21 April 2009

Jawapan Warkah Dari UPM (kolej ke-13)

Salam warahmatullah...

Terima kasih atas pengisian yg ustaz kuliyah maghrib di K13 selama ni..
Alhamdulillah, dah hampir 4 tahun ana ikut kuliyah maghrib di surau K13 UPM.. Untuk pengetahuan ustaz, dulu masa 1st2 ikut kuliyah maghrib, ana lah yg paling banyak songe mengomplen ustaz kuliyah n paling slalu mengomplen adik2 imam2 solat fardhu kat surau tu sampailh skrg.. Kkdg mmg sgt susah utk nasihat scra bhikmah n slalu rasenye ana nasihat scra melampau bkn ikhlas dari hati ana sbb tu seolah2 mcm xde perubahan. Sbnrnye niat ana nk betulkan diri ana jgk n ana pun khuatir dpersoal kt akhirat. Ana pun malu pd diri sndiri bl stiapkali komplen org lain pdhl diri ana sndri pun blum mampu lakukan sprti mreka. wallahua'lam...

Bg ana bab solat teramat penting n perkara pertama yg akn dihisab, sebab tu ana lebih suka ustaz2 kuliyah maghrib dulu supaya lbh tekankan bab ibadah fardhu ni. Kkdg kita slalu ingat org lain sprti kita tp hakikatnya tidak wlwpn sbnrnye hnye yg basic...

Ana pun sgt celaru, ana tak tahu apa yg adik2 n sahabat2 perlukan dari ana utk same2 memanfaatkan diri masing2.. Serius ana mmg jenis jrg bergaul. Bila komplen sokmo tntg adik2 imam solat kt surau ni, diorang pun naik menyampah n tanpa disedari ana pun sgt mnyampah nk tegur bl berlaku kesilapan. mgkn btul kate ustaz, xperlu kongsi ape yg kita tahu tapi kongsi ape yg mereka perlukan.. tapi ana xpasti apa yg diperlu, n yg mencelarukan ana, adakah tidak perlu solat dgn sempurna ikut contoh Rasulullah saw bila berjawatan sbg pelajar or sibuk? Skrg ni ana jd amat perasan n sensitif dgn stiap ape yg imam bace... Langsung xblh tumpu dlm solat bl solat jmaah dgn adk2 L ni, patutkah ana 'angkat kaki' dr bjamaah kat surau tu spya org lain n diri ana jd lbh baik?

Ana jg celaru tntg hakikat azan bl stiap kali ade kuliyah maghrib kt surau, blhkh ustaz jelaskan kenapa di masjid2 (yg pernah ana hadir) kuliyah maghrib akan berhenti seketika untuk melaungkan azan isyak n menyambung kembali kuliyah selepas azan n solat isyak akan dilakukan after selesai kuliyah maghrib?

Hmm, wallahua'lam... Ni mcm dah naik songe lg (hobi ana menaip n bercerita scra intravert), maaf..

Jawapan :

Wa’alaikumussalam kepada ukhti,

Ana juga bersyukur kerana dapat berkongsi dengan adik-adik sekalian. Syukur yang tidak terhingga kepada Allah ta’ala kerana menyediakan ruang untuk saya berkongsi di sana setelah diberi peluang oeh sahabat seperjuangan Ustaz Hisham dari Pusat Islam UPM.

Nasihat

Rasulullah pernah bersabda : “Agama itu nasihat..”

Diperkuat lagi dengan firman Allah yang bermaksud : “Maka nasihatilah, sesungguhnya nasihat itu bermanfaat kepada orang mukmin..”

Persoalannya bagaimana nasihat yang sepatutnya, diberikan? Adakah dengan mengatakan ini betul dan ini salah, ini halal dan ini haram lantas menghukum mereka yang begini begitu adalah ‘comfirm’ masuk neraka walhal hak menerakan dan mensyurgakan kita ini mutlak milik Allah.

“Ajaklah (dakwah) pada jalan Allah dengan hikmah, dan cegahlah dengan penuh kebaikan….”

Sedikit perkongsian dari saya. Adik bongsu saya baru berusia 7 tahun diikuti kakak mereka yang kenal saya dengan sifat garang ataupun tegas serta mengarah (Abang sulung). Setiap arahan saya mereka ikut namun penuh dengan keterpaksaan walaupun yang saya suruh adalah solat fardhu di awal waktu. Malah sehingga satu ketika mereka muak dan memberontak. Malah adik saya yang berusia 7 tahun tadi juga sudah tidak ‘respect’ pada saya. Saya agak risau.

Setelah datang balik ke Kuala Lumpur kerana dapat bekerja di sini, melalui pengalaman dan sedikit pembacaan buku-buku motivasi dan artikel di internet saya sedar yang perlukan dari mereka sifat hormat secara semula jadi yang mana kuncinya ialah tidak lain mereka perlu dihormati malah disayangi dahulu bukannya menerima suruhan dan arahan bersifat diktator. Dalam erti kata lain saya harus menghormati dan menyanyangi mereka dahulu.

Balik raya tahun lepas, saya nekad untuk praktikkan apa yang saya ada. Kerana perbuatan kita adalah jurucakap yang paling berkesan. Pertamanya saya menangi hati mereka dengan membeli hadiah, kemudian saya nekad untuk tidak marah dan mengarah sebalikkan menggunakan kaedah “minta tolong” kepada adik-adik perempuan dan kaedah pujuk kepada adik bongsu saya.

Memang liat bila disuruh solat, tapi saya mengulangi dengan nada lembut yang memujuk dan meminta malah akan berjanji akan member hadiah jika dia melakukannya. Hampir saja saya hilang sabar, namun saya tahan. Teringat sabda Rasulullah : “ Bukanlah orang yang gagah itu dari kalangan mereka yang hebat bergusti, namun orang yang hebat itu adalah orang yang mampu menahan kemarahannya”

Nah, akhirnya saya berjaya. Hanya tukar paksaan kepada pujukan. Ingat kisah yang ceritakan mengenai peristiwa rambut saya dengan Pensyarah saya semasa saya belajar di UIA? Samalah juga.

Pernah pula selang beberapa rumah yang saya sewa bersama kawan-kawan dahulu disewa oleh remaja dari sebuah IPTA. Kehidupan mereka, masya-Allah. Kebanyakan mereka adalah ‘mat rempit’ yang terkadang membawa ‘minah rempit’ untuk bermalam di rumah mereka dan ini menimbulkan resah saya malah komuniti Cina di kawasan perumahan kami pun sentiasa merungut.

Hikmah diperlukan, kerana saya tahu mereka ini lagi dimarah maka lagilah dibuat. Akhirnya saya bersikap positif kepada mereka, apabila berlalu depan rumah mereka saya akan member salam dan senyum, malah jika ada kelapangan saya akan ke rumah mereka untuk berborak dan jika ada lebihan makanan saya akan hulurkan kepada mereka.

Apabila nampak mereka dan ‘ok’ dengan kita dan kebetulan masa yang sesuai saya pun berbincang dengan mereka elok-elok. Alhamdulillah ada perubahan.

Sentuhan hati dengan nasihat yangberhikmat dan bukan menghukum ternyata lebih berkesan sejak zaman berzaman kerana Rasulullah sendiri menggunakan kaedah tersebut. Sebaiknya kita berkawan dan menghargai mereka terlebih dahulu sebelum memulakan teguran. Menangi hati mereka insya-Allah akan dipermudahkan proses teguran atas sifat kasih dan hormat itu semdiri.

Namun, jika yang ditegur itu tidak juga berubah tidaklah perlu kita gundah gulana kerana pertamanya tugas kita “mengajak kepada makruf dan mencegah yang mungkar” telah kita laksanakan, insya-Allah selesai tanggungjawab Allah pada kita. Yang selebihnya yakni persoalan ‘hidayah’ itu selayaknya juga kita serahkan total pada Allah kerana hal itu adalah urusan Allah. Kita usaha dalam ruang lingkup kapasiti kita sendiri sebagai hambanya yang diberi dan menerima amanah, insya-Allah kita tidak akan hampa jika mengetahui hakikat tersebut.

Solat

Dalam bab hukum beribadah pula kita kena jelas yang mana fardhu ain, fardhu kifayah. Sunat muakkad, sunat ab’at dan sunat hai’ah. Dan yang sebaliknya, yakni perkara yang membatalkan, yang diharamkan dan makruh.

Rukun fardhu dalam sembahyang ada 13 mengikut jumhur ulama’. Cukup 13 rukun ini maka sah sembahyang. Bacaan yang wajib pula hanya 2 : Al-fatihah dan tahiyyat akhir. Jika berlaku kesalahan pada rukun yang sunat maka tidak seharusnya kita cepat melatah untuk menegur kerana solat tetap sah. Namun kemudiannya berbincanglah dengan berhikmah agar sama-sama membaiki mutu solat itu sendiri. Namun jika yang salah itu salah satu dari perkara yang rukun pastinya membatalkan solat maka tegurlah kerana kita berhak disitu, jika tidak juga mahu berubah maka seeloknya kita ‘mufaraqah’.

Rasulullah adalah contoh ikutan sepanjang zaman, maka menjadi kewajipan kita untuk mencontohi baginda. Namun adalah mustahil kita yang dhaif ini mampu menuruti segala sunnah baginda, namun menjadi kerugian dan kesalahan apabila kita tidak cuba mengamalkan sunnah baginda. Banyak hadis baginda yang menerangkan kelebihan ummat yang mengamalkan sunnah baginda.

Maka berusahalah selagi boleh untuk mengikuti sunnah baginda sedaya yang mampu, itu iktikad kita! Saya selalu sebut sunnah yang paling mudah (khusus untuk lelaki) dan pahalanya akan 24 jam berjalan jika niatnya semata untuk mengamalkan sunnah Rasulullah yakni memelihara janggut. Boleh kata semua muslimin mampu kecuali mereka yang benar-benar tiada janggut.

Menegur adik-adik untuk menambaikkan solat itu perlu, tapi pastikan teguran itu mestilah bukan untuk menyuruh mereka serta merta berubah tetapi teguran itu mestilah bersifat memberi mereka informasi beserta dengan nas al-Quran dan hadis dan bertujuan untuk berkongsi sekaligus membuka minda mereka serta mendidik mereka mencari kebenaran dengan sendiri. Salah jika kita noktahkan yang begitu salah dan yang beginilah betul. Ini akan menimbulkan polemik yang sangat negatif yang akhirnya menimbulkan perasaan ‘meyampah’ sahaja.

Azan

Azan juga adalah salah satu sunnah dalam beribadat dan ianya bersifat untuk maslahat umum. Kes yang sama berlaku di masjid saya, apabila masyuarat bulanan berlangsung pernah timbul isu ini dimana apabila terjadi kes penceramah yang melangkaui waktu isyak. Di satu pihak kata perlu diberhentikan seketika untuk malaungkan azan bagi menghormati waktu dan ianya lebih menjurus kepada maslahat umum. Namun di sebelah pihak lain pula beranggapan tidak perlu laungkan azan kerana dikatakan untuk menghormati penceramah dan majlis ilmu. Hujahnya menuntut ilmu itu wajib dan laungan azan pula hanya sunat sahaja.

Saya melihat dari sudut yang fleksibel. Dalam kes ini kerana masjid merupakan hak umum dan laungan azan merupakan syiar Islam, jadi beratnya kepada perlu melaungkan azan.

Seeloknya sebelum ceramah bermula kita pesan kepada penceramah dan minta kebenaran daripada beliau untuk melaungkan azan dan bila sampai waktunya minta beliau sendiri memberikan ruang agar tidak janggal beliau di hadapan makmum lainnya.

Tetapi tiada juga masalah jika diteruskan sahaja, dalam kes setiap kali saya berkuliah di kolej ke-13 dan sebelumnya juga. Tetapi jika diminta melaungkan azan maka pastinya saya membenarkan.

Akhir Kalam

Kepada saudari terima kasih kerana sudi untuk memberikan output yang sememangnya amat bermanfaat untuk saya juga, sama-sama juga kita berusaha untuk mencapai redha Allah yang pastinya akan menjaminkan syurga untuk kita insya-Allah.

Wallahua’lam

Az-Zahir

15 April 2009

Masalah : Satu Penilaian

Pagi tadi saya menaiki Putra LRT untuk ke JAWI kerana hujan yang tersangat lebat dan hari ini merupakan hari terakhir saya di sini. Esok, Alhamdulillah secara rasminya saya akan bertugas di Masjid Usamah bin Zaid. Surat hitam putih sudahpun keluar.

Petang ini pula saya akan ke UPM Serdang untuk sesi terakhir kuliah Maghrib di kolej ke 13. Hampir 3 bulan lebih sesi wacana dan perkongsian dengan adik-adik di sana, bukan sahaja mereka yang mendengar insya-Allah mendapat manfaat namun saya yang menyampaikan lebih lagi Alhamdulillah menerima manfaatnya.

Tiada perbincangan khusus saya bawakan kepada adik-adik di sana. Ini kerana terkesan dengan kuliah dari mentor dakwah saya, Ustaz Hasrizal@Abu saif yang meleletakkan seorang Da’ie itu salah jika hanya memberitahu mad’u mereka apa yang dia tahu, namun yang sepatutnya adalah mereka memberitahu apa yang mad’u sekalian perlu.

Contoh mudahnya ialah, kalau yang mendengar ceramah kita itu ialah golongan pelajar IPT dalam lingkungan 18 – 20, maka seharusnya pengisian terhadap mereka itu perlu lebih kepada memahamkan tanggungjawab mereka sebagai seorang pelajar. Dalam konteks seorang hamba kepada tuhannya, seorang umat kepada Rasulnya, seorang anak kepada ibu bapanya. Jangan pula diceritakan secara ditir akan hal kelebihan berumahtangga, poligami dan lain-lain hal yang menyimpang jauh dari kapasiti nyata seorang pelajar.

Bagaimana pula seorang anak gadis Melayu yang hanya belasan tahun sanggup lari meninggalkan ibu bapanya ke seberang dengan hanya bermodalkan ayat-ayat manis cinta dalam SMS sahaja. Ianya perlu dikaji puncanya. Silapnya di mana?

Anologinya, sebuah kapal terbang yang akan berlepas ke Jeddah dari KLIA. Dengan takdir Allah sedikit kesilapan berlaku semasa penetapan bearing longitud dan katitud dan menyebabkan laluan kapal terbang tersebut lari dari laluan asal sebanyak hanya 5 darjah sahaja. Namun apa natijah akhirnya? Pesawat berkenaan tidak akan sampai ke destinasinya, kesilapan awal yang hanya 5 darjah itu semakin lama semakin jauh dan akhirnya pesawat itu terkeluar dari bearing asalnya sejauh 50 000 darjah. Natijahnya, pesawat berkenaan tidak sampai di destinasinya malah mungkin akan terlibat dengan kecelakaan ruang udara yang akan mengorbankan seluruh isi pesawat itu.

Berbalik kepada anak gadis Melayu tadi, yang bukan hanya seorang sahaja yang telah dilarikan malah ramai lagi yang akan mengulangi kejadian itu.

Setelah diperhatikan, kajian mendapati ini adalah kerana kekosongan jiwa anak-anak gadis ini dari perhatian bahkan kasih sayang dari orang tua mereka sendiri pada peringkat awalnya, diikuti juga kerana kekurangan pengisian agama dalam jiwa masing-masing antara kedua belah pihak.

Dek kerana kurangnya perhatian inilah yang diterjemahkan sebagai kasih sayang itu maka ana-anak gadis ini sentiasa tercari-cari. Akhirnya muncul sang Arjuna yang sanggup mengisi kekosongan itu walau hanya dengan kata-kata manis dan SMS sahaja mereka sanggup membelakangkan ibu bapa mereka sendiri. Anak-anak rasa terhibur dan asyik.

Apabila berhadapan dengan masalah. Yang perlu kita ingat ialah masalah tersebut bukanlah masalah, ini kerana masalah adalah salah satu rutin kehidupan, mustahi untuk dielakkan apabila kita ini adalah manusia. Namun berfikirlah untuk menyelesaikan masalah dan bukannya asyik membincangkan masalah itu yang akhirnya, masalah yang kecil pun menjadi sebesar-besar masalah.

Pernah kita menghadiri mesyuarat untuk membincangkan hal-hal berbangkit . Namun kesilapan sering berlaku apabila perbincangan masalah yang berbangkit itu sahaja hampir memakan ¾ dari jangka masa mesyuarat tersebut yang sepatutnya mesyuarat tersebut adalah untuk berfikir bagaimana ingin menyelesaikan masalah.

Alhamdulillah dengan pengisian yang sedemikianlah saya cuba sampaikan pada adik-adik di kolej ke 13 UPM, dengan harapan terlahirnya generasi yang berjiwa besar sebagaimana yang dinyatakan oleh Rasulullah :


حدثنا ‏ ‏زهير بن حرب ‏ ‏وابن نمير ‏ ‏قالا حدثنا ‏ ‏سفيان بن عيينة ‏ ‏عن ‏ ‏أبي الزناد ‏ ‏عن ‏ ‏الأعرج ‏ ‏عن ‏ ‏أبي هريرة ‏ ‏قال ‏
‏قال رسول الله ‏ ‏صلى الله عليه وسلم ‏ ‏ليس الغنى عن كثرة ‏ ‏العرض ‏ ‏ولكن الغنى غنى النفس ‏


Dari Abu Hurairah katanya :

Aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda : Kekayaan itu bukanlah kerana mempunyai banyak harta tetapi kekayaan yang sebenarnya adalah kekayaan jiwa.

Nombor Hadis Dalam Sahih Muslim : 1741

Ayuh berfikir untuk menyelesaikan masalah kerana masalah telah wujud dan akan terus wujud!

Az-Zahir

14 April 2009

Kecelaruan


Sekali berkata maka berusahalah sedaya mungkin untuk merealisasikannya. Tidak berguna hanya pandai menghembur kata manis janji namun akhirnya larut ditiup angin.

Ada beberapa perkara yang saya tetapkan untuk diri saya. Saya seorang yang agak ‘talkative’ yang memungkinkan unjuran persepsi positif dan negatif dari kalangan mereka yang berinteraksi dengan saya. Banyak hadis dan ayat al-Quran yang menyelar mereka yang hanya tahu bercakap namun tidak mengamalkan apa yang dicakap. Begitu juga mereka yang hanya bertanyakan soalan-soalan semata-mata untuk memastikan jawapan daripada soalan itu menjadi sandaran untuk menyelamatkan mereka.

Kisah Bani Israel yang panjang telah menceritakan bagaimana mereka merupakan kaum yang terpilih dan juga kaum yang paling ramai didatangkan nabi dan rasul. Namun akhirnya mereka jugalah kaum yang paling dilaknat oleh Allah sendiri.

Saya suka bercakap, bertanya, mengulas, melontarkan pandangan, berdiskusi namun saya megajar diri saya untuk kurang mengkritik, walaupun saya sedia dikritik. Pada saya, peringkat awal proses pemahaman atau pematangan individu ialah terletak pada komunikasi. Kematangan seseorang akan terserlah apabila mereka itu berkomunikasi. Bahkan dek kerana kematangan berkomunikasi juga mereka yang walaupun muda usianya tetapi kelihatan amat matang sekali. Sebaliknya walaupun seseorang itu secara fizikalnya nampak matang tetapi apabila dia mula berkomunikasi dengan teruk maka kewibaannya juga akan tercalar.

Peringkat pertama ialah menerima dahulu apa sahaja maklumat yang diberikan samada melaui perbualan, perbincangan, ceramah, pembacaan dan lain-lain. Kemudian buat saringan maklumat mana yang mahu dan boleh dipakai lalu kemudian barulah simpankan sebagai ilmu yang akan digunakan malah disampaikan. Jangan cepat menongkah dan jangan pula cepat menyedut segala maklumat itu. Kerana bukan semua maklumat itu benar. Kalaupun ianya benar, adakah ianya sesuai untuk kondisi semasa kita.

Segala yang baik itu bermula dari diri kita. Sebagai manusia yang dilahirkan dengan fitrah kebaikan hanya. Seorang bayi yang baru lahir lalu disuapkan manisan, madu atau kurma maka secara fitrahnya dia akan menghisap yakni dia suka. Namun jika yang dihulurkan ke dalam mulutnya itu adalah garam dan makanan yang pahit maka akan dikeluarkan dengan segera.

Hadis Abu Hurairah r.a katanya:


Rasulullah s.a.w bersabda: Setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah iaitu suci bersih. Kedua orang tuanyalah yang membuatnya menjadi Yahudi, Nasrani atau Majusi. Sebagaimana seekor ternakan yang melahirkan anaknya (dengan sempurna kejadian dan anggotanya), adakah kamu menganggap hidung, telinga dan lain-lain anggotanya terpotong?

Nombor Hadis Dalam Sahih Muslim : 4803

Siapa yang mengajar mereka ini mengenal yang manis itu sedap dan yang masin itu tidak sedap. Ini tidak lain kerana secara fitrahnya manusia memang diciptakan Allah dengan penuh kebaikan dan kesejahteraan. Yang akhirnya segala fitrah dan kebaikan itu dirosak punahkan oleh mereka sendiri juga. Kerana akhirnya penggunaan akal dalam menilai perkara dunia malah akhirat telah digunakan secara total. Manakan mungkin otak yang hanya sebesar penumbuk itu mampu untuk menembusi keagungan zat Allah.

Kecelaruan ini terjadi apabila kita sebagai manusia sibuk memikirkan perkara yang tidak sepatutnya difikirkan. Yang akhirnya hanya menimbulkan kesangsian demi kesangsian kerana tentunya Iblis bijak mengambil peluang untuk memastikan golongan ini sesat sesesatnya.

Az-Zahir

09 April 2009

Mesyuarat Agong kali ke-10 Persatuan Pegawai-Pegawai Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.



“Guano gi bilik anta tak dok? Jom gi Bangsar..semua kakitangan masjid dapat ppelepasan daripada Ustaz Mazlan ke Bangsar sebab ada mesyuarat agong Persatuan Pegawai-Pegawai Masjid WPKL.”

Begitulah lebih kurang bunyinya SMS dari Ustaz Murshidi selepas solat Subuh dan tadabbur al-Quran pagi semalam, kebetulan saya di dalam tandas. Saya menyetujui untuk mengikuti kakanda saya itu ke Masjid Abu Bakar As-Siddiq, Bangsar untuk menghadiri mesyuarat tersebut.

Ini adalah kehadiran sulung saya dalam mesyuarat agung ini.

Hampir jam 9 pagi, kami bertolak. Saya membonceng di belakang motorsikal model Nasional KRISS milik Ustaz Murshdi.

Alhamdulillah, ramai kenalan baru saya dapat di sana. Mereka terdiri daripada para Imam, Bilal, Noja dan kakitangan masjid-masjid diseluruh Kuala Lumpur yang berkumpul di situ. Ternyata walaupun pertama kali bersua wajah, namun ukhwah yang terjalin sangat berkesan.

Bersama Ustaz Murshidi (Pemeriksa kira-kira)

Mesyuarat berlangsung hampir 4 jam. Setiap agenda disudahi satu-persatu dengan berhemah. Majlis yang sepatutnya dirasmikan oleh Yang Berbahagia Dato’ Pengarah JAWI sendiri namun beliau di Kelantan atas urusan lain. Ustaz Mazlan, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Kariah telah diamahkan untuk merasmikan majlis pagi semalam.

Agenda seterusnya diteruskan dengan perbentangan minit mesyuarat dan belanjawan yang lalu. Selesai semuanya, tibalah segmen kemuncak iaitu pembubaran dan pemilihan AJK baru.

Hampir seluruh penjawatan bertukar tangan. Majoritinya adalah orang muda yang diharap mampu menyuntik pembaharuan dalam memperjuangkan apa yang perlu diperjuangkan dan juga melakukan islah agar Persatuan Pegawai Masjid menjadi suara rasmi para Imam dan Bilal untuk bersuara.

Majlis ditangguhkan setelah jam hampir menunjukkan pukul 1 tengahari, dan kami ramai-ramai menjamu selera dengan gulai kambing menjadi sajian utama.

Selepas Zohor berjemaah, kami semua pun bersurai.


Barisan Pimpinan sesi 2009/2011
Az-Zahir

08 April 2009

Ekspedisi Ilmu



Ke Jeddah (Insya-Allah)

Pernah kita baca ekspedisi dakwah, menuntut dan menyebar ilmu oleh para ulama’ dan hukama’ dahulu kala. Sejarah membuktikan bahawa para cendekiawan ini sangat komited dalam menuntut ilmu. Hanya semata untuk mencapai redha Allah, hampir separuh usia mereka ini dihabiskan di rantauan. Penjelajahan demi penjelajahan itulah yang telah membuahkan hasil lantas dinikmati generasi kita kini. Nyatalah benar, jika seorang itu mahu alim lagi faqih mustahil jika hanya bertumas di sarang sendiri.

Saya masih belum berkesempatan melakukan ekspidisi taqhafah ilmu tersebut ke luar negara, namun azam yang membara kian saya semarakkan agar obor-obor semangat terus menerus menyala dan tidak padam. Saya mahu ke luar Malaysia. Sebelum saya berumur 30 tahun saya menetapkan saya perlu pergi ke Mekah untuk menunaikan haji dan juga melanjutkan pelajaran paling kurang untuk mendalami bahasa Arab selama setahun setengah di Tanah Arab insya-Allah.

Persediaan

Sebelum ke sana saya perlu membuat beberapa persediaan. Antaranya persiapan dari segi ekonomi dan mental. Persediaan kewangan yang stabil sebelum mencapai kestabilan di negara luar adalaha perlu. Dengan itu sedikit sebanyak saya perlu mengetahui tentang kos sara hidup negara yang bakal disinggah. Berapakah kadar mata wangnya, berapa kos sewa rumah, dan bagaimana pula dengan sosiologi masyarakat setempat. Perlu saya tahu serba sedikit tentang adat resam, budaya dan amalan warisan malah pantang larang masyarakat setempat agar tidak berlaku kelak salah faham yang memudaratkan. Dan cara yang terbaik ialah cuba mendapatkan maklumat dan perkongsian pengalaman dengan mereka-mereka yang pernah menetap di sana.

Selain itu persediaan mental termasuklah dari segi memperlengkapkan diri dengan semangat dan motivasi untuk tidak mensia-siakan walau sesaat masa di sana melainkan dengan menyedut ilmu yang menjadi tujuan. Paling kurang mahirkan penggunaan lughah, mengusai bahasa Arab yang akan memudahkan penelahan kitab-kitab yang masih lagi banyak tidak diterjemah dan menyebabkan orang Islam di Malaysia khususnya mandul maklumat. Paling tidak pun saya mampu untuk mentadabburkan al-Quran dan al-Hadis beserta maknanya tanpa perlu lagi merujuk kepada kitab alih bahasa. Insya-Allah ini akan memudahkan proses ceramah dakwah saya kelak.

Saya juga perlu mengatur masa dengan bijaksana jika (insya-Allah) pada masa itu saya sudah bergelar ‘Walid’ kepada 'Aulad’. Maka sudah tentunya keutamaan pada amanah itu juga perlu. Selain isteri yang akan bekerja dalam bidangnya di sana insya-Allah.

Saya sudah mula bersedia dari sekarang dengan perlahan-perlahan, tidak mahu saya berjanji kerana ianya hanya memungkinkan mungkir, dan mungkir itu adalah salah satu sifat munafik.

Yang saya tahu, sekali saya berkata maka saya akan sedaya usaha yang mungkin akan merealisasikannya. Dan iringan doa bersulam usaha serta keredhaan dan kasih sayang mereka yang disayangi dan menyayangi saya.

Namun sayang dan kasih Allah pada saya mengatasi segala kasih dan sayang bersifat makhluk. Namun, kasih dan sayang saya padaNya…wAllahua’lam.

Az-Zahir