15 October 2008

APABILA BUKAN ISLAM LEBIH MEMAHAMI ISLAM

Bagaikan terbungkam kelu lidah ini apabila mendapati ada golongan bukan Islam di negara kita Malaysia, amat memahami Islam dari segi dasar dan polisi Islam yang sememangnya meletakkan keadilan, amanah, intergriti dan segala macam sifat mahmudah yakni sifat yang terpuji malah terbukti selari dengan fitrah kejadian manusia tidak kira bangsa atau agama apa sekalipun. Mereka ini bahkan lebih memahami secara keseluruhan Islam itu melebihi orang Islam/Melayu sendiri. Ini merupakan fenomena yang positif sejak beberapa tahun yang lalu berkisarkan peredaran politik semasa. Sesuai dengan firman Allah yang bermaksud “Sesungguhnya Allah menyuruh manusia untuk bersifat adil dan ihsan…”
Ayat tersebut telah merungkaikan tentang kesyumulnya Islam yang tidak akan membeza-bezakan segala nikmat yang menjadi hak kepada manusia sejagat walaupun mereka bukan dari kalangan Islam. Asalkan mereka ini sanggup bernaung dan bersetuju dengan apa yang telah diselaraskan mengikut syariat Islam dalam erti kata mereka sanggup menjadi ahlul Zimmah dalam pemerintahan Islam maka tiada sebab mereka itu perlu didiskriminasikan, itulah yang patut dijadikan dasar dalam pemerintahan mana-mana Negara sekalipun termasuklah Malaysia. Itu adalah perkara asas yang perlu disampaikan malah penerangan yang konstruktif kepada rakyat bukan Islam terutama di Malaysia.
Sepertimana yang telah dicontohkan oleh Rasulullah kepada kita setelah berlaku peristiwa hijrah dalam erti kata, hijrah itu bertujuan mewujudkan institusi pemerintahan bersistem pertama dalam Islam. Persetujuan telah dicapai untuk melantik Rasulullah sebagai ketua antara semua pihak termasuk kaum Ansar yang terbahagi dua iaitu Aus dan Khazraj serta kabilah-kabilah suku kaum serta orang-orang Yahudi yang juga terdiri dari beberapa puak berlainan. Maka selebihnya Rasulullah perlu untuk membuat satu dasar bagi menerangkan secara ditir tentang perkara yang boleh dan tidak boleh dilakukan oleh masyarakat Yathrib yang majmuk ketika itu, maka lahirlah piagam Madinah. Sejarah juga telah menyatakan bahawa masyarakat Yathrib adalah masyarakat yang berbilang kaum dan agama tetapi mereka tidak pernah dizalimi oleh kepimpinan Rasulullah kecuali merekalah yang memulakan kekacauan samaada melakukan pengkhianatan terhadap perjanjian atau sabotaj kepada keamanan kota Madinah.
Masih ramai lagi masyarakat bukan Islam di Malaysia seakan memandang Islam secara negatif kerana dirasakan corak pemerintahan Islam yang zalim dan kejam terhadap orang bukan Islam kalau Islam diberi kuasa. Menjadi kesedihan kepada kita apabila perkara tersebut juga diwara-warakan oleh mereka yang mengaku beragama Islam malah berdabik dada sebagai pejuang Islam tetapi hakikatnya mereka sebenarnya bertopeng bagi kepentingan tertentu semata, mereka ini sanggup menjadikan agama sebagai alat untuk mencapai cita-cita duniawi bertentangan dengan apa yang diajar oleh Rasulullah bahawa segalanya yang ada di dunia ini adalah alat utuk mencapai redha Allah. Ini belum lagi dikira dengan dakyah dunia barat terhadap Islam sehingga timbul sindrom Islamophobia tiada lain bagi tujuan melenyapkan terus syiar Islam di muka bumi.
Golongan-golongan yang betul takut kepada Islam pada hakikatnya adalah kerana asas keadilan Islam yang tidak menguntungkan sesetengah pihak sahaja. Apabila Islam dilaksanakan dan segala urusan dilakukan dengan telus dan betul maka pihak yang berkepentingan akan berputih mata. Ini juga telah dijelaskan dalam sirah terdahulu Rasulullah yang mana antara faktor yang menyebabkan pembesar-pembesar kuffar Quraisy itu tidak dapat menerima Islam adalah kerana kepentingan ekonomi mereka akan terjejas dalam erti kata periuk nasi mereka akan terancam kerana Islam mencegah sistem ekonomi penindasan yang diamalkan oleh golongan kafir Quraisy itu.
Alhamdulillah, pemikiran khurafat seperti ini sedikit demi sedikit telah dihakiskan dari minda masyarakat bukan Islam di Malaysia. Fenomena itu dibuktikan apabila tertubuhnya Persatuan Kelab Penyokong PAS yang terdiri daripada masyarakat bukan Islam malah bukan berbangsa Melayu. Ini jelas dizahirkan dalam wawancara Harakah edisi Ramadan 19-21 bersama dengan Pengerusi Kelab Penyokong Pas yang telah ditubuhkan lebih tiga tahun dahulu. Saudara Hu Pang Chow dengan jelasnya menerangkan kenapa golongan bukan Islam/Melayu mula beralih arah kepada Pas malah mampu menerima perjuangan Pas. Mereka malah berhasrat jikalau Pas boleh menggubal perlembagaan parti yang hanya membuka keahlian kepada orang Islam turut memberi mereka peluang untuk menjadi ahli penuh. Beliau juga menggesa agar ditubuhkan Dewan Kelab Penyokong agar mereka menjadi salah sebuah sayap komponen parti yang mampu memainkan peranan yang lebih besar.
Beliau malah memberi tahu Harakah jikalau Pas mahu memerintah kerajaan pusat sokongan bukan Islam adalah penting, kekuatan yang Pas ada sekarang belum cukup untuk melakukan perubahan mutlak peringkat Nasional. Jelaskan beliau lagi mereka yang menjadi ahli kelab penyokong Pas sedia untuk membanting tulang turun ke lapangan memberi penerangan kepada masyarakat bukan Islam dan meletakkan sasaran 15000-20000 ahli baru sehingga muktamar tahun hadapan. Hu juga menerangkan bahawa Pas dilihat bukan parti perkauman semenjak tertubuhnya dari tahun 1951 lagi, kerana syarat untuk menjadi ahli Pas ialah Islam. Tidak menjadi masaalah untuk kaum Cina, India, Iban, Serani sekalipun tidak menjadi maaalah asalkan Islam. Cuma bagi beliau keterbukaan kedua-dua belah pihak perlu diutamakan terutama ahli dan pemimpin Pas yang sedia ada menerima keikhlasan mereka dengan hati terbuka tanpa syak wasangka, beliau menerangkan jika tujuan mereka bersama Pas untuk meruntuhkan Pas adalah lebih baik mereka melakukannya dari luar. Ujar beliau lagi, menjadi tanggungjawab mereka (ahli kelab) sekarang untuk memberi penerangan tentang Islam yang sebenarnya dan juga Pas bukanlah parti koservatif yang akan memaksa ahlinya masuk Islam secara paksa.
Begitu juga keistimewaan pilihanraya ke-12 lepas apabila calon wanita India beragama Hindu, buat pertama kalinya dalam sejarah tanah air telah bertanding atas tiket Pas malah beliau tanpa takut menyatakan sokongan padu kepada perjuangan Pas. Jelas beliau penerimaan dia kepada Pas timbul apabila membuat pemerhatian dan pengkajian yang mendalam malah sanggup ke Kelantan sendiri untuk melihat corak pemerintahan Pas di situ serta bagi mendapatkan tindak balas masyarakat setempat, ternyatalah ketelusan dan keterbukaan pemerintahan Pas Kelantan telah menambat hati cik Kumutha untuk bersama dengan kelab penyokong Pas Johor, beliau yang berkelulusan undang-undang dari Australia juga giat turun padang memberi penerangan kepada masyarakat bukan Islam untuk memilih Pas sebagai wadah perjuangan.
Seiring dengan apa yang selalu dilaungkan oleh Tuan Guru Menteri Besar Kelantan bahawa semua manusia adalah sama, asalnya dari Adam dan Hawa jua. Tok Guru pernah mengeluarkan kenyataan yang beliau berharap suatu hari pemimpin berbangsa Cina akan memerintah Kelantan bahkan Malaysia tetapi syaratnya mesti lulusan Al-Azhar, Mesir. Malah salah seorang exco kerajan negeri yang juga Adun Kota Lama merupakan Cina Muslim iaiti Datuk Anuar Tan Abdullah, melihat dari itu kita dapat simpulkan betapa keterbukaan Islam yang sebenarnya tidak pernah membataskan warna kulit dan rupa dalam apa-apa hal sekalipun termasuklah dalam berpolitik. Malah jika diteliti kehidupan bangsa Cina dan India malah minoriti Siam di Kelantan hidup dalam keadaan harmoni sejak 18 tahun yang lalu tanpa ada diskriminasi dalam hak beragama, pendidikan, perubatan dan sebagainya. Malah mereka tidak pernah ketinggalan dalam setiap program yang dilancarkan oleh kerajaan negeri. Contohnya skim kifalah warga emas, semenjak dilancarkan hampir 500 orang warga bukan Islam telah meninggal dan waris mereka mendapat pampasan RM2500 sekeluarga. Itulah yang diajar oleh Islam yang langsung diterapkan dalam pemerintahan Pas di Kelantan di bawah pemerintahan Tuan Guru Menteri Besar.
Semoga selepas ini akan ada lebih banyak lagi pendedahan tentang aktiviti ahli kelab penyokong Pas malah saya merasakan patut jika mereka ada slot mereka sendiri, ini adalah penting untuk pelaburan sumber manusia Pas kelak. Diharap juga ada usaha dari pucuk pimpinan mengajak saudara-saudara baru di NGO seperti PERKIP dan sebagainya untuk bersama melancarkan dakwah siasi ke atas masyarakat majmuk Malaysia. Tokoh-tokoh seperti Dr Ridhuan Tee Abdullah, Ustaz Farid Ravi Abdullah, Ann Wan Seng, Dr Nicholas Abdullah, Datuk Ibrahim Ma dan ramai lagi tokoh saudara baru yang telah menempa nama sebagai individu muslim cemerlang. Kita harap mereka ini boleh untuk bersama-sama memberi penerangan tentang Islam kepada seluruh peringkat. Dengan itu walaupun mereka masih dengan agama masing-masing, tetapi paling kurang kesan tarbiyyah akan lekat di hati mereka untuk menerima Islam sebagai penyelesaian kepincangan keduniaan hari.
Dialog terbuka antara agama juga perlu diakan seperti saranan Tuan Guru Menteri Besar agar ia diperbincangkan secara umum, masyarakat Islam juga perlulah melihat kesan positif dari setiap pertemuan ini yang juga merupakan salah satu cabang dakwah itu. Tuan Guru Menteri Besar juga telah menyatakan Islam perlu diperkenalkan sebagai garis panduan menyelesaikan masaalah perkauman yang telah dibara apikan oleh sesetengah pihak yang berkepentingan songsang.

Az-zahir
September 2008/Ramadan