30 November 2009

Surat Untuk Pembaca

Pendakwah dan Internet

Pendakwah di negara kita, samada individu atau organisasi masih dilihat terkebelakang dalam memperjuangkan isu-isu agama Islam. Ini adalah kerana terdapat banyak faktor luaran yang menjadi batu penghalang usaha-usaha murni dalam dakwah itu sendiri.

Antara faktor yang paling penting ialah penguasaan teknologi masa kini yang semakin hari semakin berkembang. Contohnya penggunaan internet sebagai sumber saluran maklumat alternatif yang sangat bermanfaat perlu diberi perhatian.

Boleh dikatakan hampir semua rumah di kawasan bandar-bandar utama memiliki internet. Ini ditambah pula dengan khidmat internet percuma yang disediakan oleh kerajaan tempatan dan universiti di beberapa tempat di Malaysia. Ini menjadikan internet sebagai jalan yang sangat efisyen untuk capaian dan sebaran untuk sebarang maklumat.

Satu fenomena yang dilihat sangat kritikal pada hari ini ialah penggunaan laman-laman sosial seperti Friendster, Myspace, Tagged, Youtube dan yang menjadi ketakjuban semasa ialah Facebook. Kesemua laman sosial ini dikatakan membawa kesan yang sangat negatif kepada pelayar internet kebanyakannya.

Namun sebenarnya, yang menjadikan laman-laman ini menjadi laman sosial yang negatif ialah manusia itu sendiri. Makanya untuk memastikan bahawa laman-laman ini membawa lebih kesan positif ialah dengan mendidik para penggunanya terlebih dahulu sebelum mereka menggunakan laman-laman sosial ini.

Tanpa disedari pihak-pihak berkepentingan dalam memperjuang dan memberi maklumat tentang Islam juga mendapat manfaat yang sangat besar. Tinggal lagi bagaimana kita menguruskan lambakan maklumat yang tidak terbatas itu.

Atas inisiatif inilah maka timbulnya laman-laman web yang bercirikan dakwah bertujuan berkongsi dan memberikan maklumat tentang agama Islam dengan mudah dan pantas.
Contohnya laman web iluvislam.com, halaqah.net, fiqrah.net dan banyak lagi laman web yang bersifat mesra pelayan dan berkonsepkan interaktif yang amat diminati oleh semua lapisan masyarakat. Antara faktornya adalah kerana mereka boleh bertanya dan mengemukakan soalan tanpa perlu menampilkan diri mereka yang sebenar, malah mereka boleh mengajukan soalan dengan selesa walau di mana sahaja mereka berada.

Uslub dakwah ini juga turut dimeriahkan dengan tulisan personaliti-personaliti agama tanah air yang menyumbangkan buah fikiran, tazkirah dan pengajian juga melalui jaringan maya ini.
Mereka ini walaupun tinggal berjauhan dari para pendahaga ilmu seluruh dunia, namun ianya terubat dan menjadi tidak mustahil dengan membaca laman web atau blog peribadi mereka yang sarat dengan maklumat dan aktiviti terkini.

Antara personaliti agama yang dikira paling aktif dan sangat diminati ramai ialah seperti penulis web http://http://www.saifulislam.com/ , Ustaz Hasrizal Abdul Jamil, http://zaharuddin.net/ kendalian Ustaz Zaharuddin Abd Rahman dan http://drmaza.com/ milik Dr Asri Zainul Abidin selaku bekas mufti Perlis. Banyak lagi penulis-penulis hebat yang tidak mampu disenaraikan di sini.

Kami dari Pemuda Persatuan Ulama Malaysia (P-PUM) juga tidak mahu ketinggalan dalam meneroboskan diri di dalam arena dakwah maya, dengan itu segala instrumental yang terkini harus diguna pakai dalam misionari dakwah itu sendiri.

Dengan itu kami dengan secara rasminya telah menubuhkan sebuah laman web Pemuda PUM dengan berkonsepkan pengisian-pengisian ilmiah dan interaktif matang yang melangkaui fikrah dan ideologi partisan untuk tujuan ini.

Selain itu juga, kami telah menubuhkan Kelab Rakan Pemuda PUM secara maya dengan menggunakan laman sosial facebook. Kedua-dua laman itu boleh dicapai di alamat http://islamon9.com/ dan pemuda_pum@yahoo.com untuk sebarang urusan, kami juga sudah melancar laman facebook Pemuda PUM untuk tujuan yang sama.

AHMAD ZAHIRUDDIN BIN MOHD ZABIDI
TIMBALAN KETUA PEMUDA PUM
PENASIHAT ILUVISLAM.COM

013-9698869

No 206, Blok A9 Seksyen 2,
53300 Wangsa Maju,
Kuala Lumpur.

http://kalamkhalifah.blogspot.com/

24 November 2009

Belanja Wajib Bulanan

Sewa rumah - RM 580

Bil eletrik/ air/ gas - RM 60

Ansuran kereta - RM 550

Petrol - RM 300

Bil telefon - RM 150

Abi wa umi - RM 250

Barang dapur - RM 300

Jumlah RM2240

Ini adalah jumlah belanja wajib untuk keluarga saya sekarang yang terdiri daripada saya, isteri dan bakal anak yang masih di dalam kandungan.

Untuk belanja sampingan yang tidak tetap, sangat bergantung kepada kebijaksaan pengurusan kewangan rumahtangga itu sendiri.

Untuk mereka yang sudah ada 'angin' nak mendirikan rumahtangga, saya nasihatkan agar peka dengan angka-angka ini. Jangan fikir yang indah-indah sahaja.

Zahiruddin Zabidi
Seksyen 2, Wangsa Maju.

23 November 2009

BRAINSTORMING HALATUJU PEMUDA PUM

Diambil dan diubah dari web rasmi Pemuda Persatuan Ulama Malaysia (P-PUM). Tulisan asal boleh didapati di alamat http://islamon9.com/aktiviti-p-pum/brainstorming-halatuju-pemuda-pum/
_________________

14 Nov 2009- Pemuda PUM telah mengadakan satu sesi brainstorming berkenaan hala tuju dan masa depan gerakan mereka. Antara pemikir yang dijemput hadir dalam sesi tersebut ialah:


1) Akhi Khairul Naim (Pelajar PhD Bahagian Akidah dan Pemikiran Islam UM)

2) Akhi Nasaie (Yayasan Amal Malaysia)

3) Akhi Fauzan (Usahawan Tani)

4) Akhi Hadi (Wakil Tarbiah GAMIS)

5) Ukhti Asyanti (Pengetua Sekolah al-Wafi)

6) Nadzirah (Wakil PMIUM)

7) Najwa (Wakil PMIUM)


Beberapa idea telah dikutip demi memantapkan gerakan ini. Antara idea yang telah disumbang sarankan ialah agar Pemuda PUM melaksanakan dakwah dalam bentuk yang lebih kritikal seperti mengadakan show jalanan, membuat muzik tersendiri dan juga mengadakan program bersama pelajar sekolah dalam bentuk yang berat seperti lawatan ke negara luar.

Setelah dibincangkan semula di peringkat kepimpinan Pemuda, Pemuda telah memutuskan beberapa resolusi.


1- Perlantikan jawatan kepada setiap ahli Pemuda setelah sebulan ditubuhkan.


Ketua: Mohd Dzul Khairi Mohd Noor

Timb: Ahmad Zahiruddin Mohd Zabidi

SU: Syahadah

Bend: Noraini

Executive Penerangan: Al-Fahmi

E.Hal Ehwal Wanita Islam: Hayati

E.Kaunseling: Nasirah


2- Membuat komik Islamik yang dijangka akan diterbitkan pada bulan Mei 2010.


3- Memfokuskan kepada pelaksanaan teater pada 30 Jan 2010.


4- Menggerakkan Akademi Ulama dan juga menawarkan perkhidmatan tenaga-tenaga pengajar di sekolah-sekolah berasrama dan tawaran mengajar al-Quran di rumah-rumah.


5- Memberikan tumpuan sebaiknya terhadap perjuangan memurnikan pembikinan filem satanisme di negara ini.


Ketua Pemuda menegaskan bahawa tujuan terpenting penubuhan Pemuda PUM adalah untuk memasyarakatkan ulama. Golongan agamawan ini tidak boleh dilihat lagi sebagai golongan elitis yang hanya terfokus kepada beberapa golongan seperti di masjid sahaja.

Dalam masa yang sama, Timbalan Ketua mengharapkan agar Pemuda membina hubungan baik dengan media dan memulakan dakwah dalam bentuk penulisan agar cita rasa keagamaan itu akan tersebar dengan lebih baik dan pantas.

20 November 2009

Wang Bukan Segala-galanya, Namun Hampir Segala-galanyanya Memerlukan Wang

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

Artikel ini diambil dari blog Pengerusi Eksekutif PTS Publication & Distributor Sdn. Bhd. Artikel ini boleh dicapai di alamat http://universitipts.com/index.php/site/comments/risiko_menggunakan_wang_sebagai_pendorong_kreativiti/

Risiko Menggunakan Wang sebagai Pendorong Produktiviti dan Kreativiti

Motivasi adalah suatu cabang ilmu psikologi yang sudah lama mempunyai disiplin sains empirikalnya sendiri. Sains motivasi paling banyak digunakan dalam persekitaran di tempat kerja.

Sains motivasi berkembang jauh di hadapan amalan-amalan motivasi, sehingga hal ini menjadikan apa yang dilakukan oleh ketua-ketua pejabat dan majikan-majikan merupakan sesuatu yang bukan hanya salah dari sudut sainsnya, malah amat merugikan organisasi, di mana semakin banyak wang dikeluarkan, semakin rendah prestasi yang dihasilkan.

Banyak majikan menggunakan cara-cara yang salah apabila mahu memotivasi para pekerjanya. Mereka menggunakan wang, sebagai contoh sistem bonus dan komisen, bagi mendorong peningkatan produktiviti, maksudnya supaya pekerja mahu bekerja dengan lebih kuat dan lebih rajin.

Namun kajian-kajian saintifik mendapati, di kalangan pekerja yang berkelulusan tinggi, wang tidak dapat meningkatkan keseronokan dan kekhusyukan pekerja semasa melaksanakan kerja-kerja mereka. Ganjaran wang hanya dapat meningkatkan produktiviti selagi kerja yang dilakukan itu adalah kerja-kerja mekanikal, seperti menyusun bata, membelah kayu api, memotong rumput, dan lain-lain kerja yang tidak menggunakan ilmu.

Namun, banyak majikan masih menggunakan strategi pengurusan yang salah dari sudut sains psikologinya ke atas pekerja yang berkelulusan tinggi. Jika wang dapat menaikkan prestasi pekerja manual, maka wang juga digunakan bagi mendorong pekerja berkelulusan tinggi.

Hasil-hasil kajian sains motivasi mendapati semakin banyak wang ditawarkan kepada golongan berpendidikan tinggi sebagai ganjaran prestasi tinggi, semakin rendah pencapaian yang dihasilkan.

Syarahan tentang kelemahan strategi motivasi dengan menggunakan wang sebagai alat mendorong pekerja supaya bekerja lebih produktif dapat diikuti di sini http://www.mattjmcd.com/2009/11/daniel-pink-on-the-science-of-motivation/

Dalam sains psikologi, wang adalah sejenis ganjaran ekstrinsik. Gaji, bonus, komisen dan lain-lain adalah penting pada peringkat asas bagi menjalankan kerja-kerja asas. Wang tidak lagi mendorong apabila keperluan-keperluan asas sudah dipenuhi.

Bagi pekerja berilmu yang melaksanakan kerja-kerja yang menggunakan ilmu sebagai bahan mentah utamanya, mereka hanya terdorong bekerja dengan khusyuk dan seronok apabila kerja-kerja yang diserahkan kepada mereka mampu memberikan ganjaran-ganjaran intrinsik.

Contoh ganjaran intrisik adalah seperti mereka mempunyai kuasa membuat keputusan berkenaan kerjanya sendiri, mempunyai kebebasan menentukan cara bagaimana dia mengurus tugas-tugasnya, dan lain-lain.

Apabila pekerja pintar menerima ganjaran intrinsik (contohnya rasa kepuasan kerana diberikan kuasa membuat keputusan), dengan sendirinya prestasi mereka meningkat, dan dengan sendirinya keuntungan syarikat datang sendiri, dengan tidak perlu menabur janji-janji ganjaran kewangan sebagai umpan.

Contoh kuasa yang paling asas adalah kuasa meluluskan cuti orang bawahan. Jika dalam hal sekecil meluluskan cuti pun seseorang pegawai kanan tidak diberi kuasa, situasi begitu akan dipersepsi oleh si pegawai kanan sebagai dirinya tidak diberi kuasa langsung, kerana dia diberi kerja dan beban tugas tanpa diberi kuasa. Dia akan melihat dirinya sebagai seorang kecil yang tidak penting. Lebih serius lagi, dia melihat ketuanya tidak meletakkan kepercayaan langsung kepada dirinya kerana kuasa sekecil meluluskan cuti pun tidak mahu diberikan kepadanya. Kerana tidak berkuasa meluluskan cuti mereka, si pegawai kanan malu kepada orang bawahannya sendiri.

Isu siapa yang berkuasa meluluskan cuti ini mungkin dilihat perkara remeh, tetapi perkara remeh itu boleh mencetuskan perasaan tidak puas hati terhadap orang atasan yang kini berkuasa meluluskan cuti orang bawahannya, dan orang atasan yang tidak mahu memberikan kuasa meluluskan cuti kepada pegawai kanannya akan dipersepsi sebagai orang yang tamak-kuasa.

Tidak ada pekerja berkelulusan tinggi yang seronok bekerja di bawah penyeliaan orang atasan yang mereka sudah labelkan sebagai orang yang tamak-kuasa. Itulah sebabnya isu delegasi kerja dan delegasi kuasa wajib dilaksanakan serentak. Ini bagi mengelakkan perasaan tidak puas hati di kalangan pekerja berkelulusan tinggi.

Skim-skim gajaran ekstrinsik (seperti bonus tambahan) tidak dapat membuang persepsi dan label tamak-kuasa terhadap ketua-ketua yang mencipta skim ganjaran ekstrinsik itu. Ia malah berisiko dilihat sebagai alat-kerja yang digunakan oleh orang yang tamak-kuasa bagi memanipulasi orang-orang bawahan supaya bekerja lebih kuat demi kepentingan orang atasan itu sendiri, kerana prestasi orang atasan bergantung kepada prestasi orang bawahan.

NOTA: (Nabi Muhammad tidak menjanjikan ganjaran kewangan....)

13 November 2009

Srikandi Islam - Rabiatul Al-Adawiyyah

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemuarah Lagi Maha Pengasihani

Alhamdulillah, lafaz syukur yang selayaknya hanya untuk Allah.

Impian saya kini hampir menjadi kenyataan. Dua kertas cadangan yang dihantar kepada pihak Editor PTS sudah dijawab.

Segalanya positif, dan saya akan bermula tanpa menoleh lagi. Matlamat sudah ditetapkan, usaha sedang dicanang, pengorbanan akan dipersembahkan hanya untuk sebuah kejayaan di dunia dan paling utama ialah kecemerlangan di akhirat insya-Allah.

Penulisan tema Srikandi Islam yang dimulai dengan perjalanan hidup insan mulia bernama 'Rabiatul Adawiyyah' menjadi sasaran. 3 bulan diberikan namun saya menetapkan ianya perlu siap sebelum bulan Januari 2010.

Terima kasih tidak terhingga kepada pihak PTS atas kepercayaan itu.

Masih banyak yang perlu dipelajari,
Dari semua yang sudi memberi;
Akan dicari tanpa henti,
Walau di mana mereka menanti.

Terima kasih yang terutamanya kepada Allah, Rasulullah dan ahli keluarganya serta sahabat tabi'in, tabi'-tabi'in, ulama mustaqdimin dan mutaakhirin. Terima kasih juga untuk Umi dan Abi serta adik-adik, terima kepada semua yang mengenali diri saya.

Dan terima kasih yang teristimewanya untuk isteri saya yang menjadi sumbu kepada obor semangat diri saya menempuhi hari muka.

Doa kalian adalah harapan kejayaan saya.

Zahiruddin Zabidi
Seksyen 2, Wangsa Maju

p/s: Emel dari pihak Editor PTS

From: Mohamad Bahruddin Mohamad Bekri <bahar@pts.com.my>
To: zahiruddin_zabidi@yahoo.com.my
Cc: Asma Fadila Habib <asmafadila@pts.com.my>
Sent: Tuesday, 10 November 2009 3:10:20
Subject: Manuskrip Rabiatul Adawiyah.

Assalamualaikum,

Semoga Tuan berada dalam keadaan sihat walafiat.

Perkenalkan, saya Mohamad Bahruddin, editor yang diamanahkan oleh ketua saya Puan Asma bagi mengendalikan Novel Sejarah.

Saya sudah membaca proposal Tuan berkenaan tokoh yang mahu ditulis. Tokoh itu memang sangat menarik dan kami memang mencari penulis yang dapat menulis tokoh-tokoh sebegini.

Berkenaan gaya penulisan pula, kami berpuas hati dan tidak ada masalah bagi menerimanya. Jadi Tuan boleh terus memulakan penulisan. Kami menjangkakan, manuskrip itu dapat dihantar kepada kami selepas tiga bulan daripada tarikh e-mel ini. Tahniah!

Mungkin Tuan dapat menyenaraikan tokoh-tokoh yang Tuan bercadang mahu menulisnya. Ini bagi memudahkan jadual penerbitan kami dan seterusnya, dapat mengelakkan konflik sekiranya ada penulis lain yang mahu menulisnya.

Saya juga mencadangkan Tuan dapat menghubungi penulis Sejarah No. 1 PTS iaitu Tuan Abdul Latip bagi mendapatkan tip, 'feel' dan menguatkan semangat menulis. Beliau boleh dihubungi di alamat e-mel berikut abdul_latip@hotmail.com ataupun latip2005@yahoo.com

Selamat berkarya.
--
MOHAMAD BAHRUDDIN MOHAMAD BEKRI
Editor

09 November 2009

Majoriti

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi maha Penyayang

Alhamdulillah, hari minggu lepas berlalu dengan penuh makna. Dalam kembara ilmu saya untuk mendapat sekeping ijazah asalnya, kini berubah kerana mahu tahu untuk kelak boleh memberitahu.

Kelas yang sememang padat, setiap kelas memakan masa hampir 4 jam. Ini tentunya memerlukan kekuatan dan persediaan fizikal dan mental yang amat utuh. Alhamdulillah saya berjaya menghabiskan semua kelas tanpa keciciran, paling manis ialah saya ditemankan oleh isteri tersayang pada sesi terakhir kelas.

Namun ada beberapa fakta yang menarik dibincang semalam semasa perbahasan subjek 'Perlembagaan Malaysia'. Antara yang menjadi isu ialah kedudukan agama Islam sebagai agama rasmi dan skop pelaksanaannya di Malaysia kini. Ternyata masih banyak kelompongan yang tidak sengaja dan disengajakan.

Kenetralan pensyarah, Encik Mokhtarizam mengendali kelas dan perbahasan dengan penuh karismatik sambil sinis-sinis tuju yang banyak mengundang deraian ketawa para pelajar, ditambah pula dengan perbahasan yang positif tanpa mengambil kira ideologi dan sentimen begitu menyegarkan kami untuk menuju garis penamat kelas tersebut.

Analisis akademik.

Saya juga diamanahkan untuk menjadi Pengarah kepada Program Kemasyarakatan-4 yang tentunya sangat berbeza dengan projek-projek sebelum ini. Ini adalah kerana projek ini menggabungkan penyertaan keseluruhan pelajar semester saya yang seramai lebih 60 orang. Ringan mata memandang rupanya sangat berat bahu yang memikul.

Untuk memberi kepuasan kepada semua orang adalah mustahil. Kaedah majoriti digunakan namun masih sangat tidak memberi kesan. Saya masih menkaji di mana silapnya, percangghan tentang program, tarikh dan aktiviti masih berlanjutan. Kepentingan dan hak setiap orang harus dijaga, akhirnya saya mengaku 'azabnya' menjadi pemimpin.

Namun saya menganggap ini sebagai cabaran kepada saya, seni dan kreativiti pengurusan jenis apa yang akan saya gunakan untuk memastikan konflik dapat diatasi dan program berjalan dengan lancar. Banyak kaedah dan teori, dan saya sedang menelaah lantas terus mempraktikkannya, insya-Allah.

Zahiruddin Zabidi
Seksyen 2, Wangsa Maju

05 November 2009

Berita Baik dan...



Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang


Dalam masa seminggu sahaja, pelbagai peristiwa menjengah. Ada yang suka dan ada yang duka. Ada juga peristiwa yang kita khuatir respon yang bagaimanakah patutnya diberikan.


Pada hari Selasa lepas, saya telah berkunjung ke pejabat Editorial PTS di Wangsa Melawati dan menyerahkan 2 proposal bakal penulisan saya untuk dibukukan oleh PTS insya-Allah.


Salah satu buku menjurus kepada adaptasi kisah figura Islam menggunakan teknik Surah Yusuf dan saya telah berurusan dengan editor dari PTS Litera yang menguruskan projek-projek kesusasteraan. Alhamdulillah layanan yang baik dan professional dari staf PTS seakan memberikan saya semangat untuk berkarya, tambahan pula kepada penulis baru seperti saya. Pihak PTS meminta masa dau minggu untuk memberi kata putus mengenai proposal saya tersebut.


Seterusnya saya juga berbincang dengan Editor Islami PTS mengenai proposal saya yang kedua. Alhamdulillah, cadangan penulisan saya itu juga disambut baik, namun saya masih perlukan persetujuan ketua Editor dan saya disarankan untuk terus menulis manuskrip tersebut. Saya akan cuba menghubungi pihak PTS minggu hadapan untuk perbincangan lebih lanjut.


Insya-Allah, tahun hadapan kita akan saksikan buah tangan sulung saya ini. Dalam masa yang sama saya terus berfikir untuk judul-judul yang seterusnya.


Satu berita yang agak mengejutkan saya terima ialah saya dipindahkan ke unit lain dan surat yang dikeluarkan bertarikh 28 Oktober 2009 sampai ke unit lama saya pada 29 Oktober 2009 dan hanya sampai kepada saya pada 3 November lepas. Sedangkan tarikh kuatkuasa perpindahan itu ialah 1 November 2009.


Saya keliru, samada ingin menyembut berita ini dengan riang dan gembira atau duka yang lara. Akhirnya saya sedar yang saya hanya pekerja awam yang tertakluk kepada arahan-arahan pihak atasan, inilah sistem birokrasi.


Saya teringat firman Allah yang bermaksud, “Tidak semestinya perkara yang kamu suka baik untuk kamu dan tidak semestinya perkara yang kamu tidak suka adalah buruk untuk kamu”


Kehidupan akan diteruskan dan saya berjanji akan lebih berdisiplin dalam pengurusan diri dan rumahtangga seterusnya hidup ini insya-Allah.


Zahiruddin Zabidi

Seksyen 2, Wangsa Maju

03 November 2009

Teater Islami: Program Pertama Pemuda PUM

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

Pemuda PUM mula mengorak langkah, sudah bermula. Program sudah dirangka, kekuatan sedang dijana. Matlamat sudah ditetapkan, dan saya mengucapkan syabas sekali lagi kepada sahabat saya Ustaz Dzulkhairi bin Md Noor yang merintis semua ini.

Yang paling mengejutkan saya, program pertama yang bakal dianjurkan oleh Pemuda PUM ialah teater. Ini adalah di luar kebiasaan, kesenian dan kesusasteraan dalam konteks negara kita adalah dua entiti yang berbeza.

Bukan sahaja politik, sastera juga telah disekularkan. Bentuk pemikiran dan haluan kehidupan juga sudah di 'linear'kan dan hanya mengcangkupi jalan penyelesaian bersifat 'binary'. Walhal Islam itu syumul sifatnya, sangat fleksibel dan orang Islam diajar untuk berfikir dan menjadi seorang yang 'multitasking'.

Insya-Allah, Khamis malam Jumaat ini bertempat di UM saya akan bersama ahli Pemuda PUM untuk sesi 'otak ribut'. Semoga Allah memberi kebaikan dalam suka dan duka kepada kita semua, insya-Allah.

Zahiruddin Zabidi
Seksyen 2, Wangsa Maju.

u/p: Saya sertakan rencana program Pemuda PUM dari blog Ustaz Dzulkhairi selaku Ketua Pemuda PUM. http://dzulkhairi.blogspot.com/2009/10/teater-islam-mkdt.html

TEATER ISLAM MDKT

Saya mewakili Pemuda Persatuan Ulama Malaysia (PUM) akan mengadakan Teater Islam, anjuran bersama dengan Yayasan Amal WP dan Nisa’ Lembah Pantai. Teater tersebut akan diadakan pada 30 Januari dan budget keseluruhan menjangkau RM 11200.

Tujuan yang paling besar ingin saya capai pada hari itu ialah memasyarakatkan ulama. Ingin saya menaikkan semula martabat ulama. Namun ini hanya usaha dari sudut program. Yang paling besar adalah usaha dari sudut aktivisme. Turun ke masyarakat, membantu dan mentarbiah dan sebagainya.

Tempat cadangan program adalah di Dataran Angkasa berdekatan Kerinchi. Program yang Insya Allah bermula jam 9 malam ini akan diserikan dengan kehadiran Azhan Atan, kumpulan Abang Man Bueger, cabutan bertuah untuk 100 orang, anugerah khas dan yang paling utama adalah persembahan teater oleh kumpulan Abang Dinsman yang bertajuk Menunggu Kata Dari Tuhan (MKDT).

Di peringkat aktivisme, saya dan sahabat-sahabat dalam Pemuda PUM berkira-kira untuk membuka satu ruangan Info Islam di sebuah Super Market untuk peringkat permulaan. Sekiranya projek ini berjalan baik dalam tempoh sebulan dua, Insya Allah ia akan dikembangkan ke tempat-tempat lain pula.Banyak lagi perancangan yang ingin kami laksanakan. Mungkin para pembaca boleh melawat satu laman web baru yang akan diuruskan sendiri oleh Pemuda PUM yang memfokuskan soal Info Islam dan soal jawab agama.

Saya amat bercita-cita kami memiliki dana yang besar sehingga memungkinkan kami untuk membayar gaji dan elaun kepada pekerja PUM. Jika jadi begitu, beberapa orang aktivisme dalam Pemuda PUM tidak perlu lagi mencari kerja lain. Bahkan sekarang sudah ada sahabat saya menawarkan diri untuk menjadi kaunselor Pemuda PUM. Doa kami agar berjaya dalam rencana memartabatkan Islam dan golongan ulama.

02 November 2009

Ulamak Dan Kesusasteraan

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Pengasihani

Hari minggu yang begitu berwarna-warni tona cahayanya berlalu. Ada suka dan juga duka. Wajarnya yang gembira, suka itu disyukuri dan duka, sedih dan pilu itu diambil iktibar.

Allah tidak akan menguji hambanya melainkan hambanya itu mampu untuk menanggungnya.

Sepatutnya pada hari Sabtu sudah saya ke Galeri Ilmu, sebuah syarikat penerbitan untuk bengkel penulisan novel Islami. Namun perkara yang takuti akhirnya berlaku jua. Saya sesat, akhirnya pulang sahaja ke rumah dengan hati dan jiwa yang kosong amat.

Mungkin ada hikmahnya.

Esoknya alhamdulillah saya dapat menebus hampa di kelas Puan Ainon, dan siri kali ini ialah 'Aplikasi KJ Method dalam penulisan fiksyen'. Panjang jika saya mahu kongsikan di sini, cuma yang menarik minat saya ialah sudut psikologi pemikiran dalam 'solving problem' yang dibicarakan oleh Puan Ainon di dalam kelas semalam.

Asasnya, kebolehan berfikir itu adalah anugerah Allah. Namun cara kita berfikir bergantung kepada diri kita sendiri. Dalam erti kata kitalah yang mencorak cara kita berfikir. Dan sedar atau tidak, oleh kerana kita di Malaysia adalah bekas jajahan takluk Eropah terutama Inggeris sejak dari tahun 1511 hinggalah 1957, makanya sudut corong fikir kita memang dipengaruhi mereka.

Ini adalah kerana sistem pendidikan, undang-undang, kebudayaan, teknologi dan banyak lagi elemen yang digunakan oleh kita adalah daripada mereka. Pemikiran jenis 'linear' inilah yang menyebabkan kita hanya membuntuti mereka.

Setelah dikaji, didapati bahawa kita sebagai orang Islam sememangnya tidak diajar dengan pemikiran dan pengamalan 'linear' ini. Buktinya pembahagian hukum-hakam dalam Islam sendiri.

Kita tahu hukum dalam Islam ialah:

1. Wajib
2. Haram
3. Sunat
4. Makruh
5. Harus

Dalam satu keadaan atau kes kesemua hukum ini berfungsi. Contohnya dalam masalah kahwin, hukum asalnya adalah harus. Namun jika seserang lelaki itu sudah cukup kriterianya malah dikhuatiri dia ini jenis yang mudah cenderung kearah perlakuan maksiat maka nikah baginya adalah wajib.

Jika mampu tapi tidak mahu dan yakin tidak akan terjeremus ke dalam maksiat maka hukumnya sunat. Jika tidak mampu tetapi berkeinginan dan masih mampu memelihara diri dari maksiat hukumnya makruh.

Begitu sekali Islam itu syumul, merangkumi segala kesesuaian, tepat dengan fitrah kemanusiaan kita semua. Sebab itu, mazhab-mazhab di dalam Islam merupakan rahmat. Hanya mereka yang jahil sahaja beranggapan sebaliknya.

Khalifah Umar bin Abdul Aziz telah berkata, "Aku lebih suka jika ada khilaf antara para sahabat Baginda Rasulullah terhadap sesuatu perkara kerana ia memberi peluang kepada umat Islam untuk membuat pilihan."

Islam telah merintis pemikiran 'non-linear' yang membangunkan individu-individu lagenda yang hebat seperti Rasulullah SAW sendiri, para sahabat Baginda dan ulamak-ulamak seterusnya. Tidak menjadi pelik jika seorang alim ulamak juga seorang doktor, arkitek, jurutera dan sebagainya.

Tunggu lagi kita mahu praktikkan atau tidak. Saya mencabar diri saya, selain kerja hakiki di Pusat Pentadbiran Zon 4, saya juga bertugas sebagai bilal rawatib masjid yang sama. Saya juga menyambung kembali pengajian sarjana muda secara PJJ, di samping itu saya ada juga mengajar al-Quran kepada anak-anak di sekitar ini selain kuliah Maghrib di beberapa tempat.

Terbaru saya akan bersama Pemuda Persatuan Ulamak Malaysia dalam merencahkan lagi arena dakwah tanah air dan insya-Allah akan menulis dan menerbitkan karya saya sendiri tidak lama lagi.

Terima kasih kepada Allah dan Baginda Nabi Muhammad SAW serta sahabat serta keluarga mereka. Para ulamak salafussoleh, tani'in, tabi-tabi'in dan semua ulamak mutaqaddimin dan mutaakhirin.

Tidak lupa juga kepada isteri tercinta serta ibnu Zahiruddin yang bakal dilahirkan, keluarga saya dan semua yang mengenali diri saya.

Saya perlukan anda semua, terima kasih.

Zahiruddin Zabidi
Masjid Usamah bin Zaid, Wangsa Maju.