٰٓ إِذَآ أَخَذَتِ ٱلۡأَرۡضُ زُخۡرُفَهَا وَٱزَّيَّنَتۡ وَظَنَّ أَهۡلُهَآ أَنَّہُمۡ قَـٰدِرُونَ عَلَيۡہَآ أَتَٮٰهَآ أَمۡرُنَا
لَيۡلاً أَوۡ نَہَارً۬ا فَجَعَلۡنَـٰهَا حَصِيدً۬ا كَأَن لَّمۡ تَغۡنَ بِٱلۡأَمۡسِ‌ۚ كَذَٲلِكَ نُفَصِّلُ ٱلۡأَيَـٰتِ لِقَوۡمٍ۬ يَتَفَڪَّرُونَ

Maksudnya:
Sesungguhnya bandingan kehidupan dunia hanyalah seperti air hujan yang Kami turunkan dari langit, lalu (tumbuhlah dengan suburnya) tanaman-tanaman di bumi dari jenis-jenis yang dimakan oleh manusia dan binatang bercampur-aduk dan berpaut-pautan (pokok-pokok dan pohonnya) dengan sebab air itu hingga apabila bumi itu lengkap sempurna dengan keindahannya dan berhias (dengan bunga-bungaan yang berwarna-warni) dan penduduknya pun menyangka bahawa mereka dapat berbagai-bagai tanaman serta menguasainya (mengambil hasilnya) datanglah perintah Kami menimpakannya dengan bencana pada waktu malam atau pada siang hari lalu Kami jadikan ia hancur-lebur, seolah-olah ia tidak ada sebelum itu. Demikianlah Kami menjelaskan ayat-ayat keterangan Kami satu persatu bagi kaum yang mahu berfikir (dan mengambil iktibar daripadanya).

Ramai pengkaji-pengkaji barat dulu dan sekarang berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk mengkaji dan merungkai tentang asal usul alam ini. Seterusnya setelah beberapa lama satu-satu persatu persoalan mereka itu dijawab oleh mereka sendiri namun, apa yang lebih mengejutkan mereka adalah apabila mendapati sebenarnya segala persoalan mereka telah dijawab di dalam wahyu Allah yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW semenjak lebih 1400 tahun dahulu.

Akhirnya ramai di antara mereka yang tidak lagi mampu untuk mengiakan lantas mentauhidkan Allah dan menyetujui Nabi Muhammad itu utusan dan Rasul terakhir. Seterusnya golongan ini juga mengakui bahawa al-Quran telah menafsirkan Sains dan dalam masa yang sama Sains telah menafsirkan al-quran.

Ini adalah kerana Allah penuh dengan kekuasaan menjadi dan menghapuskan segala apapun di muka bumi ini malah alam semesta ini. Banyak lagi rahsia petala langit dan bumi tidak manusia mampu selami, namun cukuplah dengan apa yang Allah ta'ala berikan untuk kita akhirnya tidak kufur dan syirik dalam beribadat dan taat kepada-Nya. Keperluan ini mengikut spesifikasi yang telah Allah tetapkan dan sebagaimana yang telah dirakam dalam al-Quran.

Firman Allah dalam surah A'li-Imran ayat 191 yang berbunyi:

ٱلَّذِينَ يَذۡكُرُونَ ٱللَّهَ قِيَـٰمً۬ا وَقُعُودً۬ا وَعَلَىٰ جُنُوبِهِمۡ وَيَتَفَڪَّرُونَ فِى خَلۡقِ ٱلسَّمَـٰوَٲتِ وَٱلۡأَرۡضِ رَبَّنَا

مَا خَلَقۡتَ هَـٰذَا بَـٰطِلاً۬ سُبۡحَـٰنَكَ فَقِنَا عَذَابَ ٱلنَّارِ
Maksudnya:
(Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab Neraka.

Tiada lain yang amat diharapkan oleh seorang yang bernama muslim melainkan selamat dari api neraka dan dikurniakan oleh kerahmatan Allah akan syurga-Nya.

Zahiruddin Zabidi

21 August 2009

Kalam Hikmah 11

DUNIA DIBANGUNKAN BERDASARKAN PERATURAN, KERANA ITU SEHARUSNYA KITA MENGATUR PAKAIAN, RUMAH, PEJABAT DAN KEWAJIPAN-KEWAJIPAN ANDA.

Firman Allah ta'ala dalam surah Yunus ayat 6:

إِنَّ فِى ٱخۡتِلَـٰفِ ٱلَّيۡلِ وَٱلنَّہَارِ وَمَا خَلَقَ ٱللَّهُ فِى ٱلسَّمَـٰوَٲتِ وَٱلۡأَرۡضِ لَأَيَـٰتٍ۬ لِّقَوۡمٍ۬ يَتَّقُونَ 

Maksudnya:
Sesungguhnya pada pertukaran malam dan siang silih berganti dan pada segala yang dijadikan oleh Allah di langit dan di bumi, ada tanda-tanda (yang menunjukkan undang-undang dan peraturan Allah) kepada kaum yang mahu bertakwa.

Allah berfirman lagi dalam surah An-Nahl ayat 48:

أَوَلَمۡ يَرَوۡاْ إِلَىٰ مَا خَلَقَ ٱللَّهُ مِن شَىۡءٍ۬ يَتَفَيَّؤُاْ ظِلَـٰلُهُ ۥ عَنِ ٱلۡيَمِينِ وَٱلشَّمَآٮِٕلِ سُجَّدً۬ا لِّلَّهِ وَهُمۡ دَٲخِرُونَ
Maksudnya:
Tidakkah mereka melihat dan memikirkan segala yang telah dijadikan oleh Allah, yang beredar (berpindah-randah) bayang-bayangnya ke kanan dan ke kiri (pada pagi dan petang), dengan keadaan tunduk menurut peraturan dan kehendak Allah, sedang mereka merendah diri?

Seterusnya Allah berfirman lagi di dalam surah Al-Ahzab ayat 62:

سُنَّةَ ٱللَّهِ فِى ٱلَّذِينَ خَلَوۡاْ مِن قَبۡلُۖ وَلَن تَجِدَ لِسُنَّةِ ٱللَّهِ تَبۡدِيلاً۬
Maksudnya:
Yang demikian adalah menurut "Sunnatullah" (undang-undang peraturan Allah) yang berlaku kepada orang-orang yang telah lalu dan engkau tidak sekali-kali akan mendapati sebarang perubahan bagi "Sunnatullah" itu.

Dalam surah al-Fatir ayat 41 Allah berfirman:

إِنَّ ٱللَّهَ يُمۡسِكُ ٱلسَّمَـٰوَٲتِ وَٱلۡأَرۡضَ أَن تَزُولَاۚ وَلَٮِٕن زَالَتَآ إِنۡ أَمۡسَكَهُمَا مِنۡ أَحَدٍ۬ مِّنۢ بَعۡدِهِۚۦۤ إِنَّهُ ۥ كَانَ حَلِيمًا غَفُورً۬ا
Maksudnya:
Sesungguhnya Allah menahan dan memelihara langit dan bumi supaya tidak berganjak dari peraturan dan keadaan yang ditetapkan baginya dan jika keduanya (ditakdirkan) berganjak maka tidak ada sesiapapun yang dapat menahannya daripada berlaku demikian selain dari Allah. Sesungguhnya Dia Maha Penyabar, lagi Maha Pengampun.


Maha benar Allah seperti mana lembaran kalam-Nya.
Ayat-ayat diatas menggambarkan kekuasaan mutlak hanya milik Allah. Sifat Rubibiyyah Allah ta'ala diyakini dan diakui oleh orang Islam dan bukan Islam juga. Tujuan dan cara serta aturan sebagai seorang hamba Allah sudah dijelaskan malah sudah dicontohkan di dalam al-Quran dan al-Hadith. Melaksanakan tugasan Ubudiyyah seorang hamba kepada Tuannya dengan menghamburkan setulus laras hati kepada Uluhiyyah Allah ta'ala adalah kewajipan.
Haram menyekutukan Allah, dosa syirik adalah dosa yang paling utama dan besar. Tiada khilaf ulama' dalam hal menyekutukan Allah ini. Allah itu Esa, Muhammad SAW adalah hamba dan utusannya. Haram kita mengurang dan melebihkan mereka luar daripada kadar yang sudah ditetapkan al-Quran dan al-Hadith.
Aturkan hidup kita dengan hanya menjadi pengikut kepada yang haq. Kerana hanya petunjuk di jalan yang benar akan mendatangkan kebahagiaan abadi dunia dan akhirat. Islam, Iman dan Ihsan adalah akidah Mukmin. Allah tujuan kita, hidup mahupun mati. Aturkan mengikut kaedah yang paling afdhal menuju redha Allah. Syurga natijah kita kelak, insya-Allah.
ZahiruddinZabidi

20 August 2009

Kalam Hikmah 10

BUKU ADALAH SAHABAT YANG TERBAIK . BERGAULLAH DENGAN BUKU. BERSAHABATLAH DENGAN ILMU DAN BERTEMANLAH DENGAN MA'RIFAH (PENGETAHUAN).


Dalam perkongsian yang sebelumnya saya telah kongsikan kenapa buku itu perlu menjadi sahabat baik kita. Namun sebagai umat Islam yang berakidahkan rukun Islam, Iman dan Ihsan maka ada satu buku yang semestinya perlu kita utamakan sebelum kita mengutamakan buku-buku yang lain iaitu al-Quran.

Saya pernah menekuni kelas Prof Madya Dr Mustafa Abdullah, pensyarah Jabatan Al-Quran dan Al-Hadith, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya yang bertanggungjawab memberi saya ilmu yang amat penting dalam meningkatkan pengetahuan khusus dalam memahamkan saya tentang Ulum al-Quran. Beliau telah mencurahkan maudu' ilmu yang sangat penting yakni Usul Tafsir kepada kami semua dengan begitu komited dan telus sekali. Semoga beliau dirahmati Allah dan saya dapat lagi belajar dengan beliau insya-Allah.

Saya agak suka bertanya dalam sesi kelas beliau dan juga mengutarakan pendapat dan hujah saya secara terbuka ketika beliau mengajar mengajar dek kerana sikapnya yang terbuka. Beliau juga akan menjawab dengan sebaik mungkin untuk memberi kefahaman dan menghuraikan persoalan kami dengan dinamik sekali. Akhirnya perbincangan ataupun perbahasan di dalam kelas menjadi begitu ilmiah dan harmonis sekali. Lalu ilmu-ilmu terus dicerna melalui persoalan-persoalan bernas yang kemudian dirungkaikan dengan hikmah oleh guru saya ini.

Pemahaman al-Quran itu selain dari kita mempelajari cara bacaan, tajwid, makhraj dan lainnya. Juga jangan kita lupa bahawa al-Quran itu diturunkan sebagai petunjuk (huda) kepada sekalian manusia. Maka dengan mempelajari ilmu Usul Tafsir tersebut kita akan lebih dekat untuk memahami al-Quran dengan mengetahui kaedah-kaedah penafsiran al-Quran oleh para ulama, muktabar sepanjang zaman.

Tentunya penafsiran al-Quran yang terbaik ialah dengan ayat Quran sendiri kerana Allah dengan sifat maha mengetahui akan lebih mengatahui maksud kalam-Nya itu. Seterusnya ialah Baginda Rasulullah SAW kerana Bagindalah Rasul yang bertanggungjawab untuk menerima dan menyampaikan wahyu atau kalam Allah itu. Seterusnya ialah para sahabat sezaman dengan Baginda dan anak murid mereka (tabi'in) dan murid kepada murid mereka (tabi' tabi'in). Mereka yang terdiri dari kalangan umat 3 abad terawal inilah menjadi sumber kepada penafsiran al-Quran oleh ulama'-ulama' selepasnya hingga ke hari ini.

Teruja dan syukur sekali bila saya berpeluang untuk mengetahui bahawa kaedah penafsiran al-Quran sebenarnya terbahagi kepada 3 iaitu:

1. Tafsir bi al-ma'thur
2. Tafsir bi al-ra'yi
3. Tafsir bi al-isyari

Kemudian saya mula didedahkan untuk mengenali para mufassir-mufassir di kalangan sahabat Baginda Rasulullah SAW, tabi'in, tabi' tabi'in seterusnya ulama'-ulama' muktabar kemudiannya. Insya-Allah saya akan berkongsi terus-menerus dengan pengunjung laman saya agar lafaz bersahabatlah dengan ilmu dan bergaullah dengan makrifah (pengetahuan) bukan hanya slogan yang ditulis dan diucap namun diamalkan juga (al-amalu bil jawarih) insya-Allah.

Zahiruddin Zabidi

10 August 2009

Kalam Hikmah 9

CUBALAH MENGASINGKAN DIRI DARI MANUSIA, KECUALI UNTUK KEBAIKAN. JADILAH ORANG YANG SENTIASA BERADA DI DALAM RUMAH. LAKSANAKANLAH URUSAN KITA DENGAN BAIK DAN KURANGI PERGAULAN DENGAN ORANG LAIN TANPA FAEDAH.
Dengan Nama Allah, kalau diperhatikan sekeliling kita ternyata terlalu banyak elemen negatif berbanding dengan elemen positif. Suasana yang berada di sekeliling kita ternyata amat mempengaruhi hidup kita. Secara langsung mahupun tidak langsung.

Manusia itu sangatlah pelbagai, lain rupa lainlah hati. Bahkan kadang-kadang diri sendiri pun kita tidak fahami. Kadang-kadang begitu malah begini pula. Resahnya bukan main, bila difikirkan punca resah itu, nyata buntu. Terus mencari jawapan.

Maka adalah bagus untuk mengurangkan elemen negatif daripada manusia dan ragamnya di sekeliling kita maka kita lebihkan masa untuk aktiviti bersendirian. Bukanlah maksudnya tidak perlu bermuamalat langsung, namun bataskan. Bahkan kalau boleh pastikan pergaulan itu adalah yang bermanfaat pada diri.

Adalah tidak salah kalau kita banyak bergaul dengan sahabat-sahabat yang sentiasa mengungkapkan untaian kata hikmah dan nasihat. Begitu juga kalau dapat berdamping dengan para guru yang walaupun bukan dengan lafaz tegurannya namun cukup dengan perilaku yang menggambarkan akhlak yang sungguh baik untuk tatapan dan pedoman kita.

Namun ada sahabat yang lebih baik dan setia. Sentiasa mendidik tanpa banyak bicara, sentiasa megawasi walaupun kita alpa, saat kita memerlukannya ternyata dia sentiasa di sisi, sesungguhnya dia tidak akan pernah menyakitkan hati dengan teguran yang sinis namun dia penuh dengan keutamaan dalam menyampaikan ilmu yang dimiliknya. Sesungguhnya begitu sekali dia mencintai kita. Kerana dia jualah kita boleh berhubung dengan sejarah silam, malah berguru dan bertalaqi dengan ulama'-ulama' awwalin dan muta'akhirin dengan begitu dekat dan rapat sekali, indahnya kalau kita mempunyai karamah Al-Imam Al-Syafi'i.

Bacalah, berdampinglah, cintailah apa yang dinamakan sebagai BUKU.

Kerana wahyu pertama dari Rabbuna Allah-azzawajal adalah seperti yang tercatat dalam surah al-Alaq ayat 1 hingga 5:

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ

ٱقۡرَأۡ بِٱسۡمِ رَبِّكَ ٱلَّذِى خَلَقَ (١) خَلَقَ ٱلۡإِنسَـٰنَ مِنۡ عَلَقٍ (٢) ٱقۡرَأۡ وَرَبُّكَ ٱلۡأَكۡرَمُ (٣) ٱلَّذِى عَلَّمَ بِٱلۡقَلَمِ (٤) عَلَّمَ ٱلۡإِنسَـٰنَ مَا لَمۡ يَعۡلَمۡ (٥)

Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.

[1] Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk),
[2] Dia menciptakan manusia dari sebuku darah beku;
[3]
Bacalah dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah;
[4]
Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan;
[5] Dia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.

ZahiruddinZabidi