28 February 2011

Mana Klinik 1Malaysia di Wangsa Maju?

Oleh Zahiruddin Zabidi

SELEPAS hampir dua tahun bermastautin di Wangsa Maju, saya ada beberapa kali berkunjung ke Klinik Kesihatan Setapak dan yang terakhir adalah pagi semalam (28 Feb 2011). Namun tahun demi tahun tiada penambahbaikan yang dilakukan, sedangkan kapasiti penduduk yang berkunjung ke klinik tersebut saban hari semakin bertambah.

Klinik yang mengambil dua unit lot kedai dua tingkat yang diubahsuai tersebut dilihat sangat tidak memberikan keselesaan kepada masyarakat yang rata-ratanya adalah warga emas. Dengan keadaan yang sempit dan terhad, ianya menyebabkan suasana di dalam klinik kerap kali menjadi riuh rendah dan tidak cukup tempat duduk.

Jika diamati, bangunan kedai tersebut sudah tidak relevan lagi dijadikan klinik kesihatan bertaraf daerah kerana tidak lagi mampu menampung jumlah penduduk yang semakin ramai. Mereka yang umumnya berbangsa Melayu, Cina dan India kebanyakannya pula adalah penduduk flat Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang tidak berpedapatan tinggi.

Bukan tidak ada perkhidmatan klinik swasta di sekitar Setapak dan Wangsa Maju, namun yuran perkhidmatan yang tinggi menyebabkan rakyat marhaen pelbagai bangsa itu tidak mampu dan rasa tidak berbaloi bagi mendapatkan rawatan di sana.

Mungkin ada yang beranggapan kenapa tidak pergi sahaja ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) yang juga tidak berapa jauh, kurang 10 kilometer dari Wangsa Maju? Wajar dinyatakan bahawa bukan semua penduduk mempunyai kemudahan pengangkutan sementelah kebanyakan mereka adalah warga emas dan berpendapatan rendah dan ada yang tidak tetap.

Justeru, saya mewakili masyarakat pelbagai kaum yang bermastautin di Wangsa Maju dan Setapak memohon serta merayu pihak Kementerian Kesihatan memandang serius akan hal ini serta mengambil tindakan tuntas. Disyorkan sama ada penempatan baru sebuah klinik yang lebih besar dan selesa dibina segera atau tambahkan sahaja sebuah atau dua buah Klinik 1Malaysia sebagaimana yang sudah wujud di sesetengah tempat.

27 February 2011

Sinopsis karya terbaru

CAROLYNN JOSHEPINE, gadis 22 tahun itu adalah anak kepada pegawai diplomatik kerajaan British yang pernah berkhidmat di Malaysia selama 10 tahun. Ayahnya sering bercerita tentang Malaysia selain pandai bercakap bahasa Melayu. Carolynn juga pernah tinggal di Malaysia sehingga umurnya 5 tahun.

Carolynn yang melanjutkan pengajian peringkat ijazah sarjana mudanya telah mengambil kursus kajian bahasa dan mengfokuskan pengkajian dalam bahasa Melayu, ini menyebabkan Carolynn telah terbang ke Malaysia untuk berkursus bahasa Melayu di fakulti bahasa moden UPM selama 3 bulan.

Di sana Carolynn telah didedahkan dengan pembelajaraan kesusasteraan Melayu dan sejarah Tanah Melayu. Perkaitan dengan penjajahan British dan kesannya kepada Tanah Melayu, secara tidak langsung Caroline mula terdedah dan tertarik kepada Islam.

Ketika di UPM, Carolynn cuba rapat dengan seorang pemuda yang menjadi fasilitator program tersebut. Pemuda bernama Rihazuddin bin Habibuddin atau Rihaz itu adalah pelajar tahun akhir fakulti tersebut, dia berasal dari Kelantan.

Rihaz lebih dikenali sebagai ‘ustaz’ kerana kebolehan dan kefahamannya dalam agama selain selalu berceramah dan berkuliah, ini adalah kerana Rihaz adalah lulusan diploma dalam bidang Usuluddin sebelum mengambil keputusan menyambung ijazah sarjana muda dalam bahasa Melayu kerana kecintaannya kepada kesusasteraan Melayu yang sangat akrab dengan kesusasteraan Islam itu sendiri.

Rihaz juga aktif berpesatuan dan merupakan mantan setiausaha agung PMIUPM. Kini Rihaz banyak memfokuskan tarbiyah adik-adik pelapis melalui aktiviti usrah selain sibuk berkarya.

Carolynn banyak berbincang mengenai Islam selain tentang bahasa Melayu itu sendiri. Sebenarnya Carolynn sudah lama memendam perasaan ingin tahu tentang Islam namun tidak disuarakan kerana tidak tahu kepada siapa ingin dia bertanya. Pertemuan dengan Rihaz merupakan serampang dua mata bagi Carolynn, selain boleh dirinya merujuk dan bertanya tentang masalah bahasa Melayu sekaligus perbincangan agama menjadi kelaziman mereka.

Hal ini berterusan walaupun selepas Carolynn kembali ke Britain setelah tamat berkursus selama tiga bulan, perbincangan mereka semakin rancak dan mereka saling berbalas emel sehinggalah Carolynn tertarik kepada Islam.

ZAHIRUDDIN ZABIDI
http://kalamkhalifah.blogspot.com/

26 February 2011

Ulasan cerpen "Jalan Tengah", Tunas Cipta, Februari 2011

Oleh Dr Siti Hajar Che Man
Tunas Cipta, Mac 2011, muka surat 13-14

Menerusi cerpen “Jalan Tengah” oleh Zahiruddin Zabidi, khalayak ditemukan dengan watak Aku yang hanya dikatakan sebagai, “aku, selaku hamba yang baru mahu pulang ke agama yang diredai Allah.” Secara keseluruhannya pengarang membina watak Aku dengan permasalahan yang tersendiri, berkonflik dalam kotak fikirannya, terutamanya tentang kerisauan, kekecewaan, kecelaruan terhadap pegangan dan perbalahan dalam agama Islam melalui media baharu, umpamanya facebook, twitter, blog dan forum-forum. Watak Aku ingin melihat dan mencari kesempurnaan dan tidak ada lahi kekhilafan dalam kefahaman beragama, tidak ada lagi tuduh menuduh untuk menegakkan kebenaran dan tidak ada lagi yang mendabik dada bahawa dialah yang benar. Sehinggalah pada hari cuti kemerdekaan, Aku menghadiri suatu program diskusi dan wacana agama yang dianjurkan oleh PMIUPM bertajuk, “1 Akidah 1 Ummah”, disampaikan oleh Ustaz Muhammad Zuhri al-Mawari , kekusutan dalam minda watak Aku semakin terlerai. Itulah inti yang ingin disampaikan oleh Zahiruddin Zabidi. Maka bagaimana elemen klimaks digabungjalinkan dalam olahan cerpen ini.

Secara keseluruhan, tidak ada elemen klimaks yang ketara, maka peleraian cerpen ini tidak dibendung atau diikat dengan satu adegan yang akan menyebabkan khalayak ternanti-nanti apakah yang bakal terjadi kepada watak Aku mahupun dalam majlis wacana ilmu itu. Untuk menghidupkan elemen klimaks sekali gus menimbulkan suspens, Zahiruddin seeloknya membina peristiwa yang cukup tragis dan dramatik sebagai kemuncak cerita yang akan meninggalkan impak yang lebih mengancam. Umpamanya, persoalan kekhilafan yang mungkin ditimbulkan oleh peserta majlis yang akan memperlihatkan kewibaan Ustaz Zuhri menangani masalah tersebut, atau yang lebih mengundang rasa cemas dan tegang, watak Aku dapat mendominasi wacana diskusi untuk menyerlahkan pandangan pandangan yang selama ini berkonflik dan terpendam dalam hatinya. Saya juga terkesan bahawa Aku yang diciptakan Zahiruddin adalah watak yang tidak lepas daripada penyakit prejudis. Ada banyak prasangka dalam watak Aku yang harus diperbetulkan sebelum watak Aku melihat kelemahan atau prejudis terhadap keadaan sekeliling. Watak ini mahukan kesempurnaan dan kebenaran tetapi dalam dirinya masih ada sifat-sifat mazmumah, iaitu memandang serong terhadap orang lain.

Yang menarik perhatian ialah Zahiruddin masih mampu mengekalkan tanda tanya kepada pembaca apabila adanya elemen misteri. Kebijaksaan Zahiruddin menjalinkan elemen misteri ini telah berjaya “mengganggu” minda pembaca. Umpamanya, siapakah watak Aku sebenarnya? Persoalan ini menjadi tambah keliru dan kacau apabila ditanya, “dengan siapa ustaz berbual,” lalu jawapan ustaz, “Kawan... kawan saya yang sedang melaksanakan amanah Allah untuk berdakwah di alam sana.” Timbul lagi elemen misteri, apa yang dimaksudkan dengan “di alam sana”. Kemisterian ini selanjutnya dapat dikesan bilamana watak Aku menjelaskan kepada ustaz, bahawa, “kecelaruan di dunia manusia sudah juga menyusup ke dunia kami”. Timbul pula persoalan di mana “dunia kami” Bertambah lagi kemisterian apabila pihak ustaz menjelaskan pula “Alhamdulillah, semoga Allah merahmatimu dan duniamu sahabatku.” Sudah tentu khalayak dibingungkan lagi dengan persoalan “duniamu sahabatku” di mana pula lokasinya?

Satu adegan yang menarik dalam cerpen ini adalah bilamana mata ustaz bertembung dengan mata watak Aku seolah-olah memberikan isyarat mereka sedang berkomunikasi. Ini satu gaya yang cukup fantastik. Walaupun kekurangan elemen klimaks tetapi jika dihalusi dengan baik, cerpen ini kaya dengan elemen misteri. Andainya Zahiruddin dengan imiginasi dan kreativiti yang baik dapat menggabungjalinkan tiga elemen (klimaks+saspens+konflik), pastinya cerpen ini menjadi lebih hebat.


Nota: Tulisan di atas disalin tanpa perubahan daripada tulisan asal. Dijemput mendapatkan naskhah Tunas Cipta edisi Mac 2011 yang menjanjikan tulisan mengenai isu dan karya-karya bermutu daripada para penulis muda yang berbakat, insya-Allah. Alhamdulillah juga, sebuah puisi saya bertajuk Nikmat Di Pagi Hari turut tersiar.

25 February 2011

Nasihat daripada Maulana Abul Hasan Ali An-Nadwi

Oleh Dr MAZA
Sumber: http://www.facebook.com/


Al-Syeikh Abu al-Hasan ‘Ali al-Nadwi r.h ialah seorang tokoh ilmu dan dakwah dari Benua India. Terkenal sebagai seorang zuhud dan bersungguh dalam dakwahnya. Semasa hayatnya dia pernah berikan nasihat  kepada al-Ikhwan al-Muslimin tentang dakwah. Katanya: “Wahai Ikhwan Muslimin yang mulia! Sasaran dakwah al-din dan tajdid Islami (pembaharuan Islam) itu bukanlah mudah. Bukanlah tujuan dan tumpuannya untuk menukar kerajaan semata. Tidak jua untuk mengubah satu suasana politik kepada suasana politik yang lain. Tidak untuk menyebarkan pengetahuan dan ilmu, atau menghadapi buta huruf dan kejahilan, atau memerangi pengangguran, atau mengubati kecacatan masyarakat dan akhlak atau seumpamanya seperti yang diperjuangkan oleh para pejuang perubahan di Barat dan Timur. Sebaliknya, ia adalah seruan Islam yang merangkumi akidah dan akhlak, amalan dan siasah, ibadah juga keperibadian diri dan masyarakat. Ia meliputi akal dan jiwa, ruh dan jasad. 


Ia bergantung kepada perubahan mendalam dalam jantung hati dan jiwa, akidah dan akal... istimewanya dakwah dan kesungguhan para nabi ialah ketulusan mereka dari memikirkan kepentingan kebendaan, hasil yang segera. Mereka tidak mencari dengan dakwah dan jihad mereka melainkan keredhaan Allah. Melaksanakan perintahNya dan menunaikan risalahNya. Akal dan pemikiran mereka tulus dari amalan untuk dunia, mendapat kedudukan, menghasilkan kekuatan untuk keluarga dan pengikut, memperolehi kerajaan. Bahkan itu semua tidak pernah terlintas dalam fikiran mereka. Adapun kerajaan yang tertegak untuk mereka pada waktu mereka dan kekuatan yang diperolehi pada masa itu hanyalah hadiah daripada Allah. Ia sebagai jalan untuk sampai kepada matlamat agama, melaksanakan hukum-hakamnya, mengubah masyarakat dan mengarahkan kehidupan.…


Wahai tuan-tuan! Besarnya perbezaan antara matlamat yang dituju, dan natijah yang muncul. Perbezaan ini akan zahir dalam jiwa yang bekerja untuk itu. Maka, yang bertujuan mendapatkan kerajaan, akan hilang kesungguhan dan diam apabila tidak memperolehinya, atau hilang harapan mendapatkannya. Dia akan berhenti dari dakwah. Dia juga akan melampau jika berjaya.. Wajib kepada kita membersihkan akal dan jiwa kita, semata-mata untuk dakwah. Hanya dakwah, khidmat, pengorbanan, mengutamakan saudara muslim, mengeluarkan manusia dengan izin Allah daripada segala kegelapan kepada cahaya (Islam), dari jahiliyah kepada Islam, dari kesempitan dunia kepada keluasannya. Dari kekejaman agama-agama yang sesat, sistem-sistem yang zalim, mazhab-mazhab yang tidak menentu, kepada keadilan Islam dan lembayungnya. 


Faktor yang membawa kita kepada amal dan jihad hanyalah untuk menunaikan perintah Allah dan kemenangan pada Hari Akhirat. Juga kerana apa yang Allah sediakan untuk hamba-hambaNya dari ganjaran dan pahala. Kemudian, faktor lain ialah simpati kepada makhluk, kasihan kepada insan yang terseksa, dan keinginan terhadap keselamatan manusia.Jika pada satu peringkat dakwah, atau pada satu masa setelah prinsip-prinsip dakwah dan akidah kukuh dalam jiwa pendakwah - tujuan dakwah tidak dapat dicapai melainkan dengan mendapatkan kerajaan, kita akan berusaha untuk mendapatkannya. Demi kemaslahatan dakwah. Dengan jiwa yang luhur dan bersih, benar dan amanat, kusyuk dan tulus, seperti kita bersungguh dalam tanggungjawab dan rukun agama, juga ibadah-ibadah yang lain. Tiada beza bagi seorang mukmin antara kerajaan dan ibadah yang lain, jika telah ikhlas dan betul niatnya. Kesemua itu dalam redha Allah, kesemuanya pada jalan Allah. Kesemuanya ibadah yang mendekatkan diri kepada Allah.  


-Al-Qaradawi, Al-Syeikh Abu al-Hasan al-Nadwi kama ‘araftu, m.s.122-125, Damsyik: Dar al-Qalam.

24 February 2011

Kata pengantar (karya terbaharu)

Assalamualaikum wrt,

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam. Tuhan yang mengaturkan perjalanan alam semesta ini daripada tiada kepada ada, dan kemudian daripada ada menuju kepada tiada. Kepada-Nya jua kita akan kembali tanpa dilambat mahupun dipercepat walau sesaat.

Selawat dan salam atas junjungan mulia Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga dan keturunan baginda keseluruhannya, sahabat-sahabat seperjuangan baginda serta para tabi'in dan tabi' tabi'in dan seterusnya para imam, alim ulama dan cendekiawan Islam yang meninggalkan jasa yang besar kepada kita pada hari ini.

Cerita-cerita sememangnya merupakan kaedah yang sangat mesra dan akrab bagi menyampaikan dakwah kepada manusia. Menjadi fitrah manusia suka mendengar cerita sehingga terciptanya pelbagai kisah dongengan dan hikayat yang bertujuan bagi menyampaikan nasihat dan teladan kepada masyarakat zaman berzaman.

Allah dan Nabi Muhammad juga menggunakan kaedah cerita bagi menyampaikan ibrah yakni pengajaran atau hikmah kepada manusia. Dalam al-Quran sendiri sebahagian daripada kalam Allah itu adalah berbentuk cerita. Begitu juga dalam hadis yang direkodkan daripada Rasulullah SAW.

Allah taala menyatakan dalam al-Quran yang bermaksud:

“Kami menceritakan kepadamu kisah yang paling baik dengan mewahyukan al-Quran ini kepadamu, dan sesungguhnya kamu sebelum (Kami mewahyukan)nya adalah termasuk orang-orang yang belum mengetahui.”
(Surah Yusuf, ayat 3)

Kemudian Allah sekali lagi menyatakan dalam surah sama yang bermaksud:

“Sesungguhnya pada kisah-kisah mereka itu terdapat pengajaran bagi orang-orang yang mempunyai akal. Al Quran itu bukanlah cerita yang dibuat-buat, akan tetapi membenarkan (kitab-kitab) yang sebelumnya dan menjelaskan segala sesuatu, dan sebagai petunjuk dan rahmat bagi kaum yang beriman.”
(Surah Yusuf, ayat 111)

Justeru menggunakan penulisan sebagai medium pengantar dakwah kepada masyarakat adalah satu daripada cabang-cabang dakwah yang penting. Perlu ada golongan agamawan yang menyambung tinta ulama terdahulu yang juga selain daripada menulis bahan ilmiah yang berat dalam masa yang sama menceburkan juga diri dalam penulisan kreatif.

Kita ada Prof Dr Hamka dan Tok Kenali dan ramai lagi ulama yang menggunakan sajak, syair, cerpen, novel bagi menyampaikan dakwah Islam. Dan terbukti melalui penulisan sebegini ianya mampu memberi inspirasi dan aspirasi kepada khalayak pembaca sekaligus mampu mencetuskan perubahan dalam diri mereka.

Mutakhir ini kita ada ramai penulis sekaligus pendakwah yang menggunakan kaedah penceritaan di samping menyelitkan ibrah dan hikmah kepada pembaca secara santai tanpa mengabaikan kalam-kalam yang berbentuk nasihat, teguran, sindiran dan larangan daripada al-Quran dan hadis. Antaranya daripada Galeri Ilmu Sdn Bhd sendiri, buku-buku nukilan Ustaz Hasrizal Abdul Jamil, Ustaz Pahrol Mohd Juoi, Ustaz Amaluddin, Cikgu Abu Hasan Morad, Tuan Haji Zakaria Sungib, Saudara Hilal Asyraff dan ramai lagi sentiasa menjadi bahan bacaan dan rujukan yang sangat mesra dengan kehendak pembaca dewasa ini.

Saya sebagai pendatang baharu dalam dunia dakwah dan penulisan, selepas seketika melibatkan diri dalam dunia penulisan blog, novel, artikel dan rencana, kini sudah sampai masanya saya kira bagi saya membukukan kisah-kisah yang saya sendiri catat dan kutip daripada majlis-majlis ilmu khususnya kuliah Maghrib ke dalam naskhah buku.

Kisah-kisah yang saya nukilkan itu merupakan rakaman dan catatan daripada ustaz-ustaz yang seringkali kita perhatikan suka menggunakan analogi yang menarik dan indah bagi menyampaikan isi dan menghuraikan isu yang dibincangkan dalam kuliah mereka. Analogi yang diberikan sangat logikal malah memudahkan kita sebagai pendengar untuk memahami dan menghadam perbincangan tersebut meskipun isu yang dibincangkan adalah berat dan dalam.

Justeru saya tuliskan kembali analogi kisah-kisah tersebut ke dalam bahasa yang santai dan mudah bagi dikongsikan bersama dengan pembaca, insya-Allah. Malah saya mengharapkan sesiapa sahaja yang membacanya sudi pula menyampaikannya kepada sesiapa sahaja kelak. Dan semoga jua kita sama-sama berkongsi manfaat sebagaimana yang dilafazkan oleh Rasulullah berbunyi al-ilmun yuntafiu bih yang berpanjangan meskipun jasad sudah hancur dimamah bumi.

Akhir kata, terima kasih kerana sudi memiliki naskhah ini dan selamat membaca. Semoga tuan puan beroleh ibrah dan hikmah daripadanya. Dan saya sendiri sering berpegang kepada kata-kata seorang sahabat penulis, “Kita menulis adalah untuk menasihati diri kita sendiri sebenarnya.” Semoga saya terus diberi kekuatan oleh Allah bagi terus menulis sekaligus menjadi tazkirah kepada diri saya sendiri serta menjadi bahan perkongsian dengan ummah.

Maassalam ila liqa, wassalamualaikum wrt.

Yang benar,

ZAHIRUDDIN ZABIDI
zahiruddin_zabidi@yahoo.com.my
http://kalamkhalifah.blogspot.com/

23 February 2011

Rencana sulung dalam ruangan Agama, Berita Harian, 21 Feb 2011

ALHAMDULILLAH, selepas beberapa kali mencuba akhirnya sebuah rencana tulisan saya bertajuk Muslim warisi tugas dakwah daripada Rasul yang mana tajuk asalnya adalah Dakwah tanggungjawab kita semua diterbitkan dalam ruangan Agama, Berita Harian pada 21 Februari 2011.

Insya-Allah ianya menjadi nyalaan obor semangat bagi saya terus menulis dalam erti kata lain berdakwah melalui kalam ini. Dalam masa yang sama sudah ada jujutan tajuk-tajuk karya yang perlu dilunaskan.

Insya-Allah, jika diizinkan Allah. Saya sasarkan dua belas buah buku dalam pelbagai tajuk dan janru sama ada menulis secara berseorang mahupun bergandingan akan terbit pada tahun ini. Semoga diberi kekuatan oleh Allah dan mohon juga sahabat sekalian mendoakan saya agar kerja penulisan ini dinilai pahala oleh Allah.

Salam perkongsian,

ZAHIRUDDIN ZABIDI
http://kalamkhalifah.blogspot.com/

18 February 2011

Sebagai panel Dialog Orang Muda (DOM)


Mengapa mereka sedemikian

Oleh Zahiruddin Zabidi
zahiruddin_zabidi@yahoo.com.my

LAPORAN ruangan Sastera Berita Harian bertarikh 15 Februari 2011 yang sudah begitu mengujakan. Ianya memberikan gambaran yang positif kepada para penulis dan dunia penulisan khususnya.

Dengan menyenaraikan 10 penulis yang paling kaya di dunia, sekaligus dapat memberikan satu gambaran dan motivasi kepada para penulis tanah air dalam apa jua genre agar berusaha dengan lebih tekun dan produktif bagi memenuhi keperluan masyarakat.

Zaman penulis menulis kerana kepuasan diri mereka sendiri sudah berlalu. Apapun pilihan di tangan kita. Pasaran dan peluang bagi memastikan karya kita sampai ke tangan pembaca seluruh negara sudah ada alternatifnya. Tinggal lagi sedikit kerjasama dan kefahaman antara sesama.

Jika ada yang berkata, "Bagaimana mungkin kamu menulis kerana mendasarkan habuan ringgit sebagai matlamat. Di manakah keikhlasanmu?"

Jawapan saya, "Ianya tidak salah di sisi syarak dan merupakan rezeki yang halal. Dan keikhlasan dalam menyampaikan ilmu adalah hak Allah bagi menentukannya."

Saya berimpian mahu menghantar abi (ayah) saya ke Makkah al-Mukaramah mengerjakan umrah dengan bayaran royalti pertama saya tengah tahun ini, insya-Allah. Sudah lama saya niatkan hal ini. 

Dan seterusnya saya akan terus giatkan menulis agar nanti pada 2012, bayaran royalti yang saya terima mampu menyara kos pembelajaran saya sudah dirancang beberapa tahun kebelakangan ini. Nah, apakah salah saya menulis bagi mendapatkan duit?

Dalam masa yang sama... zakat, derma dan urusan kebajikan lain juga tidak boleh dilupakan, insya-Allah.

Saya kagum dengan para penulis luar negara yang mendapat pendapatan puluhan malah ratusan juta dolar namun dalam masa yang sama mereka menubuhkan 'foundation' kebajikan bagi memberikan bantuan kepada mereka yang memerlukan.

Kebiasaannya mereka akan menyumbang kepada pertubuhan amal agama yang mereka anuti. Sehingga kini di Malaysia belum ada penulis yang mampu mencapai tahap tersebut. Dan saya doakan, diri saya menjadi seperti mereka suatu hari nanti, amin.

Insya-Allah, saya akan memulakan penulisan dua buah novel dalam masa terdekat dan mensasarkannya selesai sebelum April 2011 ini. Alhamdulillah dua buah novel sudah terbit bagi tahun ini iaitu Nian Hati Salsabila (PTS Litera, 2011) dan tulisan bersama empat pengarang lain iaitu Siri Kembara Lima Putera: Mencari Pohon Emas (PTS One, 2011).


Juga insya-Allah sebuah buku motivasi keagamaan bertajuk 27 Analogi Berhikmah Dari Kuliah Maghrib akan diterbitkan oleh Galeri Ilmu Sdn. Bhd. bagi menyambut Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL2011) yang bakal menjelma tidak berapa lama sahaja lagi.

Mohon mendoakan saya agar tetap istiqamah dalam perjuangan dakwah penulisan kreatif ini dan jangan dibolakbalikkan hati yang sentiasa perlukan pedoman ini, amin.
________________________________________________________________



Sepuluh penulis terkaya dunia
Oleh Hafizah Iszahanid
hafiza@bharian.com.my
2011/02/15

Karya mereka diterjemahkan ke bahasa asing, difilemkan 



KERJA menulis sebenarnya memberi pulangan lumayan jika kena pada caranya dan apatah lagi jika novel seseorang pengarang itu berjaya menduduki carta jualan laris di pasaran sehingga difilemkan pula.

Walaupun mungkin ada sebahagian penulis menyifatkan karya seni bukanlah berbumbukan wang atau ‘aku menulis bukan kerana nama’, namun pulangan yang lumayan menjadikan ramai penulis terutama di luar negara meletak jawatan dan memilih untuk menjadi penulis sepenuh masa.

Meskipun ketika ini versi buku dalam talian (e-book) menjadi pilihan sesetengah pembaca, namun buku yang dipasarkan dalam bentuk kulit keras atau paper-back tetap menjadi pilihan, apatah lagi jika buku terbabit diadaptasi ke filem.



Buku dalam kategori sedemikian bukan saja menambah publisiti kepada penulisnya, tetapi juga tambahan imbuhan dan penulis yang termasuk dalam senarai terbabit terkaya mendapat perhatian daripada majalah Forbes seperti berikut.



1. James Patterson 

MEMILIKI 51 buku tersenarai dalam carta laris di pasaran dan penulis ini dianggarkan memiliki simpanan berjumlah RM210 juta, sebenarnya berkerja keras untuk kedudukan itu dengan memastikan dua novel lahir setahun bagi memastikan pembaca kekal bersamanya. 


Uniknya, Patterson fobia komputer dan menyiapkan novelnya dengan tulisan tangan sehingga mengagumkan dunia kesusasteraan dengan keupayaannya menghasilkan pelbagai genre dari komedi, romantik, thriller selain karya bukan fiksyen.



Suatu lagi hakikat yang boleh menyebabkan ramai pengarang untuk berasa iri hati atau ‘bunuh diri’ ialah 17 karyanya kebelakangan ini membolehkan Patterson meraih RM300 juta.
2. Stephenie Meyer 

TAHUN lalu, Meyer berjaya memperoleh RM120 juta walaupun dia tidak menghasilkan apa-apa buku kerana sejak 2005 apabila kisah cinta pontianaknya Twilight difilemkan, novel asalnya terjual lebih 100 juta naskhah di seluruh dunia dan diterjemahkan ke 37 bahasa.

Sebelum Siri Twilight, Meyer banyak menulis cerpen dan kemasyhuran pengarang ini disumbangkan oleh filem dalam Siri Twilight yang menjadi kegilaan di seluruh dunia sehingga penulis ternama, Stephen King pernah berkata, ‘dia tidak boleh menulis, tetapi dia berada di tangga kedua,’


3. Stephen King 

‘GODFATHER’ untuk genre seram kontemporari Amerika dan sains fiksyen, King menduduki tangga ketiga dengan pendapatan RM102 juta, walaupun bertarung dengan ketagihan alkohol yang teruk selain ketagihan dadah dan ubat-ubatan yang dipreskripsi, masih kekal sebagai penulis disegani.

Dengan lebih 80 buku yang diadaptasi ke layar perak, King menerima pengiktirafan dunia atas kerja seninya, selain kerap menulis artikel di pelbagai jurnal dan majalah.

Pada 2003, King dianugerahkan Pingat Sumbangan Terbilang Kepada Dunia Persuratan Amerika sebagai tanda mengiktiraf jerih payah pengarang terbabit dalam membangunkan dunia cereka negara itu,


4. Danielle Steel

PENGARANG yang terkenal sebagai ratu untuk genre romantis mempunyai lapan novel menduduki carta laris di pasaran jualan terlaris dan tahun lalu saja, jualan keseluruhan karyanya mencapai RM96 juta.

Novelnya menduduki carta laris di pasaran di New York selama 390 minggu berturut-turut, manakala 20 lagi novelnya diadaptasi ke layar perak.

Walaupun dikritik kerana kebanyakan novelnya mengulang formula kisah cinta klise, kebanyakan pembaca masih setia dengan Steel kerana keupayaannya menulis pelbagai topik dan Steel baru-baru ini mengumumkan novel ke-71nya akan diterbitkan dalam format e-book.


5. Ken Follett 

PENULIS British ini memperoleh pendapatan RM60 juta tahun lalu hasil jualan novelnya dan citranya sebagai penulis genre historikal dan thriller, membolehkan novelnya terjual lebih 100 juta naskhah di seluruh dunia, dengan empat daripadanya menduduki carta jualan laris di pasaran New York.

Follett muncul buat kali pertama pada 1978 menerusi novel Eye of the Needle yang mengisahkan mengenai percubaan perisik Jerman melarikan lari dari Britain, tetapi terkandas dengan sepasang suami isteri dan novel ini difilemkan pada 1981.

Kebanyakan latar tempat dalam novel Follet dekat dengan dirinya, misalnya Salisbury London, selain Antigua dan Afrika Selatan, di samping ada sesetengah lokasi dalam karyanya itu sangat penting baginya dan isteri, bekas ahli Parlimen, Barbara Follet.


6. Dean Koontz 

SETIAP tahun Koontz memperoleh RM54 juta dan Koontz memiliki 44 novel dalam carta jualan laris di pasaran terlaris serta menulis pelbagai genre, sains fiksyen, seram, tetapi Koontz lebih dianggap sebagai penulis genre thriller yang berjaya.

Sebelum menggunakan nama sebenar, Koontz menulis dengan menggunakan nama samaran dan antaranya Trixy Koontz, selain hanya menggunakan nama sebenar apabila menghasilkan novel ke-35.

Dengan 16 buku yang diadaptasi ke filem dan menerbitkan buku setiap tahun, Koontz dijangka kekal berada dalam carta laris di pasaran.


7. Janet Evanovich 

WALAUPUN berjaya menjual lebih 20 juta naskhah setiap tahun, Evanovich memperoleh RM48 juta tahun lalu, sebenarnya mula menulis pada usia 40 tahun dengan 16 novel Evanovich berada dalam carta jualan laris di pasaran.

Rutin penulisan Evanovich sangat ketat iaitu menulis lapan jam sehari dan 12 jam pada hujung minggu, memilih menulis dalam genre romantis, di samping khabarnya novelnya, Stephanie Plum bakal diadaptasi ke filem hujung tahun ini dengan Reece Witherspoon dan Katherine Heigl dikatakan antara calon watak utama.


8. John Grisham 

BEKAS peguam ini tidak lari jauh daripada latar akademiknya dan dengan novel genre thriller kepeguaman, dia memperoleh RM45 juta tahun lalu.

Novel karya Grisham mula memikat pembaca sejak 1989 dan hingga kini 16 filem sudah dihasilkan berdasarkan drama mahkamah tulisan Grisham.

Ketika menulis A Time To Kill, Grisham memulakan rutin penulisannya bermula jam 5 pagi, namun usaha itu tidak memikat penerbit apabila naskhah awalnya ditolak, tetapi peristiwa itu tidak menyebabkan dirinya berputus asa.

Grisham kemudiannya meninggalkan kerjaya sebagai peguam dengan menjadi penulis sepenuh masa dan sehingga kini 250 juta novelnya terjual di seluruh dunia.


9. Nicholas Sparks 

SPARKS adalah muka baru dalam carta laris di pasaran dan tahun lalu beliau memperoleh RM42 juta dengan dua bukunya akan difilemkan tahun ini mungkin melonjakkan kedudukannya pada tahun depan, selain enam novelnya sudah difilemkan termasuk The Notebook.

Pengarang ini memulakan kerjaya penulisan sejak 1985 ketika masih bersekolah, namun, waktu itu beliau gagal menarik perhatian penerbit.

Sparks pernah memasuki sekolah perundangan, tetapi hanya separuh jalan sebelum bekerja sebagai ejen hartanah dan menjual peralatan perubatan melalui telefon, selain The Notebook yang muncul pada 1996 benar-benar mengubah kehidupannya.


10. JK Rowling 

TERKENAL dengan siri ahli sihir muda, Harry Potter, Rowling cukup mengagumkan dan pengiktirafan seluruh dunia terhadap karyanya itu memungkinkan 400 juta naskhahnya itu dijual dengan mudah.

Huruf JK pada hadapan nama Rowling sebenarnya adalah idea penerbit yang bimbang dengan kedudukan Rowling sebagai penulis wanita yang lazimnya gagal menembusi pasaran buku remaja yang dikuasai remaja lelaki.

Bagaimanapun, buku ini bukan saja memikat remaja lelaki, tetapi juga perempuan sehingga difilemkan dan menambah kekayaan Rowling, selain publisiti untuk novelnya membolehkan Rowling disifatkan sebagai seorang daripada selebriti terkaya lagi berpengaruh di Britain. 

17 February 2011

Perbelanjaan pilihanraya itu menggunakan duit rakyat

Oleh Zahiruddin Zabidi
zahiruddin_zabidi@yahoo.com.my

TIDAK diawalkan dan tidak dilewatkan walau sesaat, begitulah gambaran ajal maut oleh Allah dalam al-Quran. Dan kita sebagai hamba kepada-Nya wajib beriman dengan kalam tersebut.

Berita kematian ADUN Kerdau, Datuk Zaharuddin Abu Kassim lewat petang 12 Februari yang lalu mengejutkan ramai pihak, oleh kerana beliau adalah salah seorang daripada wakil rakyat yang memenangi kerusi DUN tersebut melalui pilihanraya, kematian beliau membawa maksud perlunya diadakan pilihanraya bagi mengisi kekosongan tersebut.

Ironinya ini adalah pilihan raya kecil yang ke-16 dalam masa kurang 4 tahun. Dalam keadaan rakyat dan pemimpin parti daripada kedua belah pihak yang masih keletihan berkempen di Tenang, diikuti pula Merlimau dek kematian wakil rakyat dan kini giliran Kuala Krau di Negeri Pahang pula.

Apa yang pasti, perbelanjaan bagi menanggung kos setiap pilihanraya pasti sangat tinggi. Kos bagi petugas SPR, anggota keselamatan, kos yang ditanggung oleh parti secara personal pun pasti tidak kurang ratusan ribu ringgit dan mungkin sahaja jutaan ringgit.

Menurut laporan Berita Harian bertarikh 23/1/2011di bawah tajuk Analisi: Pilihanraya kecil telan kos tinggi menyatakan:

“Selepas 13 pilihan raya kecil bermula Ogos 2008, SPR dilapor sudah membelanjakan lebih RM10 juta, manakala tambahan kira-kira RM1.1 juta lagi diperuntukkan di DUN Tenang. Mungkin juga jumlah dalam lingkungan RM1 juta disalurkan bagi menanggung pilihan raya kecil DUN Merlimau pula.


Itu baru di pihak SPR, belum lagi dicampur perbelanjaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang sudah tentu lebih tinggi kerana tanggungjawabnya juga besar. Dilaporkan hampir RM40 juta dibelanjakan pihak berkuasa itu hanya untuk lima pilihan raya kecil pertama di Permatang Pauh, Kuala Terengganu, Bukit Gantang, Bukit Selambau dan Batang Ai.

Semakin banyak pilihan raya kecil, semakin banyak jugalah kos yang perlu dikeluarkan, namun tidaklah ralat jika kekosongan kerusi yang berlaku itu memang tidak dapat dielakkan seperti kematian atau wakil rakyatnya hilang kelayakan.”

Secara peribadi saya fikir tidak ada alasan kukuh yang membolehkan saya bersetuju dengan kenyataan dalam perenggan ketiga. Sekalipun ianya melibatkan kematian atau wakil rakyatnya hilang kelayakan, kos pilihanraya tetap perlu ditanggung oleh kerajaan dan parti secara peribadi bagi tujuan kempen. 


Perbelanjaan di atas adalah perbelanjaan tiga belas siri pilihanraya kecil sebelum ini dan belum ditambah dengan perbelanjaan yang bakal hangus di Merlimau dan Kerdau.

Dan duit tersebut adalah duit rakyat. Jika benar pihak Kerajaan Barisan Nasional khususnya UMNO prihatin dan mahu berjuang untuk rakyat, pembaziran ini wajib dihalang. Begitu juga kepada pihak Pakatan Rakyat, jika benar-benar ikhlas berjuang untuk rakyat, pembaziran ini juga perlu ditentang.

Sudah ada beberapa cadangan sebenarnya mengenai perkara ini antaranya, SPR perlu mengubah hak kerusi ADUN mahupun Parlimen yang dimenangi oleh mana-mana calon mestilah menjadi hak parti yang mereka wakili bagi tempoh lima tahun tersebut dan bukannya milik calon yang menang nanti.

Justeru, jika ada kematian, lompat parti mahupun hilang kelayakan, pilihanraya semula tidak perlu diadakan. Bagi menggantikan wakil rakyat yang meninggal dunia mahupun lompat parti terserah kepada kebijaksaan parti masing-masing. Mungkin perlu diadakan jawatan timbalan wakil rakyat.

Antara kebaikannya adalah, YB yang memang melalui tiket parti mereka masing-masing pasti tidak akan belot kepada parti masing-masing kerana belot dan lompat parti bermaksud pelucutan automatik jawatan mereka sebagai YB. Dan ini pastinya satu mimpi ngeri kepada mereka.

Saya menyeru kepada pihak BN dan PR yang suara mereka merupakan harapan rakyat agar mereka membuat usul dan dipersetujui secara majoriti penuh kepada dua perkara tersebut di parlimen kelak. Tiada alasan bagi mereka untuk tidak bersetuju akannya jika benar mereka berjuang demi rakyat jelata.

Perbelanjaan yang sudah melebihi RM50 juta daripada duit kerajaan itu wajar dimanfaatkan bagi perkara yang lebih utama kepada rakyat seperti pemerkasaan bidang pendidikan dan pengajian ilmu kepada rakyat. Begitu juga dana parti dan kerahan tenaga kerja ahli parti akan dapat dijimatkan bagi disalurkan ke tempat lain seperti melakukan kerja-kerja amal.

BN juga perlu dan boleh fokus kepada kempen 1Malaysianya dan PR boleh terus berkempen merakyatkan perjuangan mereka. Biarlah Pilihanraya Umum ke-13 yang sudah terasa bahangnya menjadi perhitungan secara adil kepada kedua belah pihak kerana pilihan di tangan rakyat.

15 February 2011

Hosni Mubarak jelmaan Abdullah bin Saba

Oleh Zahiruddin Zabidi
zahiruddin_zabidi@yahoo.com.my

TANGGAL 12 Feb 2011 bakal dikenang dalam kamus dan peta sejarah politik dunia khususnya bagi bangsa Arab. Bermula daripada pengusiran presiden Tunisia, Zainal El Abidin ben Ali seterusnya melarat kepada satu luahan perasan melalui demonstrasi besar-besaran di Mesir yang membawa kepada peletakan jawatan Husni Mubarak selepas 18 hari demontrasi jalanan di seluruh Mesir.

Ironinya, pada hari yang sama juga, pemimpin agung gerakan Islam abad moden ini dan pernah dipersetujui dan diangkat menjadi mujadid kurun lalu iaitu As-Syahid Imam Hasan al-Banna dibunuh dengan kejam menggunakan muslihat kotor pemerintah pada zamannya.

Tuntutan rakyat yang mahukan Presiden Hosni Mubarak yang sudah berada di tampuk kuasa selama 30 tahun turun terus melarat ke negara Jordan yang membawa kepada pembubaran tampuk pemerintahan kerajaan yang sedia ada oleh Raja Abdullah II.

Bahang kebangkitan rakyat terus merebak ke Mauritania, Algeria, Sudan, Yaman dan Oman. Masing-masing mengambil peluang meluahkan ketidakpuasan hati kepada para pemimpin negara masing-masing dan mereka juga keluar berdemontrasi.

Demontrasi bagi menyokong gerakan penurunan Husni Mubarak juga diadakan di kebanyakan negara di dunia seperti di Iran, UK dan Malaysia sendiri. Sekalipun ada penguasa yang tidak senang dengan sokongan tersebut seolah mereka adalah penyokong kepada regim diktator Husni Mubarak.

Dirempuh

Dalam keadaan rakyat Mesir yang sedang dilanda aspirasi bagi menentang regim tersebut, tiba-tiba kita dikejutkan dengan laporan bahawa di sana ada juga demontran yang pro-Mubarak lantas terjadi pertempuran yang menyebabkan kecederaan dan nyawa melayang.

Penyokong pro-Mubarak dikatakan cuba merempuh penunjuk perasaan yang sedang berkumpul dengan menunggang kuda dan unta. Keadaan menjadi kucar-kacir  dan menyebabkan pihak demontran terpaksa membalas provokasi tersebut lantas tercetuslah kekecohan.

Rata-rata respon balas daripada demonstran menyatakan adalah pelik apabila ada pro-Mubarak yang berani berbuat demikian dalam keadaan mereka tahu kebangkitan ini adalah kebangkitan rakyat keseluruhannya. Lantas dakwaan yang paling berasas adalah demontran pro-Mubarak yang membuat kacau adalah polis yang berpakaian preman.

Mereka sengaja membuat kacau-bilau agar pertempuran berlaku dan pihak polis akan dapat mengambil tindakan terhadap para demontran. Provokasi tersebut sengaja dicipta bagi mencipta keadaan kerajaan sekarang masih perlu dikekalkan bagi mengekang kekacauan tersebut daripada terus melarat.

Taktik ini sedikit sebanyak menyamai apa yang dilaksanakan oleh Abdullah bin Saba apabila dia dan kumpulan munafik yang ada dalam tentera Saidina Ali terhimpit dengan rundingan damai yang bakal berlaku antara kelompok Saidina Ali dan Saidatina Aisyah sebelum berlakunya Perang Jamal.

Peperangan itu terjadi kerana salah faham antara kedua belah pihak, kelompok yang menyokong Saidatina Aisyah mahu pembunuh Khalifah Uthman segera diqisas manakala Saidina Ali pula berijtihad bahawa tidak sesuai ianya dijalankan memandangkan kondisi kaum Muslimin secara keseluruhannya yang belum stabil dan belum bersatu sepenuhnya di bawah satu baiah setia kepada khalifah.

Saidina Ali yang sudah dibaiah menjadi khalifah pada masa itu beranggapan, andai sahaja hukuman tersebut tetap dilaksanakan ianya akan menyebabkan perpecahan yang lebih teruk sementelah kelompok munafik yang membunuh Saidina Uthman juga sedang bergabung dan menyebar fitnah dalam kelompok kaum Muslimin.

Pada malam tersebut, semua tentera Islam daripada kedua belah pihak bersyukur dan dapat tidur lena serta senang hati apabila menyangka masalah khilaf yang berlaku antara dua pimpinan tersebut bakal selesai pada keesokan harinya.

Namun kelompok munafik pimpinan Abdullah bin Saba tidak mampu melelapkan mata masing-masing kerana memikirkan nasib mereka apabila kedua kumpulan tersebut bergabung dan mereka pasti akan dihadapkan ke muka pengadilan atas tuduhan merancang dan membunuh Saidina Uthman.

Pada malam tersebut, mereka berjumpa dan merangcang sesuatu. Lantas satu keputusan nekad diambil. Mereka akan memulakan serangan mengejut kepada kedua-kedua pihak secara serentak pada waktu Subuh. Dan pastinya kedua belah pihak menyangka mereka sudah dikhianati oleh satu sama lain dan peperangan tercetus serta mereka akan terselamat daripada perhitungan kerana membunuh Saidina Uthman.

Apabila berlaku serangan mengejut tersebut, masing-masing menyangka bahawa serangan tersebut daripada pihak yang berlawanan walhal ianya adalah provokasi daripada Abdullah bin Saba dan orang-orangnya. Akhirnya peperangan tercetus dengan sangkaan masing-masing sudah dikhianti meskipun lafaz janji damai sudah terucap.

Akhirnya ribuan umat Islam daripada kedua-dua belah pihak ramai yang meninggal dunia. Pihak Saidatina Aisyah kalah dan beliau sendiri cedera. Saidina Ali kemudian memohon supaya Saidatina Aisyah kembali ke Makkah. (Ibnu Kathir, Bidayah Wa An-Nihayah, jld 7, hlm. 249)

Analisis

Provokasi yang menyebabkan penunjuk perasaan yang pada awalnya dilakukan secara aman hanya bertujuan mewujudkan suasana yang kucar-kacir. Begitu juga apabila banduan-banduan dalam penjara meloloskan diri, polis-polis tidak lagi menjalankan tugas mereka.

Dalam masa yang sama, para wartawan dapat mengesan mereka yang memulakan provokasi tersebut selepas merempuh kelompok penunjuk perasaan di Dataran Tahrir dengan menggunakan unta dan kuda kemudiannya masuk ke dalam hotel-hotel yang menjadi markaz tentera kerajaan.

Tujuannya tidak lain adalah bagi menimbulkan gambaran suasana yang tidak selamat kepada rakyat yang sedang bangkit, bahawa mereka masih perlukan kepada kerajaan yang sedia ada khususnya Hosni Mubarak bagi menjamin keselamatan mereka.

Hosni Mubarak sudah membuktikan bahawa dirinya adalah Abdullah bin Saba yang baru dengan menjadi munafik kepada rakyat dan dunia Islam keseluruhan. Dengan menjadi boneka kepada Amerika dan Zionis Israel, beliau tanpa segan silu  dan gerun akan azab Allah dengan terus menerus menekan, menzalimi, membunuh dan membolot segala harta rakyat.

Benar kata orang dahulu, 'orang lapar adalah orang yang marah'. Dan Hosni akan kehilangan Mubaraknya kerana menyebabkan rakyatnya lapar sehingga 30 tahun tempoh pemerintahannya. Dengan izin Allah, masanya sudah tiba bumi Kinanah kembali bersemi dengan syiar Islam sebagaimana zaman Fatimiyyah, Ayyubiyah, Mamalik dan Othmaniyah.

Dalam masa yang sama, baka Abdullah bin Saba yang akan sentiasa wujud ramai bertebaran dalam dunia Islam dan menjadi duri dalam daging wajar dicabut semuanya termasuk yang berada di Malaysia.

Sandiwara Husni Mubarak belum berakhir tika ini. Tentera yang mengambil alih pemerintahan sementera selepas pengumuman perletakan jawatan Husni Mubarak oleh naib presidennya selepas mencicit lari bersama keluarga masih punya pengaruh besar dalam kumpulan tentera yang berkuasa itu. Dan sudah pasti Zionis Israel sudah punya pelan perancangan tindakan bagi mengatasinya.

Kita mengharapkan ruang demokrasi yang lebih terbuka dihamparkan kepada rakyat dan mereka boleh memilih pucuk kepimpinan melalui pilihanraya yang sah. Ikhwan Muslimin juga dilihat mahu bertarung secara anak jantan dengan memenangi hati rakyat bagi menuju tampuk kuasa. Sekalipun mereka sudah dua kali ditipu… sebagaimana PAS yang juga dua kali tersengat dengan bisa tipu daya muslihat politik. Insya-Allah, pasti tidak bagi kali ketiga.